Monday, February 5, 2007

HANYA KENANGAN

Kes yang melanda persatuan silat kita telah bawa banyak makna dan peringatan pada semua pihak. Sekurang-kurangnya kita sedar bahawa kuasa dalam organisasi silat tidak lagi bergantung pada pihak atasan persatuan ; maksudnya Guru sahaja. Orang bawahpun boleh berkuasa. Jadi sekarang hubungan bukan sehala tapi dua hala. Kalau dulu kita terima apa saja daripada Guru sebagai pemimpin tertinggi tapi sekarang murid boleh mempersoalkan. Kalau dahulu, persoalan hanya timbul dalam hati murid. Mereka ditakut-takutkan dengan perkataan bala atau tulah. Kalau ada perasaan curiga pada Guru, mereka akan ditimpa bala. Mereka dipupuk supaya mengakui bahawa Guru mempunyai kuasa yang luar biasa. Sikap buruk terhadap Guru bererti kecundang. Oleh itu persoalan hanya berlalu begitu sahaja. Tidak berani untuk diluahkan. Jadilah mereka seperti burung belatok yang hanya panda mengangguk.

Tapi kini senario bertukar sepenuhnya. Murid boleh menyuarakan pendapat dan bangkangan. Guru sudah tidak boleh berselindung dalam perkataan berkat atau daulat atau menguji hati murid dan sebagainya. Kalau dulu, boss always right. Now no more. Dulu, Guru datang lambat, dikaitkan kesesakan lalulintas. Dulu Guru tidur awal kerana mendapatkan ilham. Dulu Guru pinjam duit untuk melihat kesetiaan murid. Dulu Guru meraba perempuan kerana menguji nafsu murid dan banyak lagi dulu ma. Semua perbuatan Guru betul. Kalau ada murid yang persoalkan maka sama ada dia diboikot atau ditendang daripada persatuan persilatan. Tapi kini akibat kes nodaan dalam persatuan kita, sudah nampak perubahan. Murid telah berani persoalkan perbuatan Guru. Murid telah berani menyatakan bahawa Guru bukannya maksum. Nafsunya sama seperti manusia biasa, ada peluang semuanya beres. Guru juga tidak lagi dianggap menguji kesetiaan murid tapi murid telah berani menyatakan bahawa Guru juga berupaya mengambil kesempatan atas kesetiaan murid. Jadi baru nampak adanya hubungan dua hala yang menunjukkan kedua-dua pihak mempunyai kepentingan dan kakuatan yang sama. Keadaan ini bersesuaian dengan konsep, Guru memerlukan murid dan murid memerlukan Guru. Sama-sama ada kuasa. Kalau murid melarikan diri maka akan tinggal Guru terkonting-konting. Itu kalau Guru lelaki. Kalau Guru perempuan, kalau murid lari maka akan tinggal dia terbuai-buai. Nampak jelas pada kita orang atas dan orang bawah sama penting. Semua ini menunjukkan sifat di luar norma orang silat sebab itulah amalan kebanyakan silat terhadap Gurunya. Tapi SC lain daripada kebiasaan silat yang ada. Tidak hairanlah sikap ini boleh timbul. Kalau dulu orang atas saja penting dan dipentingkan, sekarang tiada lagi. Atas bawah sama penting. Ini baru sesuai dengan hukum alam. Kalau atas dan bawah sama-sama dipentingkan, baharulah hebat dan wujud kenikmatan. Yang atas boleh pergi ke bawah dan yang bawah boleh pergi ke atas, baharulah hubungan lebih puas. Guru boleh turun padang dan murid boleh persoal dan beri pendapat pada Guru. Dengan cara ini baharulah persatuan akan menjadi lebih hebat. Masing-masing berkuasa dan saling memerlukan. Saya percaya hubungan sedemikian akan berlanjutan dalam dunia persilatan SC untuk jangka masa seterusnya. Sekurang-kurangnya semasa generasi Guru yang ada. Tidak kira siapa yang menjadi Guru. Guru sekarang telah digantung hingga 3 tahun. Selepas tiga tahun siapakah Guru SC. Sama-sama kita tunggu. Tapi saya rasa peranan dan tuntutannya akan tetap sama.

Berdasarkan perkembangan ini, saya rasa perwatakan ahli MMT yang bertindak sebagai punesihat persatuan, ada kaitannya dengan perwatakan yang sepatutnya bagi Guru kita yang akan datang sama ada En Mat atau orang yang bakal dilantik oleh MMK. Guru itu mesti mempunyai salah satu daripada perwatakan berikut. Pertamanya latar undang-undang dan keduanya perwatakan membawa al-Quran. Maknanya Guru kita di masa akan datang mesti ada pengetahuan undang-undang. Lebih mendalam lebih baik. Pengetahuan ini penting bagi menghadapi murid-murid yang akan membuat tuduhan atau mencabar Guru dalam sebarang keadaan. Kalau Guru diheret ke mahkamah, Guru boleh bersedia atau Guru sendiri yang mengheret murid ke mahkamah. Murid sekarang dah tak takut dengan perkataan berkat atau hilang ilmu dek kerana melawan Guru. Murid-murid ini hanya boleh diajar melalui undang-undang. Jadi pengetahuan tentang undang-undang telah menjadi penting.

Ataupun Guru juga boleh membawa beg, tak kira kulit atau kertas atau sebarang alat yang boleh membawa al-Quran. Termasuklah sampul surat yang boleh dimuatkan al-Quran. Dalam mesyuarat atau mana-mana keadaan, kalau Guru dicabar senang aje. Keluarkan al-Quran dan buat sumpah. Kalau murid berani menegakkan kebenaran, suruh murid itu bersumpah. Kalau murid pulak tak percaya, Guru bersumpah. Kan ke senang. Jadi al-Quran mesti sentiasa di pinggang. Dengan cara ini daulat Guru dapat ditegakkan. Sumpah-sumpah sekarang ini tak jadi masalah bak kata pepatah, tak hidup dek doa, tak mati dek sumpah. Langgar aje. Kalau terpeleot, hospital ada, bomoh ada dan macam-macam ada.

Siapapun yang jadi Guru jangan lupa perjuangkan SC. Kembangkan SC seantero dunia termasuk Bangkok, Puket dan Hadyai. Itu juga tempat-tempat yang boleh menguji kepahlawanan ilmu KK kita. Tapi jangan lupa pula pesaing terdekat iaitu CM. Mereka juga ada strategi. Di akhir-akhir ini perkembangan silat kita tidak begitu hebat. Kadang kala malap sekali. Pergerakannya lebih banyak bergantung pada pusat pengajian tinggi. Satu ketika pernah timbul persoalan,” Kalau SC kita adalah silat yang hak kenapa kita tak dapat masuk di tempat CM seperti di USM. Kenapa di tempat silat kita bertapak yang dikira kuat dapat ditembusi oleh CM. Misalnya di UPM dan UTP. Sepatutnya bila tertegak yang hak maka terbatallah yang bathil.” Persoalan ini ada asasnya terutama era sekarang ini. Pada saya, faktor utama situasi ini ialah Kesungguhan. Faktor ini memainkan peranan yang penting. Selama ini kita kurang bersungguh dalam usaha menyebarkan SC. Kesungguhan lebih banyak dalam persengketaan, perniagaan dan sikap curiga-mencurigai.

Mungkin kita boleh melihat faktor kesungguhan ini dalam perbincangan ringkas yang berikut: Bakal Guru kena tengok-tengok hal di bawah ini untuk perkembangan SC seterusnya.

Perjuangan tidak jelas.

Pada zaman Ustaz, perjuangan kita jelas iaitu menyebarkan SC. Oleh itu tumpuan penuh diberikan kepada usaha untuk penyebaran SC. Bab-bab yang berkaitan dengan pembasmian tahyol dan khurafat atau sebagainya diletakkan bawah tanggungjawab Guru Utama. Mana kita faham tentang pengamalan khurafat dalam Silat. Tetapi kalau mereka menerima SC, secara langsung amalan ilmu itu akan terhenti. Dalam SC telah disahkan tidak ada ilmu-ilmu yang mengarut. Tapi ahli yang mengarut, banyak. Kerana usaha menyebarkan SC inilah menyebabkan ahli-ahli bergerak jauh untuk mencurahkan ilmu. Ramai yang bertugas dengan menggunakan motor atau naik bas. Semangat mereka hebat sekali.


Berniaga

Paling dahsyat sekali apabila unsur-unsur perniagaan digalakkan dalam SC. Jangan salahkan Guru berniaga. MMT dan MMK pun membenarkan perniagaan tersebut di kalangan ahli. Ada di kalangan ahli yang menjadi Jurulatih dan Penyelia Kelas turut berniaga. Sekurang-kurangnya CNI. Kalau tersalah perhitungan, dalam dunia perniagaan, sikap ahli akhirnya terbentuk menjadi manusia yang mata duitan. Segala yang dipandangnya ialah duit. Tidak hairanlah Guru juga terlibat dengan duit. Kalau mengajar silat di tempat yang jauh, minyak siapa mau taruh. Hilang fokas dalam menyebarkan ilmu persilatan.

Faktor Usia.

Ketika bergiat mengembangkan SC zaman Ustaz, pendokong SC tersebut masih muda dan bertenaga dan berada dalam barisan kepimpinan persatuan. Orang-orang ini dalam zaman En Mat telah tua dah tak larat tapi masih berada dalam barisan kepimpinan persatuan juga . Sudahlah tua, ramai yang mempunyai perut melebihi paras tetek. Kekuatan telah kurang. Mereka lebih banyak memberi pendapat dan tidak berkemampuan untuk turun padang. Jadilah mereka sebagai pengarah untuk mengarah. Mana mungkin mereka meluaskan aktiviti silat. Untuk mengundur diri, sayangkan persatuan. Untuk turun kelas dah penat. Oleh itu ramai yang menjadi pihak penguasa yang melihat kelemahan orang lain. Rasa tak sebulu, tendang keluar. Akhirnya, Tuan Guru tertendang.

Ambil Mudah.

Masa Pak Ak telah mula nampak kekenduran dalam menyebarkan fahaman SC. Banyak faktor yang menyebabkan hal ini berlaku. Sekurang-kurangnya kelas-kelas latihan semakin banyak. Kerana itu, Guru hanya ada masa untuk ijazah, kira duit dan balik. Oleh sebab banyak kelas yang terlibat, masa agak terhad tapi perbualan kadang kala lebih banyak menyentuh soal-soal keletihan dan kerosakan dan kehebatan kereta di tengah jalan dan tidak boleh dilupakan, soal perniagaan. Bab silat hanya disentuh sedikit sahaja sebelum ijazah. Pengetahuan lebih banyak diberi oleh Penyelia Kelas atau Jurulatih. Jadi, kalau banyak ilmu mereka maka banyaklah yang didapati oleh para penuntut. Ahli-ahli yang semata-mata belajar silat sahaja tanpa ada satu kefahaman yang kukuh, semangat juang di kalangan mereka semestinya kurang.

Curiga-Mencurigai.

Setelah berpecah dengan CM dan kita bersatu semula di bawah persatuan Silat Cekak Hanafi, ramai pihak yang mendakwa telah berjuang menegakkan semula SC. Masing-masing berasa diri mereka sepatutnya dihargai dan diletakkan di satu tempat yang teratas. Lahirlah pelbagai sikap manusia sama ada sebagai pengampu, pengacum, pencucuk atau sebagai ular air. Bila manusia jenis ini wujud maka lahirlah persaingan untuk mendapatkan pengaruh. Hiduplah pemimpin-pemimpin SC dalam keadaan saling mencurigai. Tambahan pula lahir generasi baru murid En Mat yang telah diijazah tamat oleh beliau. Mereka ini tertonjol dan ditonjolkan. Pahit maung menegakkan SC kurang dirasai oleh golongan baru ini. Lama-kelamaan wujud kaedah penyingkiran kerana perbezaan pendapat dan pandangan. Maka ramailah yang tersingkir. Keadaan ini telah memporakperandakan SC . Masa yang ada lebih banyak terbuang dengan pemikiran yang negatif. Akibatnya mana boleh timbul semangat untuk menyebarkan SC di kubu-kubu kuat CM yang tidak dapat ditembusi. Tidak dapat dinafikan masih ada yang ikhlas untuk terus memantapkan SC. Orang-orang ini hanya boleh melaksanakan program yang diatur tanpa membuat sebarang komen. Silap komen, pasti sayonara.

Majlis Ijazah

Banyak sangat karenah untuk mendapatkan tarikh ijazah. Mungkin pada zaman dahulu, kita terdorong untuk membuka kelas baru kerana berpeluang bertemu Ustaz, sambil dapat menambahkan ilmu dunia akhirat. Tapi zaman En Mat, bila nak ijazah kita akan susah hati. Hal ini terjadi kerana tarikh ijazah tak akan sama dengan apa yang kita kehendaki. Paling malang apabila tarikh ijazah tertunda hingga dua atau tiga bulan. Kita tidak dapat memberi janji kepada ahli-ahli yang akan tamat atau mandi potong dan paling malang pada mereka yang ingin menceburi SC. Akibatnya wujud perasaan kecewa untuk membuka kelas. Kelas yang adapun susah untuk mendapatkan tarikh ijazah bagaimana pula untuk membuka kelas-kelas baru. Jadilah mereka bersikap kurang usaha untuk mengembangkan SC.

Kesimpulannya, Guru yang akan datang mesti dapat sesuaikan dengan tuntutan murid sekarang. Murid sekarang lebih berani dan lebih terbuka. Tak seperti murid dahulu yang menyerahkan segala-galanya pada Guru. Guru yang hanya bijak dalam dunia persilatan semata-mata tidak akan menjadi Guru yang baik. Beliau mesti mempunyai ilmu yang berkaitan dengan pengurusan organisasi. Kalau tidak, beliau pasti akan ditelan oleh mereka yang bijak berorganisasi.