Saturday, June 26, 2010

SIKAP SAYA SEBAGAI JURULATIH

3. Menyebarkan Silat Cekak.

Saya amat berkeyakinan bahawa pada dasarnya kita perlu mempunyai pandangan bahawa SC adalah silat untuk semua orang Melayu yang beragama Islam. Istilah Melayu mungkin boleh diluaskan maksudnya. Kalau diri kita percaya dan mengamalkan SC maka adalah menjadi satu kewajipan bagi kita untuk menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat. Juga, dalam kalangan ahli SC sendiri kita berperanan menyebarkan ilmu-ilmu SC yang telah kita peroleh dan kita amalkan terlebih dahulu.

Saya juga berpendapat bahawa tersangat elok bagi kita mencari bukti-bukti saintifik untuk membuktikan amalan silat kita adalah benar-benar mendatangkan faedah. Bukannya kita tidak percaya dengan amalan yang kita terima. Tapi hal yang demikian adalah sebagai usaha untuk menguatkan kesahihan betapa berfaedahnya ajaran-ajaran yang diamanahkan guru dalam pengajian SC, diamalkan oleh kita. Misalnya mandi sambil menggosokkan badan dan anggota badan dengan menggunakan tangan. Kita pernah diceramahkan betapa gosokan tersebut secara langsung membentuk satu lapisan yang tidak nampak pada kulit anggota yang digosok. Itu sebab agaknya apabila berlaku serangan, kita boleh mengambil serangan tersebut apabila tersentuh di badan tanpa membawa kemudaratan kepada anggota kita. Lapisan yang wujud pada kulit anggota badan itu memberi isyarat terlebih dahulu untuk kita membuat tindakan. Itulah salah satu kelebihan mandi silat.

Begitu juga dengan penggunaan limau purut. Kita tidak menggunakan limau nipis seperti yang selalu diamalkan oleh persilatan Melayu yang lain. Kita boleh membuat kajian ilmiah bagi menguatkan amalan kita. Misalnya, daripada kajian, penggunaan limau purut memberi kesan yang amat hebat. Kita boleh terangkan kepada rakan-rakan penuntut yang lain. Dalam akhbar Mingguan Malaysia, 17 Mac 2002, dipetik kajian oleh seorang pegawai daripada Institusi Biosains, UPM tentang kelebihan limau purut yang dapat menghilangkan rasa lemah dan letih. Antara lain menurut kajiannya, buah limau purut selalu dijadikan sebagai antara bahan penting dalam upucara mandi bunga dan mandi wap yang menjanjikan kesegaran. Kulit yang bersisik akan pulih jika menggunakan limau purut.

Rujukan dan bahan yang diperoleh itu dapat membuktikan betapa apa yang kita lakukan dalam SC adalah tidak sia-sia kerana ada faedah di sebaliknya. Secara langsung kita lebih yakin akan segala ilmu yang ada dalam SC. Begitu juga dengan hal-hal lain yang perlu kajian. Dengan adanya keyakinan tersebut maka mudahlah usaha-usaha kita menyebarkan SC. Kita akan lebih yakin atas apa yang kita ucapkan.
Peranan kita sebagai penyebar ilmu adalah meliputi gerak-gerak fizikal SC atau kefahaman SC itu sendiri. Usaha-usaha penyebaran dapat dilakukan melalui dua kaedah.

Pertamanya ialah dengan cara menarik ahli baru bagi mengikuti kelas-kelas SC. Untuk itu kita perlu ada beberapa ciri utama. Ilmu kita tentang SC biarlah banyak dan mendalam. Usahakan diri untuk memenuhi kriteria tersebut. Dampingi guru dan orang-orang lama yang berpengalaman untuk mendapatkan penjelasan dan tafsiran. Janganlah ego hingga menafikan pendapat yang lain. Berfikirlah secara terbuka. Tidak rugi jika kita mengetahui semua ilmu yang ada dalam SC.

Semasa kita menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat, kebijaksanaan adalah sangat perlu untuk menjelaskan sesuatu. Jika perlu berbahas atau berdebat maka berdebatlah. Jika perlu bertry maka bertrylah. Perkara pentingnya ialah kita berdebat atau bertry semata-mata untuk mencari kebenaran dan bukannya kemenangan. Jika perbuatan tersebut sukar dilakukan secara sendirian, eloklah susun strategi yang lain. Apapun yang kita lakukan, berbahas atau berdebatlah dengan cara yang baik dan bukannya secara sentimen atau beremosi negatif.

Kedua ialah dengan cara menanam kefahaman SC dalam kalangan penuntut SC yang telah berdaftar sebagai ahli silat. Saya telah terangkan dalam tulisan terdahulu betapa peranan Jurulatih dalam pengajaran ialah memandu dan bukannya mengajar. Hal yang demikian akan menjadikan diri kita menghormati para penuntut yang belajar dengan kita. Tanamkan kefahaman dan pengajaran dalam SC dengan contoh atau nasihat yang baik.

Dalam usaha untuk membina keyakinan dan kehebatan para penuntut, kita perlu ada strategi. Sesuaikanlah antara tujuan dengan strategi. Jika pelajar itu lemah dalam kefahaman, apa yang patut kita buat. Jika pelajar itu lemah dalam gerak silatnya maka apa pula strategi kita untuk meningkatkan keupayaan silatnya. Begitulah dengan hal-hal yang lain. Lain orang maka lain kaedah dan strategi mengatasinya. Sesuaikan dengan kehendak dan keupayaan murid itu sendiri. Bak kata pepatah, “Jangan memancing ikan dengan umpan anggur.”

Pandangan ahli-ahli lama perlu diambil kira dalam usaha kita menyebarkan SC. Mereka telah mempunyai pengalaman dalam penyebaran SC sebelum kita. Berbincanglah dengan mereka bagi mendapatkan pengetahuan sebagai bekalan ketika melakukan usaha-usaha penyebaran SC dan usaha-usaha menanam kefahaman dalam kalangan ahli. Di samping itu, rujuk bahan-bahan tulisan yang berkaitan dengan SC. Banyak tulisan yang boleh dijadikan panduan ketika kita berbincang tentang SC dalam kalangan penuntut kita.
Dalam usaha menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat dan dalam usaha-usaha peneguhan kefahaman dalam kalangan penuntut SC yang ada, buatlah sesuatu dengan sebaik-baiknya. Tabahkan hati dan kuatkan semangat. Saya sangat bersetuju dengan kata-kata, “Jangan khuatir jika orang lain tidak menghargaimu. Khuatirlah yang kamu tidak menghargai orang lain”. Kalau orang-orang yang berilmu tidak langsung mempedulikan SC lagi maka alangkah ruginya SC dalam proses pemantapan dan penyebaran isi pelajarannya.

Tugas utama kita ialah menyampaikan amanah. Amanah tersebut perlulah diiringi dengan ketulusan. Baharulah apa yang dikata dapat dikota. Persilatan kita kaya dengan adab dan adatnya. Adat dan adab itu dilambangkan juga melalui budi bahasa. Apabila budi bahasa mengiringi adat dan adab maka kehinaan diri dapat dijauhi. Hubungan akrab sesama ahli akan berterusan. Maruah kita akan tetap terpelihara sepanjang masa.

Dalam proses penyampaian ilmu SC dalam kalangan ahli, pastikan apa yang dikata maka kita kotakan. Kalau tidak mampu berbuat demikian, lebih baik jangan berkata-kata kerana kita akan bersifat terburu-buru dalam tindakan kita. Apa yang telah kita lakukan maka berilah maklumat pada guru kita bagi mengelak prasangka buruk dalam kalangan kita. Jika tidak, kita mungkin akan dicap sebagai berselindung dan berangkara oleh penasihat-penasihat toksid dalam persatuan. Susah juga kita akhirnya.

Usaha menyebarkan SC juga pastinya akan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Cabaran adalah sesuatu yang menguji kemampuan kita. Jika kita berjaya mengatasi cabaran-cabaran tersebut maka kita telah berkemampuan untuk menyebarkan SC.

Walaupun persatuan kita berpecah-belah tapi Silat Cekak tetap satu. Itupun pada mereka yang masih mendakwa SC yang dibawanya adalah pusaka Hanafi. Cabaran pada mereka yang hanya merasai satu guru mungkin tidak sama seperti mana cabaran yang dihadapi oleh mereka yang bergelumang dengan beberapa orang guru bermula dari zaman Ustaz Hanafi. Oleh itu, sesuaikan cabaran yang wujud akibat berlainan persatuan dengan usaha-usaha penyebaran SC yang kita ingin lakukan.

Cabaran lain yang saya rasa ada pada masa sekarang ialah kekuatan persatuan yang nampaknya mengatasi kekuatan silat. Hala tuju dan arah mana silat itu akan pergi adalah bergantung pada persatuan yang menggerakkan silat berkenaan. Malah yang paling hebatnya jawatan guru silat pun akan ditentukan oleh persatuan. Persatuan mempunyai kuasa untuk menaik atau menjatuhkan guru silat . Oleh itu, berhati-hatilah pada tindak tanduk kita. Sejauh mana ikhlas sekalipun kita ingin menyebarkan SC, apabila didapati menyalahi atau menyanggahi peraturan persatuan yang ada maka mungkin kita akan tersingkir. Persatuan berkuasa penuh untuk menafikan usaha-usaha kita menyebarkan silat yang kita pusakai dari guru silat. Oleh itu, dalam usaha kita menyebarkan SC, maka jangan sesekali lupa akan kuasa persatuan.

Ketuanan berdasarkan jawatan yang disandang dalam persatuan semakin hebat. Hal ini juga merupakan satu cabaran kepada kita. Kalau dulu, perselisihan sesama ahli silat akan diselesaikan melalui persilatan. Tetapi sekarang perselisihan faham sesama ahli silat akan diselesaikan oleh peraturan persatuan. Melalui peraturan persatuan, ada kemungkinan penglibatan kita dalam silat boleh dimatikan begitu sahaja. Tak payah main tikam-tikam dengan senjata. Jadi, berhati-hatilah dengan suasana yang wujud itu bagi memudahkan kita berada dalam suasana selamat ketika berusaha menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat.

Dewasa ini ketaatan murid dengan guru dalam konteks silat adalah tersangat longgar. Kita boleh nampak betapa murid boleh menyanggah kewibawaan guru melalui peraturan persatuan yang ada. Bukan mudah bagi guru silat itu menyingkir anak muridnya. Anak muridnya mempunyai pelindungan khas apabila menjadi ahli persatuan yang telah menggerakkan silat tersebut. Hal yang demikian telah memberi satu cabaran hebat pada kita dalam usaha mengembangkan SC.

Bukan mudah bagi kita menyebarkan SC sebagai satu usaha bakti terhadap guru. Kita tidak boleh mengikut gerak hati sebaliknya perlu mengikut gerak peraturan yang ada. Kalau dengan guru pun ahli-ahli persatuan boleh persoal kepemimpinan atau membantah arahan, apatah lagi dengan isi pelajaran. Isi pelajaran silat termasuk kefahamannya pun masih boleh dibantah atau dibuat komen. Oleh itu jika sesuatu yang kita sampaikan tidak disenangi oleh si penerima, mereka boleh membantahnya terus pada penjawat jawatan dalam persatuan. Maka akan timbullah krisis yang boleh meretakkan hubungan. Itulah cabaran hebat yang kita akan tempuhi.

Dunia sekarang adalah dunia yang berkait erat dengan teknologi maklumat. Penggunaan e-mail, facebook dan sebagainya begitu luas sekali. Cara berhubung amat jarang sangat dilakukan melalui posmen. Maka cabarannya akan timbul jika kita tidak tahu menggunakan kemudahan-kemudahan moden itu. Bagi mengatasi cabaran tersebut, belajarlah.

Mungkin banyak lagi cabaran hebat yang terpaksa kita tempuhi dalam usaha-usaha penyebaran SC. Hadapilah cabaran-cabaran tersebut dengan perasaan tabah dan tenang. Kita perlu berkeyakinan bahawa usaha yang baik itu lambat laun akan diketahui akan kebaikannya. Pokok pangkalnya, sesuatu yang baik itu eloklah dikongsi bersama dengan orang-orang lain. Harap-harap menemui kejayaan.

Sekian. Sambung lagi