Sunday, February 11, 2007

BERDIRI ATAS PAGAR

Ramai yang tidak berpuas hati dengan kewujudan golongan duduk di atas pagar atau kadang kala dikenali sebagai golongan yang berdiri di atas pagar. Kumpulan ini dirujuk ekoran kes dakwaan pencabulan ke atas Guru. Mereka dianggap golongan yang buat-buat tidak tahu dan mempunyai agenda yang tersembunyi untuk menjaga hubungan dengan kedua-dua pihak akibat perbuatan durjana En Mat. Mereka dikatakan sebagai golongan yang mengambil jalan mudah. Mereka ini berdiri atau duduk di atas pagar. Kalau diteliti antara berdiri atau duduk, berdiri atas pagar lebih hebat. Bukan senang untuk berdiri. Pagar berduri pulak tu. Jadi, kita lupakan istilah duduk atas pagar. Orang yang berdiri atas pagar ialah orang yang berani menanggung risiko. Bukan senang untuk berdiri. Proses imbangan badan amat penting. Tersilap langkah, akan terjatuh sama ada di sebelah kiri atau sebelah kanan. Agaknya sebelah kanan puak MMK dan sebelah kiri puak En. Mat. Orang yang berdiri atas pagar tidak mudah pergi ke mana-mana pihak. Berdirilah mereka di atas pagar hingga ke satu tahap sama ada tersilap langkah, letih atau pening. Di mana jatuhnya. Kanan atau kiri. Walau bagaimanapun pada mereka yang tidak mudah pening, langkah tidak silap dan sentiasa berhati-hati serta tidak mudah letih maka mereka akan terus berada di atas pagar. Bukan senang untuk berdiri sepanjang masa di atas pagar. Maklumlah, di samping pengamalan ilmu KK, Tongkat Fatimah dan Kacip Ali sentiasa jadi amalan. Perbuatan ini adalah luar daripada kebiasaan manusia dan memerlukan daya tahan yang tinggi. Mereka mempunyai sifat keluarbiasaan dari segi pemikiran, tenaga dan kemudahlenturan. Sudah semestinya orang yang mempunyai kelebihan tersebut boleh berbuat perlakuan sedemikian. Kita berasa kagum dengan kelebihan yang mereka ada. Kelebihan berdiri atas pagar.

Di samping maksud tersurat, kita pun ingin tahu kenapa mereka susah-susah sangat untuk berdiri atas pagar. Bukankah itu akan menyeksa diri. Keadaan itu umpama telur di hujung tanduk, bila-bila masa boleh jatuh dan pecah berderai. Tapi kenapa mereka memilih jalan yang susah tersebut. Mesti ada sebab mereka berbuat demikian. Cuba kita tinjau kemungkinan-kemungkinan yang berikut dengan menggunakan pemikiran positif.

Tujuan orang yang masuk SC, penuh dengan pelbagai alasan. Ada yang masuk dalam silat ini kerana SC itu sendiri. Oleh itu penglibatan mereka semata-mata untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang ada dalam SC. Apa dia peduli dengan krisis yang berlaku. Ada juga yang masuk SC kerana mengisi masa lapang bagi mengurangkan ketegangan fikiran. Setelah penat bekerja dan memikul tanggungjawab di rumah yang tiada akhirnya, mereka mencari satu tempat yang boleh merehatkan fikiran di samping menambahkan ilmu di dada. Semestinya persatuan SC sebagai pilihan mereka. Kalau persatuan ingin dijadikan tempat untuk mendapatkan ketenangan, kenapa perlu terlibat dalam kancah yang boleh merosak atau mengganggu fikiran. Itu sebabnya mereka tidak mahu terlibat dengan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan yang tersendiri. “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk yang kurang cerdik terhimpit di tengah-tengah.” Kalau ketenangan di tempat silat sudah tiada, ke mana pula hala tuju mereka. Selain ke SPA, nak pergi mana pula. Nak ke surau panjang pulak wiridnya. Lebih baik wirid haji di rumah.

Saya yakin, orang-orang atas pagar ini adalah merupakan orang yang benar-benar faham tentang perjuangan SC. Pada fahaman mereka, Guru akan tetap pergi dan mari tapi perjuangan SC akan sentiasa wujud tanpa padam-padam. Perjuangan mereka yang utama ialah menanam konsep dan prinsip SC di kalangan penuntut di samping menyebarkan SC melalui pembukaan kelas-kelas baru. Kalau perjuangan mereka jelas, kenapa mesti mengambil berat tentang persengketaan yang ada. Dari segi perjalanan persatuan, mereka dapat membezakan antara keutamaan dan sampingan. Contoh yang paling mudah kita rujuk pada perut sebagai satu perjuangan untuk beri kekenyangan. Makan nasi merupakan satu keutamaan. Bihun dan mee adalah makanan sokongan manakala apom ke atau karipap ke merupakan makanan sampingan. Dalam konteks SC, menyebarkan silat adalah satu keutamaan. Menyebelahi mana-mana pihak lebih merupakan sokongan manakala menyertai aktiviti-aktiviti persatuan selain silat lebih merupakan perjuangan sampingan. MMK dan MMN ada. Tugas mereka jelas dan kita letakkan kepercayaan kepada mereka untuk menyelesaikannya. Apa perlunya kita menyokong mana-mana pihak hingga terpaksa menjadikan diri kita sebagai alat untuk mencari sokongan. Undian dan sokongan hanya layak dinyatakan dalam mesyuarat agung atau mesyuarat agung luar biasa. Siapapun yang menang, kelas silat mesti dijalankan. Orang yang akan menyelenggara kelas tersebut tetap diri mereka sendiri. Kalau En Mat menang, yang akan mengendalikan SC tetap mereka. Kalau MMK menangpun tanggungjawab yang sama juga terpaksa mereka pikul. Tapi Kalau MMK menang, ahli-ahli AJKnya yang akan mengendalikan kelas silat ataupun kalau En Mat yang menang, En Mat sendiri yang akan mengendalikan kelas tersebut, itu hal yang lain. Bolehlah kita buat pilihan untuk menyatakan sokongan. Tapi kalau ribut ke, taufan ke atau apa-apa ke, yang mengendalikan kelas silat tetap diri mereka sendiri, buat apa nak kecoh-kecoh. Pihak berkenaan yang mencipta masalah, mereka sendiri yang perlu selesaikan.

Golongan berdiri atas pagar juga berkemungkinan tidak bersetuju dengan kedua-dua pihak yang bertelagah. Kedua-dua pihak berjuang atas kepentingan masing-masing. MMK dengan badan siasatan dan kehakiman, En Mat dengan kenyataan bersumpahnya. Siapakah yang betul. Mana kita boleh tahu. Badan yang ditubuh oleh MMK bukannya badan professional. Cara siasatan dan integritinya dipersoalkan oleh ramai pihak termasuk nenek dan datuk ahli yang kurang arif mengenai perundangan. Kebenaran kes hanya boleh dijawab oleh En. Mat. Beliau telah bersumpah tapi sumpahan beliau dipersoalkan juga oleh pihak yang lain. Semua pihak yang bertelagah, ada betul dan ada yang tidak betul. Susah untuk dibuat ketetapan fikiran dan amat susah untuk memberi sokongan. Satu pihak harimau dan satu pihak buaya. Kalau terjatuh pada mana-mana kumpulan habis kita dibahamnya. Kalau tidak mahu dibaham, lebih baik duduk atas pagar memerhatikan kedua-dua puak membuka mulut mencari mangsa. Seronok juga melihat lakonan yang dimainkan oleh pihak-pihak berkenaan. Jadi dalam hal ini lebih baiklah hukum alam sendiri yang membuat hukuman. Kalau En Mat betul, beliau akan bejaya dan kalau MMK yang betul, mereka juga akan berjaya. Tunggu sahaja saat dan ketikanya. Difahamkan juga bahawa kes tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa. Kita tunggu sahaja keputusannya. Segala hukuman menunjukkan siapa yang bersalah. Walau bagaimanapun salah atau benar, SC perlu diteruskan. Dalam hal ini, hakikatnya orang yang berdiri atas pagar adalah mereka yang mempunyai pendirian.

Ramai kalangan ahli termasuk para pendokong asyik merintih atas kejadian yang berlaku. Rintihan mereka dalam pelbagai bentuk. Paling melucukan apabila rintihan tersebut mempersoalkan kejadian yang telah berlaku. “Kenapalah En Mat pergi ke rumah budak tu.” Apapun rintihan yang diluahkan, kejadian tetap telah berlaku. Penubuhan badan-badan siasatan dan kehakiman telah mengundang perselisihan pendapat dan pepecahan sesama ahli. MMK bertegas untuk menggantung Guru. Malangnya Guru tetap tak mati-mati dan meneruskan program ijazahnya. Maka berentaplah kedua-dua pihak dengan harapan akan lahir satu kuasa yang akan menjahanamkan atau melenyapkan pihak yang bertentangan. MMK berharap En Mat akan lenyap dalam perbendaharaan kata SC. Manakala En Mat menunggu masa dan ketika untuk melenyapkan puak-puak MMK yang menentangnya daripada bumi SC. Berjuanglah mereka bermati-matian bagi menjahanamkan identiti antara satu sama lain.

Ekoran perjuangan tersebut ungkit-mengungkit menjadi amalan. Satu puak mengungkit-ngungkit segala tindak tanduk puak yang lain. Guru dan kaum kerabatnya dijadikan bahan cacian dari mula penglibatan mereka dalam silat hingga sekarang. Hilang fokas atas tuduhan yang utama. Habis diceritakan termasuk warna seluar dalam. Begitu juga dengan puak yang lagi satu. Habis segala tindak tanduk ahli-ahli yang menentang Guru diungkit meraka. Semuanya pandang ke belakang untuk menceritakan keadaan sekarang bagi membolehkan mereka membuat tafsiran untuk masa depan. Kita boleh nampak tahap pemikiran ahli-ahli SC ketika ini. Kadang kala tidak melambangkan ajaran-ajaran yang ditanam dalam SC. Saya teringat kata-kata Tok Guru saya satu ketika dahulu:

“Small minds discuss persons
Big minda discuss events
Intelligent minds discuss ideas”

Nampak sangat betapa dangkal dan singkatnya pemikiran kebanyakan ahli SC. Malu rasanya di hati atas perkembangan ini. Adalah sangat sesuai dan tepat jika peristiwa yang melanda persatuan kita dikaitkan dengan perancangan yang lebih mantap untuk langkah yang berikutnya. Orang-orang yang hebat sentiasa memandang ke hadapan. Hal-hal yang kebelakang hanya dijadikan panduan dan sempadan. Ungkitlah sebanyak mana dan setinggi gunung atau bukit perwatakan seseorang, perkembangan SC juga yang perlu diutamakan. Inilah fokas utama kita melibatkan diri dalam persatuan SC. Selama ini tidak ada apa-apa keuntungan material yang kita hajatkan. Apabila SC berkembang luas, itulah keuntungan yang merupakan kepuasan peribadi. Kepuasan bagi memenuhi erti perjuangan pada empunya diri.