Monday, July 30, 2007

KESAN WAJA DIRI

Ekoran pertandingan Waja Diri SC di UMM tempoh hari, telah tidak menyenangkan beberapa pihak sama ada puak persatuan atau puak wawasan. Pertandingan tersebut dianggap mengancam kewibawaan mereka kerana usaha tersebut merupakan satu asas yang mungkin membolehkan mantan guru menunjukkan belang harimaunya. Puak-puak tersebut tidak berpuas hati dan mencari bukti akan mereka yang terlibat. Pasti dalam kepala atas mereka tergambar usaha-usaha untuk membuat penyingkiran sebagai langkah pembersihan. Mereka yang menganjurkan pertandingan tersebut tidak pernah berikrar untuk berdiri di belakang anu mereka. Mereka yang telah berikrar sebelum ini telah dipastikan berpegang kuat pada anu mereka dan tidak mungkin terlepas lagi selagi berlaku proses regangan.

Kadang-kadang hati ini berfikir betapa sempitnya fikiran ”anak-anak” tersebut. Pertandingan Waja Diri masih lagi atas nama SC. Sekali imbas bukankah ini memberi pulangan yang baik pada pergerakan SC itu sendiri. Masyarakat luar bukannya tahu tentang ribut yang berlaku dalam persatuan kita. Yang mereka tahu ialah SC. Sebarang publisiti untuk menggambarkan kelicinan program yang dianjurkan oleh SC, masih dianggap sebagai ketrampilan SC itu sendiri. Mana mereka tahu tentang SC yang kini, sama ada di bawah kepimpinan Guru Silat atau Guru Persatuan atau Guru Wawasan. Yang mereka tahu hanyalah SC. Kalau mereka tertarik dengan SC maka mereka akan masuk SC. Nasiblah puak mana yang mereka pilih.

Ini bersesuaian dengan perjuangan kita dalam SC. Menyebarkan SC adalah merupakan satu perjuangan yang besar dan suci. Allahyarham Ustaz Hanafi telah mengasaskan perjuangan tersebut. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meluaskan perjuangan itu jika kita benar-benar memahami dan menghormati Allahyarham sebagai salah seorang Guru kita didunia ini. Guru Silat yang ada masih menganggap bahawa beliau berperanan sebagai penyambung perjuangan Ustaz. Guru Persatuan pun tetap menegaskan bahawa peranannya adalah meneruskan perjuangan SC yang telah dibawa oleh Ustaz. Malah Guru Wawasan pun tetap menegaskan bahawa tindak tanduknya dalam SC semata-mata untuk memelihara perjuangan Allahyarham dan meneruskan perjuangan tersebut walaupun kadangkala beliau menganggap bahawa hanya beliau seorang sahaja dalam SC yang memahami erti perjuangan tersebut. Malah Pak Ak sendiripun meneruskan perjuangan Ustaz dalam SC-nya. Semuanya ingin meneruskan kefahaman yang dibawa oleh Allahyarham Ustaz tapi dalam mazhab yang berlainan.

Masalahnya, apa yang kita mengerti tentang perjuangan dalam SC. Tafsiran mengenainya adalah pelbagai. Berkemampuankah kita untuk membela bangsa dan tanah air kalau diri sendiri dan keluarga pun tak terbela. Berkemampuankah kita untuk menentang kurafat dan tahyol kalau subuhpun melewati waktu. Dan banyak lagi persoalan ”berkemampuankah” yang boleh dipersoalkan. Tapi yang pastinya perjuangan untuk mengembangkan SC boleh dilakukan oleh semua ahli. Gunakanlah kemampuan ini untuk meneruskan perjuangan Allahyarham yang dikatakan sebagai ikutan. Tidak kiralah puak mana yang bergiat ke arah perjuangan tersebut. Pertandingan Waja Diri adalah merupakan salah satu usaha memgembangkan SC. Jangan dibantah atau dicaci atau dinodai program tersebut.

Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menurut kemahuan yang kita hajati. Mungkin mereka boleh melafazkan ikrar taat dan setia melalui mulut tapi tidak boleh dilihat di dalam hati. Dalam konteks murid dengan Guru, berilah kebebasan kepada mereka untuk membuat pilihan Guru. Mungkin daripada segi persatuan kita boleh memaksa ahli menurut kehendak Persatuan dan Guru Persatuan, tetapi dari segi roh persilatan itu sendiri, setiap individu itu tetap akan menurut kemahuan yang ada di hati sunabarinya. Janganlah hendaknya kerana nafsu gajah yang ada pada diri kita, kita lebih rela berpecah dan membelakangkan erti perjuangan SC itu sendiri. Rasionalkan fikiran yang Tuhan anugerahkan kepada kita. Tenangkan fikiran dan jangan menurut hawa nafsu yang jahat. Tumpukan usaha untuk mengembangkan SC di seluruh pelusuk tanah air. Itulah erti perjuangan SC sebenarnya dalam konteks kita sebagai ahli silat.

Ada ahli yang tertarik dengan konsep ”keputusan silat” dalam SC. Maka pada saya keputusan SC ialah ”Gaduh”. Gaduh akan menentukan keadaan sebenarnya kita bersilat. Dalam bahasa Inggeris bolehlah kita ertikan sebagai ”the moment of truth”. Mana kita tahu akan kehandalan kita bersilat kalau tidak diuji dengan dua tangan dan dua kaki. Pengambilan Sijil Rendah dan Sijil Menengah adalah merupakan satu usaha yang sangat baik. Selain daripada pengambilan sijil, Pertandingan Waja Diri yang telah dijalankan, adalah merupakan medan yang sesuai untuk menguji keputusan SC yang ada pada diri kita. Untuk bergaduh dalam konteks yang terbuka akan membawa banyak implikasi yang buruk pada diri kita. Oleh itu, pertandingan Waja Diri tersebut dapat dianggap sebagai medah ”pergaduhan” sebenar untuk menguji kemampuan dan kehandalan kita bersilat dalam SC. Sepatutnya usaha murni yang dilakukan oleh mereka yang menganjurkan program itu patut disokong kalau hati kita tidak dipengaruhi oleh niat dan prasangka yang buruk. Kalau niat dan prasangka mereka baik demi memperjuangkan SC, maka mereka akan turun sama memberi sokongan. Tambahan pula program tersebut adalah anjuran persatuan kita di universiti. Berilah sokongan kerana program tersebut akan dapat memberi sumbangan bagi memantapkan penguasaan silat di kalangan ahli; bukannya memantatkan mereka.

Sejarah telah membuktikan bahawa tidak ada satu negara yang kuatpun dalam dunia ini yang berkekalan hingga sepanjang hayat. Kekuatannya bergantung kepada ketua dan pemimpin yang ada. Tidak ada sesiapapun yang dapat menentukan kepimpinan yang bermutu untuk memimpin negara sepanjang masa. Kita boleh lihat betapa tumbangnya negara-negara besar tersebut kerana pemimpinnya. Tidak kiralah sama ada negara tersebut negara Islam atau sebaliknya. Hanya masa yang akan menentukan setakat mana kekuatan dan kestabilan negara itu. Dalam dunia Islam, selepas Saidina Ali, wujud Kerajaan Umaiyah, Abassiah dan pelbagai lagi. Kerajaan Monggol yang hebatpun akhirnya tumbang. Maknanya, kita tidak boleh menentukan sejarah itu berlaku menurut kehendak kita sendiri. Biarlah masa dan keadaan yang menentukannya. Tuhan lebih mengetahui tentang apa yang dilakukannya.

Sangat pelik dan menarik apabila ada puak-puak yang cuba menentukan perjalanan sejarah SC. Mereka menganggap bahawa SC adalah warisan untuk diri mereka dan cuba memelihara SC menurut kehendak mereka supaya terus kekal dan hidup subur sepanjang zaman. Mereka percaya bahawa apa yang telah belaku dalam SC adalah merupakan hasil kerja keras yang telah dibina oleh Allahyarham. Mereka berkehendakkan supaya keadaan ini berterusan pada masa sekarang dan di masa- masa akan datang. Itu sebabnya semua Guru yang ada dalam SC mesti menurut acuan Allahyarham Ustaz berdasarkan tafsiran mereka. Kalau gagal, guru-guru tersebut akan dipancung tanpa dikenang jasanya. Sejarah SC mungkin boleh ditentukan oleh puak-puak tersebut. Akan tetapi sampai bila. Selepas Guru Wawasan, pimpinan yang ada, kalaupun hidup pasti akan berbongkok tiga. Mampukah mereka mengekalkan suasana di masa itu seperti mana yang mereka kehendaki di masa kini. Lebih baiklah diserahkan kepada ahli untuk menentukan segala-galanya. Buatlah mesyuarat agung. Jangan tentukan sejarah. Biar sejarah yang menentukan segala-galanya.

Monday, July 23, 2007

PILIHAN GURUKU

”Kalau sudah ada tiga jenis Guru dalam SC, mana satu saya nak ikut.”

Itulah antara soalan yang mungkin bermain di kepala kita berhubung dengan Guru yang ada. Mungkin sukar kita membuat pilihan dan mungkin juga tidak sukar bagi menentukan pilihan Guru kita. Semua ini bergantung pada prinsip dan pegangan kita, selama berada dalam SC.

Saya tidak berminat untuk mengaitkan dakwaan kes pencabulan ke atas kedudukan En Mat sebagai Guru. Kesalahan yang didakwa ke atasnya yang mungkin dilakukan oleh En Mat adalah bersifat peribadi. Tujuannya ke rumah tersebut juga adalah bersifat peribadi dan hanya beliau sahaja yang boleh menjelaskannya. Akan tetapi hukuman yang dijatuhkan ke atasnya oleh kedua-dua JK Penyiasatan dan Kehakiman, adalah meragukan. Tambahan pula lantikan Jawatankuasa Penyiasatan dan Jawatankuasa Kehakiman juga masih boleh dipersoalkan integritinya. Pihak mahkamah yang sebenar pun tidak mudah menjatuhkan hukuman. Itu sebab kes rayuan mengadakan mesyuarat agung atau kes-kes yang dibawa ke mahkamah oleh ahli-ahli kita, tidak mudah untuk mendapatkan keputusan. Berbeza dengan JK Kehakiman kita yang amat mudah menjatuhkan hukuman.

Kalau mahkamah sekalipun menjatuhi hukuman salah ke atas En Mat, mandat yang ada padanya masih kekal. Terpulang kepada kita untuk terus mengikutnya atau meninggalkannya. Dan terpulanglah kepada En Mat untuk menyerahkan mandat kepada orang lain berdasarkan prinsip moral sebagai peneraju dan pemimpin SC seandainya mahkamah mendapatinya bersalah. Tetapi hukuman mahkamah masih belum ada.

”Nak jatuh macam mana, bicarapun belum.”

Berdasarkan keadaan ini, tidaklah perlu pihak-pihak tertentu terutamanya kumpulan Guru Wawasan bermati-matian membuktikan bahwa aspek mandat tidak diperlukan dalam pemilihan Guru. Dunia persilatan Melayu amat mengiktiraf dan menitikberatkan soal mandat. Amat malang sekali apabila soal mandat dijadikan bahan lawak dalam SC.

Kalau soal budaya silat Melayu yang meliputi adat dan adab masih menjadi keutamaan, En Mat adalah pilihan utama. Beliau masih berada dalam arus kesinambungan SC. Pelantikannya di peringkat awal adalah dipersetujui oleh semua pihak, termasuk puak penentang yang ada ketika ini. Usaha-usaha membuktikan kewibawaannya sebagai Guru, telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh hingga keluar CD sebagai rujukan utama ahli-ahli yang ada dan untuk ahli-ahli di masa-masa hadapan. Orang yang menentang En Mat telah berpihak kepada Pak Ak dengan pelbagai alasan termasuk kata-kata, ” Pak Ak masih ada; masakan menolak Guru yang masih hidup.”

Sepatutnya, setelah SC sekian lama bergerak, ahli-ahli yang tidak sesuai dengan kepimpinan Guru, patut menarik diri. Keadaan ini amat sesuai dengan sesebuah organisasi. Dalam sistem demokrasi, mana ada kesetiaan seratus peratus ahli terhadap ketuanya. Persatuan kita bukannya persatuan kuku besi. Ahli bebas untuk bertindak. Kalau persatuan biasa, ahli boleh mencabar ketuanya dalam mesyuarat agung. Mungkin dalam mesyuarat tersebut, presiden atau ketuanya akan tersingkir. Mungkin juga ahli tersebut akan tersingkir. Begitulah juga dengan Persatuan kita. Kalau Presiden dikatakan mencemar organisasinya, kenapa tidak kita membuat mesyuarat agung untuk menentukan kedudukan Presiden kita. Tanya pada ahli-ahli sepenuhnya. Tetapi ini tidak dilakukan dalam persatuan kita.

Walau bagaimanapun kalaulah En Mat ditolak sebagai Presiden, kewibawaannya sebagai Guru Silat tidak boleh dilucutkan. Ikatan antara murid dengan Guru tidak boleh disamakan antara ahli dengan Persatuan. Kalau murid memikirkan bahawa Guru patut dijauhi maka biarlah murid menjauhkan diri daripada Gurunya tanpa ada sebarang paksaan. Kalaulah ada di kalangan muridnya yang memikirkan sudah boleh memimpin sebuah organisasi silat, maka eloklah murid tersebut membuka silat yang baru. Bukannya Guru yang ada kena buka silat yang baru kerana keadaan itu adalah di luar norma institusi persilatan kita. Walaupun SC dianggap sebagai peneraju mutlak, dalam konteks ini berpada-padalah mutlaknya.

Cuma prinsip yang dibicarakan di atas tidak berjalan dengan lancarnya dalam persatuan kita. Hal ini demikian kerana wujudnya perasaan yang tersangat benci pada En Mat. Tindak tanduknya selama ini yang dikatakan melencong oleh puak-puak penentang dalam SC mewujudkan manusia-manusia pendendam yang mencari ruang untuk membenamkan En Mat hingga ke lubang cacing. Kerana itulah prinsip-prinsip berorganisasi diketepikan terutamanya oleh mereka yang amat berminat dengan Persatuan SC.

Pada mereka yang terikat dengan persatuan dan penglibatannya adalah berdasarkan konteks ahli dan persatuan maka eloklah pilih Guru Persatuan. Tidak ada tekanan dan cabaran dalam masa kita melibatkan diri dengan Persatuan SC. Kesetiaan boleh ditunjukkan melalui ikrar yang kita bacakan dan melalui tutur kata yang kita luahkan walaupun berkemungkinan bukannya datang daripada hati sunabari kita yang ikhlas dan suci.

Penglibatan kita dalam SC adalah sebagai salah satu usaha untuk meredakan tekanan dalam hidup. Kalau SC mendatangkan tekanan pada kita, apa perlunya kita melibatkan diri dalam kancah pertikaian tersebut. Kalau SC dikuasai oleh persatuan maka alangkah mudahnya jika kita berpegang pada prinsip berpesatuan. Berdasarkan prinsip organisasi, tindakan kita tersebut adalah benar dan amat bersesuaian. Sukar untuk sesiapa menganggu gugat kedudukan kita dalam persatuan. Mereka yang berfahaman demikian akan terus kekal dalam persatuan. Inilah jalan yang paling selamat dan mudah untuk diikuti.

Walau bagaimanapun golongan ini semestinya akan terkeluar daripada memperoleh pengiktirafan Guru silat yang ada (Mantan Guru). Mereka akan terus diiktiraf oleh persatuan dan Guru Persatuan sebagai ahli persatuan tapi tidak diiktiraf sebagai ahli silat oleh Guru silat yang ada. Keadaan ini samalah dengan mereka yang memilih En Mat sebagai Guru Silat. Mereka ini akan hanya diiktiraf oleh Guru Silat tetapi ditolak oleh Persatuan dan semestinya ditolak oleh Guru Persatuan.

Bagaimana pula dengan Guru Wawasan?. Peranan guru ini agak kurang sikit kerana kuasanya terhad tapi sering mendatangkan masalah sama ada pada ahli atau cawangan. Orang yang kekurangan kuasa pasti akan menunjukkan bahawa beliau amat berkuasa. Oleh itu, guru ini akan sentiasa campur tangan dalam urusan di pusat latihan atau cawangan. Perkara penting baginya ialah beliau inginkan pengiktirafan. Maka sibuklah beliau ke hulu dan ke hilir untuk mendapatkan maklumat tentang SC.

Guru Wawasan akan bertindak seolah-olah menunjukkan bahawa beliau amat mengambil berat tentang masa depan SC. Masakan beliau tidak berbuat demikian. SC adalah masa depannya. Kalau SC lingkup atau terlepas pada mantan Guru SC, alangkah ruginya perjuangan beliau selama ini. Oleh itu, beliau akan terus memberi tekanan kepada mana-mana pusat latihan atau cawangan yang diragui kesetiaannya kepada Persatuan. Beliau juga akan bertindak sebagai pengadil yang akan terus mengadili individu dalam SC. Jikalau individu tersebut merupakan pesaingnya, maka tindakan memburuk-burukkan individu itu akan terus berkekalan hingga individu itu tersingkir daripada persatuan.

Pergerakan Guru ini sukar dikawal oleh Guru Persatuan. Guru Persatuanpun berasa insaf betapa lantikannya adalah atas ehsan tokoh-tokoh persatuan, termasuk Guru Wawasan. Dengan itu terpaksalah Guru Persatuan melihat sahaja tingkah laku dan pergerakan bakal penggantinya sambil menggigit jari.

Begitulah keadaannya aspek kepinpinan yang ada dalam SC. Seorang pemimpin itu semestinya seorang ketua. Akan tetapi seorang ketua itu tidak semestinya seorang pemimpin. Buatlah pilihan yang tepat dalam hati kita tentang bentuk kepemimpin bagi diri kita. SC hanya sebahagian daripada hidup kita. Matlamat kerjaya diri sendiri lebih bermakna dan lebih bererti bagi menjamin masa depan kita sekeluarga. Apa yang kita dapat daripada SC. Kalau kita merapatkan diri dengan pemimpin SC maka banyaklah yang kita pelajari. Ilmu kita semakin bertambah dan diri kita akan terus berkembang sebagai insan yang sempurna. Kalau kita memlih ketua yang tidak mengerti aspek kepimpinan dalam SC, jadilah kita umpama kerbau yang dicucuk hidungnya. Tindak tandak dan pemikiran kita akan terkongkong. Kita akan terus berada dalam ”ketakutan” dan akan terus melafazkan ikrar bagi memenuhi kehendak ketua. Hilanglah erti kemerdekaan dalam SC seperti yang dilaung-laungkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi satu ketika duluuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu.

Tuesday, July 17, 2007

CELARU

Sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang menyebabkan ahli-ahli SC mungkin berasa celaru ketika ini. Walaupun En Jo dilantik sebagai Guru, penerimaannya sebagai Guru masih ditolak oleh beberapa cawangan. Mereka merasakan kaedah pelantikannya tidak berdasarkan susur galur yang berdasarkan mandat yang harus ada pada Guru. Lantikan Guru yang baru adalah atas kehendak persatuan. Maka jadilah guru sebagai Guru Persatuan. En Mat adalah Guru Silat; sebab selagi dia tidak mati maka statusnya sebagai Guru Silat dalam konteks budaya silat Melayu tetap berterusan berdasarkan mandat yang ada. Kalau mandat telah diserah pada orang lain maka terputuslah gelarannya sebagai Guru Silat. Dan sebaliknya, En Jo ialah guru persatuan. Selagi persatuan menghendakinya menjadi guru, beliau tetap guru. Apabila persatuan mengambil keputusan menamatkan perkhidmatannya, maka terputuslah tanggungjawabnya sebagai Guru Persatuan. Nampaknya kita ada tiga jenis guru dalam SC. Pertamanya ialah Guru Silat kerana mandat masih ada dan tetap berterusan. Keduanya ialah Guru Persatuan kerana lantikannya atas kehendak persatuan dan ketiganya ialah Guru Wawasan iaitu bakal guru yang sedang rancak menyusun strategi.

Oleh sebab guru yang ada, terikat dengan kehendak persatuan maka ahli-ahli yang rapat dengannya akan mempergunakan peluang yang ada untuk mengambil kesempatan atas sifat berpesatuan. Kalau dulunya perniagaan dilakukan secara sembunyi-sembunyi tapi kini boleh dilakukan dengan menubuhkan syarikat perniagaan yang bersandarkan persatuan. Jual tilam atau bantal boleh diiklankan secara terus kepada ahli. Ilmu KK boleh dikursuskan melalui syarikat tersebut. Malah kelas silat untuk kemahiran atau sebagainya boleh dipakej melalui syarikat yang ditubuhkan. Itulah konsep persatuan namanya. Sekarang kita tidak nampak perjalanannya. Tetapi percayalah pada satu masa nanti perkara ini akan menjadi satu lumrah dan kebiasaan. Ramai nanti yang menggigit jari. Budaya silat akan lenyap dari masa ke masa. Apatah lagi generasi berikut sememangnya kurang bersandar pada nilai-nilai budaya Melayu yang telah diamal sekian lama. Daripada budaya, kita akan akan mengenali silat kita. Dalam konteks sekarang, tak payah nak kenal-kenal. Kalau suka, belajar. Kalau tak suka boleh belah. Guru Wawasan pasti suka dengan konsep ini.

Kelas yang terlibat dengan majlis ijazah yang dibuat oleh En Mat telah memerlukan ijazah yang berikutnya. Pemimpin kelas berasa serba salah sama ada memanggil En Mat atau En Jo. Masalahnya ialah cengkaman daripada Persatuan pusat yang mengusai semua cawangan dan kelas latihan. Pada saya adalah tidak beradab jika kelas yang telah dimulakan oleh En Mat tetapi disambung ijazahnya oleh En Jo. Kalau dalam konteks persatuan, tidak salah Guru Persatuan membuat ijazah kerana itu adalah kehendak persatuan. Akan tetapi dalam konteks adat dan adab, perkara tersebut akan menjadi lucu. Samalah keadaan agaknya dengan konsep ibu tumpang. Orang lain yang penat walaupun sedap, tetapi orang lain yang mendapatkan hasilnya.

Kalau En Jo dipanggil kerana hendak ijazah sebab terikat dengan konsep ikrar, maka lebih baik beliau memulakan sesuatu yang baru. Kelas-kelas baru yang baru bermula biar En Jo ijazahkan. Mulakan lembaran baru untuk guru yang baru. Kalau En Jo tersingkir dan diganti oleh Guru Wawasan maka gunakan kaedah yang sama. Kelas baru untuk Guru yang baru. Kita kekalkan sikit budaya kita dalam dunia persilatan Melayu. Sebabnya ialah kita juga orang Melayu. Jangan buang langsung kesemua budaya kita. Nanti hilang identiti kita sebagai orang Melayu yang dikatakan hanya memiliki keretapi Tanah Melayu dan Utusan Melayu.

Ahli-ahli juga bercelaru dengan kes pencabulan oleh mantan Guru yang telah diadukan kepada pihak polis. Kes Atuntuya? telah bermula dan kita pasti akan tahu keputusannya. Bagaimana pula dengan kes En Mat. Sepatutnya penguasa kita mungkin boleh memberi penjelasan. ”Maklumlah kan ke En Mat bekas guru silat mereka”. Di sini pelbagai persoalan boleh timbul di kalangan ahli. Kalau kes dibicarakan, kitapun suka. Banyak hal yang boleh kita dengar. Ramai individu yang akan ’ditelanjangkan’ daripada segi zahir dan dalamannya. Saya rasa puak-puak penguasa pun akan bersetuju akan keadaan tersebut. Tambahan pula kalau ada di kalangan isteri-isteri mereka yang terlibat dengan apa yang dikatakan ’konspirasi’ menjatuhkan En Mat. Bolehlah kita bertukar-tukar pandangan zahir dan batin.

Bagaimana pula jika kes tersebut digugurkan dakwaannya. Apa akan jadi dengan En Mat. Mungkinkah beliau akan mendakwa puak-puak yang telah menjatuhkan nama baiknya selama ini. Bagaimana pula kedudukannya sebagai Guru silat Cekak Hanafi. Adakah akan terus ternafi atau berbagai persoalan lagi. Akan tetapi memandangkan sikap yang sedia ada, saya rasa kalau apapun keputusan polis atau mahkamah, En Mat tidak akan berpeluang kembali lagi selagi puak-puak yang menyingkirkan beliau masih berkuasa.

Kita juga tertanya-tanya dan bercelaru tentang mesyuarat agung yang sepatutnya telah diadakan. Banyak alasan yang diberi. Antara alasan tersebut ialah pengaduan mahkamah tentang mesyuarat agung kita yang dianggap tidak sah pada tahun sudah masih belum ada keputusan. Mahkamah tidak mudah membuat keputusan. Banyak kali keputusan yang sepatutnya dikeluarkan tapi terpaksa ditangguh dengan pelbagai alasan. Dalam hal ini, agaknya, kalau ahli-ahli badan kehakiman Silat Cekak yang menjatuhkan hukuman pada En Mat menguasai mahkamah, pasti keputusan dengan segera dapat diputuskan. Mereka membuat keputusan dengan begitu cepat. Tak payah panggil bela diri. Tak payah dengar kenyataan di pihak yang lain seperti yang dilakukan oleh mahkamah yang sebenarnya. Bukankah SC itu cepat dan mudah. Jadi, semua keputusan yang dikeluarkan adalah cepat dan diambil mudah. Akibatnya kita terimalah padah.

Ramai juga yang bercelaru tentang perjawatan ahli-ahli MMK atas tiket kepercayaan mantan Guru. Bekas gurulah atas sifatnya sebagai presden yang melantik mereka untuk menjawat jawatan-jawatan tertentu dalam majlis tersebut. Kalau lantikan atas kehendak presiden, apabila presiden tersingkir maka sepatutnya dari segi moral, mereka akan meletakkan jawatan sebagai tanda hormat. Perkara sebaliknya berlaku. Mereka pulak bersusah payah bagi mempastikan Presiden yang melantik mereka tersingkir dengan aibnya. Ahli-ahli bercelaru. Masyarakatpun bercelaru. Para teroris organisasi pun bercelaru kerana situasi yang berlaku terkeluar daripada prisip organisasi. Kalau dah semua celaru dalam SC maka elok juga dipanggil Seni Silat Cekek Celaru Ustaz Hanafi.

Monday, July 16, 2007

Budaya Cekak.

Silat Cekak amatlah unik. Pastinya semua ahli tahu berkenaan hal tersebut. Terutama sekali kepada mereka yang berminat untuk memperdalami kefahaman di sebalik setiap falsafah sama ada pada pergerakan silatnya, pantang larangnya, pantunnya, mahupun ilmu KKnya. Yang menariknya ialah kadangkala falsafah tersebut dijerap ke dalam diri lalu diamalkan sebagai satu budaya di kalangan sesama ahli.


“Cecah dulu baru ambil” misalnya. Pada satu sudut, ia sememangnya satu falsafah yang menarik untuk diaplikasikan. Hanya tumbukan yang confirm sampai, baru kita ambil dengan menggunakan kaedah. Dengan kata lainnya, jika ingin diaplikasikan dalam kehidupan, hanya berita yang benar-benar sahih, barulah kita terima setelah disiasat dan dibuat penilaian terhadap segala buktinya.


Sayangnya, tidak ramai ahli yang berfahaman sedemikian. Ramai yang mengaplikasikan falsafah tersebut pada sudut “buat itu kilija last-last minit lo”. Atau dengan kata lainnya, “sudah terhantuk baru terngadah”, “nasi sudah menjadi bubur”, atau “cempedak sudah menjadi nangka”. Bila sulah kantoi, balu mau kecoh, balu mau jadi kes lo. Bila sudah jadi isu, barulah nak buat tour satu Malaysia. Barulah rajin turun ke cawangan-cawangan nun di ceruk sana yang dahulunya tiada masa untuk diziarahi (dibaca: “menyampah nak pergi”).


Sepatutnya apabila berlaku situasi yang sedemikian, ahli-ahli silat cekak hendaklah mengamalkan falsafah “makan gerak dalam gerak” yang lebih fokus kepada pencegahan. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Malah lebih baik daripada pembedahan membuang sel-sel barah yang sudahpun lama bersarang di dalam persatuan. Pada ketika musuh bergerak itulah kita mengambil tindakan dan mencegahnya daripada meneruskan serangan dan sebarang tindak balas susulan. Barulah keamanan dan kestabilan dapat dipelihara.


Oh, sorry.. Itu falsafah manyak susah mau kasi student faham lo. Sebab satu lagi budaya silat cekak yang diamalkan oleh jurulatih-jurulatih ialah “Itu kena tanya Guru Utama” ataupun “Tunggu lama sikit. Soalan tu akan dijawab pada peringkat lain”. Manakan tidak.. Mentaliti majoriti ahli beranggapan bahawa sesuatu falsafah itu kononnya terlalu tinggi untuk diajar kepada pacal yang hina lagi tidak mengetahui, walaupun pacal tersebut mempunyai minat dan semangat menuntut ilmu yang tinggi.


Kononnya, kita tak mahu mendahului sesuatu ilmu itu tanpa kebenaran Guru Utama. Haiyoo.. Bukan ke guru sudahpun mendahului murid ke? Jadi mengapa perlu takut didahului pula? Itu macam kalu, tak payah jadi guru la dey.. Atau paling tidak pun, mendahului orang lain yang lebih senior walaupun yang dikatakan senior itu adalah orang tua dan orang bangka dalam persatuan. Haiyoo.. Itu macam kalu mau kasi ikut budaya adab berguru dalam kehidupan seharian, tarak payah hantar anak pigi itu tuisyen la dey. Itu cikgu sekolah tarak ajar lagi, mana boleh mendahului itu sekolah.


Memanglah pada sudut yang lain, seseorang itu hanya layak mengetahui apabila dia tiba masa yang sesuai atau di peringkat yang sesuai setelah semua perkara-perkara asasnya sudah kukuh. Tetapi kita kena sedar, bukan semua manusia kita boleh pukul sama rata. Ada manusia yang berkebolehan dan cepat dapat. Ada juga yang kurang keupayaan berfikirnya. Adakah kita mahu membiarkan yang berpotensi itu lenyap minatnya hanya kerana perlu mengikut rentak yang kurang berkeupayaan tersebut?


Maka timbullah budaya seterusnya, yang menyokong kebenaran situasi tadi; “Merah ke putih?” ataupun “Sijil Rendah ke Sijil Menengah?”. Itulah satu soalan biasa yang sudah menjadi budaya, yang akan ditanya kepada mana-mana pendatang baru yang mula ingin melibatkan diri di cawangan-cawangan asing. Tetapi ada juga baiknya. Budaya tersebut merupakan satu berita yang baik untuk semua ahli PSSCH pada masa kini. Untuk soalan merah atau putih itu, kini kita boleh menjawabnya dengan jawapan “kuning”. Sikalang siapa-siapa saja boleh lapat itu bengkung kuning lo. Mungkin kerana sifat malas untuk melihat dan menilai perwatakan dan kebolehan sebenar seseorang, maka soalan direct ditanya terus. Mungkin juga kerana terlalu memandang rendah terhadap keupayaan dan kebolehan orang tersebut, maka bertanya pun seolah-olah memandang sebelah mata sahaja.


Disebabkan budaya inilah terdapat sebilangan ahli yang terbawa-bawa budaya tersebut ke dalam kehidupan seharian hingga terabainya kefahaman terhadap falsafah yang sebenarnya serta adab dan tatasusila. Apabila berlaku isu yang berlaku baru-baru ini, majoriti terus mengamalkan budaya yang sama, cumanya dengan soalan yang berbeza; “Md Radzi ke Joe Marwi?” atau paling tidak pun “You ikut siapa?”, ataupun “You geng mana?”.


Haiyoo.. Itu budak mau tulun itu kelas belatih silat lo, bukan mau masuk itu geng kongsi gelap dan pigi itu perang melebut kuasa, ma hai.. Ini macam aaa, sulah bukan lagi persatuan silat lo.. Ini selupa kongsi gelap ma.. Haiya.. Apa mau bikin lo?

Saturday, July 7, 2007

WASPADA DIRI

Akibat kekecohan yang telah berlaku sebanyak dua kali, ramai yang berasa sangat kecewa dan tidak mahu melibatkan diri untuk mengalami pepecahan kali ketiga. Oleh itu mereka mengehadkan penglibatan dalam SC supaya perasaan kecewa tidak berulang kembali. Manusia yang terlibat dengan pepecahan-pepecahan tersebut masih ada lagi menerajui persatuan. Minat untuk berpecah pasti akan berterusan dan pasti tidak dapat dielakkan, umpama dua campur dua pasti empat.

En Jo yang saya kenali adalah merupakan seorang yang mempunyai ketrampilan dalam bidang persilatan, mengatasi aspek yang lain. Teknik melakukan buah-buah SC berdasarkan sukatan pelajaran kita sememangnya dikuasai beliau dengan begitu terperinci. Itu sebabnya setiap penerangan yang diberikan agak panjang lebar hingga kadang kala lebih banyak menerang daripada praktikal. Kalau kelas latihan sejam,agaknya empat puluh lima minit pastinya untuk habuan penerangan. Walau bagaimanapun sesuatu yang kurang sesuai dengan saya ialah sifat ”kedekut” beliau untuk berkongsi pengetahuan tambahan dengan orang lain. Malah dengan anak muridnya sendiri, beliau begitu cemburu untuk memberi tambahan pelajaran dengan begitu mudah. Dalam pertandingan silat antara SC, cawangan yang dipimpinnya kurang menempah kejayaan. Kebolehan anak muridnya tetap ada, cuma persembahan mereka menampakkan kekurangan pengalaman bersilat. Sepatutnya dengan kehandalan yang ada pada dirinya dalam dunia persilatan SC, pasti anak muridnya memperoleh kejayaan yang hebat. Seperti ada sesuatu yang tak kena.

Mereka yang mempunyai pengalaman dengan En Jo tentu mengerti akan apa yang saya maksudkan. Perbincangan tentang teknik dan taktik dalam kaedah serangan dan menunggu serangan kerap kali hambar kerana beliau lebih suka berdiam diri. Amanah yang diperoleh daripada Ustaz tidak mudah disebarkannya tanpa orang itu betul-betul menunjukkan minat dan kesetiaan yang mendalam pada SC. Mungkin ini juga satu kelebihan yang ada pada dirinya.

Oleh sebab beliau suka mendiamkan diri maka orang lain akan lebih banyak bercakap. Semasa pelarasan buah yang dilakukan oleh Guru Wawasan(GW), beliau lebih rela menjadi peserta dan mengikut apa sahaja yang diputuskan oleh guru berkenaan tanpa sebarang bantahan atau mengeluarkan pendapat. Semakin rancaklah GW menunjukkan riak hingga banyak buah yang diubah dan diselaraskan semula tanpa pengetahuan Pak Ak yang merupakan Guru yang ada ketika itu. Kerap kali orang tua tersebut melahirkan kekesalan atas tindakan GW dalam kelas latihan yang dilawatinya. Teringat akan kata-katanya, ”Kalau ada masa, saya nak suruh dia ambil buah. Saya nak bagi dia cukup-cukup.”

Apa yang nak dibaginya, sampai kini saya belum pasti. Tapi yang jelasnya GW yang bagi dulu. Bagi pecah.

Berdasarkan keadaan ini, pelarasan buah akan terus berlaku. Malah lebih rancak lagi. Hal ini demikian, pastinya sebagai usaha untuk menonjolkan dirinya. Kita akan dapat jangkakan bahawa teknik dan taktik buah-buah dalam SC akan terus berubah sebagai memenuhi cinta rasa ketua yang ada. Itu semua tidak menghairankan. Ramai yang sudah buta kayu untuk membezakan senjata dan sarungnya.

Menyentuh tentang sarung, ”Kalau Guru Utama dan orang-orangnya telah cabut, rasanya yang tinggal hanya sarung sahaja lagi. Kalau tinggal sarung, maka senanglah untuk diisi dengan senjata baru kan!.”

” Buah baru la!”

Buatlah apa yang patut. Jangan karet sudahlah.

Satu lagi sifat yang tidak boleh dinafikan wujud dalam persatuan kita ialah sifat memandang rendah terhadap ahli-ahli yang ada di cawangan-cawangan oleh pihak pusat. Keadaan ini telah wujud sekian lama sejak zaman Ustaz sendiri. Hinggakan di satu ketika, Ustaz sendiri menganjurkan agar ahli-ahli yang berada di peringkat pusat, mempelawa ahli-ahli cawangan ke rumah mereka dalam masa kunjungan ahli cawangan tersebut ke pusat sebagai usaha menunjukkan sifat berbudi bahasa.

Mereka, (orang pusat) selalu memandang rendah kebolehan ahli di cawangan. Dalam pertandingan waja diri, sejak kebelakangan ini baharulah ahli cawangan dapat jadi pengadil. Itupun setelah didesak bertalu-talu. Kalau mereka datang ke cawangan, pihak cawangan perlu melayan mereka dengan meriah dan hebat atas alasan orang pusat melawat daerah. Itu sebabnya juga kita dapat memahami akan sebabnya mereka boleh menggertak atau mengancam atau memberi amaran pada mereka yang berada di cawangan. Keadaan ini menyebabkan ahli-ahli cawangan berasa serba salah dan berada dalam keadaan yang tidak selesa hingga akhirnya ada yang terpaksa berikrar bagi menunjukkan kesetiaan.

Semua keadaan yang dibincangkan di atas, semacam satu tradisi yang wujud dalam SC. Hebat setinggi manapun ahli di cawangan, tetap dipandang rendah oleh pihak pusat. Tidak hairanlah jika badan siasatan dan badan kehakiman yang wujud tempoh hari, tidak langsung diwakili oleh ahli setiap cawangan atau sebahagian besar daripada cawangan. Seolah-olah ahli cawangan tidak berkemampuan untuk duduk dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan tersebut. Mereka menganggap bahawa hanya mereka yang layak untuk menyiasat dan menghukum. Yang peliknya, keputusan yang dihasilkan, cuba dipaksa agar semua cawangan menerimanya. Cawangan yang tidak menerima, akan dicop engkar dan mereka akan terus berusaha untuk membubarkan cawangan tersebut. Inilah tradisi pemikiran yang sudah lama berakar umbi dan telah sekian lama wujud dalam persatuan kita. Ahli-ahli di cawangan tidak membawa apa-apa erti kepada mereka melainkan sebagai alat yang mesti mematuhi atas semua keputusan yang dibuat. ”Mungkin ke peringkat memenuhi hawa nafsu mereka”. Hal yang melibatkan Guru pun, mereka tetap mengenepikan cawangan. Pada hal, pihak cawangan juga memberi sumbangan ahli yang besar pada persatuan.

Walau bagaimanapun, ada di kalangan ahli-ahli di cawangan yang sedar akan perkara tersebut. Mereka tetap mempertahankan kewibawaan mereka sebagai ahli berwibawa yang berada dalam cawangan. Ada yang menentang keputusan pusat bukan kerana benar atau salah, akan tetapi kerana prisip keadilan dalam siasatan dan keputusan. Perkara ini tentunya tidak menyenangkan pihak pusat. Keluarlah istilah-istilah yang menggambarkan perasaan marah dan ego di hati mereka terhadap kepimpinan di peringkat cawangan. Pemimpin-pemimpin cawangan yang tidak tahan dengan ’seksaan’ yang sedemikian telah terpaksa berikrar bagi menunjukkan kesetiaan. Namun, para pemimpin cawangan yang bersemangat Bilal masih meneruskan tentangan terhadap sifat dan sikap ego yang ada pada diri pihak pusat.

Dua keadaan yang saya bincangkan di atas adalah menggambarkan suasana yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku. Hal ini terjadi kerana para pelakonnya tetap sama dan masih berada dalam persatuan. Itu sebabnya saya yakin benar bahawa pepecahan dalam SC akan berlaku lagi. Sebelum mengalami pepecahan yang berikutnya maka ramailah ahli-ahli SC yang mengambil keputusan mendiamkan diri. Sekali terkena kerana kita alpa, dua kali terkena kita akan berwaspada. Kalau mengalaminya buat kali ketiga, bukankah bangang namanya. Oleh itu merekapun mengelakkan diri dari terkena buat kali ketiga.

Friday, July 6, 2007

KEHEBATAN GURU

Kita memperkecilkan perkataan hebat. Mantan Guru kita yang hebat dibuktikan tidak hebat. Malah dianggap salah satu faktor kejatuhan Guru adalah kerana berasa dirinya hebat. Orang-orang yang menyokong mantan Guru diperleceh kerana menganggap mantan Guru sebagai guru hebat. Akhirnya kita takut untuk menggunakan istilah hebat. Kalau diri kita hebat pun, istilah tersebut akan diketepikan. Hiduplah kita dalam suasana rendah diri. Orang yang bersifat rendah diri cuma akan memiliki pemikiran yang kecil dan akan berterusan hidup dalam ketakutan, tiada keyakinan dan sentiasa melafazkan ikrar untuk menunjukkan kesetiaan. Puncanya ialah mereka sendiri tidak yakin akan kehebatan yang ada pada dirinya.

Kalau diri kita berada dalam satu kedudukan yang tertinggi, bermakna hebatlah diri kita. Cuma kita jangan bersifat ujub, sebaliknya bersyukur atas kehebatan yang diberi oleh Tuhan kepada kita. Apabila En Jo dilantik sebagai Guru Utama ketika ini, maka beliau adalah seorang yang hebat. Atas kehebatannyalah maka beliau dilantik sebagai Guru Utama. Aspek apa kehebatannya, bergantung pada tafsiran orang yang melantik. Kalau orang buta memegang ekor gajah disifatkan gajah, bermakna itulah gajah pada pengertiannya. Tidak salah jika kita mengatakan En Mat adalah seorang Guru yang hebat. Kerana kehebatannyalah menjadikan beliau seorang Guru yang diiktiraf dan berjaya mendapatkan pengesahan pelantikannya daripada Pak Ak.

Kita yang melihat kehebatan yang ada pada orang lain tidak perlu berasa taksub. Akan tetapi kita berasa kagum atas kebolehan yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka, tidak pada kita. Atas kekaguman ini, kita menghormati mereka walaupun akhirnya orang akan mentafsir sebagai taksub. Perkara pokoknya ialah mereka hebat dalam bidang persilatan. Jangan pulak kita luaskan skop tafsiran atas kehebatan mereka tersebut. Misalnya, mungkin En Jo dilantik sebagai Guru atas kehebatannya bersilat. Dalam hal ini kita tidak perlu menghubungkan kehebatannya dengan aspek-aspek lain atas tiketnya sebagai Guru. Janganlah nanti kita juga menganggap bahawa beliau juga hebat dalam ilmu hakikat, ilmu tauhid atau ilmu ekonomi, ilmu astrologi, ilmu astro atau sebarang ilmu lain. Fokaskan kehebatannya dengan silat. Jangan ada ”kutu” atau orang-orang kanannya nanti yang berusaha menambahkan kehebatannya bersilat dengan ilmu bisik semak atau bisikan hati atau kipas nandung atau kipas ngandung atau bapa gayung atau sebagainya. Kalau kita sudah tahu bahawa beliau seorang yang pendiam, kurang berpengetahuan tentang hal-hal lain selain daripada silat, jangan kita berharap beliau akan hebat memberikan ucapan atau syarahan dan dapat membincangkan semua tajuk yang ada di sekeliling kita. Tak mungkin En Jo akan dapat membincangkan isu-isu yang bersifat global, masalah pencemaran alam, konsep pemikiran kelas dunia atau isu-isu yang berkaitan persoalan agama dan sebagainya. Eloklah kita fokaskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan silat. Misalnya ijazah tanpa perlu lagi ayam, penggunaan kaset dalam majlis ijazah, penggunaan sabun menggantikan limau atau sebagainya. Dengan ini barulah Guru boleh selamat dan tidak stress dalam usahanya menjalankan tugas untuk ijazah.

Saya rasa salah satu kesilapan besar yang banyak orang lakukan pada En Mat ialah menganggap kehebatannya sebagai serba boleh. Pada hal, En Mat tidak pernah mengghaibkan diri sebelum beliau dilantik sebagai Guru bagi mengesahkan kehebatannya dalam semua segi. Beliau terlantik sebagai Guru atas kehebatannya. Tindakannya memberanikan diri berjumpa Pak Ak, isi percakapan Ustaz atas kelebihan yang ada pada anaknya yang bernama En Mat, pengalamannya mengajar SC di Johor, kedudukannya sebagai anak Ustaz, semuanya ini membuktikan kehebatannya dalam bidang silat. Kita kagum atas kehebatan tersebut kerana sifat-sifat tersebut adalah merupakan sesuatu yang luar dari kebiasaan diri kita. Mungkin kita juga pandai bersilat, tapi tidak sama dengan keadaannya hingga membolehkan beliau dilantik sebagai Guru. Asasnya, beliau memang hebat dengan silatnya.

Malangnya ramai antara kita yang meluaskan skop kehebatannya. Salah satunya ialah menganggap beliau hebat dalam ilmu seks. Maka ramailah manusia yang bergelar muridnya, berpusu-pusu mengambil ilmu KK (Kote keras) Tidak kisah akan bayarannya. Budak-budak terpelajarpun ambil ilmu tersebut walaupun bayarannya agak tinggi. Ketika itu fikiran diletak dicelah-celah kangkang, lutut, bontot dan sebagainya. Apa bukti kehebatannya. Pernahkah kita tengok panjang pendeknya, pernahkah kita tengok mainannya, pernahkah kita tengok jangka masa mainannya atau berbagai-bagai persoalan pernahkah. Itu sebab puak-puak ini sangat marah pada En Mat bila mereka berasakan En Mat menyalahgunakan ilmu yang ada padanya dengan tuduhan mencabul. Sepatutnya mereka sangat marah pada En Mat kerana sistem latihan SC yang tidak ada pembaharuan, marah kerana buah-buah silat yang tidak selaras di seluruh negara, marah kerana ijazah yang lewat atau susah ditempah atau sebarang jenis marah yang berkaitan dengan silat. Ini semua tidak berlaku kerana mereka memandang bahawa En Mat bukannya hebat dalam silat tapi lebih hebat dalam ilmu KK-nya. Cuba buat kajian, berapa ramai penentang En Mat yang memiliki ilmu KK. Saya rasa ramai kot!

Selain daripada bidang tersebut, ramai juga yang menganggap kehebatan Guru dalam bidang sumber manusia. Bila hendak kahwin, akan ditunjukkan gambar pada Guru bagi mendapatkan pengesahan atas kerasian. Pada mereka yang menganggap Guru juga hebat dalam ilmu luar biasa, akan meminta-minta air penawar, ilmu pendinding rumah, ilmu pelaris gerai dan bermacam-macam lagi. Itulah masalahnya apabila kita meluaskan skop kehebatan Guru. Dalam aspek silat, terbukti hebatnya tapi dalam aspek lain mereka terpengaruh dengan perasaan yang membawa kepada perasan. Orang kanan pula tidak berupaya untuk memberi nasihat sebab mereka juga ikut serta. Lebih-lebih lagi ilmu KK. Linda boleh jawab semua persoalan tersebut.

Kita jangan lupa walaupun mereka manusia yang luar biasa berbanding dengan kita daripada segi silat, sifat-sifat sebagai manusia tetap sama dan ada pada mereka. Jangan heran pulak jika En Jo akan terlibat dengan berniaga. Jualan tilam akan menjadi fokas utama. Hal ini demikian kerana orang kanan yang berada di sekelilingnya juga adalah mereka yang terlibat dalam dunia perniagaan. Orang kuat persatuan pun ada yang akan berpencen. ”Kerja apa lagi yang sesuai dengan mereka kalau tidak berniaga.” Kalau kita memahaminya, kita tidak akan berasa marah kerana itu adalah sifat manusia. Ikatan ahli dengan beliau adalah berdasarkan silat. Soal-soal lain tidak perlu diambil kira dan jangan dijadikan persoalan.

Kesimpulannya, kita jangan perendahkan erti hebat. Kita pun hebat dalam lapangan yang kita memang hebat. Seperti kata Tok Guru, setiap manusia pasti ada ”lebih satu dan kurang satu”. Maknanya, di samping kehebatan tetap ada kelemahan. Tidak mungkin kita menguasai semua kehebatan. Kalau kita faham, bukankah senang untuk Guru mentadbir persatuan. Tak adalah timbul stress pada Guru untuk memenuhi jangkaan kehebatan yang dijangkakan di kalangan muridnya terhadap diri Guru itu sendiri. Guru akan berlagak seperti sediakala kerana murid memfokaskannya sebagai manusia yang hebat dalam bidang persilatan sahaja. Fikiran murid pun tenang dan tidak akan berada dalam suasana ketakutan. Sumbangan mereka ikhlas tanpa perlu berikrar ikrar ikrar lagi.

Sunday, July 1, 2007

KENALI BAKAL GURU WAWASAN 2020

Masih ada lagi percakapan dan penulisan yang memperkatakan keburukan mantan Guru Utama. Seolah-olah, kes yang telah diadukan kepada pihak polis dan telah dijatuhi hukuman oleh Jawatankuasa Kehakiman masih lagi diragui. Sepatutnya kalau Guru telah dihukum oleh MMK dan menanti hukuman undang-undang negara pula, kenapa mesti mengungkit atau membincangkan kes mantan Guru Utama lagi. Di sinilah kita dapat lihat betapa perasaan dendam begitu membara di kalangan mereka. Mereka ingin lihat En Mat tersungkur terus dan tidak akan bangkit semula. Itulah hati busuk mereka yang selama ini disangkakan baik oleh En Mat. Tidak hairanlah perkataan fitnah disamakan dengan sifat mereka kerana asyik memfitnah orang yang telah tiada. Alangkah baiknya jika mereka meneruskan kerja-kerja pemulihan persatuan yang telah dimantatkan oleh mereka sendiri daripada terus memfitnah mantan Guru yang telah diketepikan.

Berdasarkan sikap dan tingkah laku merekalah tidak hairan ramai ahli yang menuduh adanya konfirasi untuk menjatuhkan Guru. Untuk menjatuhkan seseorang mesti disertai dengan perasaan benci yang amat sangat ke atas seseorang itu. Oleh kerana wujudnya perasaan benci yang amat sangat itulah maka seseorang itu akan tergamak untuk membuat perancangan bagi menjatuhkan orang yang dibenci. Mengikut prinsip konsfirasi, jika seseorang itu telah jatuh tapi masih berpengaruh maka orang itu mesti ”dibunuh” dengan sepenuhnya. Salah satu caranya dengan cara memburuk-burukkan orang itu. Untuk itu konsep mengungkit dan memfitnah amat perlu walaupun dirasakan perbuatan itu patut daripada segi logiknya.

Ramai yang bertanyakan siapa yang berkuasa dalam Persatuan sekarang. Pada dasarnya semestinya Guru Utama, En Jo. Adakah ini berlaku. Kita semua boleh menjawabnya. Mereka yang melantik Jo pastinya ada kuasa. Enam serangkaiIah katakan. Tapi nampaknya bakal Guru yang boleh dikenali sebagai Guru Wawasan 2020 juga sedang menyusun strategi untuk mempastikan pengaruhnya meluas di seluruh gelanggang dan kelas dalam negara. Mungkin dalam tulisan ini kita boleh mengenalinya dengan melihat tindak tanduk beliau daripada segi tindakan dan pemikiran untuk mempastikan jawatan Guru Utama miliknya.

Guru Wawasan 2020 (beliau) akan terus membuktikan bahawa dirinya adalah sebaik-baik insan dalam SC. Istilah orang lama pada dirinya yang banyak berkorban akan sentiasa diutarakan. Sumbangannya dikatakan hebat. Malah seluruh jentera SC adalah hasil daripada perancangannya. Untuk membuktikan kehebatannya maka terpaksalah beliau membandingkan dirinya dengan orang lain. Sudah semestinya mantan Guru Utama akan jadi sasaran. Beliau akan terus menghentam En Mat selagi mahu bagi membuktikan betapa Guru yang lalu tidak mendatangkan faedah atau manfaat pada murid dan persatuan. Maknanya, beliau akan memainkan peranan untuk memberikan faedah sebenarnya kepada persatuan dan SC itu sendiri. Guru yang lalu dikatakan gagal untuk menunaikan amanat Ustaz. Guru-guru tersebut tidak memahami erti perjuangan sebenarnya berbanding dengan fahaman yang ada pada dirinya. Beliau tidak akan membandingkan dirinya dengan Guru yang ada pada masa yang terdekat ini. Tapi percayalah, setelah satu dua tahun berlalu, kelemahan Guru yang ada pasti terserlah. Ketika inilah pula, beliau akan memainkan peranan untuk menunjukkan bahawa dirinya lebih baik dan lebih berpengetahuan daripada Guru yang ada.

Fakta betapa pentingnya ketiadaan mandat atas pelantikan Guru akan diteguhkan di kalangan pengikutnya. Pelantikan Guru tidak memerlukan mandat. Perkara utamanya ialah kebolehan. Aspek ini amat penting sebab daripada segi salasilah, beliau tidak termasuk dalam salasilah yang boleh mewarisi SC. Itu sebabnya, beliau amat benci dengan istilah mandat. Sesiapa yang memegang teguh pada mandat, akan beliau serang secara habis-habisan.

Untuk meneruskan agendanya, beliau akan bertindak seolah-olah mengambil berat akan setiap cawangan atau kelas latihan yang ada. Pastinya ketua Cawangan akan sentiasa dihubungi selalu. Beliau akan turun padang untuk merapatkan diri dengan para pemimpin cawangan. Ketokohannya akan ditonjolkan dengan gaya dan isi percakapan yang perlahan dan tenang seolah-olah beliau adalah seorang yang bersifat matang. Selagi beliau tidak dapat ikrar daripada cawangan, maka cawangan tersebut akan berada di bawah pengawasan curiganya.

Bakal Guru akan melatih diri supaya sentiasa diiring oleh para ”body guard” kalau pergi ke mana-mana. Ini adalah syarat untuk menjadi Guru. ”Body guard” cakap Melayunya ialah orang suruhan. Dalam bahasa Sanskrit dipanggil baruah. Biasanya mereka ini bersifat garang dan kurang senyum. Bentuk fizikal pasti hebat. Lagi gemuk, lagi baik walaupun macam seekor buntal. Berjalanlah mereka ke hulu dan ke hilir mengiringi bakal guru. Dada metreka akan membuka walaupun ada sikit-sikit buah dada. Harapan mereka hanya satu. Apabila bakal guru bergelar Guru, habuan besar pasti diperoleh.

Dalam perbincangan atau mesyuarat, bakal Guru akan cuba sedaya upaya untuk menonjolkan diri. Perhatian dalam sesi mesyuarat atau perbincangan akan ditarik supaya mendengar idea yang beliau akan kemukakan. Beliau akan banyak bercakap dan sering mengketepikan hak orang lain untuk bercakap. Selain daripada itu, beliau akan sentiasa berusaha mempastikan Ilmu SC berada di bawah penguasaannya. Kelas-kelas pelarasan akan dianjurkannya dari masa ke masa. Teknik-teknik baru mempertahankan diri akan diketengahkan. Maka jadilah pengikutnya jenis menggunakan ilmu SC untuk mempertahankan diri dan bukannya untuk menjaga diri.

Pihak Cawangan atau kelas-kelas latihan bolehlah sensitif dengan perkara yang dibincangkan di atas. Rebutlah peluang ketika ini, Kalau rapat dengan En Jo, umurnya sudah melewati 60an. Tak dan kot. Rapat dengan geng DKK, elakkanlah. Mereka bukan ada pendirian dan umpama lalang ditiup angin. Dengan dua orang lagi yang bakal bergelar Pak..... tak payah rapat. Tenaga mereka sudah kurang dan tenaga batinpun semakin slow. Kalau nak meneruskan perjuangan dalam SC dalam jangka masa yang lama, berpautlah dengan Guru Wawasan. Banyak ilmu yang beliau akan ada. Setelah berpaut, jangan lupa ikrar ya!