Thursday, November 4, 2010

POTONG GARI / ALI PATAH SUDAH

Buah Gari dan Ali Patah Sudah pecahan B pada dasarnya mempunyai persamaan dalam gerak potong. Walaupun pelajaran buah jatuh yang bersambung berakhir dengan sifat yang berlainan, namun proses awal menggunakan Kaedah B ketika mengambil buah jatuh adalah agak sama. Persamaan ini menyebabkan saya golongkan buah-buah tersebut dalam satu penjelasan yang sama dalam proses membuat potong.

Setelah para penuntut SC diperkenalkan dengan potong kedua pada buah Kuntau Jatuh, minat para penuntut untuk mempraktikkan pelajaran tersebut secara ’makan balik buah’, sentiasa ada. Ketika mengambil potong buah Gari dan Ali Patah sudah B, perbuatan makan balik tersebut dengan menggunakan buah jatuh yang sama cuba dipraktikkan oleh mereka.

Pada dasarnya perbuatan tersebut adalah tidak digalakkan. Sifat potong kedua buah Kuntau Jatuh agak berlainan. Kita perlu melakukan jenis potong yang berkenaan adalah kerana kaki kanan pesilat telah diblok oleh pasangan yang memasukkan keseluruhan kaki kanannya pada pelipat pesilat. Tambahan pula, kaedah makan balik pada buah Gari dan Ali Patah Sudah pecahan B tidak pernah diajar dalam kelas latihan.

Sebelum kita membuat gerak potong, saya rasa elok juga jika kita mengetahui tentang sifat buah-buah berkenaan. Mengambil Kaedah B pada buah Ali Patah Sudah adalah bertujuan untuk menangkap leher pesilat yang menumbuk. Gerak tangan kanan yang menepis akan menjurus arah ke bawah sebelum gerak tangan tersebut meluru ke leher bagi membuat tangkapan. Ketika pasangan membuat tepisan, pesilat bertindak segera untuk memotong gerak buah berkenaan. Setelah kaki kiri melangkah setapak ke belakang pelipat maka pesilat telah berada dalam zon selamat. Setelah itu proses jatuhan seperti mana buah kuntau kiri dapat dilakukan.

Mengambil kaedah B pada buah Gari adalah bertujuan untuk mengunci pergerakan tangan kiri pesilat yang menumbuk. Tangan kanan yang ditepis akan menjurus arah ke bawah dan tangan pasangan akan diluncur ke bahagian belakang. Ketika tepisan kaedah B tersebut maka pesilat akan membuat gerak potong pada buah berkenaan. Sama seperti potong Ali Patah Sudah, tangan kanan pasangan yang menepis akan direntap bagi membuat gerak potong. Peranan kaki kiri dan tangan kiri pesilat adalah sama ketika potong Ali Patah Sudah. Setelah berada dalam zon selamat maka bolehlah pesilat membuat buah sambungan berupa buah jatuh Kuntau Kiri.

Saya selalu ingatkan pesilat betapa kaedah B yang digunakan pada kedua-dua buah berkenaan adalah dalam proses yang berterusan. Oleh itu, gerak potong yang dilakukan perlu pantas, kemas dan berketepatan. Sekian.