Monday, April 12, 2010

BENTUK HUBUNGAN



Kenangan bergambar dengan Ustaz dan Pak Ak. Bergambar dengan mereka tidak semestinya kita begitu rapat dengan mereka. Cuma yang paling pentingnya bergambar dengan mereka boleh membawa makna bahawa kita pernah bersama-sama dengan mereka bagi meneruskan perjuangan SC. Kita berasa bangga berada dalam landasan perjuangan Silat Melayu yang hebat.

Saya selalu nyatakan pada anak didik SC tentang ukuran dakwaan rapat seseorang ahli dengan Ustaz Hanafi. Salah satu daripada ukuran terpenting ialah bentuk hubungan peribadi yang wujud. Menyatakan diri pernah berhubung dengan Ustaz walhal hanya sekali dan sekala, tentunya tidak memadai. Walau bagaimanapun, hubungan yang wujud pada tafsiran saya boleh dirujuk dalam pelbagai bentuk.

Satu bentuk yang ada adalah hubungan dalam bentuk yang sangat formal. Kebetulan anak muridnya berjawatan profesional, misalnya doktor dan peguam atau golongan profesional yang lainnya. Ketika itu, bilangan profesional tidak ramai dalam SC. Pastinya dalam konteks hubungan, mereka mempunyai kedudukan yang agak istimewa berdasarkan pemerhatian saya. Tapi saya yakin bukan kerana diri dan sifat peribadi semata-mata, sebaliknya atas jawatan yang ada dan perlu diberi pengiktirafan. Hubungan yang terbentuk lebih bersifat formal. Orang profesional sangat mementingkan masa dan status. Mana mungkin mereka boleh sama-sama lepak di kedai kopi untuk sembang-sembang selepas kelas silat. Bergaul rapat dengan Ustazpun agak terhad. Masa yang diuntukkan bersama Ustaz tak seberapa jam maka mana mungkin boleh mendakwa diri rapat umpama berjam-jam. Sengaja saya timbulkan persoalan supaya kita tidak terlalu terperasan. Saya tidak yakin bahawa hubungan mereka dengan Ustaz terlalu kerap meliputi siang dan malam.

Pandangan mereka kerap kali dihubungkan dengan bidang yang mereka ada kerana memberi keuntungan pada pengetahuan ahli dan persatuan SC. Lantas pada mereka selalu nasihat diminta pada ilmu yang ada. Tidak ramai yang memiliki ilmu seperti mereka. Kalau sekarang pasti banyak saingannya. Sudah dianggap biasa kerana bilangan yang ramai sangat ketara. Maka kena pandai-pandailah bersaing menaikkan muka. Kalau tidak maka akan jadilah mereka manusia biasa dalam SC.

Saya cuba gambarkan wajah-wajah mereka yang berjawatan hebat di satu ketika. Dalam majlis rasmi, selalunya mereka diutamakan. Barisan depan tempat duduk majlis, selalu diluangkan untuk mereka. Itulah tanda penghormatan yang diberikan. Adakah mereka sebenarnya rapat dengan Ustaz luar dan dalam. Kena tanya pada insan yang berkenaan. Namun pada pemerhatian, lain maksud yang boleh saya fikirkan. Sama ada mereka sedar akan kedudukan diri atau berasa tersangat perasan.

Biasanya gelagat mereka juga sangat terperasan. Penghormatan ahli pada mereka adalah tinggi. Bukan kerana hebat bersilat tapi hebat berjawatan. Cakapan mereka kurang dijadikan bahan pertengkaran. Ramai yang terima sahaja kerana kehebatan profesional mereka. Akan tetapi dalam kelas silat, tak pernah tengok mereka memimpin anak murid SC bagi menurunkan ilmu silat yang mereka peroleh. Mana ada masa pada mereka. Itu sebabnya apabila mereka bercakap tentang perjuangan SC, bersandarkan hubungan rapat dengan Ustaz, maka agak tawar di sisi saya.

Satu lagi golongan adalah mereka yang sentiasa berkorban masa bersama Ustaz. Bentuk pengorbanan mereka tersebut adalah pelbagai. Misalnya ada antara mereka yang sanggup mengambil cuti untuk memandu Ustaz ke sana ke mari. Kalau perjalanan jauh maka isi bicara pasti juga jauh. Lihat jenis golongan ini. Rapat dengan Ustaz dalam bentuk tak formal. Pengetahuan dan pengalaman mereka tentu banyak sekali. Kadang kala percakapan dan fikiran mereka adalah gambaran percakapan dan pemikiran Ustaz Hanafi. Pada saya, golongan ini boleh diberi perhatian akan cakapnya berbanding dengan golongan yang berhubung dengan Ustaz hanya sesekali dan lebih berbentuk formal. Oleh itu apabila pencerita mendakwa rapatnya hubungan dengan Ustaz, maka lihatlah apa jenis dan bentuk hubungan yang ada.

Faktor jarak masa juga saya selalu ambil kira. Ada yang berhubung dengan Ustaz dalam jarak masa yang tertentu. Cukup masa dan tempoh, mereka akan menghilangkan diri. Mereka ini juga selalu dan masih boleh mendakwa berhubung rapat dengan Ustaz. Ramai juga antara tokoh kumpulan tersebut yang tenggelam di pertengahan perjuangan dan juga di akhir perjuangan Ustaz Hanafi. Hanya nampak muka di tengah perjuangan. Alasannya pelbagai. Ada yang merajuk diri dengan kepimpinan yang ada dan ada yang menghadapi masalah keluarga. Lesen tidak ada. Kalau ada saisnya kecil sahaja.

Saya sangat hormati pada mereka yang sama-sama membangunkan SC pada peringkat awalnya. Terdapat tokoh persilatan SC yang sama-sama mengasaskan SC hingga berdaftar sebagai pertubuhan yang sah. Mereka merasai pahit maungnya bagi mengembangkan SC. Generasi berikutnya masih bekerja keras bagi mengembangkan SC. Perancangan dan pengorbanan diri sentiasa diutamakan bagi mewujudkan SC sama seperti yang ada sekarang. Perkaitan rapat dengan SC pasti telah bersebati. Percakapan mereka pastinya terpancar daripada hati. Inilah juga golongan yang boleh dihormati.

Walaupun ada yang telah beralih angin, jasa mereka tetap ada. Beralih angin kerana pelbagai faktor. Satu masa kita boleh bincangkan. Namun begitu apabila berasa diri telah diketepi maka ramai yang mula mengundur diri. Hubungan rapat dengan Ustaz tetap telah ternukil sekian hari. Bila bercakap, isi percakapan mereka juga boleh memberi pelbagai makna yang boleh dijadikan panduan kita. Banyak pengalaman dan pengalamian yang mereka ada.

Kesimpulannya, apabila seseorang itu merujuk hubungannya dengan Ustaz, maka jangan mudah menerima saja. Rujuklah bentuk dan jenis hubungan yang telah ada.

Sekian dan kita sambung lagi.