Sunday, April 11, 2010

DAKWAAN DIRI BERSUMBERKAN USTAZ.

Menonjol diri adalah satu perbuatan yang orang lain tidak suka. Kita sendiri pun akan cuba mengelak daripada berbuat demikian. Walau bagaimanapun menonjol diri membawa pelbagai makna dan boleh ditafsir dengan pelbagai tafsiran. Orang lain lebih suka mentafsir berdasarkan daya pemikiran mereka yang ada. Malah ada yang mengaitkan frasa kata cakap besar sebagai suatu perbuatan menonjol diri. Kita berasa bahawa kita telah bercakap benar. Sebaliknya ditafsir sebagai cakap besar.

Walau bagaimanapun pada pendapat saya, mentafsir diri sendiri kadang kala merupakan satu keperluan. Malah dalam perjawatan kerajaan, untuk naik pangkat maka kita perlu membuktikan bahawa kita layak untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi tersebut. Dalam konteks itu kita perlu menilai diri sendiri. Penilaian itu dilahirkan dalam bentuk ayat yang menggambarkan kehebatan kita. Semestilah kita akan menilai perkara-perkara yang positif dan menafikan hal-hal yang negatif. Namun begitu, dalam penulisan tersebut, kita perlu menulis sesuatu atas kebenaran dan bukannya berbentuk penipuan. Tulisan akan melambangkan percakapan. Maka perlulah kita cakap benar dan bukannya cakap besar. Setiap ayat boleh dibuktikan kenyataannya. Cukup dengan bahan buktinya sekali. Kalau ada yang inginkan bukti, tidak timbul sebarang masalah. “Cakap serupa bikin. Cakap atas kebenaran. Tak percaya, boleh periksa. Cakap benar, bukannya cakap besar.” Semua frasa kata tersebut adalah melambangkan keyakinan bahawa diri seseorang itu berada dalam alam kenyataan.

Dalam SC sendiri pun kita suka bercakap benar. Walaupun ramai orang luar yang mentafsir bahawa kita bercakap besar, pelajaran yang ada boleh membuktikan bahawa percakapan kita tentang gerak SC adalah berasaskan kebenaran semata-mata. Kita berupaya membuktikannya dengan penuh yakin. Kita tidak faham hingga membolehkan orang lain mengatakan kita cakap besar. Pada hal kita yakin bahawa kita bercakap benar. SC terus berkembang. Generasi baru mula muncul.

Semasa kita melangkah ke alam persilatan SC, generasi tersebut belum ada. Ketika kemunculan mereka, punca ilmu SC telah tiada kerana meninggalkan kita. Maka terpaksalah kita membuktikan kepada mereka sama ada melalui perbualan atau tulisan tentang betapa hebatnya dunia SC ketika wujudnya guru utama yang mengasaskan SC itu sendiri.

Satu ketika yang lalu. Semuanya berbicara atas konsep cakap benar. Cuma kebenaran tersebut mula dipersoalkan kerana rujukan asas telah tiada. Segala-galanya sangat bergantung pada kepercayaan generasi muda. Kalau mereka percaya maka percayalah mereka. Kalau mereka tidak percaya maka sampai bila-bila pun mereka tidak akan percaya. Malah cakap guru yang adapun boleh disanggah kerana guru yang ada dalam SC telah berpecah. Di manakah kebenaran hakiki yang boleh kita dapati. Hinggakan timbul tomahan betapa kita banyak khayalan daripada kebenaran. Banyak angan-angan daripada kenyataan. Banyak merintih daripada tindakan. Segala-galanya kerana ingin buktikan kebenaran gara-gara pepecahan. Kebenaran persatuan dan bukannya kebenaran persilatan. Sungguh menyayat hati apabila terkenang.

Untuk mendapatkan kepercayaan daripada generasi baru, kaedah menonjol diri juga kerap digunakan. Hubungan rapat dengan Ustaz telah dijadikan satu faktor utama dalam proses menonjolkan diri. Maklumlah. Semua cabang persilatan SC masih tetap menghubungkan kesinambungan dengan Ustaz Hanafi. Maka semua orang yang bercakap akan berasa bangga jika pengalaman yang ada dikaitkan bersama Ustaz. Percakapan ini dilahirkan melalui majlis-majlis ceramah, foram atau syarahan. Perkaitan dengan ustaz boleh dijadikan bahan pembuktian ketika memulakan percakapan untuk menarik renungan dan kepercayaan generasi baru. Generasi baru akan lebih mudah untuk mempercayai kata-kata kita jika kita berjaya membuktikan betapa hubungan kita dengan Ustaz telah ada.

Persoalannya adakah pendengar dapat menerima percakapan yang menghubungkan hubungan rapat dengan Ustaz, tanpa persoalan. Rupa-rupanya ada juga generasi muda yang menimbulkan persoalan kerana pastinya keikhlasan orang yang bercakap bersumberkan Ustaz mula dipersoalkan gara-gara pepecahan. Apabila persoalan diajukan kepada saya maka berbicaralah saya berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang ada. Dalam tulisan ini saya tuliskan isi perbincangan tersebut buat renungan bagi menjelaskan kepastian. Tulisan ini juga adalah berdasarkan saya punya tafsiran. Tapi rasanya boleh juga dibuat renungan dan pegangan.

Apabila ada manusia dalam SC yang bercakap bersumberkan hubungan rapat dengan Ustaz, eloklah dilihat-lihat akan aspek perwatakannya. Perwatakan ini ada kaitan dengan watak pencerita dalam SC. Perwatakan boleh dilambangkan dalam pelbagai bentuk. Bentuk-bentuk ini meliputi bentuk hubungan, bentuk penghormatan pada guru dan ganerasi mandatnya, bentuk sumbangan, bentuk pengorbanan pada SC dan bentuk hubungan dengan ahli-ahli SC yang turut sama berjuang. Jangan lupa juga bentuk kepentingan diri. Mungkin banyak bentuk yang lain. Tapi memadai kita bincangkan bentuk-bentuk yang dinyatakan.

Dalam tulisan seterusnya, saya akan cuba mengupas tentang bentuk-bentuk tersebut untuk perkongsian ilmu. Daripada bentuk yang ada maka bolehlah kita membuat kesimpulan sama ada cakapnya umum atau ada maknanya. Sekali lagi saya tegaskan. Semua penulisan yang ada adalah berdasarkan tafsiran saya buat membuka minda yang ada.

Sekian setakat ini. Sambung lagi