Monday, July 19, 2010

...sambungan PENDAPAT SEPAK MINANG

Oleh itu tulisan saya ditujukan pada mereka yang inginkan penjelasan tentang pergolakan yang berlaku. Kalau pendapat saya yang ditanya maka nak diulas apa lagi. Baca sahaja dan buatlah pertimbangan. Dalam sejarah pendapat, tidak ada yang bersatu pendapat. Ajaran Nabi yang memimpin kesejahteraan manusia pun disanggah oleh sanak saudaranya sendiri. Belum lagi orang lain yang berbeza pendapat. Cakaplah apa saja. Keluarkanlah apa pendapat sekalipun. Sampai ayam berkokokpun pendirian yang ada tetap tidak berubah pada mereka yang begitu ego dan perasan hebat dalam dunia persilatan SC. Seolah-olah merekalah pejuang hakiki walaupun penglibatan tidak seberapa.

Oleh itu mungkin difikirkan blog yang dibuka untuk tulisan saya tidak perlu ulasan ahli pembaca. Kalau tidak, tentu pembentuk blog memberi ruang supaya ahli boleh mengulas. Tapi risau juga ulasan yang membolehkan penyimpangan. Lain yang dimaksud maka lain pula yang dierti. Kalau setakat fahaman untuk diri maka kuranglah penyebarannya. Tak faham boleh tanya bagi mendapatkan penjelasan. Hanya buat habuan diri sendiri. Tapi kalau tertulis maka luas sebarannya. Kalau tidak tepat ulasannya seperti yang dimaksudkan penulis maka lagilah bercelaru fikiran pembaca.

Saya banyak bercakap dan memberi penerangan tentang SC berdasarkan pengalaman dan pengalamian saya sendiri. Ada dalam kalangan ahli yang memikirkan elok juga apa yang saya cakap maka ditulis dalam bentuk bahan bukti. Mereka yakinkan saya betapa bahan tulisan tersebut boleh dijadikan rujukan buat generasi yang akan datang. Kehendak mereka disertakan gambarnya sekali. Maka setakat keperluan yang saya fikirkan mustahak sahaja yang hajat mereka saya penuhi.

Ada yang mengkaji tulisan saya selama ini. Bukannya mengkaji sebagai bahan rujukan tapi mengkaji untuk mendapatkan kelemahan. Maka dikatakan wujud perbezaan antara tulisan terdahulu dengan sekarang. Entahlah. Mereka lebih mengetahui tentang diri saya sendiri. Saya rasa, saya adalah saya, umpama pepatah, ”Ada ulu maka ada parang. Ada dulu maka ada sekarang.” Pendapat dan pegangan saya tidak berubah.

Kita diasuh dengan adab yang begitu tinggi. Mana boleh kita melepaskan penumbuk ketika murid baru belajar dengan kita. Mula-mula letak, kemudian dihayunkan penumbuk sahaja tanpa menggunakan kaki. Akhirnya barulah dilepaskan penumbuk serentak dengan kaki. Jaga badan melalui kaedah yang ada. Jika gagal maka jangan salahkan tumbuk yang tiba. Salahkan diri kerana tidak mencukupi persiapan diri. Aplikasikan adab tersebut dalam kehidupan sehari-hari. Itulah salah satu sifat pengamal SC adanya.

Ketika kita kelompongan guru dalam konteks persatuan maka saya cabar MMT dan MMK supaya mengisytiharkan guru hakiki. Teringin sangat mengetahui perinsip diri sama ada berpandukan persilatan atau berpandukan persatuan. Akhirnya tertewas juga empunya diri. Dunia persilatan dinodai dek fahaman persatuan yang tinggi.

Saya ada fahaman dan prinsip diri. Fahaman saya diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Mana mungkin saya menodai diri sendiri. Tidak ada apa yang dicari. Memegang jawatan, jauh sekali. Tidak ada untung yang dicari. Untuk berniaga pun tiada kemampuan diri. Prinsip pemilihan guru berdasarkan kehendak persatuan maka saya sanggahi. Cuma tertanya-tanya diri. Bagaimana orang yang dikira hebat pegangan dan perjuangan dalam SC di zaman Ustaz boleh berubah diri.

Ada yang bergelar rapat dengan Ustaz. Mengepit Quran sebagai sandaran. Dipinta sumpah sebagai sandaran. Untuk meneguhkan pegangan. Bila telah bersumpahkan kebenaran, rasa puas hanya seketika. Cukup masa beralih rupa. Sumpah ditolak dengan pelbagai angkara. Quran digunakan untuk kepuasan sementara. Dijadikan alat akhirnya. Haprak apa namanya.

Ada yang menolak kepimpinan En Mat kerana dikatakan memiliki kepimpinan yang curang di mata hati mereka. Apabila ditanya pengganti En. Mat maka lantas dikatakan hak En Mat membuat pilihan. Tapi tiba-tiba beralih pandangan. Bila diisytihar guru baru tanpa ditunjuk oleh En Mat lantas diterima sebulat hati. Prinsip apa namanya kalau diasaskan nada perjuangan yang ditinggalkan Ustaz Hanafi. Dikatakan untuk kepentingan umum. Kepentingan diri. Malas nak ungkap lagi hal-hal lain yang boleh dipersoalkan.

Rupa-rupanya baru jelas. Persatuan lebih banyak memberi keuntungan berbanding dengan persilatan. Kalau kita bersilat, jika tidak sesuai dengan sifat dan sikap gurunya maka kita boleh meninggalkan silat pada bila-bila masa. Tapi berbeza sekali dengan persatuan. Keuntungannya lebih banyak pada mereka yang ada kepentingan diri. Telah diulas sebelum ini. Apapun, kerana persatuan banyak yang tergadai budi pekerti.

Saya ada pegangan diri. Saya desak isytihar guru. Banyak yang menguji isi hati. Begitu rupanya perjuangan mereka selama ini. Mustahil saya boleh ikut. Pengalaman dan ilmu saya banyak yang diperoleh daripada Ustaz Hanafi. Tafsiran saya tentunya berbeza dengan tafsiran murid Ustaz yang lain. Pengamalan kami tidak sama. Layanan yang kami terima juga tidak sama. Mana boleh sama pendapat jika kepentingan juga adalah amat berbeza. Ada yang persoalkan tentang kehadiran saya dalam satu-satu mesyuarat. Kenapa dalam satu mesyuarat MMT saya tidak hadir. Maka jawab saya, itulah hak saya. Saya punya pasal sebab ada pelbagai alasan yang boleh diberi. Rekod-rekod yang lalu pun boleh dilihat jumlah hari mesyuarat yang saya hadir. Ikut mood dan keperluan saya sendiri. Kalau hendakkan kepakaran dan kebolehan saya maka ikut juga kehendak saya. Itulah salah satu tafisran saya tentang perangai Ustaz Hanafi. Saya sebatikan dalam diri saya sendiri.

Maka itulah juga salah satu sebab saya digugurkan daripada Lembaga Pelajaran dan Tata Tertib SC di zaman En Mat. Ada orang yang dengki. Hal-hal lain akan saya cerita di kemudian hari. Apabila sampai seru. Tapi saya apa peduli. Penglibatan saya dalam SC adalah berdasarkan janji saya dengan Ustaz Hanafi. Saya katakan kepada Ustaz, selagi bergerak dua tangan dan dua kaki maka selagi itu saya akan terus bersama dalam perjuangan SC. Perjuangan yang mana. Pastinya perjuangan yang sah, bertali arus dengan kehendak Ustaz Hanafi, ikut tafsiran saya sendiri. Tafsiran adalah berdasarkan asuhan pelajaran yang saya terima sepanjang bersama dengan Ustaz. Maka bergeraklah saya, sesuai dengan pantun, ” bukan bermusuh menjadi tujuan tapi semata-mata mendaulatkan seni kebangsaan.” Namun musuh tak dicari tapi musuh menjelma di depan mata. Teringat hasil bacaan saya tentang kisah Sheikh Abdul Kadir Jailani. Ketika bersama-sama dengan para makmum bersembahyang jemaah, maka dilihatnya ramai manusia yang berkepalakan anjing, kuda dan babi.

Ada yang bertanyakan saya atas sebab pendirian saya selama ini. Susah nak jelaskan kepada mereka. Tapi saya katakan kepada mereka betapa eratnya hubungan saya dengan Ustaz ketika saya masih menuntut di Kuala Lumpur. Masa saya banyak dicurahkan bersama Ustaz hingga tidak menyenangkan keluarga saya sendiri. Setelah saya berhijrah, Ustaz masih bertemu dengan saya lagi.

Tentunya pengamalan saya berbeza dengan mereka yang lain. Kalaupun saya pernah dimarahi Ustaz tapi rasanya tidak pernah secara berdepan. Bila berjumpa tatap macam biasa. Hinggalah akhirnya Ustaz bersama saya sebelum malam pemergiannya. Pastinya banyak perkara yang dipesan. Ada yang boleh dicerita dan ada yang khusus sebagai hak saya. Tak boleh cerita.

Oleh itu saya yakin apa yang saya lakukan atau fikirkan adalah sama seperti yang dikehendaki oleh Ustaz Hanafi. Kata-kata orang lain umpama anjing menyalak bukit. Tak ada jawatan yang saya ingin cari. Tak ada keuntungan buat diri dalam SC. Melainkan janji yang masih saya pegang antara saya dengan Ustaz Hanafi. Orang lain apa peduli. Dan apa saya peduli. Tambah-tambah di hujung usia di atas bumi. Saya tidak mampu untuk menipu diri sendiri. Dan tidak mampu untuk menjaga hati orang lain. Dan tidak mampu menggadaikan prinsip dan kefahaman yang telah diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Tapi... kalau dikatakan kita masih mewarisi ajaran Hanafi maka jangan diubah-ubah segala ajaran dalam zamannya, baik pelajaran fizikal atau kefahaman yang ada.

Sekian.