Monday, October 1, 2007

MENYAMBUT HARI KEMENANGAN

Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya. Hari tersebut merupakan Hari Kemenangan pada mereka yang berpuasa. Setiap perjuangan yang berjaya akan berakhir dengan kemenangan. Tapi ada yang berjuang tapi akhirnya tertewas.

Dalam SC, pelbagai pihak sedang berjuang. Perjuangan ini merangkumi tiga kumpulan utama. Masing-masing ada ketua dan memasang strategi. Kumpulan Silat dengan ketuanya iaitu Guru Silat yang ada caranya yang tersendiri, Kumpulan Persatuan dengan berketuakan Guru Persatuan, dengan caranya dan kumpulan Wawasan dengan Guru Wawasannya menyusun strategi yang berlainan pula. Masing-masing ada pengikut dan mempercayai akan misi yang mereka bina. Setakat ini perjuangan masih berterusan. Percaturan pengaruh masih tolak-menolak. Ramai ahli yang belum membuat ketetapan. Hati mereka perlu dimenangi. Pastinya di satu masa nanti akan ada yang mencapai kemenangan. Tetapi yang perlu pada kita ialah kemenangan hakiki. Kalau tidak, akan ada yang menang dahulu tapi kalah kemudian. Sama-samalah kita saksikan persaingan tersebut. Jangka masanya pasti lama. Mungkin bertahun-tahun lamanya. Maklumlah, bukan mudah membuat keputusan. Lainlah pada ahli-ahli JK Penyiasatan atau Kehakiman SC yang hebat dan cepat bertindak membuat keputusan. Mereka berjaya mengalahkan kebolehan mengeluarkan hukum para Yang Arif di sektor mahkamah negara ini. Tetapi ramai yang bersetuju bahawa mahkamah negara kita bertindak dengan adil dan tidak terburu-buru.

Proses pertandingan seumpama ikan lawan yang mengembangkan siripnya, ayam hutan yang mengembangkan sayapnya atau ikan buntal yang membesarkan badannya. Dalam bulan puasa, setiap kumpulan dengan program berbukanya. Masing-masing dengan tertibnya tanda diri berpuasa. Pada hari raya nanti, rumah terbuka akan dijadikan ukuran. Keramaian ahli yang datang akan menandakan kekuatan. Akan diwar-warkan program-program tersebut tanda ikatan kesetiaan dan kekuatan pengaruh, walaupun tanpa ada acara ikrar. Kadang-kadang dirasakan semacam tiada keikhlasan. Tapi itulah kenyataan.

Sungguh melucukan. Silat yang hebat di satu masa dulu dan dihormati oleh kawan dan lawan, akhirnya diaibkan begitu saja. Kecundang menyembah bumi. Hakikatnya, SC diaibkan oleh mereka yang menganggap diri sebagai pembela SC. Walau bagaimanapun, kita lupakan perkara tersebut seketika. Basi untuk tatapan minda. Tapi kita jangan lupa terus atau buat-buat lupa. Dua tiga kerat manusia dalam SC yang membuat keputusan maka ratusan ribu ahli berada dalam keadaan tak tentu hala. Kerat manusia tersebut masih berkuasa dan akan terus membuat keputusan sendiri. Tapi sampai bila. Mungkin sehingga mereka tersingkir atau tidak larat kerana sudah tua atau sudah tiada. Walaupun dikatakan mereka mendapat persetujuan daripada JK tapi kita tentu faham bahawa kerbau tetap ditambat hidungnya.

Bak kata pepatah, ”Kerbau sama kerbau berjuang, akhirnya pelanduk yang berjaya.” Pepecahan yang berlaku dalam SC benar-benar telah melemahkan ikatan ahli silat dan ahli persatuan dalam SC. Kekuatan terbahagi tiga. Strategi untuk memantapkan perjuangan SC yang sebenarnya telah terkeluar daripada landasan. Senyum yang diukir begitu hambar sekali. Masing-masing ada perasaan curiga dan perhubungan yang berlaku sungguh sumbing sekali. Ramai yang mengelakkan diri daripada berhubung sesama ahli. Takut kemesraan yang ditonjolkan tidak kesampaian. Pemberian ikhlas hanya untuk menjaga hati. Cuma konsep menjaga hati masih mengikat tali persahabatan. Tapi sampai bila. Akhirnya hati akan terluka. Ketika itu tiada ubatnya. Berpisahlah terus antara mereka. Sesuailah dengan pepatah kita. Jika kerana silat kita berjumpa atau bermesra maka kerana silat juga kita berpisah dan bersahaja. Pesaing kita dalam dunia persilatan begitu puas dengan apa yang berlaku. Betullah telahan mereka selama ini. Betapa wujud manusia rakus yang inginkan kuasa dalam Silat Cekak pada satu masa yang lalu. Ramai yang menafikannya. Mana mungkin anak murid Ustaz Hanafi berkelakuan sedemikian. Anak murid Hanafi adalah murid yang berpakaian rasinal dan tidak mudah melatah atau mengambil tindakan terburu-buru. Keluarga Ustaz tetap dihormati walau apapun yang terjadi. Itu sebab ramai, ahli tetap tak percaya tohmahan puak sana. Puak-puak tersebut menunggu masa yang sangat lama untuk membuktikannya. Nah! Sekarang baru padan muka. Betul tak apa yang dikata. Maka puak sebelah sana pun gah menyusun strategi untuk mengembangkan sayapnya. Tiada lawan untuk mereka lagi. Ahli-ahli kita masih berperang sesama sendiri. Kita masih menganggap bahawa mereka bukan saingan kita ketika ini. Kita asyik bersaing sesama sendiri untuk mendapat keputusan kemenangan hakiki. Jadilah kita umpama Pak Kaduk yang menang sorak tapi kampung tergadai. Menang jadi arang, kalah jadi abu.

Selagi wujud manusia dalam persatuan kita yang menganggap diri mereka sebagai penentu masa depan SC, kita tidak akan maju. Sungguh senang pada mereka bagi menentu atau membuat sebarang keputusan dalam SC. Alasannya bahawa mereka adalah pihak berkuasa yang menerima mandat daripada mesyuarat agung. Tapi ada yang tak sedar diri. Bukan mesyuarat agung yang melantik mereka tapi Presiden yang berbuat demikian atas peruntukan kuasa yang ada padanya. Kalau mereka ikhlas, buat segera mesyuarat agung dan biar ahli yang menentukan keputusan secara demokrasi. Dengan cara ini lebih banyak lagi pepecahan dapat kita bendung. Tapi apa yang kita harapkan tetap tidak berlaku.

Suasana yang ada sekarang ini kadang kala dirasakan bahawa puak-puak yang berkuasa tersebut benar-benar ingin merosakkan SC. Mereka sengaja membiarkan keadaan yang menentukan segala-galanya. Sekali sakala mereka mengadakan peraturan berbentuk tekanan. Masalahnya sekarang, adakah mereka inginkan penyelesaian segera atas kemelut yang berlaku dalam SC atau sengaja membiarkan persatuan terumbang ambing sebagai usaha memadan muka En Mat yang sangat dibenci oleh mereka. Kebencian ini melarat pada Mak Teh yang satu masa dulu sangat dihormati dan disanjungi. Mereka rela melawan Mak Teh dan memutuskan hubungan demi kepuasan diri dan naluri.

Kalau diri sudah dibenci, sepatutnya mereka membawa atau memencilkan diri. Tapi dek perasan sebagai pemegang amanah SC, mereka membuat keputusan untuk terus berbakti walaupun menyakitkan hati. Ramai orang yang diketepi. Namun, ramai juga yang menyindiri daripada kemelut yang ada. Muak atas tindak tanduk mereka.

Kita tidak dapat gambarkan dengan sejelas-jelasnya apa yang akan berlaku pada masa-masa berikutnya. Semasa kita berada di bawah payung Ustaz Hanafi, siapa sangka pepecahan demi pepecahan akan berlaku. Namun, perkara yang tidak disangka telah berlaku. Untuk masa depan, kita hanya boleh membuat telahan sahaja. Apa pun, adalah mustahil untuk kita mengembalikan semula kecemerlangan Silat Cekak.

Orang yang berasa hebat dalam SC, sentiasa menganggap dirinya serba tahu dan berilmu tinggi. Kerana itu mereka kurang merujuk pada orang yang berpengalaman dalam SC. Malah, mereka inginkan orang lain supaya sentiasa merujuk pada mereka. Kerap kali Guru yang ada disisihkan. Kepada mereka yang berbaik dengan Guru, senang-senang dicop dengan gelaran Taksub. Kalau murid dikatakan taksub, maknanya murid tersebut membuta tuli menghormati Guru. Hilang istilah kasih yang sepatutnya dirujuk kepada ahli yang berbuat demikian. Begitulah rendahnya anggapan mereka apabila diri mereka diketepikan oleh ahli-ahli yang rapat dengan Guru. Hakikatnya ialah mereka ingin menguasai persilatan SC.

Apabila kaedah tersebut gagal, mereka beralih pada Persatuan. Mereka faham bahawa persatuan adalah alat untuk mengembangkan silat. Dalam dunia moden sekarang ini, persatuan amat perlu bagi menggerakkan atau membuat sebarang program silat. Kalau dapat mengusai persatuan maka amat mudah untuk mengusai silat. Kalau sudah dirasakan betapa susahnya menguasai silat sebab ada Gurunya, maka jalan pintas yang mudah ialah menguasai persatuan. Bergegaslah mereka mengusai persatuan bagi menguasai dan menentukan hala tuju silat. Starategi perlu disusun. Selama ini mereka sentiasa diketepikan. Zaman Ustaz, mereka adalah peneraju utama. Tapi zaman tersebut telah berlalu. Pada mereka, zaman itu perlu dikembalikan. Itulah yang lebih utama; bukannya mengembalikan kegemilangan SC. Itu sudah menjadi nombor dua.

Niat jahat mereka semakin terserlah melalui beberapa pemikiran strategik yang dikeluarkan. Pengertian beberapa istilah senang-senang diubah. Misalnya istilah Guru dan yang berkaitan dengannya, Mandat, Adab dan Adat. Ramai ahli yang mempercayai mereka kerana mereka dikatakan golongan berilmu. Ahli-ahli yang berperasan diri mereka juga berilmu, begitu mudah menyokong golongan berpesatuan tersebut. Konsep ahli silat telah diketepikan. Pada hal mereka masuk persatuan kerana silatnya. Sepatutnya kesetiaan atau penghormatan mereka adalah berkait erat dengan Guru silatnya beserta adat dan adab dalam silat itu sendiri. Tapi apa kan daya. Orang berilmulah. Ilmu apa. Semestinya bukan ilmu silat. Orang berilmupun boleh melakukan jenayah. Ilmunya terletak pada rasional, bukannya pada hati yang tunduk pada ketetapan Ilahi.

Sama-samalah kita tunggu kedatangan Hari Kemenangan seperti yang dijanjikan. Menang pada kita tapi tewas pada orang lain. Mungkin juga hari tersebut merupakan Hari Ketewasan. Tewas pada mereka tapi menang pada kita. Apa saja kemungkinan yang berlaku, Allah lebih mengetahui apa yang dilakukan-Nya. Setiap peristiwa itu ada hikmahnya. Cuma, kita perlu bersabar dan menanti akan saat dan ketikanya. Selamat menyambut Hari Kemenangan. Itu pun pada mereka yang berpuasa.