Tuesday, December 23, 2008

KELUARBIASAAN

PUNCA KUASA

Salah satu kehebatan SC adalah kerana silat ini kaya dengan falsafah, prinsip dan memupuk pegangan yang kukuh pada kalangan ahlinya. Oleh hal yang demikianlah menjadikan SC sangat dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat satu ketika dahulu. Silat kita dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa. Secara langsung ahli-ahli yang belajar atau menuntut silat ini diharapkan juga berfikiran luar biasa. Mereka dapat melihat sesuatu peristiwa itu secara matang. Misalnya kes-kes yang melibatkan pepecahan sesama kita. Kes yang berlaku sepatutnya ditangani secara pemikiran yang luar biasa oleh ahli silat yang selama ini dipupuk dengan sifat luar biasa. Orang biasa hanya suka bercerita dan mengenangkan peristiwa. Hampir keseluruha isi percakapannya berkisar pada cerita. Kalau merujuk pada kes En Mat, perbualannya hampir lapan puluh peratus bercerita tentang peristiwa yang berlaku. Sikap ini berbeza dengan orang yang tidak mencapai tahap biasa pun. Mereka ini hanya tahu mengata, mengumpat atau mengeji pada watak yang terlibat. Berbeza dengan ahli-ahli silat yang berfikiran luar biasa. Mereka membincangkan isu, implikasi daripada peristiwa tersebut dan keseluruhan perbincangan adalah berkisar soal-soal yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada persatuan dalam konteks mengelakkan pepecahan.

Saya selalu tegaskan terdahulu dalam karangan saya, yang berpecah di kalangan kita ialah Persatuan. Silat Cekak tidak berpecah. Silat masih sama. Sebagai ahli persatuan, pilihlah mana satu persatuan yang sesuai. Akan tetapi sebagai ahli silat, Silat Cekak tetap menjadi ikutan dan sebagai gerak utama. Oleh sebab persatuan ada kaitannya dengan Guru, sekali lagi di sini, fikiran amat memainkan peranan penting. Orang biasa akan membuat keputusan berdasarkan kebiasaan kawan-kawannya atau kebiasaan suasananya atau kebiasaan hatinya manakala orang yang luar biasa akan membuat keputusan berdasarkan pegangannya dengan merujuk pada falsafah dan prinsip yang ada dalam SC yang telah disemai dan ditanam dalam dirinya. Orang yang tidak mencapai tahap biasa pula hanya akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan untuk dirinya sahaja. Pandangan mereka kabur dek kerana bermata kayu.

Cuba kita rujuk tajuk di atas iaitu Punca Kuasa. Istilah ini adalah istilah moden yang merujuk pada asal usul sesuatu. Istilah ini meliputi soal-soal mandat, kuasa yang diberi, orang yang bertanggungjawab, peraturan dan sebagainya. Istilah ini bukan sesuatu yang baru dipakai dalam SC. Tapi disimpulkan begitu untuk menunjukkan dalam SC, kita mempunyai pegangan dan prinsipnya yang tersendiri. Cuba tanya diri kita, di manakah kedudukan kita. Adakah kita ahli silat yang luar biasa yang masih memegang pada pegangan yang dipupuk atau ahli silat yang biasa sahaja. Pemikiran diri banyak bergantung pada orang lain atau sebagai ahli yang membuat keputusan atas kepentingan diri semata-mata.

Sengaja saya tekankan istilah biasa dan luar biasa. Kita harus sedar bahawa perbezaan antara silat kita dengan silat-silat yang lain adalah kerana keluarbiasaan yang ada pada kita. Kerana luar biasanya maka silat kita sangat diminati oleh masyarakat hingga ada yang mengatakan bahawa SC-lah yang merupakan silat di akhir zaman dalam masyarakat Melayu. Bukan setakat pergerakan silatnya yang luar biasa tetapi cara pengajaran, cara menguji, cara menerima ahli, cara beradap sesama ahli, cara menamatkan kursus silat dan pelbagai cara lagi adalah di luar daripada kebiasaan berbanding silat yang lain. Ini bermakna penuntut-penuntut yang belajar SC dipupuk supaya mempunyai ciri-ciri penuntut yang luar dari kebiasaan. Sesungguhnya ciri-ciri ini telah diketahui dan dijejaki oleh ahli-ahli silat yang lain. Kerana itulah kita dihargai dan dihormati. Malangnya kita lalai untuk mengekalkan keadaan yang luar biasa ini. Kita lalai untuk berasa bangga atas sifat luar biasa yang selama ini telah terpupuk.

Dalam konteks silat, kita memahami tentang kedudukan Guru. Semua kita yang bersatu dalam SCH kerana adanya punca kuasa pada En Mat untuk menggerakkan SC. Semua mengakui mandat yang diserahkan kepada En Mat. Diterbitkan CD bagi menguatkan hujah-hujah betapa En Mat telah menerima punca kuasa daripada PA. Tapi bila pula En Mat menyerahkan mandatnya pada Guru lain. Maknanya Guru Persatuan yang ada, mana punca kuasanya. Lantikan persatuan tidak boleh disamaertikan dengan lantikan dalam persilatan. Oleh sebab perlunya prinsip Punca Kuasa, itu sebabnya pelbagai tohmahan dan alasan cuba disenaraikan oleh puak-puak Guru Persatuan untuk menunjukkan bahawa En Mat belum menerima punca kuasa sebagai Guru. Oleh itu lantikan Guru masih terbuka. Pada hal, mereka yang bercakap ini adalah mereka yang bermati-matian menegakkan kenyataan betapa En Mat telah menerima mandat daripada PA iaitulah sebagai punca kuasa pada masa baik dahulu.

Kita tinjau pula daripada segi persilatannya. Semua bersetuju bahwa SC adalah berpunca daripada gerak yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Semuanya mendakwa bahawa gerak silatnya adalah seperti mana yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Kalaulah itu isi percakapan mereka, mereka perlu merujuk isi pelajaran yang telah amanahkan oleh Ustaz. Itu sebab dalam karangan terdahulu, saya berpendapat bahawa buah-buah dan pergerakan SC perlu diasaskan pada pelarasan yang dibuat oleh Ustaz. Semua pembetulan atau teguran buah-buah yang ada perlu merujuk pada pelarasan tersebut. Pelarasan buah-buah atau gerak SC yang telah dibuat dalam zaman Ustaz adalah merupakan Punca Kuasa kita menyebarkan ilmu pergerakan SC. Kalau dibuat pelarasan lagi bermakna telah ada dan perlunya akan perubahan. Kalau berlaku perubahan, bukan lagi asli seperti yang diamanahkan oleh Ustaz. Kalau masing-masing menyelaras maka eloklah jangan mendakwa bahawa SC yang sedang dibawa adalah berasaskan gerak asal Ustaz Hanafi. Itu baru silat. Belum lagi kita membincangkan adat-adat yang berkaitan dengan silat. Limau purut, ayam petunjuk, mandi, kain putih dan sebagainya adalah bersekali dalam proses Ustaz menurunkan ilmunya. Kalau berlaku pelarasan dan perubahan, jangan pula didakwa pelakuan tersebut adalah warisan Ustaz Hanafi. Adakah salah untuk kita buat perubahan. Semestinya tidak salah. Tapi untuk mengatakan ilmu dan adat-adat tersebut berasal daripada Usraz, mana punca kuasanya kalau sudah berubah.

Saya timbulkan isu-isu tersebut di sini bagi menarik minat ahli-ahli sekalian supaya menegak dan mengekalkan prinsip yang ada dalam SC. Kita bergiat dalam SC semata-mata kerana minat dan keinsafan batapa silat ini perlu diwarisi oleh orang-orang Melayu. Secara langsung kita berharap supaya orang-orang kita dididik supaya menjadi bangsa yang mempunyai prinsip dan pegangan yang kukuh bersandarkan fakta dan bukannya ikutan. Saya selalu menyarankan betapa pentingnya kita hidup merdeka dalam konteks SC. Kita ada ikatan kerja kita sendiri yang dibayangi oleh peraturan yang mengongkong pemikiran kita. Jadikanlah SC sebagai medan untuk kita boleh berfikir dengan matang dan latihlah diri supaya kita dapat mengamalkan prinsip dan falsafah hidup dengan bebas dan sentosa.

Kita harus sedar bahawa dalam SC terdapat pelbagai lapisan murid silat dan ahli persatuan yang mempunyai kepimpinan asal yang bebeza. Ada yang berijazahkan Ustaz sendiri, ada yang berijazahkan PA dan ada yang berijazahkan En Mat. Sepatutnya, perbezaan dalam kepemimpinan SC tidak menjadi hal untuk menyebarkan SC, kalau prinsip asalnya masih berpegang teguh pada perjuangan Guru yang asal. Selagi mereka ini masih berpegang teguh pada prinsip tersebut, kenapa mereka perlu diganggu. Biarlah mereka berperanan untuk menyebarkan kegiatan SC tanpa mengira perbezaan pendapat dalam kes kepimpinan persatuan. Akan tetapi jikalau PA atau Guru Persatuan atau Guru Silat atau Guru Wawasan menafikan sejarah peranan dan sumbangan Ustaz Hanafi dan cuba keluar daripada bayang-bayang Ustaz, maka patut dan eloklah disingkirkan orang-orang yang tidak mahu berada di bawah tulunjuk guru tersebut. Itukan lagi molek dan adil namanya.

Walau bagaimanapun kerana pegangan dan prinsip ini jugalah yang menyebabkan perselisihan pendapat di kalangan ahli terutama di cawangan-cawangan yang agak jauh dengan pusat berlakunya kes yang mewarnakan corak baru dalam SC. Tambahan pula jikalau manusia yang luar dari kebiasaan pemikiran wujud di tempat berkenaan. Dan lebih-lebih lagi jikalau manusia tersebut merupakan orang lama yang mengasaskan penyebaran ilmu SC di tempat berkenaan. Mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas ekoran penglibatan yang lama dalam SC. Kesetiaan mereka sukar dinafikan selama berada dalam perjuangan yang dikehendaki oleh Allahyarham Ustaz Hanafi. Perjuangan atas kepentingan diri jauh sekali. Tidak ada jawatan yang ingin direbut. Tidak ada nama dan kemasyhuran yang nak dikejar. Matlamat utama ialah mengembangkan SC dan memasukkan prinsip dan falsafah yang boleh dijadikan pegangan pada ahli-ahli yang menuntut. Perbezaan pendapat dengan mereka amat menyusahkan. Untuk mengenepikan mereka mungkin sukar sedikit walaupun mereka difikirkan perlu untuk diketepikan. Hal ini demikian kerana masih wujud agaknya sikit-sikit nilai-nilai mengenang budi dalam diri yang mungkin tertanam sekian lama walaupun hidup segan mati tak mahu. Tetapi selagi orang-orang lama ini ada, peranan mereka umpama duri dalam daging. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kalau pegangan dalam silat agak rapuh maka hiduplah generasi baru yang mempunyai pegangan dan pendapat baru dalam keadaan serba salah. Hubungan generasi baru dengan mereka yang lama ini, agaknya lebih bersifat kepalsuan.

Tak boleh dinafikan betapa ramai kalangan ahli yang sudah ”fedup” akan situasi yang berlaku. Mereka cuba menyisihkan diri. Bila diajak berbual atas tajuk silat, cepat-cepat mereka melarikan diri. Bila cuba dihubungi melalaui telefon, dalam lima belas kali dail mungkin sekali diangkat. Minat mereka beralih angin. Yang berduit akan bermain golf, bowling, SPA dan cuba-cuba melanjutkan degree. Yang tak berduit, agaknya hanya boleh berjoging, bermain futsal dan sebagainya. Itulah pancaran hati atau leraian diri pada mereka yang kecewa agaknya. ”Hidup tak dikira rugi, mati tak dikira untung.”

Sekian buat masa ini