Wednesday, April 4, 2007

CABARAN GURU UTAMA

Dia Datang

Setiap pemimpin organisasi pasti menghadapi cabaran. Zaman Ustaz ada cabarannya. Apabila muncul Pak Ak, beliau juga menghadapi cabaran yang hebat. Cabaran ini lenyap apabila mereka yang mencabar menubuhkan silat baru. Apabila muncul En Mat maka beliau juga tidak terkecuali menghadapi cabaran hingga akhirnya tersingkir daripada jawatan Presiden dan Guru Utama. Cuba kita lihat cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh En Jo pula berdasarkan harapan dan tuntutan daripada golongan yang mengangkatnya. Ramai yang kesal dengan Pak Ak dan En Mat kerana tak ikut cara Ustaz. Maknanya cabaran pada En Jo ialah ikut cara Ustaz. Oleh itu kita lihat apakah kelebihan yang ada pada Ustaz secara umum berdasarkan pengalaman sendiri atau yang diceritakan oleh orang yang empunya cerita. Kelebihan-kelebihan inilah antara faktor-faktor yang menyebabkan saya sendiri secara peribadi begitu tertarik dengan Silat Cekak. Semua cabaran ini akan menjadi cabaran kepada En Jo. Adakah beliau berjaya mengembalikan nestolgia orang-orang lama dan orang-orang bangka. Prinsip orang hebat yang sentiasa memandang ke hadapan tidak boleh diambil kira ketika ini. Seboleh-bolehnya cara cakap, cara batuk, cara beranu, cara berjalan dan pelbagai jenis cara mesti sama dengan Allahyarham Ustaz.

1. Majlis ijazah yang dilakukan pada zaman Ustaz terdapat perbezaannya antara tahun 70an dan 80an. Dalam zaman 70an, ijazah senang ditempah secara terus dengannya. Tak payah wakil-wakil. Setiap kelas yang nak ijazah, Ustaz akan datang lebih awal dan bermalam di kelas tersebut. Pada malamnya murid akan berpeluang mendengar ceramah atau amanat yang diberikan. Aktiviti ini termasuk fahaman tauhid dan pelakuan syariat seperti sembahyang dan banyak lagi. Pada waktu paginya baharulah Allahyarham menyebelih ayam untuk dijadikan penunjuk atau dibuat kenduri. Setiap murid mesti membawa seekor ayam jantan yang galak sifatnya tanpa sebarang alasan. Ini simbolik atas harapan pemilik ayam berkenaan sentiasa bersemangat. Ketika semua kerja selesai, ahli yang terlibat dengan kerja-kerja memasak akan melakukan tugas masing-masing manakala yang lainnya akan mendengar amanat atau sebarang bentuk hubungan lisan daripada Allahyarham. Allahyarham tidak tergesa-gesa untuk balik seperti mana yang dilakukan oleh kedua mantan Guru berikutnya. Ustaz jarang mengajar kecuali yang melibatkan kelas kemahiran atau penurunan petua gerak dalam SC. Majlis petua tak pernah ada. Pada zaman berikutnya pada era 80an telah nampak perubahan. Ayam boleh digantikan dengan daging kecuali ayam penunjuk. Tempahan majlis ijazah mula dilakukan melalui orang tengah. Ayam petunjuk tidak lagi disediakan oleh kelas berkenaan tapi dibawa daripada Kuala Lumpur. Hubungan erat sesama ahli ketika mengadakan persiapan kenduri telah mulai hilang apabila hidangan lebih bayak ditempah. Zaman mantan Guru-Guru Utama, Perubahan ini semakin ketara dalam era Guru-Guru berikutnya. Majlis Petua telah menjadi wajib. Kalau dulunya setakat petua menyukat jari dan sebagainya, diserahkan kepada Jurulatih maka ketika itu telah berubah. Tempahan majlis ijazah semakin susah. Kehadiran lebih banyak secara tergesa-gesa dan isi bualan kerap kali berkisar masalah peribadi. Semua hal yuang berlaku ini ada kaitannya dengan bilangan kelas yang semakin bertambah. Pada orang lama nampak sangat kekosongannya. Inilah cabaran yang hebat yang akan dihadapi oleh Guru baru. Mungkin dalam zaman awal kemepimpinannya pelakuan Usataz boleh ditiru kerana kelas tak banyak Tambahan pula kesetiaan sepenuhnya tidak mudah diberikan kepada beliau. Pada awalnya bolehlah beliau mempertahankan budaya yuang diamalkan oleh Ustaz seperti mana yang diharapkan oleh kebanyak ahli yang lama-lama yang mengangkat beliau sebagai Guru Utama. Bila dah ada kereta besar nanti takut-takut cakap pasal kereta. Jangan pulak akhirnya terjebak dalam dunia perniagaan. Peluang lo.

2. Ketika bercakap dengan Ustaz, kita perlu berhati-hati dengan pengunaan ayat, pemilihan perkataan dan pergerakan badan. Ustaz sensitif dengan hal-hal tersebut. Apa yang ada di hati biasanya dipancarkan melalui kata-kata yang dikeluarkan dan air muka yang kita tunjukkan. Malah cara dudukpun diambil kira terutama pada mereka yang begitu rapat dengan Allahyarham. Biasanya teguran jarang dilbuat secara langsung tetapi melalui orang lain sebagai ingatan agar berhati-hati. Ilmu isyarat ini ada kaitan dengan pengalaman dan pengetahuan beliau yang mendalam dalam konteks hubungan sesama manusia. Guru baru kena betapalah untuk mendapatkan kelebihan ini.

3. Presiden cawangan adalah wakil Ustaz untuk mengembangkan SC. Ustaz sangat ambil berat dalam semua segi. Kalau lama tidak berhubung dengannya, Allahyarham sendiri akan berhubung bertanyakan khabar. Sifat ambil berat ini menyebabkan mereka yang diberi tanggungjawab sentiasa bersemangat untuk meneruskan tugas bagi mengembangkan SC. Itu sebabnya SC terus berkembang dan dapat menumbusi benteng dunia persilatan yang lainnya. Jelas sangat ilmu SC sebagai ilmu yang hak. Ke mana SC bertapak, silat lain yang ada akan malap begitu sahaja.

4 Arwah Ustaz adalah seorang yang sangat tegas dan kadangkala bersifat garang. Walau bagaimanapun, pengurusan manusianya mengikut pelabagai bentuk sesuai dengan keadaan. Ada masanya beliau bersifat autokratik. Dalam masa yang dianggap perlu bertindak tegas, kita hanya mengikut arahannya tanpa sebarang persoalan. Kalau nak kena tengkeng, sila bertanya. Akan tetapi ada masanya pengurusannya secara demokratik. Ustaz boleh berbincang dan kerap kali juga suasana akan menentukan tindakan tanpa campur tangan beliau. Saya rasa ustaz tak pernah belajar tentang teori-teori gaya kepimpinan seperti itu. Pengalaman telah membentuk Ustaz sedemikian rupa.

5. Pengetahuan agamanya sangat luas. Hati yang sedih, apabila berjumpa dengannya akan terbit perasaan puas. Dukacita akan hilang. Malah jika kita dirundung masalah, berjumpa dengannya maka akan terungkai masalah yang dihadapi. Begitu hebat sekali pembawaan Allahyarham. Sifat sebegitu bukan mudah kita dapat. Ramai kalangan manusia yang hanya menarik semangat kita apabila kita memandang mukanya. Sebab itu agaknya ramai yang menganggap SC sebagai silat tauhid. Mendengar ceramah agama ustaz, menyebabkan kita berasa tawar hati untuk mengikuti ceramah-ceramah agama yang lain. Ceramah-ceramah yang hebat ketika ini oleh tokoh-tokoh agama begitu asing pada masa dulu. Tidak hairanlah kehebatannya bersyarah dan kupasannya pada satu-satu tajuk mendapat sambutan hebat di kalangan ahli. Syarahannya lebih praktikal dan boleh diamalkan.

6. Ketrampilan Ustaz tidak boleh dinafikan oleh pihak kawan dan lawan. Gaya berpakaian, senget songkoknya dan personalitinya hebat sekali. Itulah dia Ustaz Hanafi. Kita berasa bangga atas kehebatan dirinya. Teringat akan saya ajaran yang pernah dilaungkan. “Seseorang yang melampaui batas atas kita maka hendaklah kita melampauai batas ke atasnya pula sebagaimana dia melampauai batas ke atas kita, tetapi dalam keadaan kita bertakwa.”

7. Aspek pengurusannya juga hebat. Ustaz boleh merancang, mengelola, memimpin dan menilai buruk baik sesuatu program. Kemahirannya memimpin telah melonjak pengenalan SC di kalangan masyarakat. Kerana kehebatannya itulah maka ada yang menganggapnya sebagai Sheikh Tajrid, wali dan sebagainya. Itu adalah tafsiran pada mereka yang sangat mengkagumi kehebatan dirinya.

8. Bukan mudah untuk mencapai ke tahap yang mantap bagi persatuan yang baru muncul. Telah banyak persatuan silat yang lain ketika SC mula mengambil tempat. Berkat kepimpinannya, Allahyarham telah berjaya melonjakkan kehebatan SC daripada sebuah persatuan yang tidak dikenali kepada sebuah persatuan yang terkenal di pelusuk tanah air. Strateginya menimbulkan isu tatkala persidangan silat di USM pada tahun 1970an, memberi publisiti yang meluas kepada SC dan menapakkan SC di pusat-pusat pengajian tinggi benar-benar memberi keuntungan kepada SC untuk terus berkembang dengan pesat di pelusuk negara. Siswazah lepasan universiti telah berada di mana-mana dan menjawat jawatan yang tinggi. Mereka telah menjadi ajen dalam perkembangan SC dengan membuka cawangan-cawangan atau pusat-pusat latihan di tempat mereka bekerja.

9. Dalam zaman Ustaz, pelarasan buah adalah tetap dan di bawah pengawasan Guru sendiri. Ustaz mengemas kini buah-buah dan tetap dipakai sepanjang zamannya. Tidak timbul golongan yang membuat perubahan pada pergerakan buah tanpa merujuk kepada Guru. Tidak pernah muncul sebarang hamba Allah yang suka mengubah buah sesuka hati.

10. Ketika Ustaz mengurus SC, beliau mempunyai kebebasan bertindak dan mengurus persatuan. Tidak ada mana-mana pihak yang cuba mengongkongnya. Pada masa itu tidak ada orang-orang lama. Walaupun ada puak yang memberi pendapat tetapi tidak semestinya diterima oleh Allahyarham.

Segala perbincangan di atas akan memberi cabaran kepada En Jo. Orang tetap akan membandingkan beliau dengan arwah Ustaz. Meninjau perwatakan En Jo saya rasa ramai ahli yang boleh membuat perbandingan antaranya dengan Allahyarham. Ketika ini semuanya baik belaka. Sejarah telah menunjukkan bahawa perubahan tetap berlaku. Mana mungkin En Jo mewarisi semua perwatakan Ustaz. Nanti akan timbul persoalan dan perasaan tak puas hati. Perasaan-perasaan ini akan terus terbawa-bawa dalam pengurusannya. Ketika En Jo mempunyai ramai murid yang kraetif, inovatif dan inginkan perubahan pasti akan timbul ketegangan dalam hubungannya dengan orang-orang lama. Itupun kalau panjang umur.