Saturday, October 27, 2007

BIINAATAANNGG

Pagi ini aku membelek-belek sebuah buku yang dikeluarkan oleh persatuan kita bertajuk, ”Silat Cekak Hanafi”, cetakan pertama , tahun 1998. Dalam ruangan Sekapur Sirih, tulisan En Mat, beliau mengucapkan penghargaan kepada Tuan Haji Amruddin dan Tuan Haji Nasir yang bertanggungjawab menyelaras penerbitannya pada tahun berkenaan. Tuan Haji Amruddin dalam kata-kata ruangan Pendahuluan, telah berharap agar buku tersebut dapat dijadikan panduan pada generasi sekarang dan masa akan datang mengenali dan menghayati silat pusaka bangsa Melayu yang tercinta. ”Untuk menjadi pengamal silat yang cemerlang, seseorang itu harus belajar Silat Cekak Hanafi secara praktikal melalui saluran perguruan dan buku ini menjadi pedoman yang sangat berguna.” Begitulah mantap kata-katanya.

Pada halaman pertama, ruangan Renungan, terpapar gambar Ustaz dengan kata-kata hikmatnya seperti yang berikut.

”Kita jangan cepat luntur dalam usaha mencapai matlamat perjuangan. Sekiranya kita tidak berjaya, anak kita akan mencapainya. Jika tidak, cucu kita akan mencapainya. Dan berusahalah bersungguh-sungguh hati serta bergantung hati pada Allah S.W.T.”

Sungguh indah kata-kata tersebut. Cuma adakah kita faham akan makna matlamat perjuangan seperti yang dihasratkan oleh Ustaz Hanafi. Pengertian perjuangan pada seseorang adalah pelbagai. Hanya bisikan hati sendiri yang boleh menjawabnya. Kalau perjuangannya untuk menentang khurafat dan tahyul maka bergeraklah dia untuk menumpaskan golongan toyol dan yang sama dengannya. Kalau perjuangannya ingin meluaskan ilmu SC maka turun padanglah dia tanpa mengira hari dan waktu. Kalau perjuangannya untuk membela bangsa dan agama maka seringlah mereka mengeluarkan ringgit belanja bagi membiayai usaha-usaha memartabatkan bangsa dan agama. Kalau perjuangannya untuk mendapatkan tempat dalam kepimpinan tertinggi dalam SC, maka menyusun strategilah si hamba Allah itu. Walau bagaimanapun, Guru Wawasan sungguh fasih akan matlamat perjuangan tersebut. Hubungilah beliau untuk keterangan lanjut. Kalau tak dapat hubunginya, sila hubungi si Linda. Malas bagi saya untuk mengulas maksud perjuangan dalam ruangan ini. Kita semua dapat perhatikan gelagat yang telah berlaku dan sedang berlaku. Malah sudah semestinya kita juga akan dapat membuat telahan atas apa yang akan berlaku.

Dalam ruangan ”Salasilah Perguruan”, jelas dinyatakan akan proses pelantikan Guru seperti yang dinyatakan dalam halaman muka 5, perenggan 5 hingga 9 seperti yang berikut:

”Semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau tidak menamakan sesiapapun di kalangan penuntut Silat Cekak sebagai penggantinya. Para pendukung Silat Cekak telah menunggu empat puluh hari untuk menamakan Guru Utama Silat Cekak. Dalam satu majlis yang dihadiri oleh pendukung yang termasuk Ahli Lembaga Pelajaran dan Tatatertib (Badan Tertinggi yang mentadbirkan Silat Cekak semasa hayat Ustaz Hanfi) balu Allahyarham dan anak-anak beliau, telah mengisytiharkan Encik Ishak bin Itam sebagai Guru Utama Silat Cekak pada masa itu. Pengisytiharan Encik Ishak berdasarkan bahawa Ustaz Hanafi telah memberi amanah kepada beliau untuk mengambil mandat perguruan sementara anak-anaknya cukup umur dan menjaga semua keluarga Ustaz Hanafi dengan baik.
Encik Ishak menjadi Guru Utama bermula dari tahun 1986 hingga tahun 1993. pada 19 Mei 1983 Encik Ishak, meyerahkan mandat perguruan Silat Cekak ini kepada Encik Mohd Radzi Bin Haji Hanafi, anak keempat daripada Allahyarham Ustaz Hanafi. Penyerahan mandat ini telah dilakukan secara empat biji mata dan disokong oleh dokumen hitam putih yang ditandatangani sendiri dengan rela hati dan di dalam keadan sedar oleh Encik Ishak dan Encik Mohd Radzi.
Majlis Pendukung yang mengisytiharkan Encik Ishak menjadi Guru Utama dalam tahun 1986 telah dipanggil bersidang pada 21 Mei 1993 dan menimbangkan kes penyerahan mandat perguruan yang dibawa oleh ahli keluarga Ustaz Hanafi dan didapati benar dan dilakukan dengan sewajarnya tanpa unsur-unsur paksaan dan mengisytiharkan Encik Mohd Radzi Bin Haji Hanafi sebagai Guru Utama Silat Cekak.
Namun begitu, sebilangan besar pentadbir Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia ketika itu telah gagal untuk menjalankan tanggungjawab mereka untuk menerima Encik Mohd Radzi sebagai Guru Utama Silat Cekak. Mereka telah cuba menghalang Encik Mohd Radzi dari menjalankan fungsinya sebagai Guru Utama dengan menggunakan kedudukan masing-masing di dalam persatuan.
Pada 5 Ogos 1994, Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia telah ditubuhkan. Persatuan ini telah mengiktiraf Encik Mohd Radzi Bin Haji Hanafi menjadi Guru Utama dan menjadikan persatuan ini sebagai jentera utama pergerakan Silat Cekak yang baru. Sejak itu Silat Cekak telah dikenali sebagai Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi. Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi merupakan Silat Cekak yang benar-benar diamalkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi.”

Pernyataan di atas amat jelas. Saya juga tidak berminat untuk mengulasnya. Nyata sekali betapa perlunya peranan Mak Teh bagi menentukan pengganti suaminya. Nampaknya peranan Mak Teh telah diambil alih oleh Pak Li, Pak Lan, Pak Am dan Pak Sir. Tok Guru Wawasan berpeluk tubuhnya sambil tersenyum sinis umpama buaya yang ternganga menunggu mangsanya. Hebatttttt. Ini belum lagi kita tonton CD Mak Datin yang dikeluarkan oleh Persatuan Silat Cekak atas pelantikan En Mat sebagai Guru Utama. Kenapa sekarang tulisan sejarah tersebut diketepikan. Inilah sebabnya maka saya mempunyai pendirian yang tetap tentang mandat dan saya selalu sarankan pendapat tersebut kepada kenalan rapat saya dan mereka yang pernah saya latih. Sekurang-kurangnya janganlah kerana Silat Cekak menyebabkan kita melatih diri kita menjadi manusia hipokrit dengan menafikan sejarah dan amalan, semata-mata menjaga hati kawan.

Bagaimana agaknya sejarah tersebut hendak disambungkan dengan pelantikan Guru Pesatuan yang baru. Puak-puak yang berkepentingan tersebut akan tetap mereka seribu alasan bagi meghalalkan cara dan kaedah yang mereka lakukan.

Suasana yang tidak tentu hala sekarang, segala-galanya timbul kerana wujud kebencian yang amat sangat pada En Mat. Bila timbul sahaja kes pencabulan, walaupun bukan dakwaan utama dalam surat pengaduan yang disebarkan, telah dijadikan alasan kukuh untuk menghukum En Mat yang mereka gelar ”Harimau Berantai”. Untuk meluaskan perasaan benci mereka pada punca kejadian En Mat, maka Mak Teh dijadikan sasaran. Apabila timbul sahaja kes ”binatang”, tanpa tunggu bicara, telah dijadikan alasan untuk menyisihkan keluarga. Hebat sungguh perjuangan mereka menurut tafsiran mereka atas harapan Ustaz dalam ruangan ”Renungan” tersebut.

Kenapa perlu mereka marah pada Mak Teh yang menggunakan istilah binatang. Taraf Mak Teh pada saya lebih kurang sama dengan Ustaz dalam perjalanan dan perjuangan SC. Itu sebab suaranya tidak diketepikan dalam pelantikan Pak Ak dan En Mat. Kalau sensitif dengan gelaran binatang, Ustaz pun sering menggunakan istilah binatang dalam syarahan atau ucapannya atau perbualannya sama ada sebagai kiasan atau sebagai amaran. Cuma saya lihat, Mak Teh lebih berani dan lebih direct tapi tidak merujuk binatang jenis apa. Sebaliknya Ustaz menyebut nama binatang untuk dijadikan panduan, batasan dan amaran kepada anak-anak muridnya. Cuba kita kongsi pengetahuan tentang sebutan nama-nama binatang tersebut secara ringkas sepanjang ingatan saya bersama dengan Allahyarham. Untuk memudahkan perbincangan tentang maksud binatang, apa saja selain manusia, itu adalah binatang seperti yang dinyatakannya.

Ustaz sering menggambarkan anak murid yang kurang bercakap tapi banyak menjalankan tugas dan menjadi orang harapan SC sebagai AYAM sabung yang berkokok pendek. Nilainya berdasarkan ekor. Ini berbeza dengan ayam yang berkokok panjang tapi nilainya berdasarkan kati. Cakap sahaja lebih tapi tidak ada nilai sama ada isi percakapan atau nilai dirinya sendiri. Pendapat kita pada asasnya betul tapi lebih condong ke arah ilmu dan pengalaman yang ada pada diri sendiri. Orang yang berfikiran luas dan berilmu dapat membuat kesimpulan yang tepat dan bernas. Keadaan ini sama seperti manusia buta yang memegang GAJAH. Tafsiran gajahnya hanya berdasarkan apa yang dipegang. Kalau ekor dipegangnya, maka itulah gajah pada tafsirannya. Berbeza dengan orang celek yang dapat memandang secara keseluruhan. Binatang ULAR sering dikaitkan dengan SINGA. Jangan jadikan diri seperti ular yang bersifat khianat. Sifat dan sikapnya mematuk mangsa hingga mati dan dibiarkan begitu sahaja. Lebih baik binatang singa daripada ular. Sekurang-kurangnya binatang yang dibunuh singa dijadikan bahan makanan. Ustaz tersangat benci sifat anak muridnya umpama LALAT dan BIAWAK. Jenis lalat adalah jenis murid SC yang suka membuat kacau dan berperanan sebagai perosak. Apa saja yang baik akan musnah jika manusia jenis ini wujud pada situasi tersebut. Hubungan baik akan bertukar rosak apabila manusia toksid ini timbul. Akan tetapi jika dinasihat, tetap dengan amalan buruknya, manusia itu adalah biawak yang tetap memilih bangkai. Itu sebabnya jangan hairan betapa Ustaz menyebarkan fahaman yang benar dan baik, betapa En Mat dan wakilnya menanam fahaman yang benar dan sepatutnya, ahli tersebut akan tetap dengan pemikiran buruknya. Sebaliknya, murid yang baik adalah murid yang dapat memainkan peranannya umpama LEBAH dan IKAN. Sebagai lebah, ke mana dia pergi, kebaikan dan kelebihan akan muncul. Kalau ada ahli yang bersifat sedemikian, apabila pergi mana-mana cawangan atau pusat latihan, maka cawangan dan pusat latihan tersebut akan bertambah maju. Berbeza dengan lalat. Kedatangannya akan membenamkan cawangan atau pusat latihan teresebut.

Kita disarankan agar mempunyai pendirian nyang tetap dan tidak berubah-ubah. Pendirian ini mestilah berdasarkan kebenaran dan rujukan pada mereka yang berilmu dan mahir dalam bidang tersebut. Lautan yang masin, masih tidak dapat memasinkan ikan yang hidup di dalamnya. Kalau ada ahli yang senang-senang tukar Guru, jenis binatang apa agaknya. Kerana itu juga saya sarankan jangan ada kelas-kelas yang banyak guru. Kalau En Mat yang mulakan ijazahnya maka biarlah dia yang mengakhirinya. Kalau ada kelas yang membenarkan En Jo menyambung tugas En Mat, pasti penyelianya sama ada Lalat atau Biawak.

Sebagai ahli SC, saranan dan pelambangan yang dibuat oleh Ustaz hendahlah dijadikan iktibar. Kita bukan belajar setakat kemahiran dua tangan dan dua kaki, tapi juga mempunyai pemikiran yang matang dan sentiasa berfikir. Ustaz banyak kali bersyarah dan bercakap. Ramai yang syok mendengar syarahannya daripada segi stail dan nada syarahan atau percakapan. Tetapi masih ramai antara anak muridnya yang dapat menilai isi percakapan untuk dijadikan pengajaran dan pegangan. Murid-murid ini adalah jenis berfikir dan sentiasa mencari jalan untuk memperkayakan diri dengan ilmu dan pengalaman. Setelah Ustaz meninggal, mereka akan sedaya upaya mengekalkan kulit dan isi, roh dan fizikal SC seperti mana yang diterima daripada Allahyarham. Jika ada antara ahli yang bergaul atau mengambil SC melalui mereka ini, maka beruntunglah ahli tersebut. Tapi ada juga kalangan ahli tersebut yang ”menentang” kerana pertentangan sama ada pendapat atau hubungan dek kerana pengaruh yang lain. Sahlah perangai biawaknya.

Ramai yang berguru dengan Ustaz, tapi tidak ramai yang dapat berfikir dan menambahkan ilmu sama ada melalui isi percakapan atau pergerakan silatnya. Ketika Ustaz menunjukkan kebolehannya bersilat, ramai yang terpegun dan mengkagumi kehebatannya. Tetapi ada kalangan muridnya yang tidak mementingkan soal kehebatan Ustaz tersebut. Ustaz memang hebat. Apa perlu kita persoalkan atau kita kagumi. Yang penting, lihat cara pergerakannya dan bagaimana pergerakan tersebut dapat dimiliki oleh diri kita sendiri. Mereka ini sentiasa berfikir dan merujuk pada Ustaz dalam usaha menguasai pergerakan tersebut. Golongan inilah yang sentiasa dapat meningkatkan ilmunya dalam SC.

Begitu juga dengan percakapan dan syarahannya. Ramai yang kagum dan menikmati kesedapan Ustaz bersyarah. Tetapi masih ada kalangan muridnya yang memikirkan isi percakapan Ustaz dan merujuk Ustaz untuk maksud mengaplikasikan pada dirinya dan dalam kehidupan seharian. Dengan itu apa yang disarankan oleh Ustaz, akan dapat dipraktikkan dan dijadikan prinsip dalam hidup. Amat malang sekali apabila wujud manusia yang mengkagumi Ustaz hanya di peringkat lapisan luaran sahaja tanpa menjadikan isi pengajarannya untuk amalan dan pegangan hidup. Itu sebabnya apabila mereka berkuasa, kita berasa hairan tentang kenapa murid Ustaz boleh bertindak sedemikian rupa. Macam kita tak boleh percaya akan tindak tanduknya.
Manusia ini jenis binatang apa. Lebih malang lagi apabila wujud manusia yang tak pernah menemui Ustaz tapi menggunakan kata-kata Ustaz dan pergerakan silat yang dikatakan diambil daripada Ustaz untuk menegakkan pendapat ketika berbincang dan ketika bersilat. Sungguh mengharu dan menyayukan.