Friday, January 30, 2009

FALSAFAH SILAT CEKAK

SENI
Dalam era pepecahan ini pastinya perbincangan banyak ditumpukan pada strategi untuk menguatkan persatuan. Hal-hal yang berkaitan dengan silat mungkin kurang peratus perbicaraannya. Sudah semestilah hal ini akan merugikan penuntut-penuntut yang sedang menuntut SC. Sepatutnya mereka tidak perlu diheret dalam kancah perbincangan tentang pepecahan kita. Asuhlah mereka dengan konsep dan prinsip SC seiring dengan asuhan fizikal yang menjadi perdu pembelajaran SC. Dalam karangan ini, saya lanjutkan penulisan atas satu lagi konsep yang ada dalam SC.

Ketika kita mengajar SC, satu istilah yang sering juga kita kaitkan dengan silat kita ialah seni. Kita berkeyakinan bahawa SC penuh dengan seninya. Kerana seni yang ada dalam SC-lah menjadikan pergerakan kita dalam silat begitu tersusun dan terancang. Para penuntut diasuh dan dididik supaya mengetahui apa yang dilakukan dengan alasan yang bersebab; bukannya melakukan pergerakan sesuka hati atau secara hentam keromo sahaja. Kita dapat mengatur gerakan kita bagi menghadapi musuh. Setiap pergerakan lebih mementingkan keuntungan. Hal ini membuktikan keperluan pemikiran yang strategik dalam menghadapi musuh. Melalui sistem yang ada menjadikan pergerakan kita lebih bijaksana. Apatah lagi kaedah SC adalah hasil ciptaan manusia yang bijaksana. Kekuatan kita hanya berdasarkan tenaga yang sedia ada. Tenaga yang sedia ada ini, apabila disepadukan dengan kaedah-kaedah yang ada dalam SC boleh menjadikan kita dapat menandingi kekuatan lawan walaupun fizikal lawan tersebut lebih daripada kita.

Dalam SC, kekuatan lawan tidak dijadikan masalah utama. Malah kita selalu membandingkan kekuatan seni dengan kekuatan yang bertaraf sukan. Penuntut-penuntut diyakinkan bahawa seni yang ada dalam SC tidak memerlukan para penuntutnya mengeraskan tangan atau menambahkan otot badan bagi mencapai hasrat pahlawan. Kaedah membangkang sangat dibenci dalam pembelajaran SC. Kaedah itu dikatakan bertaraf sukan dan lebih mendatangkan kemudaratan kepada kita. Kepercayaan ini menyebabkan timbul pula pendapat yang mengatakan bahawa silat yang ditakrifkan sebagai gerak perlu menggunakan gerak yang halus dan bukannya gerak yang kasar. Gerak yang halus itu dinamakan seni.

Namun begitu kita sering keliru dengan maksud seni. Ramai yang berpendapat bahawa yang halus itu seni dan yang kasar itu bukan seni. Oleh itu, mengajar SC yang dianggap kasar, ditegah dan tidak digalakkan. Maka Mungkin kerana itulah agaknya, buah pertama dalam SC perlu dibuka penumbuk pemakan dengan alasan tidak ada seni dan akan mendatangkan kemudaratan kepada ahli.

Dalam banyak tafsiran, seni itu dianggap sebagai halus. Lebih dikelirukan apabila ditambah pula makna kehalusannya sebagai halus di dalam halus. Tak tahulah apa yang halus. Kalau dah halus apa sedapnya. Tak terasapun. Hilang kenikmatan. Saya berpendapat bahawa jika kita meletakkan sesuatu atau melakukan sesuatu menurut aturan dan sistem yang telah ditetapkan maka itulah juga dianggap seni. Seni mestilah sesuatu yang sedap dipandang dan pelakuan kita tidak kekok dalam melakukan sesuatu pergerakan tersebut. Kalau aturan kita perlu berdiri lurus dengan mendiamkan tangan menantikan serangan musuh, maka itulah seni namanya dalam SC. Sistem kita tidak berkuda. Kalau penuntut berdiri secara berkuda-kuda maka hilanglah seninya. Sebaliknya dalam kebanyakan silat Melayu, berkuda-kuda itu dianggap penting dan itu adalah merupakan seni pada mereka. Mereka pula menganggap silat kita tidak berseni. Konsep seni adalah berbeza antara satu silat dengan silat yang lain. Dakwaan seni dalam SC adalah bersandarkan pada silat kita sendiri. Tidak perlulah kita menegang urat berbahas dengan silat lain bagi membuktikan seni yang ada dalam silat kita.

Tafsiran kita tentang seni adalah berbeza dalam konteks berlainan silat. Samalah juga dengan dakwaan kita yang mengatakan bahawa SC adalah berdasarkan gerak sembahyang. Cakap-cakap yang mengaitkan sembahyang ini telah tidak menyenangkan orang lain seolah-olah gerak kita sahaja yang benar dan sah. Maka mereka juga berhujah dengan mengatakan bahawa gerak silat mereka juga berdasarkan gerak sembahyang. Apatah lagi gerak silat bertapakkan tiga. Gerak yang tidak melebihi tiga juga dianggap berdasarkan gerak dalam sembahyang. Bertengkarlah mereka hingga terpaksa melewatkan waktu sembahyang atau meninggalkan waktu sembahyang. Bertengkar tentang gerak yang berasal dari sembahyang hingga ada Sembahyang yang hilang tidak dikerjakan. Sama juga dengan ahli-ahli sekarang yang berlainan persatuan. Bertengkar tentang siapa yang benar-benar mempusakai ilmu Ustaz Hanafi. Tapi Ustaz Hanafipun tak pernah ditemui. Geli sungguh hati. Bukankah buang masa namanya apabila kita cuba menegakkan sesuatu pada mereka yang berfaham berlainan.

Berdasarkan perbincangan dengan contoh-contoh ringkas di atas, seni yang ada dalam silat kita perlu dilihat dalam tiga aspek atau prinsip utama iaitu penggunaan gerak dua tangan dan dua kaki, kekuatan fizikal dan tenaga yang ada dalam diri kita. Ketiga-tiga prinsip itu perlulah bersahaja iaitu tidak dibuat-buat dan bersepadu dalam konteks menggunakan sesuatu yang semula jadi yang ada pada diri kita. Penguasaan ketiga-tiga aspek atau prinsip itu akan membolehkan kita menguasai seni dalam SC.

Gerak dua tangan dan dua kaki, adalah perdu pergerakan silat kita. Pelajaran Kaedah amat mustahak dan merupakan asas seni dalam gerak SC. Kita jangan bersifat gopoh hingga terburu-buru untuk menyambung kaedah dengan buah asas. Amat malang apabila ada kelas-kelas latihan yang mengumpul kaedah-kaedah dalam pembelajaran satu malam atau dua malam latihan. Sepatutnya setiap kaedah diajar dalam satu sesi latihan. Ketika inilah para penuntut didedahkan tentang konsep seni yang amat berbeza dengan konsep sukan yang berlandaskan gerak membangkang. Jika kaedah penuntut mantap, seni yang dihasilkan dalam gerak SC sangat mantap. Kaedah-kaedah ini dimantapkan melalui pembelajaran buah-buah asas. Konsep segerak diperkenalkan bagi memantapkan seni dalam SC. Konsep ini berlarutan hingga ke buah jatuh. Kemantapan seni menjadikan Pelakuan gerak penuntut amat mantap, tepat dan kita yang melihatnya berasa puas. Soal gerak yang diakhiri dengan pukulan keras hanya lebih merupakan bunga-bunga dalam kekemasan buah. Bukan itu yang diutamakan. Dalam pelajaran seterusnya iaitu potong dan penamat, konsep seni disepadukan dengan kebijaksanaan mengggunakan akal. Setiap pergerakan perlu kena pada tempatnya bagi menentukan keuntungan yang maksimum. Aspek sebab dan musabab amat ditekankan. Apabila disesuaikan dengan fikiran yang sihat dan strategik, kita dapat menghasilkan pergerakan yang tepat dan menguntungkan. Di situ nampak jelas konsep seni yang ada dalam SC.

Penuntut yang berseni dalam melakukan pergerakan silat akan membangkitkan rasa puas pada orang yang melihatnya. Saya masih ingat lagi dalam satu kelas latihan silat yang diperhatikan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi yang berada di kelas latihan tersebut. Para penuntut telah menguasai seni dalam SC ketika latihan. Ustaz berasa bersemangat dan terpanggil untuk turun ke “gelanggang” bersama penuntut untuk memantapkan pergerakan yang ada pada kalangan mereka. Itulah kuatnya tarikan seni jika para penuntut dapat menguasai seni dalam pergerakannya. Malah, mereka sendiri berasa puas setelah tamat sesi latihan. Kepuasaan itu dapat dilihat melalui perahan baju yang dipakai. Sebaliknya kita dapat saksikan sendiri para penuntut yang tidak berseni. Pergerakannya tidak tentu arah. Kita yang melihat akan berasa rimas, lemah dan mengantuk.

Untuk memantapkan seni kita dalam pergerakan, kekuatan fizikal mesti ada. Badan mesti sehat. Berat badan mesti terkawal. Gemukan perut jangan menghalang pandangan kita kepada wali jantan yang ada pada kita. Hal ini demikian kerana buah-buah yang ada dalam SC memerlukan kekuatan lengan. Mantapkan sikit lengan kita. Jangan mengharapkan apa yang ada sahaja. Tetapi itu tidak bermakna kita perlu mengangkat berat bagi membenjolkan lengan kita. Bergantunglah pada keperluan diri dan situasi mana kita berada. Kita akui betapa orang-orang dulu hanya bersandar pada latihan tangan yang semula jadi tapi amat berbeza dengan kita. Orang yang bersawah atau menoreh getah atau bekerja di kilang yang banyak menggunakan tenaga fizikal sudah mencukupi untuk menguatkan otot lengan atau otot badan dan sebagainya. Tak perlu lagi mengangkat berat atau pelbagai bentuk latihan fizikal lagi. Berbeza dengan mereka yang hanya memegang pen dan duduk dalam pendingin hawa. Latihan fizikal perlu ada. Samalah juga perbezaan antara sesama kita semasa mandi. Mereka yang mandi berkain basah pasti akan memerah kain basahan tersebut sesudah mandi. Secara langsung mereka dapat menguatkan kekuatan fizikal terutamanya lengan. Keadaan ini semestinya berbeza dengan mereka yang mandi secara bogel. Tak ada apa yang boleh diperah. Ramas tak sama dengan perah. Mereka ini perlu latihan untuk menguatkan tangan yang ada. Oleh itu jangan kita berbahas tentang kekuatan fizikal hanya bersandarkan dengan apa yang ada sahaja pada diri kita. Tidak sama antara seseorang dengan seseorang yang lain. Kalaulah fizikal kita mantap maka akan memudahkan kita melakukan gerak-gerak yang ada dalam SC. Keadaan ini akan menghasilkan seni yang indah dan mantap. Jika tidak, kita menumbuk, kita yang rebah dan jika kita diserang maka kita juga yang rebah. Mana pergi akan seninya.

Prinsip ketiga seperti yang nyatakan di atas ialah tenaga. Istilah sekarang ialah stamina. Alangkah hebatnya jika kelas-kelas kemahiran dapat dimulakan daripada buah jatuh, potong dan umum yang dilakukan secara bertali arus untuk sesi pertama. Selepas lima minit pelajaran di kelas tersebut, disambung pula dengan pelajaran-pelajaran berupa aplikasi. Kalau pelajaran potong, maka pelajaran akan bermula daripada kaedah dan buah jatuh sebelum masuk pelajaran potong. Tapi itu semua dapat dilakukan jika kita ada stamina. Kalau stamina tidak ada, para penuntut akan lesu. Keadaan ini akan menyebabkan pembelajaran mereka merosot. Mana boleh kita nampak akan seninya. Oleh itu latihan berjogging atau berjalan atau sebarang maksud latihan bagi menambahkan stamina adalah perlu. Keadaan ini perlu bagi menampakkan seni yang indah dalam silat kita.

Seni yang indah hanya dapat dinikmati oleh mereka yang melihat atau menontonnya. Kalaulah pergerakan kita mempunyai seni, mereka yang melihat akan berasa puas dan terangsang untuk menguasainya. Perbincangan saya di atas dapat dijadikan panduan untuk menguasai seni dalam SC. Lebih jelas kalau diterangkan secara praktikal.

Kita mengakui kebenaran bahawa pergerakan SC adalah benar, bukan diada-adakan hingga kita yakin bahawa SC sememangnya merupakan satu seni pusaka bangsa Melayu yang asli. Kaedah-kaedah yang ada adalah mencukupi dan tidak perlu ditokok tambah. SC dizahirkan dengan begitu lengkap dan kaya dengan unsur-unsur seninya yang semula jadi. Persoalannya, kita sebagai pengamal atau ahli SC, mampukah menguasai seni-seni SC tersebut. Saya yakin bahawa penguasaan ketiga-tiga aspek atau prinsip berkenaan akan membantu kita menguasai seni dalam SC.