Saturday, October 20, 2007

SUMBER RUJUKAN

Blog-blog lain nampaknya telah berhenti menulis sama ada selamanya atau buat sementara waktu. Teringin membaca tulisan Linda khasnya. Tentu kulitnya putih gebu. Tapi saya akan terus menulis bila terdetik di hati. Saya tidak mahu mereka-reka cerita. Ilmu khashaf ke atau ilmu laduni ke jauh sekali bisik semak, memang tak ada pada saya. Tapi berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan pemerhatian, bila ilham datang, saya terus menulis. Saya ingin berkogsi pendapat. Lebih seratus muka surat telah diterbitkan. Pada generasi muda, gunakan fikiran terbuka. Simpan tulisan tersebut buat rujukan masa depan. Mungkin untuk dua puluh atau lima puluh atau berpuluh atau beratus tahun akan datang. Ketika itu semua generasi yang ada sekarang akan mati. Tapi bahan penulisan yang ditulis ketika ini boleh dijadikan rujukan. Generasi yang akan datang pasti ingin mengetahui betapa wujudnya Silat Cekak yang hebat pada satu masa dulu tapi tumbang dengan begitu cepat apabila Guru Utamanya mati. Kenapa terjadi demikian. Kenapa pula hak Ustaz melalui mandat kepada anaknya terputus dan diputuskan. Siapakah tokoh-tokoh yang terlibat dalam episod drama tersebut. Mana cawangan yang pro dan kontra. Semuanya terkandung dalam penulisan yang diterbitkan. Malah jika ada yang ingin membuat ijazah lanjutan atau doktor falsafahnya tentang silat, bahan-bahan tulisan tersebut amat berharga. Bukan sekarang tapi pada masa akan datang. Bayangkan hingga beratus tahun lagi. Tak payah khashaf-khasaf. Mereka boleh membuat kajian tentang betapa pentingnya seorang Guru silat yang hebat, menguasai ilmu berorganisasi; tidak semata-mata bergantung pada ilmu bisik semak ke atau apa-apa lagi yang tidak berpijak di bumi nyata. Pengetahuan guru tentang tindak-tanduk muridnya tidak hanya bergantung pada ilmu isyarat semata-mata tapi perlu ada ilmu saikologi, ilmu komunikasi dan beberapa ilmu si yang lain. Setakat ada ilmu makrifat, hakikat dan syariat tanpa berpakaian ilmu yang hujungnya si tersebut, akhirnya Guru sendiri akan ”si”. ”Si” cakap Cina, cakap Melayunya mati.

Kalau nak berbincang pasal silat, bincanglah dengan fikiran yang rasional bersandarkan fakta dan data serta berteraskan situasi dan amalan yang sedia ada dalam SC. Kita tak cari makan melalui silat. Silat hanya sebahagian daripada program mengisi masa lapang hidup kita. Tumpuan pada kerjaya dan keluarga adalah lebih utama. Jadi kenapa begitu beria-ria menegakkan sesuatu hingga melukakan hari orang lain atau merendah-rendahkan orang lain. Ada yang menjadikan musuh apabila tidak sama pendapat. Kecualilah jika kita mempunyai agenda yang tersembunyi dalam SC ini. Berfikiran terbukalah sikit. Tak kan lah kerana satu kesalahan maka segala-galanya buruk dan patut dikutuk hingga sanggup diri sendiri dikuasai oleh sifat amarah yang meluap-luap. Ingatlah kata-kata Tok Guru, orang yang selalu marah akhirnya akan diiringi oleh perasaan malu dan menyesal yang amat sangat.

Ketika hari raya yang lalu ada sahabat yang berasa hairan tentang tuntutan mahkamah daripada En Mat supaya mengembalikan semula haknya sebagai Guru silat. Hak yang telah dirampas oleh En Jo. Kalau En Mat menuntut, maknanya dia mengiktiraf bahawa kuasanya telah beralih pada En Jo. Secara langsung sahlah penguasaan En Jo terhadap Silat Cekak.

Saya tidak jelas akan sumber kenyataan tersebut. Akan tetapi, kalau kita hendak berbincang tentang apapun dalam SC ketika ini, perbincangan harus difokaskan sama ada perbincangan berdasarkan bidang persilatan atau bidang persatuan atau bidang wawasan. Bidang wawasan agak terhad sedikit kerana bidang tersebut masih berselindung pada bidang persatuan. Corak perbincangan akan berlainan jika bidang perbincangan berdasarkan sama ada persilatan atau persatuan.

Kalau berdasarkan persilatan, skopnya adalah berkaitan dengan adat dan adab. Kesetiaan ditunjukkan melalui perasaan hormat dan kasih akan gurunya. Puncaknya, kalau murid menderhaka maka hukumannya tidaklah seperti dahulu iaitu pertarungan senjata. Yang mati habis bicara dan yang hidup dianggap berjaya dan berjasa. Tapi dalam konteks sekarang, murid yang menderhaka cuma tidak diiktiraf oleh guru sebagai anak muridnya lagi. Ilmu yang ada padanya akan hilang secara beransur-ansur. Adakah hilang kerana ditarik oleh guru. Mengarut. Ilmu tersebut akan hilang kerana murid yang membenci guru pasti tidak akan mengamalkan pelajaran yang diberi oleh guru. Bencilah. Maka amalan persilatannya akan terbantut. Lama-lama akan lupa dan ilmu silat akan hilang dengan sendirinya. Ada juga ketikanya Ustaz mengambil balik uniform yang diberi sama ada mintak balik atau dibeli atas bayaran yang tertentu. Dalam SC, uniform adalah merupakan salah satu mandat keahlian SC.

Kalau kita berbincang berdasarkan bidang persatuan, skopnya adalah berkaitan dengan peraturan. Kesetiaan ditunjukkan melalui bacaan ikrar dari masa ke masa. Puncaknya ialah saman-menyaman di mahkamah. Yang berjaya akan dianggap betul dan yang kalah terpaksa menerima hakikat kekalahannya. Di negara kita, persatuan amat penting untuk mengerakkan silat. Tanpa persatuan, silat tidak boleh dikembangkan.

Berdasarkan fakta di atas maka perbincangan tentang tuntutan En Mat tersebut perlu dibahaskan dari sudut persilatan atau persatuan. Dari segi persilatan, beliau adalah sah sebagai Guru berdasarkan mandat yang diberi dan diiktiraf oleh muridnya. Apa perlunya beliau menagih lagi akan haknya sebagai guru silat. Tapi dari segi persatuan yang mempunyai peraturan dan undang-undang, mahkamah adalah penentu utama. Apabila En Mat menggunakan proses mahkamah, tindakan itu juga adalah betul supaya gelaran jawatannya sah dari segi persilatan dan persatuan. Silat dan persatuan tidak boleh dipisah-pisahkan. Saya masih ingat lagi ketika SC mengadakan mesyuarat agung sempena sepuluh tahun penubuhannya. Dalam mesyuarat agung tersebut, Ustaz Hanafi telah dicalonkan sebagai Presiden seumur hidup. Tapi ada pihak yang menentang usul pencalonan tersebut. Kenapa perlu Guru Utama menjawat jawatan presiden seumur hidup. Di manakah letaknya kepercayaan ahli silat terhadap gurunya yang dilantik sebagai Presiden. Tak kanlah ada antara ahli yang sanggup bersaing dengan Guru Utama untuk jawatan Presiden. Jadi apa perlunya presiden seumur hidup. Tapi ketika itu Guru Utama memikirkan betapa pentingnya jawatan Guru Utama bergelar Presiden seumur hidup. Melalui Setiausahanya ketika itu, saya difahamkan bahawa langkah tersebut sebagai persediaan, takut kalau-kalau ada antara ahli-ahli persatuan yang bertopengkan ahli silat merampas kuasa dalam SC melalui proses berpersatuan. Tambahan pula ketika itu ada ahli-ahli daripada satu pertubuhan politik sangat ramai yang menjadi ahli SC. Keadaan ini satu segi amat baik tapi dari segi yang lain menimbulkan perasaan waspada. Adakah mereka ikhlas untuk menjadi ahli SC atau semata-mata untuk menikmati keistimewaan dalam SC melalui pendaftaran sebagai ahli persatuan. Nampaknya Setiausaha SC ketika itupun tahu akan bahayanya jika Persatuan tidak diketuai oleh Guru Silat Cekak.

Maka itulah sebabnya apabila mereka benci akan En Mat, tindakan pertama yang dibuat ialah memisahkannya daripada persatuan. En Mat tidak sedar akan tindak tanduk ini. Mana perginya punesihat beliau hingga En Mat sanggup menyerahkan mandat Presiden kepada Naibnya. Satu tindakan yang menjerut diri sendiri. Inilah tektik yang berkesan kerana mereka yang sedar akan keperluan guru utama sebagai presiden dalam mesyuarat agung sepuluh tahun SC masih ada lagi dan turut membenci En Mat. Melalui pegawai DKK yang ada dalam persatuan ketika inilah tektik ini dijalankan. Mereka memperoleh kejayaan untuk menyisihkan En Mat hingga beliau berasa terkedu. Kita susah untuk berdepan dengan Pak Ak kerana beliau menguasai persatuan sebagai Presiden. Begitulah yang terjadi pada En Mat yang susah untuk berdepan dengan pihak yang menguasai persatuan.

Seperti yang ditegaskan sebelum ini, Ustaz telah meninggalkan ilmu persilatan yang hebat, meninggalkan keluarga yang telah berkorban dan di samping anak muridnya, Allahyarham juga meninggalkan persatuan untuk menggerakkan silat. Kalau adalah antara anak muridnya yang tidak turun padang mengembangkan silat Cekak dan menolak kaum keluarganya tapi semata-mata berpegang pada persatuan, eloklah fikir-fikirkan sama ada diri itu layak untuk bergelar pejuang atau pembela SC. Tapi kalau ilmu tidak dikembangkan dan keluarga ditolak, persatuan pun tak nampak rupa, kalau nak anggap diri sebagai pembela SC, eloklah cermin-cerminkan diri itu terlebih dahulu.

Tidak boleh dinafikan bahawa betapa SC berkembang dengan pesatnya, peranan orang-orang lama sangat besar. Masalahnya kita hanya merujuk orang-orang tersebut di sekitar ibu kota sahaja. Seolah-olah merekalah tonggak utama penggerak SC dari dulu hingga sekarang. Cakap mereka sahaja yang perlu diberi perhatian. Bagaimana pula orang-orang lama yang telah berhempas pulas menaikkan SC tapi berada di luar ibu kota atau mendiamkan diri buat seketika. Kenapakah pandangan-pandangan mereka tidak diambil kira. Puak-puak baru dalam MMK ramai yang muda-muda dan tidak merasai pahit maung menegakkan SC yang tercinta pada peringkat mula. Mana ada nastolgia yang mendalam tentang SC di kalangan mereka. Mudah sahaja mereka mengambil tindakan dan keputusan. Mandat jangan diambil kira. Adat dan adab dalam SC yang selama ini terpakai secara amali tanpa bertulis, telah dipermudahkan dan tidak diambil kira. Bagaimana pula ahli-ahli lama yang berada dalam persatuan. Ke mana mereka menghilang. Bukan menghilang tapi geram. Adakah patut dikata binatang. Tapi binatang apa yek!.