Wednesday, April 14, 2010

2. BENTUK PENGHORMATAN DAN GENARASI MANDATNYA,

Penceramah atau pensyarah atau orang yang mendakwa sebagai pernah rapat dengan Ustaz Hanafi, perlu juga dilihat tentang fahaman yang mereka kuasai. Kalau rapat pastinya kefahaman Ustaz sentiasa diikuti dan diamalkan sepanjang berada dalam SC. Mungkin faktor penguasaan mereka atas kefahaman Ustaz akan bercanggah dengan fahaman kita akibat tafsiran yang berlainan. Walau bagaimanapun, asas pengukuran atas fahaman yang ada boleh dijadikan panduan.

Salah satu cara pengukurannya adalah dengan melihat bentuk penghormatan mereka pada SC semasa Ustaz dan setelah Ustaz meninggalkan kita. Lihat juga aspek kesinambungan penghormatan mereka atas warisan SC kepada mereka yang menerima mandat seterusnya. Selain mandat meneruskan perjuangan, lihat juga penghormatan mereka pada mereka yang pernah Ustaz sanjungi dan senangi.

Pada zaman Ustaz, ada juga dalam kalangan anak muridnya yang bercanggah pendapat dengan Guru. Secara peribadi, ada yang tidak rapat dengan Ustaz dan akhirnya menjauhkan diri. Namun begitu pelajaran SC dan cakap-cakap pukal yang dikeluarkan oleh Ustaz masih diterima pakai buat diri sendiri. Oleh itu terdapat dalam kalangan mereka yang akhirnya meninggalkan guru walaupun pelajaran dan kefahaman tetap dibawa bersama. Walau bagaimanapun tidak kurang juga yang berprasangka buruk dengan guru tapi masih terus berada dalam perjuangan SC bersama-sama Ustaz. Tentu kita teringat akan jenis watak Abdullah bin Ubai di zaman perkembangan Islam. Jenis watak Si Kitul juga jangan mudah dilupakan.

Penguasaan fahaman menghormati boleh ditafsirkan melalui tindak tanduk mereka sepanjang masa. Mereka pastinya mendakwa mempusakai segala ilmu Ustaz Hanafi. Tapi, bagaimana amalan dan aplikasinya. Cuba kita berkongsi bersama dalam tulisan ini berdasarkan akan sifat-sifat mereka yang ada menurut pemerhatian saya sendiri.

Ada yang cakap rapat dengan Ustaz tapi satu segi yang lain membuat komen atas ilmu yang ditinggalkan Ustaz. Mereka tidak terus berusaha untuk mengekalkan isi pelajaran dan kefahaman SC yang pernah mereka pelajari. Kalau mendakwa diri begitu rapat dengan Ustaz, pastinya segala ilmu yang diperoleh akan dipertahankan tanpa berbelah bahagi. Pada saya, kegagalan berbuat demikian, macam mana kita boleh mempercayai kata-kata mereka yang mendakwa rapat dengan Ustaz. Misalnya, amalan fizikal silat yang berpuluh-puluh tahun dipraktikkan dengan senang-senang cuba diubah atau bersubahat untuk mengubah. Malah sistem pelajaran juga cuba diubah. Pada hal mereka itu sendiri adalah lahir dari sistem yang telah dibentuk oleh Ustaz sendiri. Kalau bersandarkan alasan diri yang lemah ketika ini akibat sistem dulu yang dikatakan lemah dan perlu diubah, nampak sangat biadapnya. Tapi kalau berasa diri yang ada sekarang adalah hebat dan boleh menguasai isi pelajaran yang ada, maka apa perlunya sistem yang melahirkan kehebatan mereka selama ini perlu diubah. Walau bagaimanapun, kita tidak menafikan hak guru yang sah dan bermandat jika beliau ingin membuat perubahan. Beliau lebih tahu atas apa yang dilakukan.

Namun begitu, berdasarkan pengalaman, perubahan pada isi pelajaran SC telah hebat berlaku dalam zaman PA. Ketika itu mereka yang berasa diri tersangat hebat dalam SC mulai muncul ekoran kelemahan pentadbiran guru yang ada. Bukan guru yang mengubah susunan pelajaran tapi golongan itulah yang saya maksudkan. Tambahan pula ketika itu tidak ada penguasaan terhadap tindak-tanduk mereka. Lagi rancak mereka melakukan perubahan pada sistem pelajaran. Oleh itu saya berpendapat bahawa percakapan golongan ini juga amat sukar untuk dipakai.

Begitu juga dengan kefahaman yang ada. Adat silat yang terpupuk di zaman ustaz boleh mereka anggap tidak berguna. Upucara adat ayam penunjuk telah ditiadakan. Lebih malang lagi apabila dikatakan perbuatan tersebut adalah syirik dan bertentangan dengan agama. Satu perbuatan biadap yang dilakukan terhadap Ustaz. Namun, dari segi yang lain mereka cuba mendakwa bahawa mereka begitu rapat dengan Ustaz bagi mempengaruhi generasi baru SC. Berhati-hatilah dengan sikap dan perangai mereka. Ayam penunjuk baru satu contoh yang ada. Banyak lagi contoh yang boleh dibicara. Macam mana kita nak percaya cakap-cakap mereka yang mendakwa rapat dengan Ustaz jika akhirnya ada ilmu yang disanggah.

Ada satu aspek lagi yang boleh kita renung-renungkan. Kalau berasa rapat dengan Ustaz pastinya setelah pemergian Ustaz, kita terus memberi penghormatan pada mereka yang pernah disanjungi Ustaz untuk meneruskan perjuangan. Misalnya, semua bersetuju memberi pengormatan pada Pak Ak sebagai pemegang amanah guru untuk meneruskan perjuangan. Terkecuali pada mereka yang mendakwa PA hanya menerima sarung sahaja. Apabila PA menyerahkan mandat kepada En Mat maka penghormatan dan ketaatan sepatutnya dialihkan pada En Mat. Peranan PA tetap dihormati kerana pengorbanannya selama itu bagi meneruskan perjuangan SC selepas Ustaz. Kepada beliau jangan dicaci. Tentu ada kelebihan dan kehebatannya selama SC berada dalam kepemimpinannya sebelum SC diserah pada En Mat.

Tapi bila masa pulak En Mat menurunkan mandat pada guru lain yang dikiblatkan mereka. Fahaman tersebut tiada alasannya. Walaupun cuba dikatakan mandat pada En Mat sebenarnya tiada kerana mandat itu hak masyarakat, kata-kata itu adalah tawar dan hambar. Susah untuk diterima. Orang-orang hebat pernah bersuara akan faktor ini dalam satu persidangan menentukan kedudukan guru. Tapi akhirnya fahaman mereka juga kecundang kerana kepentingan. Macam mana kita nak percaya cakap-cakap mereka yang mudah kecundang. Mendakwa diri rapat dengan Ustaz tapi cakap tak serupa bikin.

Saya tetap berpendirian bahawa sebagai seorang yang mendakwa bahawa dirinya rapat dengan Ustaz, orang itu perlu dan masih menghormati pada mereka yang Ustaz pernah senangi. Antara orang yang Ustaz senangi termasuklah isteri. Semasa Ustaz, kita sentiasa diasuh supaya perlu menghormati dan menunjukkan sifat beradab pada isterinya. Hal ini demikian kerana Mak Teh telah banyak berkorban untuk membenarkan Ustaz mengembangkan SC. Jasanya hebat dan tiada tolok bandingnya.

Setelah Ustaz meninggal dunia, warisannya masih tetap perlu kita hargai. Pada diri saya jasa Ustaz telah memberi makna yang tersendiri. Ilmu yang ditinggalkan masih saya amalkan. Selain daripada itu hubungan yang ada hanyalah pada isteri, anak dan sahabat Ustaz yang sejati. Apa lagi yang boleh saya kaitkan hubungan saya dengan Ustaz Hanafi. Keluarga Ustaz perlu saya hormati.

Penghormatan pada Mak Teh telah kita akui sejak zaman PA lagi. Setiap majlis, penghormatan pada Mak Teh tidak pernah diketepi. Bila kita berpecah dengan Cekak Malaysia, penghormatan ini dilupakan oleh pihak mereka. Apabila berlaku pepecahan kali kedua, maka sekali lagi penghormatan pada Mak Teh ditiadakan mereka . Walau apapun alasan yang mereka beri, persoalannya apakah makna penghormatan yang telah mereka beri selama ini. Nampak jelas kepada kita betapa mereka berpura-pura dalam soal melayan isteri Ustaz Hanafi. Kalau dengan orang yang disanjungi tinggi oleh Ustazpun boleh terketepi, apatah lagi sikap mereka dengan para sahabat Ustaz yang lain. Lagi mudah diketepi. Tak kiralah puak mana yang dimaksudkan.

Macam-macam alasan yang diberi bagi membenarkan perbuatan mereka menyisihkan Mak Teh, isteri Ustaz. Apa jenis alasan pun sepatutnya penghormatan terus diberi. Tidak kiralah apa perbuatan yang dilakukan oleh Mak Teh. Lebih-lebih lagi pada mereka yang mengaku Mak Teh sebagai mak sendiri. Sebagai anak, apa saja tindakan si emak termasuk sumpah seranahnya perlu ditelan dengan ikhlas hati.

Pada saya, sesiapapun yang mengenepikan isteri Ustaz Hanafi maka orang itu tidak boleh dipercayai lagi dalam konteks mendakwa diri berhubung rapat dengan Ustaz Hanafi. Cakap mereka tak boleh dipakai. Tidak perlu bersusah payah membuktikan wujudnya hubungan rapat dengan Ustaz Hanafi. Yang pastinya ialah wujud hubungan yang berpura-pura. Habis manis sepah dibuang.

Berdasarkan tulisan ini, saya simpulkan selain daripada hubungan peribadi antara pendakwa yang bercakap rapat dengan ustaz Hanafi, hubungannya dengan mereka yang Ustaz kasihi adalah perlu diambil kira. Jika kedua-dua aspek tersebut tiada, maka percakapan mereka kurang boleh diambil kira. Dakwaan mereka adalah berpura-pura.

Sekian dan sambung lagi.