Wednesday, October 10, 2007

PERSIAPAN DI HARI RAYA

Difahamkan bahawa sebutan kes En Mat akan didengar tidak berapa lama lagi. Ketika itu pastinya kedua-dua pihak ahli SC yang didakwa dan ahli SC yang mendakwa akan bersedia dengan hujah-hujah mereka melalui peguam masing-masing. Ramai saksi yang akan dipanggil. Untuk membuktikan nafsu serakahnya, beberapa individu yang bergelar isteri akan tampil ke depan mengemukakan bukti. Sebaliknya, untuk membuktikan wujudnya konsfirasi, sudah tentu beberapa tokoh yang dulunya terkenal akan disebut-sebut nama mereka. Kalah wirid haji. Kes ini mesti menarik. Banyak perkara yang akan ditelanjangi. Banyak nama akan timbul dan banyak isu akan didedah. Akhirnya, banyak persoalan yang akan muncul. Maka akan berbogellah Silat Cekak yang dulunya berpakaian megah di persada dunia. Walau bagaimanapun hingga kini, tarian bogel orang Arab masih terkenal dan diminati ramai. Namun, minat orang ramai bukan kerana tariannya tapi kerana bogelnya.

Pada pemulaan episod, atas prinsip menjaga nama baik Persatuan maka En Mat disingkirkan. Harapan atas penyingkiran itu, apa yang telah berlaku dan akan berlaku, tidak akan melibatkan persatuan lagi. Namun, bagaimana pula dengan silatnya. Bagaimana agaknya untuk kita memisahkan En Mat dengan SC. Yang menyingkirkannya ialah persatuan; bukannya ahli silat. Itu sebab masih ramai anak muridnya yang mengakui En Mat sebagai guru mereka. Mungkin di kalangan ahli persatuan, mereka boleh diyakinkan betapa pentingnya dasar pemencilan En Mat daripada persatuan. Kononnya dasar tersebut semata-mata untuk menjaga nama baik persatuan kalau En Mat dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Namun pada rakyat negara ini, mereka tetap kaitkan En Mat dengan Silat Cekak dan semestinya melibatkan Persatuan Silat Cekak. Kurang menyakinkan apabila dikatakan bahawa kalau wujud perbicaraan, Persatuan SC tiada kaitan. Tengoklah hakikatnya nanti. Ahli-ahli silat kita suka bercakap tentang hakikat. Hakikatnya Persatuan Silat Cekak tetap berkait dan dikaitkan. Sekurang-kurangnya kaitan atas dakwaan wujudnya pakatan untuk menjatuhkan Guru Utama atau kaitan En Mat dengan ahli persatuan yang dirunas segenap cerok dan sudut .

Lagi dua tiga hari kita akan menyambut Hari Kemenangan. Cuba bayangkan apa yang akan berlaku pada hari pertama bulan kemenangan tersebut. Banyak yang akan berlaku. Dari segi silat, sebelum kemenangan dirasai atau dilaung-laungkan, pastinya di pagi raya nanti pelbagai puak akan menziarahi makam Ustaz Hanafi. Itulah sahaja nampaknya usaha menunjukkan kesetiaan yang berterusan kepada Ustaz secara jujur. Untuk melafazkan ikrar taat setia pada perjuangan SC secara ikhlas, sukar sikit kerana Ustaz telah tiada. Ikrar setia pada penggantinya terasa bermain di hati. Jadi, ziarahlah tanda kesetiaan yang paling mudah. Tanda sayang pada pengasas Silat Cekak. Semestinya Al-Fatihah tidak akan dilupakan. Pada mereka yang berfaham moden yang menolak mandat, adat dan adab, pasti saknika bunga tidak akan dilupa. Modenlah katakan. Bunga ditabur tanda setia. Pelbagai puak akan duduk mencangkung muhasabah diri. Pada puak silat, perlu susun strategi, pada puak persatuan, usaha lagi dan pada puak wawasan, bila lagi. Itulah wirid di hati walaupun mulut kumat-kumit membicara isi hati. Mungkin juga ayat Kursi. Tanda ikrar di hati.

Di hadapan Makam Ustaz Hanafi jika bersemuka di pagi yang mulia, bagaimana agaknya puak-puak tersebut bertentang mata. Salamnya bagaimana rupa. Adakah salam disertai dengan perbuatan menghulurkan tangan, atau bagaimana pula. Sukar untuk menjawabnya. Yang pastinya segala-galanya akan menjadi hambar dan tawar. Keadaan ini belum diambil kira apabila puak-puak Pak Ak datang bersama. Cuma di hati ini berfikir sampai bila agaknya ahli-ahli Silat Cekak masih setia ke kubur Allahyarham. Jangan-jangan tahun ini sudah tidak ada. Adakah pihak keluarga mengadakan benteng utama. Lebih hebat daripada benteng asrama pudu. Tak kan kot!

Selesai ke tanah kuburan, mesti ada rumah terbuka. Menjadi tradisi, ramai yang berpusu-pusu ke rumah Mak Teh untuk berhari raya sebagai tanda setia pada Ustaz. Masih ada ke lagi tradisi ini. Ustaz telah tiada. Di mana tempat untuk menumpahkan sebak di dada atas pemergian Ustaz Hanafi. Selama ini di rumah Mak Teh lah sasarannya. Masing-masing bersalaman tanda ikatan mesra. Pelukan mesra tidak pernah dilupa. Tetapi raya ini bagaimana pula. Pastinya kedatangan puak Persatuan tidak akan disenangi. Lagipun Mak Teh akan berasa sukar untuk mengecam rupa mereka. Rupa mereka sudah semacam tak serupa manusia. Plenet mana agaknya. Hilanglah satu daripada tradisi berhari raya yang telah terbina sekian lama. Tangan bekas isteri Ustaz Hanafi tidak lagi dapat dikucupi tanda ikatan perjuangan mulia . Putus langsung hubungan sejati. Namun, sekeras mana akan diri, pasti terasa juga sayu di hati. Mereka tetap akan terasa. Maklumlah hari raya adalah hari terasa pada kebanyakan manusia kita.

Ustaz Hanafi telah pergi. Walaupun ramai ahli yang tidak pernah bersamanya, tapi Allahyarham tetap di hati mereka. Pemergian beliau telah meninggalkan ilmu yang sangat berharga dan Ustaz juga telah meninggalkan sebuah keluarga yang banyak berkorban untuk menegakkan perjuangan Silat Cekak. Perjuangan yang mereka katakan begitu suci. Sejauh mana tinggalan tersebut masih kita hargai. Kalau keluarga Ustaz Hanafi kita tolak maka tinggallah ilmu silat itu sahaja yang boleh kita banggakan. Tapi malangnya ilmu itupun banyak yang telah dirobak-robek hingga tak tentu hala dan hilang punca. Jadi, apa yang ada lagi. Tinggallah gigi dan gusi. Jangan-jangan gigi palsu agaknya. Tapi jangan lupa juga. Ustaz Hanafi ada meninggalkan murid. Ada murid lama. Tetapi ramai yang telah jadi bangka. Fikiran tak tentu hala. Itu sebab banyak celaru yang dibuat mereka. Ada juga murid baru. Mereka ini dikatakan sangat berilmu. Logik dan rasional mainan minda. Maklumlah. Bukahkah Silat Cekak itu ringkas. Maka ringkas adalah motto mereka. Lantikan guru mesti ringkas. Penyiasatan mesti ringkas. Hukuman mesti ringkas. Adat dan adab mesti ringkas. Semuanya mesti ringkas. Bergelarlah mereka golongan ringkas. Hukum hakam dalam SC adalah berdasarkan tafsiran mereka sendiri. Golongan Wawasan lah katakan. Amat ringkas sekali. Apakah pengertian Cekak pada mereka. Jawapannya amat ringkas. Itulah ringkas.

Pada tahun ini, hala tuju ke rumah terbuka akan menjadi lebih berfokas. Hala tujunya bergantung pada pegangan hati. Kalau hati berpegang pada persatuan, rumah Guru Persatuan atau rumah para pendokongnya akan menjadi tujuan. Kalau hati berpegang pada persilatan, rumah Mak Teh, rumah En Mat dan rumah para pendokongnya tetap diutamakan. Namun, orang yang berada di atas pagar lebih beruntung kerana boleh makan kiri dan kanan.

Oleh sebab tetamu mereka ahli silat dan ahli persatuan maka isi perbualan tentunya akan lebih membincangkan isu Guru dan persatuan. Masing-masing ada benang yang nak ditegakkan. Tokoh mana yang beruntung, sama ada tokoh silat atau tokoh persatuan, bergantunglah pada kerancakan perbualan. Kalau puak persatuan atau puak wawasan begitu lahap menghentam En Mat, maka beruntunglah En Mat kerana mengaut pahala yang berganda di pagi yang mulia. Begitulah sebaliknya. Ahli foram yang berkunjung sebagai tetamu akan terpaksa mengorbankan pahala yang dikumpulkan sepanjang bulan Ramadhan di samping korban wang membeli kuih atau hadiah berupa pemberian kepada tuan rumah. Begitulah hebat agaknya sambutan hari raya di kalangan kita. Cuma fantasi sahaja. Mungkin juga satu kenyataan.

Rumah terbuka akan dijadikan salah satu ukuran kekuatan pengaruh. Suasana yang wujud di hari raya akan di war-warkan serata yang boleh. Ruangan web akan dijadikan medan propoganda utama. Lagi banyak aktiviti beraya diadakan, lagi hebatlah kumpulan tersebut. Bilangan yang hadir perlu mencecah hingga empat angka. Baru hebat namanya.

Selepas berhari raya di hari pertama, apa pula yang akan berlaku. Pastinya cawangan-cawangan pun akan mengambil bahagian mengadakan Persatuan Terbuka. Tetamu jemputan merekapun pasti berfokas. Geng mana. Bermesralah mereka buat seketika. Mungkin ketika itu, isi hati mereka akan disimpan sepanjang bersuka. Yang pastinya apabila pulang ke rumah, isi perut pula yang akan diluahkan kerana terlalu banyak yang masuk tanpa ada sekatan di mana-mana.

Apabila habis musim raya, persiapan dan perancangan lain akan diberi tumpuan. Semuanya akan rancak kembali. Ketika itu tindakan penyingkiran akan berleluasa. Tidak kiralah sama ada ahli individu atau keahlian cawangan itu sendiri. Kes-kes saman di mahkamah akan berakhir dengan keputusan juga. Mesyuarat agung pasti akan diadakan. Kata mengata akan menjadi pokok utama. Ramai yang berjauh hati dan akhirnya menyindiri. Semuanya akan berlaku sama ada secara singkat atau lambat, sama ada secara sedar atau tidak sedar. Yang pastinya semuanya akan berlaku sebelum menjelang bulan Ramadhan dan Hari Kemenangan pada tahun berikutnya. Siapa yang masih tinggal lagi dalam arus perjuangan SC. Sama-samalah kita tunggu dan lihat sendiri. Laungan ”Hidup Cekak” semakin sayup kedengaran, diganti dengan laungan ”Hidup Diri”.

Cekak Oh Cekak
Kaulah kandil kemerlap
Pelita jendela di dalam gelap
Menyinari selalu
Tapi duluuuu.
Kini kau dah mula malap
Angkara timbul kongsi gelap
Terus berkongsi dalam gelap
Nikmat selalu.