Sunday, May 1, 2011

KENANGAN 45.


KENANGAN MANIS.


Setiap kali berbual atau ditemu ramah, maka soalan yang sering ditanya ialah kenangan manis saya ketika berada dalam SC. Saya selalu mengelak daripada menjawab soalan tersebut secara langsung. Saya berpandangan bahawa sesuatu kenangan yang dikatakan manis, akhirnya ada juga menjadi pahit. Sebaliknya, sesuatu kenangan yang pahit, akhirnya ada juga membawa kenangan manis. Oleh itu, pahit atau manis adalah berkaitan dengan tafsiran kita. Kalau kita kata manis, maka manislah peristiwa itu. Kalau kita kata pahit maka pahitlah peristiwa atau sesuatu kenangan itu. Lain orang maka lainlah tafsiran dan pandangannya.

Kenangan manis biasanya dikaitkan dengan sesuatu kenangan atau peristiwa yang menyeronokkan atau menggembirakan hati. Kegembiraan itu meliputi sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Sudah semestinya peristiwa itu ada kaitan dengan diri kita sendiri. Dalam tulisan ini saya akan berkongsi peristiwa-peristiwa yang telah membawa kenangan manis dan menyenangkan diri saya sepanjang berada dalam SC. Walau bagaimanapun, ada antara peristiwa tersebut akhirnya membawa kenangan pahit.

Semasa saya berada di Pusat, iaitu di Lorong Haji Sirat dan Jalan Putera, kenangan manis bersama Ustaz adalah merupakan sesuatu yang tidak mudah dilupakan. Banyak pengalaman, pengetahuan dan tunjuk ajar yang berkaitan dengan dunia kehidupan dan dunia persilatan telah saya peroleh. Oleh itu, saya sangat-sangat menghormati Ustaz sebagai individu yang banyak mempengaruhi corak kehidupan saya. Kata-kata Ustaz saya jadikan prinsip hidup terutamanya dalam dunia kerjaya saya. Saya akan bincangkan hal tersebut dalam satu tajuk yang khusus. ”Kenangan Bersama Ustaz” dalam tulisan yang lain.

Selain kenangan bersama Ustaz, pelantikan saya sebagai Jurulatih SC juga adalah merupakan satu kenangan yang amat manis dan amat berharga pada diri saya. Perjawatan Jurulatih telah memberi ruang kepada saya untuk membentuk sifat bertanggungjawab, amanah dalam menjalankan tugas dan memberi kemahiran berjawatan tinggi bagi menjalankan atau mengendalikan organisasi persatuan.

Ketika itu, menjadi Jurulatih adalah merupakan satu penghormatan yang amat tinggi nilainya. Bukan mudah untuk menjadi Jurulatih. Walaupun cadangan daripada Jurulatih ’senior’ perlu ada, namun begitu kata putus pemilihan Jurulatih adalah terletak pada Ustaz. Saya telah bincangkan dalam tulisan terdahulu tentang konsep memandu merupakan asas penting pelantikan seseorang Jurulatih. Saya sendiri dapat saksikan betapa ramai ahli yang ’hebat’ tapi tidak dilantik Ustaz sebagai Jurulatih. Hal yang demikian tentu ada sebabnya. Sekurang-kurangnya dalam tulisan ini, kita boleh bincangkan dalam dua sebab utama sebagai asas pemilihan Ustaz untuk menjadikan seseorang itu tidak terpilih sebagai Jurulatih. Saya simpulkan berdasarkan perbualan saya dengan Ustaz.

Pertamanya ialah bentuk penghormatan ahli berkenaan pada Ustaz yang masih boleh dipersoalkan. Jiwanya tidak begitu ’tunduk’ pada Ustaz. Hal yang demikian ada kaitannya dengan perasaan atau kesetiaan atau pengenalan diri pesilat itu yang masih dihubung kait dengan persilatan yang lain. Selagi orang itu tidak dapat meyakinkan komitmennya pada SC maka selagi itulah peluangnya untuk terpilih sebagai Jurulatih SC adalah tipis.

Namun begitu, ada juga kalangan mereka yang hebat dengan persilatan lain tapi tetap ’tunduk’ pada Ustaz dan tunduk sepenuhnya pada ilmu yang dibawanya. Orang-orang ini telah dapat ’menyenangkan’ pelbagai pihak dalam SC. Ustaz telah melantik mereka sebagai Jurulatih. Walau bagaimanapun setelah Ustaz ’kembali’, ada yang berpaling tadah meninggalkan SC dan ada yang menjadi pemecah belah ketika ini. Tidak mengenang budi.

Keduanya ialah kehebatan mereka tidak disertai dengan kebolehan untuk menyampai. ”Tak rerti cakap.” Boleh buat buah tapi tidak boleh menerangkan akan cara-cara gerak yang betul itu terjadi. Kalau ibarat air, mungkin mereka boleh diibaratkan sebagai ’air mustakmal.’ Air yang suci tapi tidak boleh menyucikan. Tidak boleh buat air sembahyang.

Konsep air mustakmal memberi makna, ahli berkenaan cekap dan hebat. Tapi untuk pakaian diri. Untuk membuat penerangan, mereka kurang kemampuan. Kalau mereka menumbuk, akibatnya pesilat akan mudarat. Kalau pesilat yang menumbuk, juga pesilat berkenaan yang akan menerima kemudaratan. Ramai tokoh yang boleh saya namakan. Tidak sesuai dinyatakan dalam tulisan ini. Takut perasan.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan air mutlak yang bersifat suci, lagi menyucikan. Boleh buat air sembahyang. Orang-orang jenis ini adalah dalam kalangan mereka yang boleh menyampaikan pelajaran dengan tersusan dan mudah difahami penuntut. Cakapnya adalah serupa bikin. Mereka yang berada dalam kalangan sifat tersebut tentunya akan menjadi seorang Jurulatih yang amat berkesan dan disukai penuntut dalam proses penyampaian ilmu SC.

Apabila saya dilantik sebagai Jurulatih, saya berasa sangat puas. Hal yang demikian membuktikan saya berupaya untuk menyampaikan pelajaran SC dan berupaya untuk menyebarkan SC. Pelantikan sebagai seorang Jurulatih bermakna saya telah diberi penghormatan berbuat demikian. Apabila saya pulang ke kampung, dengan mandat yang ada pada saya sebagai Jurulatih, memudahkan saya membuka SC sebagai satu cawangan.

Kenangan bersama rakan-rakan di dua-dua tempat iaitu di Lorong Haji sirat dan Jalan Putera’ membawa banyak kenangan manis. Rasa-rasanya ketika itu, persefahaman dalam kalangan kami boleh dianggap akan terus berkekalan. Kami saling menghormati antara satu sama lain. Hal yang demikian kerana kami mempunyai tanggungjawab yang serupa dalam memperjuangkan SC. Persefahaman antara kami telah menerbitkan sifat menghormati dan sentiasa bersifat ingin menolong atau membantu antara satu sama lain. Ketika itu.

Saya masih ingat betapa kepimpinan tertinggi CM ketika ini yang sentiasa dibantu pada satu ketika yang lalu. Ketika itu beliau menjaga kedai runcit. Manakala saya sedang menuntut. Setiap pagi ada seorang ahli yang sekarang ini orang kuat akademik yang menumpangkan kami untuk pergi ke destinasi masing-masing. Kebetulan ketika itu sahabat saya itu baru beli kereta kerana baru bekerja. Setiap pagi kami akan berkumpul di Jalan Putera sebelum menumpang kereta ahli berkenaan. Hubungan kami ketika itu begitu mesra sekali. Mana sangka akan bertelagah. Rupa-rupanya, yang tak pernah sangka akhirnya jadi sangka. Kami berpisah pada tiga jalan yang berlainan dalam perjuangan SC. Tapi masih mendakwa Pusaka Hanafi.

Kawan saya yang menumpang itu terus dibantu oleh kawan-kawan yang lain. Kain putih, uniform silat, kain baju Melayu dan sebagainya telah diberi kepercayaan kepada beliau untuk mengurusnya. Hebat dan berkemampuan. Lama-lama lupa daratan. Adik beradik Si Tanggang. Lupa jasa baik orang lain pada dirinya. Malah mula lawan ’tokeh’. Guna kekayaan untuk mencari pengaruh dan menagih sokongan. Itulah tabiat berpersatuan. Akhirnya dapat habuan. Jadilah beliau sebagai guru pada persatuan SC yang kini asing pada generasi baru. Itulah yang dikatakan peristiwa manis yang akhirnya menjadi pahit.

Ramai dalam kalangan sahabat-sahabat yang sama gelak, sama ketawa dan sama sedih, akhirnya telah menjadi musuh. Mungkin musuh tersebut bukan bersifat peribadi, sebaliknya musuh dalam persilatan. Bila berjumpa, banyak sekali prasangkanya. Percakapan atau perbualan menjadi tawar dan hambar. Mata sesama mereka kurang dapat bertentang. Itulah juga dikatakan peristiwa manis yang berakhir dengan kepahitan.

Kenangan manis yang lain ialah peluang membuat pertunjukan silat. Dalam pertunjukan tersebut, peranan yang diberi adalah sebagai hero. Ketika itu, acara empat serang satu adalah merupakan acara yang cukup menarik dan mendapat sambutan hebat daripada penonton. Apabila diri dipilih sebagai ’hero’nya, tentulah wujud satu kepuasan yang tidak terhingga. Setiap pertunjukan disaksikan oleh orang ramai. Diri sungguh bersemangat dan berasa hebat apabila menerima tepukan atau pujian. Itulah sifat manusia yang sentiasa inginkan penghargaan. Selesai pertunjukan, sifat diri menjadi puas. Tak payah makan. Kepuasan yang diperoleh boleh ’mengenyangkan.’ Kepuasan itulah yang membawa kenangan manis yang amat sukar untuk dilupakan.

Apabila menjadi pemimpin di peringkat cawangan, bertambah lagi kenangan manis yang diperoleh. Salah satu kenangan manis yang tidak mudah dilupakan adalah peristiwa yang berkaitan dengan kempen-kempen atau usaha-usaha membuka kelas.

Setiap kelas yang ingin dibuka, kami akan bertindak dalam dua bentuk. Bentuk pertama ialah berkempen secara lisan dan keduanya secara sebar luas publisiti melalui pertunjukan secara besar-besaran. Nampaknya kempen secara lisan lebih berkesan kerana hubungan terus dengan peminat SC dapat diadakan.

Penerangan secara lisan adalah secara mengumpul mereka yang berminat untuk mempelajari SC di satu-satu tempat. Saya akan membuat penerangan. Serentak dengan penerangan itu disertai dengan pasangan silat yang akan menegaskan dan melengkapkan penerangan tersebut. Setelah itu kami akan mengadakan majlis dailog. Maka bertanyalah mereka dengan pelbagai soalan dan persoalan. Semuanya dijawab. Tak tahupun, saya tetap jawab. Pengesahan kemudian. Balik rumah, kadang kala senyum sendirian. Satu kepuasan. Kepuasan itu membawa kenangan manis.

Untuk menyebarkan publisiti secara meluas, pertunjukan SC akan dijadikan agenda utama. Sebelum tarikh pertunjukan, kempen-kempen untuk menarik kehadiran penonton sangat giat dilakukan. Kami akan membuat beberapa helai kain rentang. Kain-kain rentang tersebut akan dipasang dua atau tiga minggu sebelum pertunjukan. Ketika itu nak tempah kain rentang seperti sekarang tidak ada tempat yang berbuat demikian. Oleh itu, kami akan bergotong royong untuk membuat kain rentang tersebut.

Pelbagai teknik membuat kain rentang telah dilakukan. Ada ketikanya kami menggunakan ’pelasterin’ untuk membentuk huruf. Huruf-huruf yang dibentuk akan ditampal pada kain rentang tersebut. Ada kalanya kami menggunakan blok-blok huruf yang dijadikan acuan untuk disembur cat pada kain rentang. Semuanya dilakukan mengikut masa dan kesesuaian.

Walau apa cara yang dilakukan untuk membuat kain rentang, hubungan dan kerjasama yang erat sesama kami telah membawa banyak kenangan manis. Ada yang membawa ’bekalan’ dari rumah sebagai juadah untuk dikongsi makan bersama ketika bekerja. Lebih-lebih lagi jika kerja-kerja tersebut bermula dari larut malam. Kerja-kerja membentuk perkataan pada kain rentang selalunya tersedia pada waktu pagi. Pada waktu tengah hari kain-kain tersebut dijemur bawah sinar matahari. Ketika itu, banyak ayam dan itik yang dibela. Maka bergilirlah kami menjaga kain-kain rentang tersebut daripada tercemar najis atau lukisan kaki ayam dan itik.

Setelah kain rentang disiapkan dalam bilangan empat atau lima, maka kami akan rentangkan kain rentang tersebut di tempat-tempat yang strategik. Kebenaran daripada pihak Bandaraya telah diperoleh terlebih dahulu. Kain-kain rentang itu akan dipasang selepas waktu tengah malam. Oleh itu pada malam aktiviti pemasangan kain rentang tersebut akan dilakukan, kelas silat yang diadakan akan terus berlangsung hingga lewat malam.

Banyak perkara yang dibualkan. Cukup masa maka kami berkereta ke tempat-tempat berkenaan. Biasanya, jumlah kami adalah berempat. Dua orang akan membuka kain rentang orang lain yang telah luput tarikh aktiviti, manakala dua orang lagi akan menggantikan ruang tersebut dengan kain rentang kami. Setelah selesai, kami akan ke restoran. Hampir jam dua atau tiga pagi baru balik ke kelas silat bagi mendapatkan kenderaan sendiri. Kenangan manis yang tidak mudah dilupakan.

Pada hari pertunjukan maka kami akan mengadakan persembahan. Sekali lagi banyak kenangan manis yang kami peroleh. Sebelum itu kami akan bertukar-tukar fikiran tentang bentuk persembahan. Banyak peristiwa lucu yang terjadi dalam proses kemenjadian persembahan. Biasanya majlis diskusi tersebut akan diiringi dengan gelak ketawa.

Selesai pertunjukan, ramai yang mengambil borang untuk berdaftar sebagai ahli. Tapi, pulangan borang amat dingin sekali. Berdasarkan kajian, kemasukan ahli-ahli baru di tempat kami lebih banyak bergantung pada kempen-kempen secara peribadi. Setiap ahli SC akan mencari ahli-ahli baru. Itulah kempen yang amat berkesan. Hal yang demikian telah menyebabkan kami kurang mengadakan persembahan silat lagi. Kalau selama ini, pertunjukan silat akan diadakan setiap kali pembukaan kelas baru, tapi kini pertunjukan adalah bergantung pada keperluan.

Ketika saya menjawat jawatan Yang Di Pertua cawangan, sungguh banyak kenangan manis yang dikecapi. Banyak masa diuntukkan bagi melayan karenah ahli-ahli, bukan terhad dalam bidang persilatan, malah meliputi hal-hal yang berkaitan peribadi. Selesai setiap masalah peribadi seperti masalah rumah tangga terutamanya, akan lahir kepuasan di hati. Kenangan manis yang pelbagai. Ada yang melucukan dan ada yang kurang manisnya. Tapi tetap manis. Sambung yang pahit.