Sunday, July 18, 2010

PENDAPAT SEPAK MINANG

Kebetulan ketika ini tidak banyak masa yang terluang untuk menulis. Banyak mesyuarat dan lawatan untuk mengadakan hubungan dengan institusi di luar. Di akhir-akhir perkhidmatan saya, dapat dirasakan betapa sibuknya melayan karenah tuntutan perkhidmatan. Kini saya mencari tempat yang membolehkan saya tenang untuk membuat ’soft landing’ sebelum mengundur diri daripada perkhidmatan kerajaan. Walau bagaimanapun masih banyak aspek yang masih boleh ditulis berkaitan perjuangan SC.

Ketika berada di luar negara saya cuba mencari tajuk Sepak Minang melalui carian google. Rupa-rupanya tulisan saya boleh diterjemah dalam pelbagai bahasa. Hebatnya kemajuan teknogi IT sekarang ini.

Salah satu laman yang saya terbaca ialah mereka yang mempersoalkan tulisan saya. Tapi ada juga pembelanya. Seronok juga membacanya. Dalam tulisan tersebut menyatakan betapa penulis Sepak Minang telah terbongkar dengan tersiarnya gambar-gambar dalam sidang tersebut. Hebat juga. Seolah-olah saya menulis sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan cuba merahsiakan diri saya sendiri. Agaknya pada anggapan mereka, saya bertopengkan Sepak Minang untuk melahirkan idea saya selama ini. Jelaslah betapa pembaca tersebut baru tahu siapa penulis Sepak Minang apabila ada gambar. Pada hal ramai yang tahu siapa Sepak Minang. Apabila ada dalam kalangan ahli SC yang saya kurang kenali bertanyakan sesuatu tentang SC, lantas saya nyatakan supaya membaca blog Sepak Minang tulisan saya sendiri. Tentunya hal yang demikian tersebar luas tentang penulisnya. Tak pulak saya rahsia-rahsia. Tapi rupa-rupanya masih ada yang umpama katak di bawah plastik.

Masa terluang ke kelas amat terhad sekali. Lebih-lebih lagi apabila timbul pepecahan, saya biarkan murid saya memilih haluan. Maka masing-masing memilih haluan tapi masih memerlukan panduan. Maka dibukalah mereka ruang dalam blogspot bagi membolehkan saya ’bercakap’ dengan mereka. Bersua muka jarang sekali. Cuma saya mengambil kesempatan agar idea saya juga dikongsi oleh mereka yang tak pernah bergaul rapat dengan saya. Itu sebabnya tulisan saya banyak sangat kiasnya. Hanya jauhari mengenal maknikam. Kias tersebut hanya diketahui oleh mereka yang pernah berdamping atau mendengar cakap saya. Tapi ada yang cekap dan boleh menangkap apa yang tersurat dan apa yang tersirat.

Ada kalanya kalangan ahli SC yang jauh telah mengemukakan persoalan melalui telefon atau SMS. Saya pun tak tahu mereka berada di sebelah mana. Maka saya layan persoalan mereka secara menulis melalui blog yang ’murid’ saya buka untuk memenuhi tuntutan mereka. Ada yang menyuruh saya siarkan gambar-gambar lama. Maka saya siarkan untuk tatapan mereka. Buat koleksi kata mereka. Diri saya tak pernah berahsia. Sepak Minang adalah gelaran yang mereka beri. Saya ikut saja. Perkara penting ialah menyiarkan pandangan saya berdasarkan pengalaman saya semasa ada hayat. Pastinya juga tulisan saya berdasarkan tafsiran selama berada dalam SC. Saya bertanggungjawab atas apa yang saya tulis. Apa yang ditulis maka itulah pandangan saya dari dulu hingga sekarang.

Ada juga tulisan saya sebagai umpan. Untuk mengail sang ikan yang pernah saya taburkan makan. Sama ada mereka faham erti perjuangan yang selama ini saya sampaikan buat mereka berjuang dan perjuangankan. Ramai yang faham tapi ramai juga terpaksa tunduk pada tuntutan dan kepentingan.

Apabila menyatakan pendirian maka lihatlah bentuk pendiriannya. Kita tidak boleh lari daripada kecenderongan untuk menyokong satu-satu pihak. Cuba kita lihat betapa manusia ahli SC yang diasuh oleh Ustaz Hanafi boleh berbeza pendapat akhirnya. Kenapa perkara tersebut boleh terjadi. Pastinya banyak faktor yang berkaitan. Berkaitan dengan kepentingan. Kepentingan inilah yang membezakan pendapat. Namun begitu semuanya mengakui kehebatan dan ketulusan Ustaz Hanafi. Tak kiralah sebelah mana mereka berada. Tapi pastinya mereka berada dalam landasan perjuangan silat yang bernamakan Silat Cekak hasil usaha Ustaz Hanafi. Walau bagaimanapun pada mereka yang menolak kehebatan Ustaz Hanafi terpaksa meninggalkan dunia persilatan SC dan terus mencaci ajaran Ustaz Hanafi. Dibuktikan fahaman dan persilatan SC tidak hebat seperti mana kehebatan yang kita hebahi.

Ketika kita berpecah pada permulaan zaman kegemilangan SC, saya tidak segera menyatakan pendirian. Hal yang demikian kerana tidak ada apa yang saya inginkan melainkan mengembangkan SC sebagai pusaka kebanggaan. Akhirnya apabila saya diseret untuk menyatakan pendirian maka saya nyatakan pendirian. Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Perasaan tersebut pastinya bergantung pada kepentingan hakiki.

Begitu juga apabila berlaku pepecahan kali yang kedua. Saya juga tidak segera menyatakan pendirian. Banyak kata kias yang saya keluarkan untuk para ahli terutamanya ’anak murid’ saya membuat pendirian. Istilah anak murid; saya maksudkan pada mereka yang pernah menerima ilmu fizikal dan kefahaman SC melalui saya. Hubungan saya dengan ’anak murid’ saya amat berjauhan kerana tuntutan pekerjaan. Maka melalui tulisanlah saya ’bercakap’ dengan mereka untuk dibuat pertimbangan.

Pepecahan orang-orang lama yang diasuh oleh Ustaz Hanafi adalah begitu trajis sekali. Sepatutnya merekalah yang menjadi tali ikatan untuk dipegang oleh ahli-ahli baru dalam perjuangan SC. Pandangan mereka boleh dijadikan panduan dan kesinambungan perjuangan seterusnya. Malangnya atas sifat persatuan, keadaan tersebut tidak mungkin terjadi. Kita berpecah kerana berlainan persatuan; pada hal sama silatnya.

Rugi sangat jika pandangan orang lama yang sezaman dengan Ustaz diketepikan begitu sahaja. Akan tetapi sifat kita buruk sekali. Kalau sudah benci maka akan diketepi langsung oleh puak-puak yang berlainan pegangan persatuan. Malah cuba dinyahkan nama-nama mereka dalam pemikiran yang ada. Saya tidak menafikan betapa pejuang-pejuang dalam SC yang pelbagai nama telah memberi sumbangan besar dalam perjuangan SC yang ditinggalkan oleh Ustaz Hanafi. Namun jasa mereka hanya dikenang oleh sebahagian ahli silat berdasarkan persatuan yang ada. Satu fakta yang tidak ternafi betapa Pak Ak begitu besar jasanya dalam perjuangan SC tinggalan Ustaz Hanafi. Tapi mereka yang berlainan persatuan akan tetap membenci. Dari sudut yang lain nama-nama En Nasir, En Am dan sebagainya, malah guru persatuan mereka sendiri telah berperanan besar untuk mengembangkan SC dari sejak zaman Ustaz Hanafi. Kefahaman mereka dalam SC hebat sekali. Saya tetap menghormati dan mengkagumi perjuangan yang telah mereka beri dalam perkembangan SC. Sama ada mereka membenci atau menghormati diri saya maka itu adalah hak mereka. Tapi malangnya ilmu mereka tidak memberi makna pada ahli-ahli SC yang berlainan persatuan tapi masih mendakwa pusaka Hanafi.

Begitu juga dengan En. Mat yang dibayangkan-bayangkan sebagai pewaris oleh Ustaz Hanafi. Ketika zaman baik, semuanya berjalan dengan baik. Kata-kata diluahkan menggambarkan beliau sebagai pewaris sah dan sebagai guru sejati. Dalam sebarang majlis yang dianjurkan ketika itu, gahnya guru tidak terketepi. Namun, kerana sesuatu yang beraja di hati, akhirnya beliau diketepi. Kerana satu kes yang dianggap berat maka semua yang baik tentang beliau sebelum ini diburukkan kembali. Macamlah diri orang bercakap itu langsung tidak melakukan kesalahan. Tak ada yang baik langsung pada kaca mata ahli SC yang membenci semata-mata kerana tuntutan persatuan.

Maka sekarang ini bercakaplah mereka pada ahli persatuan yang mereka bawa. Yang pastinya mereka yang berlainan persatuan akan menolak kata-kata mereka. Dan yang pastinya juga jasa mereka dalam perjuangan SC hanya akan diakui oleh ahli-ahli persatuan yang mereka ceburi. Alangkah ruginya SC yang pernah mempunyai orang-orang hebat sebelumnya tapi terketepi kerana berlainan persatuan yang diceburi. Itulah perjuangan SC yang hakiki yang mereka fahami. Ajaran songsang yang tak tentu jalan. Dalam zaman Ustaz ada juga ahli yang tersingkir daripada persatuan. Pak Wan sebagai contoh. Tapi hubungan beliau dengan Ustaz adalah baik sekali. Boleh sama-sama mengerjakan haji. Tapi berapa ramai antara kita yang mewarisi salah satu fahaman Ustaz Hanafi tersebut. Yang pastinya kerana keegoan diri maka prinsip SC telah terketepi.

Kita sambung lagi dilain waktu yang terluang.