Monday, July 26, 2010

Sambungan....MENGAJAR KAEDAH (2).

Saya mempunyai banyak pengalaman mengajar bekas-bekas pesilat lain. Terdapat beberapa orang dalam ingatan saya. Seorang bertali pinggang hitam dari seni bela diri luar negara dan seorang lagi orang kanan salah sebuah silat Melayu yang ada. Penumbuk mereka beratnya berkati-kati. Pergelangan tangan sama besarnya dengan lengan. ’Melayan’ mereka perlu berhati-hati tapi tidaklah hingga menggadai perinsip diri dan prinsip SC. Kita tidak boleh mengikut hati. Hal yang demikian boleh mengancam ’kedudukan’ diri kita sebagai Jurulatih sukarela sama ada aspek fizikal atau aspek perasaan kita.

Walau bagaimanapun, prinsip menghormati penuntut yang pernah belajar silat lain perlulah ada. Saya kira kesediaannya belajar SC boleh dianggap sebagai sesuatu yang membanggakan kita. Jangan disentuh latar belakang persilatannya. Jangan dikomen penumbuk silat asalnya. Sebagai penuntut yang baru belajar, hal yang demikian pernah terjadi pada diri saya.

Kata-kata menunggu serangan secara berkuda-kuda dilambangkan dengan rotan bengkok di hutan amat menusuk jiwa. Jika Ustaz yang mengeluarkan ayat berkenaan pastinya kita terima. Akan tetapi jika Jurulatih yang dianggap sama standard dengan kita berkata demikian, maka mulalah timbul perasaan di hati untuk mencuba. Alhamdulillah. Ketika itu saya sentiasa berfikiran rasional. Mengumpul ’perasaan’ dan ’tekad’ di akhir pelajaran supaya tidak terganggu fikiran dalam proses mendapatkan ilmu.

Sebelum melepaskan penumbuk, ajar mereka supaya pandang pada rakannya. Badan mengadap rakan. Ada yang menumbuk secara badan berpusing seratus lapan puluh darjah. Mula-mula pandang ke kanan dan bila melepaskan penumbuk memandang ke kiri. Akibatnya mereka menumbuk tanpa lihat pada rakan. Hal yang demikian akan menyebabkan penuntut akan ’meyimpan’ penumbuknya. Pasangannya tak dapat lihat penumbuk rakan. Maka dari segi pelajaran, rugilah rakannya itu.

Di samping itu, jaga kaki penuntut ketika menumbuk. Jangan biarkan mereka menumbuk secara badan yang selari tanpa memandang rakannya dan selepas menumbukpun masih selari tanpa mengadap muka rakannya. Jika hal itu berlaku maka kaki penuntut berkenaan akan beralih tegak pada pandangan sisi secara gerak seratus lapan puluh darjah. Pada hal, jika kita memberatkan penuntut berkenaan supaya mengadap muka rakannya maka kakinya pasti dalam posisi lebih kurang empat puluh lima darjah secara berhadapan.

Langkah kaki adalah berdasarkan gerak langkah kaki semua jadi. umpama berjalan sehari-hari. Langkah besar akan mengundang lutut bengkok umpama berkuda-kuda dan akan menyebabkan penumbuk yang dihantar adalah kaku. Perbaiki kelemahan ini dari masa ke masa. Jika dibiarkan, apabila tamat nanti pastinya tumbuk serang penuntut tersebut tak begitu menjadi.

Tumbukan di dada perlu ditumbuk pada dada kiri atau sekoman-komannya pada tengah dada. Hal ini demikian adalah untuk mengelak sifat penumbuk yang ’lari’ daripada sasaran pada dada pasangannya. Maknanya kalau tak tepis penumbuk pun maka tidak kena pada badan. Perbuatan tersebut jangan dibiarkan. Amat merugikan mereka dalam jangka masa panjang. Itu sebabnya para Jurulatih kena turun padang untuk berlatih bersama-sama dengan penuntutnya bagi mempastikan tumbukan para penuntutnya betul. Tidak mungkin kita juga melarikan penumbuk daripada sasaran dek lewat penuntut kita menepisnya. Kalau penuntut tidak menepis tumbukan kita maka pastilah tumbukan kita mengena di dada mereka. Hal yang demikian itu penting kerana tumbukan yang betul akan mempengaruhi tumbuk serang mereka setelah tamat. Elok penumbuknya maka akan eloklah tumbuk serangnya.

Sebagai seorang Jurulatih yang berkesan, janganlah memberi arahan secara PJJ. Istilah itu bermaksud pengajaran jarak jauh. Turun padang. Kalau boleh setiap penuntut merasai hantaran penumbuk kita. Lihat gerak silat mereka. Berdasarkan pengalaman, sekilas ikan di air maka tahu akan jantan dan betinanya. Dengan cara kita bersilat bersama mereka, pada dasarnya kita akan tahu antara mereka yang berpotensi hebat atau sebaliknya. Senanglah kita membuat perancangan untuk mempastikan semua penuntut kita yang tamat nanti akan mempunyai kebolehan yang sama hebat dan sama tandingnya.

Kita selalu ditanya oleh mereka. Ketika menumbuk mata memandang ke mana. Maka saya jawab, berdasarkan gerak mata kita yang semula jadi. Bila kita berhadapan dengan musuh biarlah mata memandang secara keseluruhannya. Amat berguna prinsip ini dipakai di kemudian pelajaran. Penumbuk serang umpama peluru berpandu. Biar peluru mencari sasarannya sendiri tanpa dapat dikesan oleh radar. Tahulah mata berperanan sesuai dengan pemikiran kita yang ada. Mana boleh difokas-fokas terutama di anunya atau di bukitnya.

Pada penuntut yang baru mula menepis tumbukan rakannya maka bolehlah diingatkan supaya memerhati lengan si penumbuk. Hal ini demikian akan memudahkannya membuat tepisan di peringkat permulaan. Tapi prinsip itu jangan dibiarkan berpanjangan. Apabila tiba ketikanya, tegaskan kepada mereka supaya pandangan dibuka seluas-luasnya berdasarkan pandangan semula jadi yang berkait rapat dengan fikiran dan hati.

Ketika pembelajaran Kaedah tersebut, saya kurang berbincang untuk menyatakan kehebatan SC. Tarik dulu perhatian mereka pada kita. Wujudkan suasana kemesraan bagi memupuk sifat kepercayaan. Ketika kita memerhati gelagat anak murid kita, mereka juga mengkaji akan perwatakan kita. Penuhkan latihan dengan masa yang terancang. Jaga disiplin diri. Kalau kita dapat hadir ke kelas mendahului kedatangan penuntut, maka alangkah baiknya. Pengurusan diri perlu disesuaikan dengan masa. Jika latihan bermula pada pukul lapan setengah maka apabila tiba masanya jangan ditunggu-tunggu lagi. Mulakan latihan. Mereka yang lewat biarkan menunggu atau disuruh pembantu kita mengajar mereka akan apa yang tertinggal. Hal yang demikian akan memaksa mereka untuk menyesuaikan diri dengan kehendak peraturan yang kita bentuk secara tidak langsung.

Setelah selesai pelajaran kaedah maka pada hari keempat latihan eloklah dilakukan ujian. Kalau boleh, jemputlah Jurulatih luar untuk melakukan tumbukan. Tapi ingat. Jangan sesekali menjatuhkan semangat penuntut kita. Kuatkan semangat pada penuntut yang lemah. Teguhkan semangat pada mereka yang hebat. Sesungguhnya kita mampu berbuat demikian.

Pengajaran Kaedah perlulah sekata atau sama pemberatannya. Walau bagaimanapun, berdasarkan fahaman yang saya terima, Kaedah A tersangat banyak gunanya. Saya juga difahamkan bahawa Kaedah tersebut hanya terdapat dalam SC. Silat-silat Melayu yang lain mungkin ada gerak tersebut tetapi dalam keadaan yang terbalik. Mengambil kaedah itu juga agak menyukarkan. Sangat menggerunkan apabila menggunakan kaedah ini jika penumbuk yang datang tersangat laju dan berat berbanding dengan penggunaan Kaedah B. Alah bisa tegal biasa. Sesuatu yang susah ada kelebihannya. Susah dapat tapi banyak gunanya.

Setiap Kaedah ada sifat dan penekanan penggunaannya. Bahan tulisan yang diterbitkan bolehlah dijadikan panduan. Walau bagaimanapun latihan Kaedah juga boleh mendatangkan kesan atau kemudaratan pada penuntut yang tidak cerdas dan cergas. Lengan dan bahagian atas siku memungkinkan bengkak atau menjadi biru. Amat mudah kita mengatakan atau menegaskan kepada penuntut, ’kena atau sentuh baru ambil kaedah.’ atau ’jangan pukul atau hentak tangan si penumbuk bagi kaedah B, C dan D.’ Berdasarkan pengalaman, kata-kata tersebut tersangat susah untuk diterima oleh logik mereka. Maka timbullah persoalan dalam kalangan mereka. Nak bertanya takut, tak tanya mengarut. Pemikiran itu juga telah berada dalam benak saya ketika belajar dulu. Oleh itu, berhati-hatilah menggunakan perkataan dalam ayat penerang tersebut. Jangan cepat menimbulkan persoalan dalam kalangan penuntut. Sampaikan saja pelajaran tanpa banyak sangat membebel pada permulaan pelajaran. Sambung.