Saturday, July 3, 2010

SIKAP SAYA SEBAGAI JURULATIH


4. TANAMKAN SIFAT KESABARAN DALAM SC.


Dalam tulisan yang lalu saya telah membincangkan beberapa cabaran yang perlu kita hadapi dalam usaha penyebaran SC. Cabaran-cabaran itu juga berkait rapat dalam konteks hubungan kita dengan rakan-rakan dalam SC. Rakan-rakan kita itu termasuk yang ada jawatan sama ada di tahap cawangan atau pusat. Sejauh mana kita berjaya menyerap cabaran-cabaran tersebut. Jika gagal menghadapi cabaran, pastinya kita akan tertekan atau berada dalam suasana stress. Tambahan pula jika silat merupakan sesuatu yang sukar dipisahkan dalam perjalanan hidup kita seharian. Tekanan yang memanjang akan memudaratkan kesihatan. Rambut menjadi banyak uban dan mungkin akan mengalami keguguran. Tekanan yang sukar diserap akan memberi kesan pada keluarga dan mungkin pada prestasi tugas.

Kalaulah keadaan yang tertekan itu dibiarkan memanjang, lama-kelamaan akan wujud perbuatan-perbuatan protes dalam diri sendiri. Mulalah syaitan merasuk diri. Beberapa persoalan akan bermain-main di benak hati. Kita ‘ditanya’ setakat mana lagi penglibatan kita dalam SC. Kalau diri tidak lagi dihargai maka bisikan di hati, eloklah melarikan diri. Usaha yang dilakukan selama ini akan dianggap beban kerana tidak ada penghargaan. Hal yang demikian akan mendatangkan suasana yang tidak elok pada diri.

Ketika inilah peranan pihak penguasa terutama pihak pengurusan di cawangan sendiri memainkan peranan penting. Seringlah membuat perjumpaan sesama pendokong SC. Sekurang-kurangnya berbincang sambil-sambil ‘makan kenduri’. Berbincanglah tentang kekuatan dan kelemahan kita dari masa ke masa. Susun strategi. Maka diri akan terdorong dan kekusutan diri dapat diperbaiki. Kebajikan sesama ahli jangan sesekali dilupakan. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk menghargai diri sendiri. Lebih baik diri sendiri menghargai diri sendiri.

Aspek ini amat saya ambil berat ketika memimpin persatuan tempoh hari. Setiap tahun ada saja penghargaan yang diberi. Termasuklah ‘bush jacket’ yang menjadi kebanggaan ahli. Sebagai pemimpin persatuan, kebajikan ahli perlu dijaga. Mungkin tidak terkajang batu sepulau. Namun begitu dengan mengambil sedikit pendekatan untuk menghargai ahli yang telah berkorban maka kebajikan ahli itu boleh terjaga. Merekalah yang merupakan barisan depan untuk menyebarkan SC. Kalau hati mereka dijaga sempurna pastinya segala tugas akan terlaksa dengan jayanya.

Ramai yang menganggap bahawa dalam SC banyak ujian yang selalu kita terima tanpa dirancang. Kadang kala ujian tersebut menimpa sanak saudara. Kalau kita berjaya mengatasi ujian yang ada maka kita akan tenang dan puas. Walau bagaimanapun, untuk lulus dalam ujian-ujian itu maka berjuanglah seorang diri. Amat sukar untuk kita mendapatkan bantuan kerana bukan senang untuk orang lain memahami apa yang kita hadapi. Maka bersabarlah.

Dalam silat kita, banyak istilah yang boleh menggambarkan peranan ahli-ahli silat atau ahli persatuan yang ada. Seperti nama buah kanan dan kiri dalam SC maka golongan ahlipun ada golongan kanan dan golongan kiri. Apakah kayu ukur untuk mengatakan kanan atau kiri, kita pun mungkin kurang mengerti. Istilah-istilah seperti golongan setia, golongan berjasa, para pendokong, para penderhaka dan penentang utama dan sebagainya telah menjadi satu sebutan biasa dalam kalangan kita. Kayu ukurnya tidak ada. Yang pastinya ikut sedap apa yang nak dikata. Oleh sebab kedudukannya mungkin tempat berkuasa maka istilah-istilah yang dikeluarkan mereka mungkin diterima pakai tanpa usul periksa. Maka bersabarlah.

Saya akui, ada kalanya semasa usaha-usaha menyebarkan SC dijalankan, rakan-rakan ahli silat sendiri akan menjadi batu penghalang. Halangan adalah dalam pelbagai bentuk termasuk tekanan dari segi psikologi. Oleh itu kita perlu mewujudkan suasana sahabat sekeliling kita dalam kalangan mereka yang baik. Kita pula perlu menjadikan diri kita sebagai sahabat yang baik.

Untuk menjadi sahabat yang cemerlang dalam SC, beberapa faktor patut diambil kira. Antara faktor tersebut ialah mengikuti adat dan adab yang ada dalam SC. Menarilah ikut rentaknya. Dalam SC terdapat banyak adat dan adab yang mengasaskan budi bahasa dan kesopanan sama ada dalam hubungan persahabatan anatara murid dengan murid atau murid dengan jurulatih dan murid dengan guru.

Di samping itu kita perlu berfikiran positif terutama dalam hubungan kita dengan rakan-rakan. Selalulah bercakap hal-hal yang berkaitan dengan kebaikan orang lain daripada memperkataklan soal-soal yang berkaitan dengan keburukan sifatnya. Jika sifat ini wujud dalam kalangan kita bererti kita akan mempunyai para sahabat yang berakhlak mulia. Maka beruntunglah kita dalam konteks hubungan sesama ahli silat. Sifat-sifat yang positif ini akan menghindari diri kita daripada sifat bongkak, bangga diri dan suka bersifat mengasingkan diri.

Dalam pergaulan kita sesama ahli, kita perlu ukur kekuatan dan kelemahan diri kita. Jika kita boleh bertindak umpama ikan di laut, airnya masin tapi ikan tetap tak masin, maka selamatlah diri dalam pergaulan sesama ahli dalam apa suasana sekali pun. Jika kurang berkemampuan maka cubalah bergaul dengan golongan yang jujur dalam SC. Perbuatan mereka ikhlas untuk mengembangkan SC. Jika sama tujuan maka berkawanlah dengan mereka yang jujur dan setia dalam perjuangan. Jika bergaul dengan mereka yang banyak pengalaman dan pengetahuan maka adalah lebih baik jika kita banyak mendengar. Hal yang demikian akan lebih banyak membawa keuntungan pada diri kita.

Jika kita tersilap kumpulan atau bergaul rapat dengan mereka yang nampaknya seakan-akan berbudi atau berkawan dengan yang pandai mengampu atau berkawan dengan yang nampaknya licik tutur kata, akibatnya kita akan rugi selama mana kita melibatkan diri dalam SC. Perbincangan saya tersebut adalah dalam konteks mendapatkan ilmu yang banyak ketika berada dalam SC.

Sabar ketika berada dalam SC akan menjadikan kita berada dalam suasana yang tenang. Kehidupan kita dalam SC akan berada dalam suasana yang aman dan damai. Tak banyak isu yang boleh dibangkitkan mengenai kita dalam proses keaktifan kita dalam SC. Bersifatlah rendah diri umpama padi yang makin tunduk maka makin berisi. Tidak perlu kita bersifat sombong atau suka menghina orang lain dalam konteks SC. Jiwa kita tidak akan tenteram dan pemikiran kita sentiasa berada dalam suasana yang tidak aman.

Dalam pergaulan, di samping ada cita-cita yang ingin dicapai maka kita juga perlu ada sifat rendah hati. Kebijaksanaan kita ialah menyesuaikan diri dengan suasana yang wujud dalam SC. Carilah keseimbangan diri dalam SC antara kesabaran dan ketegasan. Kata seorang ahli falsafah, “Jika ingin mencapai harmoni dengan persekitaran, hiduplah seperti pohon bambu. Ada kalanya angin menerpa pohon bambu, dan pada saat itu, bambu tersebut menunduk untuk melaraskan dirinya dengan angin. Itu bererti, sewaktu masalah datang menimpa, ada kalanya kita memerlukan waktu untuk mengalah, tetapi membuat renungan atau pertimbangan bagi memikirkan langkah selanjutnya apa. Hatta, mengalah untuk menyusun strategi yang tepat. Kemudian, sewaktu angin berlalu, pohon bambu dapat berdiri tegak lagi. Ini berarti, tiba pada saat yang tepat, maka kita perlu aplikasikan semua strategi kita. Pohon bambu memiliki dua kelebihan, iaitu kelenturan dan kekuatan. Dalam kemanusiaan, itu berarti dua sifat yang saling bergandingan, iaitu kesabaran dan kecekalan. Orang yang cekal adalah orang yang tidak mudah mengalah. Sebaliknya orang itu akan berusaha lebih giat bagi mengatasi halangan atau cabaran yang ada.”

Itulah sifat berani yang sentiasa dipupuk dalam SC. Mengalah bukan bererti kalah atau takut atau bacul. Sebaliknya dia mengalah kerana keperluan menyusun strategi untuk mengatasi cabaran yang ada. Itulah sifat berani yang sentiasa dipupuk dalam kalangan ahli SC pada mereka yang mengetahuinya. Sekian tentang tajuk besar di atas.