Wednesday, December 24, 2008

PELBAGAI PETUA

HUBUNGAN SESAMA MANUSIA

Seperti yang saya nyatakan dalam perenggan akhir karangan saya yang lalu, betapa wujud ahli yang sudah bosan dengan SC. Menjauhkan diri dengan SC kadang kala menjadi pilihan utama untuk menenangkan fikiran kerana pelbagai alasan. Ketika inilah sedikit demi sedikit mereka menjauhkan diri dalam sebarang aktiviti SC. Tumpuan pada kerja adalah diutamakan. Banyak masa yang dulunya diberikan pada silat telah bertukar kepada perhatian dan tumpuan pada kerja. Kalau dulu ada masa untuk membaca blog tentang komen atas peristiwa yang berlaku dalam SC, sekarang ini telah terhakis dan dianggap meluat. Mungkin tiada perhatian langsung. Penceritaan tentang apa saja yang berlaku dalam SC telah diterima secara hambar. Itulah antara lain sifat yang menunjukkan kekecewaan mereka. Akan tetapi SC bukannya bernyawa. Nyawa yang ada ialah manusia yang mengerakkan SC itu sendiri. Memutuskan hubungan dengan SC tidaklah sesusah memutuskan hubungan dengan manusia yang mengerakkan silat itu. Untuk memutuskan hubungan sesama manusia dalam SC mengambil masa yang lama. Apatah lagi jika hubungan tersebut amat istimewa.

Selama ini perhubungan yang ada dalam SC adalah begitu rapat sekali. Tambahan pula ikrar yang dilafazkan semasa menerima silat ini sedikit sebanyak memberi kesan tentang tautan akrab yang tidak mudah dipisahkan. Syaratnya mestilah seguru. Di bawah kepimpinan guru yang lalu, hubungan sesama ahli sangat rapat. Tapi apa kan daya, pautan pada guru semakin rapuh. Pada ahli yang berpatah arang dalam jalinan hubungan, mereka tidak menghadapi masalah. Perasaan dan nilai persahabatan begitu murah buat mereka. Sekali petik, sepuluh mendatang. Prinsip ’kerana bersilat mereka berkenal maka kerana silatlah juga mereka berpisah’, benar-benar menjadi amalan mereka. Akibatnya, pertemuan yang berlaku di kalangan mereka, seolah-olah menjadi asing dan seolah-olah mereka tidak pernah kenal langsung. Mereka tidak akan bertegur sapa. Hilang sifat sahabat yang selama ini terpupuk di kalangan mereka. Silap haribulan, mungkin tangan singgah ke muka. Begitulah buruknya hubungan persahabatan antara ahli SC apabila mereka tidak sehaluan dan telah berlainan Guru perguruan.

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak berpatah arang. Hubungan rapat sebelum ini di kalangan mereka telah terjalin dalam konteks yang begitu ikhlas dan istimewa. Tetapi kelainan guru memberikan perasaan curiga. Walaupun terpaksa berpura, namun desakan naluri tetap memaksa mereka perlu untuk berpisah atau berjauhan sedikit demi sedikit dan hingga akhirnya wujud pepisahan yang nyata. Juga prinsip ”kerana silat mereka bertemu dan kerana silat juga mereka berpisah” perlu dilaksanakan. Tetapi golongan ini sukar untuk berterus terang bagi melahirkan perasaan tidak suka atau benci sesama mereka. Satu segi menampakkan hubungan akrab sesama mereka. Tetapi satu segi yang lain merupakan sarang lebah yang tidak mantap kerana mempunyai rongga untuk terungkai. Walaupun berpura-pura, jauhari juga mengenal maknikam.

Sebenarnya tidak sukar buat kita mengesan perasaan tidak suka yang ada di hati mereka tersebut. Dalam karangan ini saya memberi beberapa petua untuk menyungkil perasaan tak suka yang ada di benak mereka buat panduan kita bersama. Seperti pesanan Tok Guru, ” Seseorang yang melampaui batas atas kamu maka hendaklah kamu melampaui batas ke atasnya pula sebagaimana dia melampai batas ke atas kamu, tetapi hendaklah kamu dalam keadaan bertakwa.” Kalau orang sudah tak suka pada kita maka janganlah kita menjadi umpama hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Jaga maruah diri dan letakkan nilai diri pada tahap yang tinggi dan tidak ternilai.

Pertama sekali gelagat telefon. Kalau sudah lima belas kali kita talefon, yang ke enam belas kali baru kot-kot menjawab, bermakna ada sesuatu yang tak kena. Lebih-lebih lagi yang menjawab hanya suara lunak mesin telefon. Ini adalah isyarat pada kita supaya jangan lagi telefon. Orang yang tidak suka diganggu dalam faktor telefon ini mempunyai gelagatnya tersendiri. Missed call akan dipadam dengan segera, message yang dihantar tak akan berjawab. Kalau dia terterima panggilan kita cuba lihat riaksinya. Secara sepontan beliau akan berkata akan call balik dengan pelbagai alasan seperti sedang bermesyuarat atau beteri yang hampir kong. Kalau tak call langsung atau sehari dua baru call kerana masih menjaga hati, eloklah fikir-fikirkan tindakan supaya menjauhkan diri dan kalau boleh jangan berhubung langsung dengan puak-puak tersebut. Itupun kalau sedar diri. Isyarat benci telah diberi. Faham-fahamlah benak hati. Binalah kembali maruah dan nilai diri. Di pasar tak mungkin boleh dicari. Jauhilah diri untuk berhubung. Nanti akan jadi seperti kisah Penarik Beca yang tak sedar diri. Walaupun diakhiri dengan babak gembira tapi parut dan bengkak penuh di muka.

Dengan puak-puak yang berubah hati, bukan setakat susah untuk berhubung tapi untuk berjumpa lagi susah. Mereka menjadi sebok dan kerap kali menyebokkan diri. Kalah Perdana Menteri akan kesebokannya. Kesebokan mereka diwar-warkan pada orang lain dengan tujuan tersebar pada kita. Ini merupakan isyarat kepada kita supaya jangan berhubung lagi dengan mereka. Apa lagi alasan logik yang boleh diterima pakai. Pastinya alasan menghadiri mesyuarat atau menghadiri kursus atau menghadiri kuliah atau menyambut pegawai atasan atau bermain golf berlubangkan dua puluh campur satu dan atau dan atau menjadi pilihan utama. Keadaan ini amat berbeza sebelumnya. Masa sentiasa ada. Kitapun risau seolah-olah mereka tidak bekerja. Tapi itulah petanda pada kita. Jauhkan diri dengan segera. Lampu isyarat telah bernyala. Sedarlah diri dengan segera. Kalau tidak, padan muka.

Gelagat lain yang boleh kita cungkil perasaan tak elok di hati mereka ialah aspek ziarah menziarahi. Semasa tengah baik, pantang ada perayaan agama, tak payah diajak pasti sampai segera ke rumah. Lebih-lebih lagi kalau perayaan tertebut merupakan hari-hari raya. Tapi bila hati dah tak betul, muka susah nak jumpa. Mungkin kerana malu-alah, terpaksa menebalkan muka membuat appointment. Macam orang besar yang besar kepala. Rumah kita dianggap gedung atau pejabat. Bila datang pastinya beberapa puluh minit sebelum Maghrib. Tujuannya apabila terdengar azan, mudah meminta diri untuk balik. Kalau dulu bila datang berbekalkan tanda buat ikatan tetapi sekarang hanya berbekalkan gigi, gusi dan lidah. Sungguh tawar ikatan persahabatan. Semasa berbual semacam tergesa-gesa. Untuk menutup kelemahan rakan sehaluan yang lain, lihatlah gelagat terperanjatnya kalau rakan tersebut masih tidak datang. Semua gelagat ini adalah pancaran dalaman yang melambangkan hubungan sumbing yang inginkan keretakan.

Di waktu yang lain, apabila kita menjemput ke rumah, pelbagai alasan berada dalam hati. Terasa berat bangat untuk memenuhi jemputan. Perkataan Insyaallah akan menjadi penyelamat utama. Tapi akhirnya kelabat diri tak nampak rupa. Sungguh hebat sahabat setia. Amat memundekkan.

Perbincangan tentang prinsip dan falsafah SC akan cuba dielak. Lebih-lebih lagi hal-hal yang bersangkutan dengan mandat perguruan atau warisan ilmu. Kalau mereka tidak berapa setuju, anggukan tok belatok sentiasa berlaku. Perbualan perlu dihabiskan segera. Minat bercakap amat menurun umpama keletihan datang bulan agaknya. Terpancar di hati mereka perasaan berbuku. Apakan daya, persahabatan masih perlu dipelihara.

Sebelum ini minat pada silat adalah secara bersungguh. Minat ini meliputi hal-hal yang berkaitan dengan pergerakan dan falsafahnya. Bila kita lebih mengetahui, penerangan kita disambut dengan tekun dan khusuk. Maka semakin rancaklah kita berbual dan membuat penerangan hingga mereka benar-benar faham. Tapi ketika kita berubah hati atas sifat berlainan faham dan guru, keadaan ini berubah langsung. Setakat hormat yang hanya tinggal. Penerangan dan perbincangan kita tidak diperlukan lagi. Berlainan bloklah katakan. Jadi, maknanya janganlah kita syok sendiri untuk membuktikan sesuatu, tetapi sebaliknya sedarlah diri. Jangan lagi kita banyak bercakap tentang silat. Carilah topik-topik lain yang lebih menarik. Banyak kes yang boleh dibincang. Runtuhan bukit, harga minyak, pencolekan, kerogolan, pusat-pusat pelbagai bangsa dan banyak lagi tajuk yang boleh dijadikan perbincangan utama. Pucuk pangkalnya, elakkan bercakap tentang silat.

Tujuan tulisan ini adalah sebagai panduan kepada kita semua untuk melihat sejauh mana keiklasan dalam hubungan sesama kita. Janganlah kita tersua-sua muka tanpa tahu asal usulnya. Amat sukar melihat isi hati seseorang. Tetapi tak susah untuk mengetahuinya. Ramai yang suka berpura-pura. Akan tetapi seperti kata Tok Guru, sesuatu yang berada di dalam pasti terpancar keluar dari masa ke masa. Rajin-rajinlah kita mengesannya ketika perasaan tersebut terpancar. Bukannya pada anu tapi pada air muka dan gelagat laku yang ada. Hal ini amat penting kerana setiap pertemuan dan setiap perpisahan itu biarlah kerana Allah dan bukannya kerana silat. Pepecahan yang berlaku dalam SC benar-benar memberikan pelbagai kesan dalam hubungan sesama kita. Ada yang berpatah arang, ada yang bercarik bulu ayam, ada yang berpatah rotan dan ada yang berpegang bara. Itu semua adalah lambang persahabatan antara sesama ahli yang berlainan Guru. Semuanya kerana tak faham-faham tentang tujuan asal mereka melibatkan diri dalam SC. Apa yang dicari dan apa yang ingin dibukti. Masing-masing ada jawapannya sendiri. Tapi yang benak tetap berada dalam kebenakannya. Buktikanlah apa saja. Mereka tetap mereka. Biawak tetap melilih bangkai. Hidangkanlah kek lapis Sarawak di depan mereka. Bangkai tetap makanan istimewa.

Jumpa lagi di lain artikal.