Tuesday, September 18, 2007

PUDARNYA KEGEMILANGAN SILAT CEKAK

Tahun enam puluhan dan awal tahun tujuh puluhan, ada satu jenis silat yang tersangat hebat dan dilambangkan dengan semangat Tuah-nya. Perkembangannya meliputi seluruh negara dan menjadi kebanggaan masyarakat Melayu khususnya ketika itu. Kemegahannya menjalar ke luar negara dan menjadi sumber rujukan seni mempertahankan diri bagi orang-orang Melayu. Orang-orang Jepun sangat mengkaguminya apabila dipersembahkan seni silat tersebut di kalangan masyarakat mereka di sana. Maruah dan darjat silat Melayu telah terangkat pada satu tahap yang amat membanggakan. Seni mempertahankan diri dari luar pun kagum dengan kehebatan silat Melayu. Walau bagaimanapun kehebatannya tidak kekal lama. Apabila gurunya meninggal dunia, kemegahannya semakin malap. Pepecahan berlaku secara meluas. Mereka yang merajuk telah membuka persatuan dengan pengenalan silat baru. Masyarakat umumnya berasa sungguh kecewa. Ketrampilan silat tersebut tidak lagi seperti di zaman-zaman puncaknya. Puncanya tiadalah diketahui melainkan ahli-ahlinya sahaja yang boleh menjawab.

Awal tahun tujuh puluhan, Silat Cekak mula mengembangkan sayapnya. Kehebatannya terserlah di akhir-akhir tahun tersebut dan memuncak di era tahun lapan puluhan. Popularitinya setanding, malah melebihi kemasyhuran silat sebelumnya. Penguasaanya dalam dunia persilatan Melayu sungguh hebat. Tidak ada nama lain yang hebat ketika itu, melainkan SC. Mereka yang menjadi ahli SC akan berasa sangat bangga. Amat mudah pengambilan ahli baru untuk mengikuti kelas-kelas yang dianjurkan. Jika ada program-program besar yang dianjurkan oleh pihak kementerian atau NGO, pasti undangan bersilat diajukan kepada SC. Malah, setiap acara yang dianjurkan oleh SC, para pembesar yang dijemput akan tetap memenuhi undangan untuk perasmian. Hinggakan mereka yang terlalu megah dengan SC lantas membuat kesimpulan bahawa SC adalah merupakan silat akhir zaman. Mereka yakin, dengan kehadiran SC maka silat-silat lain akan tenggelam. SC adalah merupakan silat Melayu yang hak dan akan melonjakkan nama baik dunia persilatan Melayu. Pasti kehadirannya akan mengembalikan kemegahan silat Melayu di seluruh pelusuk dunia.

SC telah memainkan peranan untuk memodenkan pemikiran masyarakat tentang kefahaman mengenai seni bela diri. Dengan itu sesuailah motto silat Cekak iaitu berperanan sebagai peneraju mutlak. Kehebatan SC terus diperlambangkan dengan terciptanya lagu SC di samping ikrar yang terus-menerus dilakukan dari masa ke masa. Setiap aktiviti yang dijalankan atau dipertanggungjawabkan kepada SC, pasti akan membuahkan hasil yang memuaskan. Sentuhan ahli-ahli SC sangat menjadi. Gaya berjalannya pun boleh diketahui bahawa dia adalah ahli SC.

Dalam SC itu sendiri, penuh dengan adat dan adabnya yang tertentu. Kebanyakannya secara tidak bertulis dan diterima pakai oleh ahli-ahli yang mengikuti kelas-kelas SC. Kedua aspek itu terpupuk dengan begitu baik dan berlangsung dengan penuh kesedaran. Itu semua telah memantapkan pengurusan dan perkembangan SC. Soal mendapatkan jawatan atau gila kuasa adalah tidak timbul.

Setiap majlis penerangan yang diadakan pasti mendapat sambutan yang menggalakkan. Pusat-pusat pengajian menjadi sasaran utama. Adab berguru sentiasa diperhatikan oleh Guru Utama. Secara langsung wujud hubungan yang mesra antara Guru dan Murid. Masing-masing tahu akan peranan dan tanggungjawab mereka. Secara langsung suasana dalam SC sentiasa berada dalam keadaan aman. Kalau adapun ahli-ahli yang cuba buat kecoh, ahli tersebut akan ghaib secara beransur-ansur atau tenggelam begitu sahaja.

Apabila Ustaz Hanafi kembali ke rahmatullah, kepemimpinan SC mula bergolak. Nasib yang menimpanya adalah sama seperti silat Melayu yang terkenal hebat sebelum ini. Pepecahan mula berlaku. Pepecahan ini akan berturutan. Apatah lagi apabila soal pelantikan Guru tidak perlu diambil kira dari segi adatnya. Soal mandat terus diketepikan. MMK adalah badan yang berkuasa untuk membuat pelantikan. MMT hanya sebagai badan sosial sahaja. Oleh sebab pelantikan Guru adalah terbuka, siapapun boleh menjadi Guru dengan syarat mendapat restu MMK. Kaedah ini pastinya akan mengundang lebih banyak pepecahan. Jangan dihairankan apabila ramai nanti yang mengajar SC tapi dalam pengenalan yang berbeza-beza.

Di peringkat negeri, kita boleh lihat banyak pertubuhan silat yang berpecah apabila Gurunya meninggal dunia. Silat yang hebat di satu masa, tiba-tiba menjadi pudar kerana wujudnya perebutan kuasa. Ramai yang membuka pertubuhan baru untuk mengerakkan silat. Itu semua berlaku kerana tidak wujud lagi kesefahaman antara pemimpin-pemimpin atasan pertubuhan silat-silat tersebut. Keadaan tersebut sama agaknya dengan warisan orang-orang kita. Apabila si bapa yang kaya meninggal dunia, anak-anak berebutkan harta hingga menimbulkan pepecahan keluarga. Akhirnya semua anaknya hidup menderita dalam kesusahan. Kerana itulah agaknya, orang-orang kita berwaspada untuk meninggalkan harta pusaka melainkan saka yang tidak mudah untuk si anak berebut kuasa.

Mengapakah pepecahan ini perlu berlaku. Pelbagai alasan boleh dikemukakan. Yang pastinya pepecahan tetap berlaku kerana ini adalah budaya kita. Kalau silat-silat yang berpecah semakin layu, pasti keadaan yang sama akan dirasai oleh SC. Walau bagaimanapun, silat-silat yang berpecah tetap tidak akan lenyap. Cuma persatuan yang mengendalikan silat tersebut semakin lemah dan tidak teratur. Apabila muncul muka-muka baru yang cuba menerajui persatuan silat tersebut, pastinya semangat silat yang selama ini terpupuk akan berada di satu tahap yang asing dan berlainan sama sekali.

Mengenangkan sejarah yang telah berlaku dan memikirkan masa depan SC, hati mungkin terasa sayu. Silat kita pastinya tidak akan lenyap. Persatuan tetap tidak akan runtuh atau terkubur begitu sahaja. Kita ada perlembagaan yang didokong oleh persatuan. Hati kecil berkata-kata. Kalau persatuan yang paling berkuasa bermakna pemimpin-pemimpin persatuan akan menerajui pergerakan silat. Peranan Guru semakin pudar tapi diteguhkan dengan ikatan perlembagaan. Pastinya adat dan adab bukan matlamat utama melainkan peraturan persatuan perlu diambil kira. Saya dapat gambarkan betapa Guru yang terlantik akan terikat kaki tangannya kerana tunduk pada peraturan. Aspek pemikiran kreativiti sang Guru akan tersekat. Jika Guru engkar pada peraturan yang ada, tidak menjadi masalah untuk mengeluarkan Guru tersebut bagi diganti dengan guru yang baru. Itulah Guru Berpelembagaan namanya.

Cuba kita bayangkan masa depan SC secara rasional. Pepecahan semakin ketara. Mereka yang rasmi berpecah, pasti membuka persatuan baru. Tapi bagi mereka yang berpecah secara tak rasmi, pasti akan memencilkan diri dan tidak akan menyumbangkan apa-apa lagi dalam pergerakan silat. Akibat pepecahan dengan Pak Ak, ramai yang menjauhkan diri dengan SC. Kini berpecah lagi. Maka ramai lagi yang akan menjauhkan diri dengan SC. Teramat sayang jika di kalangan mereka tersebut terdiri daripada tenaga yang hebat dalam satu-satu bidang.

Ketika ini terdapat sekurang-kurangnya tiga kumpulan besar dalam SC yang berpisah secara rasmi. Ini tidak termasuk dengan kumpulan Wawasan yang akan muncul satu ketika nanti. Hakikatnya ketiga-tiga kumpulan itu tetap berpandukan Ustaz Hanafi. Masing-masing mendakwa kumpulannya yang betul. Kalau tak betul tak akan mereka mempunyai pengikut.

Untuk jangka masa yang terdekat ini, populariti Guru Persatuan kurang memuaskan. Masih ada cawangan-cawangan atau pusat-pusat latihan sama ada di pusat-pusat pengajian atau sekolah-sekolah yang terikat dengan mantan guru. Pasti keadaan ini tidak memuaskan hati pihak persatuan. Kalau berdasarkan Guru Silat, kita disogokkan dengan keberkatan Guru. Jika ingkar, alamat ’tulah’ yang menimpa. Kalau berdasarkan Guru Persatuan, kita disogokkan dengan peraturan dan undang-undang persatuan. Jika ingkar, alamat tindakan mahkamahlah akhirnya. Itulah kesimpulan yang akan menimpa pada mereka yang ingkar dengan kehendak persatuan.

Apa pun yang terjadi, Persatuan SC akan tetap berkembang tapi saya merasakan kehebatannya mungkin mulai malap. Masyarakat kurang menghormati kita lagi. Walaupun lebih senang kita meletakkan kesalahan pada En Mat tetapi jangan lupa bahawa cara kita mengendalikan masalah yang timbul dalam persatuan juga mungkin lebih menyumbang pada pepecahan yang lebih besar.

Seperti yang ditegaskan, Silat Cekak tetap tidak akan lenyap. Yang malapnya mungkin semangat persatuan yang mengendalikan silat. Kalau terlalu banyak pengaruh persatuan dalam perjalanan silat, maka hilanglah keistimewaan silat tersebut. Jadilah silat sama tarafnya dengan seni mempertahankan diri daripada luar negara. Ketika itu apakah keistimewaan yang ada dalam SC. Generasi baru tentu kurang memahaminya. Pada generasi lama tentunya ramai yang akan meninggalkan dunia. Terpulanglah kepada Guru Wawasan untuk wawasan seterusnya.