Monday, November 15, 2010

POTONG PASUNG KEMANGA.

Seperti yang nyatakan dalam tulisan terdahulu, jatuhan buah Pasung Kemanga lebih susah dilakukan berbanding dengan asasnya. Buahnya cantik dan sering kali ditunjukkan dalam pertunjukan senjata pisau. Oleh kerana asas yang agak susahlah telah menyebabkan ada puak-puak tertentu yang telah mengubah suai cara tumbukan bagi menyenangkan diri mereka untuk membuat jatuhan. Agaknya mereka lebih pentingkan kesenangan diri dengan cara menafikan kebenaran.

Rupa-rupanya, dalam pelajaran potong, gerak potong buah Pasung Kemanga juga dapat dikatakan susah. Pesilat perlu bersungguh-sungguh untuk membuat gerak potong. Sifat pesilat perlu tegas, yakin dan jangan teragak-agak ketika melakukan gerak potong Pasung Kemanga agar pergerakannya mantap, kemas dan tepat.

Ada pesilat yang menganggap potong cara pertama pada pecahan pertama buah Paras adalah susah hingga ada yang mengetepikan cara potong berkenaan. Namun begitu, saya beranggapan bahawa gerak potong buah Pasung Kemanga dapat dikatakan lagi susah. Apatah lagi jika badan pasangan kita memberat ke arah kaki kirinya ketika membuat gerak tampar pada penghujung tangan pesilat. Oleh itu, Jurulatih adalah berperanan untuk menyakinkan para pesilat dan memberi panduan kepada mereka agar para pesilat beranggapan bahawa potong Pasung Kemanga tidak susah jika dilakukan dengan teknik yang betul.

Ketika melakukan gerak potong Pasung Kemanga, beberapa aspek pergerakan perlu diberi penekanan. Pertamanya, perbuatan potong yang dilakukan semasa tangan kanan pesilat disentuh adalah secara merentap ketika menyisip tangan kiri pasangan. Perbuatan menyisip dan merentap tangan kiri pasangan tersebut perlu dilakukan dengan ’kuat’ berdasarkan konsep kejutan bagi tujuan keselamatan. Hal yang demikian akan menyebabkan badan pasangan berada dalam keadaan yang tidak stabil dan akan mengarah ke hadapan. Secara langsung, cara itu akan mematikan gerak pasangan kita. Perbuatan menampar pada tangan pesilat akan dapat dihentikan.

Penekanan kedua, dalam proses menyisip tangan kiri pasangan, ketika itulah juga kaki kanan pesilat akan membuat sapuan atau seretan pada kaki kiri pasangan. Perbuatan menyisip itu juga perlu dilakukan dalam keadaan tegap dan kemas. Tekankan pada pesilat. Badan pesilat perlu selari dengan arah pasangan. Hal yang demikian akan memudahkan kaki kanan pesilat membuat sapuan. Sapuan ’angin’ dapat dielakkan.

Jangan lupa memberi penekanan pada kegunaan siku pesilat ketika proses menyisip tangan dilakukan pada pasangan. Arah siku adalah ke muka. Walaupun perbuatan pemakan pada muka pasangan tidak perlu dilakukan, namun pemakan di tempat terebut perlu diberi penekanan dan diterangkan dengan penuh yakin.

Akhir sekali, setelah semua proses gerak potong dilakukan seperti yang diterangkan di atas, maka perbuatan menyendal tangan pasangan pada lutut kita perlu ditekankan. Terangkan kaedahnya seperti mana yang kita lakukan pada gerak potong Kidung Kiri. Jangan bercanggah dan menyalahi isi pelajaran yang sedia ada.

Kadang-kadang terfikir juga nasib para pesilat yang membuat tumbukan secara lajak ke depan. Pernah Ustaz menerangkan kepada saya betapa gerak yang sedemikian kalau ditumpangkan gerak pada lajak berkenaan maka pesilat itu akan terus meluru ke depan tanpa kawalan. Umpama kerbau pendek yang menyondol ke depan. Maka tak payah susah-susah membuat gerak jatuhan. Alang-alang lajak maka lajakkan pesilat itu terus ke depan.

Begitu juga dengan mereka yang suka membuat jatuhan secara badan berada membelakangkan badan. Bagaimana agaknya bentuk potong yang dilakukan. Saya difahamkan bahawa gerak potong perlu dilakukan segera ketika pasangan belum sempat membelakangkan badan. Prosesnya berterusan. Saya cuba bayangkan kalau ’menjadi’ gerak potong tersebut, tentunya kekuatan perlu digunakan untuk menyentap tangan pasangan yang sedang melakukan perbuatan membelakangkan badan. Kuat sungguh nafsunya. Saya berkeyakinan, tentunya kaedah potong yang diajar Ustaz tidak mungkin dapat dilakukan dengan sempurna. Melainkan berpakat gerak antara pesilat dan pasangannya bagi memuaskan hati Jurulatih. Saya malas nak bertanya. Mungkinkah ketika potong maka gerak pusing diselaras semula atau mungkinkah sapuan atau seretan tidak perlu dilakukan. Memadai menyisip tangan pasangan yang menyentuh atau atau yang lain. Perkara yang tidak boleh dinafikan ialah kalau jatuhan tidak tepat pasti potong pun akan menjadi tidak tepat dan kelam kabut.

Kaedah potong secara sisipan amat cantik sekali. Namun begitu, pada pengalaman saya, perbuatan potong pada buah Kidung Kiri sahaja yang dapat dibuat dengan kemas dan menyakinkan. Manakala gerak potong menggunakan sisipan dalam gerak yang hampir sama pada buah-buah Selendang, Paras dan Pasung Kemanga akan mudah dilakukan oleh pesilat jika perbuatan potong dilakukan dengan tepat dan sepenuh hati. Oleh itu, banyakkan latihan bagi memperoleh gerak yang tepat, kemas dan pantas.

Jurulatih boleh membantu dengan cara membuat latih tubi yang berterusan pada buah-buah tersebut. Jangan berasa jemu bagi membina gerak yang kemas dalam kalangan penuntut-penuntutnya dari masa ke masa. Sabar dan jangan panas baran. Sekian.