Thursday, December 25, 2008

NILAI KESOPANAN DAN KESUSILAAN

”Sekarang ni teruklah!. Sudah tak ada adat sopan langsung. Caci mencaci dah jadi perkara biasa. Lama-lama akan berlaku cabar mencabar. CM terus maju. Kita asyik bergasak. Rela silat musnah asalkan puas hati.”

Begitulah luahan hati seorang ahli bila terkenangkan nasib yang menimpa pada perangai ahli SC yang begitu hebat di satu masa. Tapi apa yang dihairankan. Sejarah pepecahan kita pertama kali dulu dengan PA berulang kembali. Samalah keadaannya dengan apa yang berlaku sekarang. Kalau diibaratkan kelapa, semuanya berada pada lapisan sabut yang menyebabkan fikiran jadi berserabut. Masing-masing tak tentu hala kerana pegangan yang ada begitu rapuh. Sabarlah. Banyak masa yang diperlukan sebelum mereka berfikiran matang. Apabila mereka ada pegangan sendiri baharulah mereka dapat mengenal kedudukan diri dan akan berpegang pada prinsip pegangan tersebut. Tapi ketika itu mereka baru masuk ke makam tempurung. Masih jauh lagi perjalanan. Cuma ketika berada dalam makam ini, pendirian mereka sudah beransur matang dan mantap serta sukar untuk diubah atau diganggu gugat. Baharulah soal-soal mencaci akan kembali reda. Apabila telah reda, mereka boleh diibaratkan santan yang bakal diproses menjadi minyak. Di waktu itu segala kepakaran yang ada akan mereka gunakan untuk memajukan persatuan yang menjadi tempat mereka berteduh. Masing-masing dengan strategi mereka untuk memajukan persatuan. Caci mencaci akan bertambah kurang dan mungkin tiada langsung. Samalah dengan keadaan yang dimiliki oleh CM ketika ini. Mereka tidak banyak membuang masa mencaci CH dan mencaci guru-guru yang ada. Matlamat mereka adalah jelas dan mereka sedang menuju ke arah matlamat tersebut. Tapi kita yang kembali berada dalam takok berserabut akan terus mengambil masa hingga melepasi sempadan bagi membolehkan fikiran kita tertumpu dalam usaha-usaha untuk memajukan persatuan yang menaungi silat yang ada. Sampai bila ye! Agak-agaknya lagi empat puluh bulan. Angka empat puluh adalah merupakan angka keramat pada kebanyakan antara kita. Hinggakan ramai yang mati lemas akan kebebasan pemikiran mereka dek angka tersebut.

Setakat ini fikiran kebanyakan ahli kita masih mantat dan memerlukan masa untuk menjadi mantap. Namun perkara yang sangat menghairankan kebanyakan kita ialah orang-orang kanan Ustaz di satu ketika dahulu ramai yang terjerumus dalam golongan haprak. Pengajaran yang ditanam oleh Ustaz telah hilang entah ke mana dengan begitu pantas dalam era puting beliung. Peranan mereka umpama tikus membaiki labu atas alasan cuba membetulkan keadaan kononnya. Tak nampakpun akan peranan mereka memelihara kesejahteraan SC tapi sebaliknya memporakperandakan persatuan yang mendukung SC. Hancokwak betul golongan pelesit ini. Habis dihisap darah pemikiran ahli-ahli dan generasi baru untuk menyebelahi pendapat mereka. Kadang-kadang golongan ini dapat disamakan dengan lalat. Di mana mereka hinggap, habis punah tempat yang dihinggap. Ketika semuanya bersatu di bawah kepimpinan PA, golongan umpama lalat ini membuat telor. Bila telor menetas, kita berpecah dan mereka menghinggapi CH pula. Apabila telornya menetas, punah lagi dan telor mereka ini sedang dikedong oleh Guru Persatuan. Tunggulah saat dan ketika. Apabila telor tersebut menetas, pasti Guru Persatuan akan lari malam. Guru Wawasan sabar menanti. Tapi Guru Wawasan mempunyai kekebalan diri. Telor yang ada akan disambar segera bagi menguatkan telor yang sedia.

Apa yang nak dikata. Seperti yang saya tulis dalam karangan yang lalu. ”Orang biasa hanya suka bercerita dan mengenangkan peristiwa. Hampir keseluruhan isi percakapannya berkisar pada cerita. Hampir lapan puluh peratus bercerita tentang peristiwa yang berlaku. Sikap ini berbeza dengan orang yang tidak mencapai tahap biasa pun. Mereka ini hanya tahu mengata, mengumpat atau mengeji pada mereka yang terlibat. Berbeza dengan ahli-ahli silat yang berfikiran luar biasa. Mereka membincangkan isu, implikasi daripada peristiwa tersebut dan keseluruhan perbincangan adalah berkisar soal-soal yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada persatuan dalam konteks mengelakkan pepecahan. ”

Saya pernah menulis dalam karangan terdahulu tentang pelbagai golongan manusia seperti ayat di bawah,

“Small minds discuss persons.
Big minds discuss events.
Intelligent minds discuss ideas.”

Maknanya orang-orang yang berfikiran sempit dan teruk hanya berada dalam tahap suka mencaci dan mengata-ngata orang lain semata-mata untuk memuaskan tuntutan nafsu sendiri. Hal ini amat mendukacitakan kerana telah meyimpang daripada didikan SC. Mencaci membawa makna mencela dan menghina dengan tujuan merendahkan orang lain. Istilah-istilah lain seperti mengkritik, komen, mengulas dan pandangan kita sendiri walaupun berada dalam rumpun istilah yang sama tapi kategori dan tujuan yang berlainan. Walau bagaimanapun, budaya mencaci ini bukanlah budaya yang dipupuk sejak zaman Ustaz lagi. Sebaliknya, penuntut-penuntut SC dipupuk dengan nilai-nilai kesopanan yang terkandung dalam budaya tinggi. Ustaz selalu menekankan betapa kita perlu menjaga cara kita bergaul kerana, ”Kita selalu memberi isyarat tentang diri kita dengan perbuatan yang kita lakukan, air muka yang kita tunjukkan dan perkataan yang kita tutur.” Inilah sifat luar biasa yang ada di kalangan ahli-ahli SC.

Ajaran Guru kita yang hakiki sangat melarang kita daripada mencaci-caci. Dalam bidang persilatanpun, adat dan adab sangat diambil berat. Hebat macam mana silat kita sekalipun, janganlah mencaci silat Melayu yang lain. Apatah lagi sesama kita. Prinsip ini dijadikan salah satu daripada lafaz ikrar yang merupakan sumpah kita sebagai ahli SC. Mulut kita harus dijaga. Jangan begitu mudah ’gatal mulut’. Jika tak sesuai dan tak setuju, kita harus mendiamkan diri. Jangan banyak bercakap. Sesuailah dengan falsafah betapa, ”Tuhan anugerahkan kita dua mata, dua telinga dan satu mulut. Oleh itu, kita hendaklah melihat dan mendengar dua kali lebih banyak daripada kita bercakap.”

Ustaz kita dulu adalah manusia yang berfikiran luar daripada kebiasaan dalam konteks yang positif. Itu sebab SC dapat berkembang secara meluas. Sepatutnya murid yang terhasil juga adalah terdiri daripada mereka yang berfikiran luar biasa. Gunakan pemikiran yang hebat dan luas untuk menangani sebarang isu. Tapi seperti yang diyatakan terdahulu, ramai juga bekas orang kanan Ustaz yang berfikiran luar biasa tapi dalam konteks negatif hingga meranapkan persatuan. Mereka berfikiran luar biasa untuk sanggup berbuat apa saja bagi memenuhi impian diri mereka. Pemikiran mereka yang luar biasa itu telah berjaya menarik minat pemikiran ahli-ahli yang tak tentu hala.

Walaupun kita berasa silat kita berada dalam tahap yang tinggi tetapi kita tidak sombong. Ustaz selalu mengkiaskan sifat ini umpama padi yang sentiasa tunduk apabila berisi. Sikap ini berbeza dengan sifat lalang yang melambangkan keangkuhan tetapi tidak ada pendirian. Keputusan buah silat-silat Melayu lain yang hebat, telah dijadikan sebagai pelajaran bagi penuntut-penuntut kita untuk memahirkan gerak kita yang berasaskan kepada kaedah yang mantap. Walaupun buah-buah tersebut akhirnya ”ditumpaskan” dengan kaedah kita yang hebat tapi di satu saat dan ketika kita tetap tidak melupakannya. Hal ini bersesuaian dengan falsafah kita yang boleh dimaksudkan, ”yang pakai kita tak pakai, sebaliknya yang tak pakai itu kita pakai di lain ketika.” Tidak pulak kita meninggalkan terus buah-buah tersebut, apatah lagi mencaci atau merendah-rendahkan sifatnya. Lebih-lebih lagi tidak terlintas langsung di pemikiran kita untuk merendah-rendahkan pergerakan silat asalnya. Inilah salah satu aspek didikan yang ditanam di kalangan ahli yang menunjukkan betapa beratnya pendidikan silat kita atas sifat jangan suka mencaci.

Lihatlah betapa Ustaz menggunakan pemikiran luar biasa bagi mengolah dan meletakkan buah-buah tersebut dalam pelajaran SC tanpa mencaci silat-silat Melayu lainnya. Inilah yang dikatakan sebagai ’Intelligent minds’ yang dapat melahirkan idea yang terbaik buat SC sendiri.

Pemikiran menggunakan akal ini dipupuk di kalangan ahli sejak ahli tersebut menceburi SC. Sepatutnya penuntut terus terpupuk dengan pemikiran yang luas yang penuh dengan strategi bagi mencapai hasrat dan tujuan yang murni. Malah pergerakan SC yang dipupuk selama lebih enam bulan, penuh dengan pergerakan yang strategik bagi mengatasi kekuatan dan muslihat musuh. Sepatutnya, selepas tamat, manusia SC yang lahir adalah mereka yang berfikiran luas dan luar dari kebiasaan, lengkap dengan pemikiran yang strategik. Itulah latihan yang telah diberi dan diasuh selama ini kepada penuntut SC.

Kalau berlakunya kalangan ahli yang masih suka mencaci dan mengata-ngata, jelaslah betapa jauh kualiti yang sepatutnya ada sebagai ahli Silat Cekak yang sebenarnya. Atau mungkin keberkatannya sebagai ahli SC telah tiada. Atau itulah manusia yang berfikiran biasa yang dapat kita lahirkan. Kita akui bahawa mereka yang berfikiran luar biasa adalah kurang peratusnya. Kalau tidak mencapainya, menjadi manusia ahli SC yang berfikiran biasapun jadilah. Amat malang apabila kita melahirkan banyak manusia yang berfikiran sempit kerana penghasilan sikap itu menyimpang jauh daripada didikan yang cuba diterapkan sepanjang mereka menuntut lebih enam bulan dalam dunia persilatan SC.

Inilah pengalaman menarik yang saya dapat, hasil didikan Ustaz Hanafi. Pengalaman ini kerap kali saya sebarkan kepada mereka yang menuntut ilmu SC yang diamanahkan kepada saya. Tapi menebar jala di sungai, jangan mengharap semua ikan akan tertangkap. Banyak yang lepas diri. Lebih-lebih lagi ikan buntal yang keras kepala.