Tuesday, May 3, 2011

KENANGAN 46.

KENANGAN PAHIT.

Kenangan yang dulunya manis, ada juga yang memberi impak pahit apabila terkenang. Sedih juga. Rupa-rupanya diri telah tua. Semakin jauh peristiwa berlalu maka semakin tua umur diri. Tapi, tua-tua pun ada pasarannya. Pengalaman yang luas meletakkan taraf tinggi yang berpanjangan. Itu kata saya.

Ada juga peristiwa pahit dulunya, apabila difikir-fikirkan ada hikmah di sebaliknya. Benarlah kata Tok Guru. Setiap sesuatu yang dianggap malang, tentu ada sebab-musababnya. Namun begitu tidak semua yang pahit akan menjadi manis. Pahit tetap pahit untuk dikenang sepanjang hayat.

Pelbagai tafsiran yang ada tentang kenangan pahit. Namun begitu, konsep pahit tetap mengaitkan peristiwa pahit dengan sifat sedih diri yang berterusan apabila terkenang sesuatu peristiwa tersebut.

Kematian Ustaz adalah merupakan peristiwa pahit. Peristiwa tersebut akan berterusan dikenang sepanjang masa. Ketika itu, seolah-olah dirasakan semangat juang SC entah akan ke mana. Dahan yang dipaut telah tiada. Tempat rujukan telah tiada. Bakal penggantipun tidak ada kata putus. Dalam jangka masa yang singkat, suasana SC tidak keharuan.

Sesungguhnya, kematian Ustaz juga telah membawa kesan besar dalam perjuangan SC. Bibit-bibit pepecahan yang selama ini terpendam, mula timbul dari masa ke masa. Akhirnya, SC berpecah kepada pelbagai kumpulan besar yang berlainan Guru Utama. Masing-masing mendakwa mempunyai mandat sah sebagai guru utama. Rata-ratanya, perkaitan dengan persatuan amat diutamakan bagi mewujudkan kesahan dan kebolehpercayaaan sebagai penerima mandat.

Peristiwa pahit kematian Ustaz tetap menjadi pahit dalam sejarah perkembangan SC seterusnya. Pepecahan yang wujud tetap berterusan dan bertambah parah dari masa ke masa. Pada mulanya kita menjangkakan pepecahan pada gelombang pertama akan berhenti di situ sahaja. Tapi lain jadinya. Jadi lagi pepecahan. Semestinya akan ada lagi pepecahan. Teringat kata-kata hikmat Ustaz. ”Ada ulu, ada parang. Ada dulu, ada sekarang.”

Pepecahan sesama kawan atau rakan telah membawa kenangan pahit pada semua ahli. Hilang nilai-nilai persahabatan yang selama ini terpupuk dengan begitu baiknya. Semacam tak boleh dipercaya. Sahabat dan rakan yang dulunya amat mesra, tiba-tiba berpaling tadah dan bermusuh dengan kuatnya. Perubahan berlaku umpama serangan tsunami yang mengubah terus segala-galanya. Tak boleh ditahan-tahan lagi akan serangan yang ada dalam kalangan ahli-ahli SC.

Walau bagaimanapun, kematian Ustaz masih ada hikmahnya pada diri saya. Saya berupaya mengklasifikasikan ahli-ahli menurut gred atau mutu nilai diri. Baru saya tahu tentang wujudnya ahli-ahli SC yang bermuka-muka. Perjuangan yang selama ini dilaung-laungkan, rupa-rupanya mengikut cuaca. Kepentingan diri menjadi punca kuasa untuk meneruskan perjuangan yang selama ini dipendam dalam hati. Orang lain tidak tahu, melainkan ahli itu menunjukkan apa yang ada dalam dirinya. Masing-masing ada alasan untuk menunjukkan kebenaran perjuangan mereka. Kalau air pun ada pelbagai jenis, rupa-rupanya ahli-ahli SC pun ada pelbagai jenis. Perkara ini telah disentuh dalam penulisan yang terdahulu.

Kenangan pahit yang tidak mudah saya lupa juga ada kaitan dengan nasib saya yang menjadi mangsa kepada perasaan hasad dan dengki dalam kalangan ahli. Saya sering kali terketepi. Kadang-kadang timbul kesedaran dalam diri betapa pepecahan yang melanda SC telah menyelamatkan kedudukan diri saya sendiri. Oleh sebab pepecahanlah maka tenaga dan penglibatan saya masih relevan dan sangat-sangat dikehendaki oleh pihak yang bertelingkah.

Dalam SC, hasad dan dengki akan diakhiri dengan perbuatan kianat. Ketiga-tiga perkataan itu mempunyai makna yang berbeza dari segi kefahaman. Berdasarkan kefahaman saya dari bualan Ustaz, hasad adalah sesuatu yang terdetik di hati. Apabila dikeluarkan pada mulut maka lahirlah sifat dengki. Sifat dengki apabila diterjemahkan pada perbuatan maka wujudlah sifat kianat.

Saya dapat lihat dan dapat rasai sendiri betapa mereka yang saya asuh, akhirnya mengetepikan diri saya sendiri. Kefahaman yang saya pupuk umpama, ”Mencurah air di daun keladi”. Atau ”Umpama anu yang lalu di celah kangkang.” Kefahaman yang diberi hanya bertahan ketika saya ada bersama mereka. Apabila mereka beralih suasana persekitaran, maka kefahaman yang diberi beralih cuaca. Menurut rentak yang ada. Kepentingan diri mula diutama.

Akibat prinsip khianatlah maka saya diketepikan daripada menerima pelajaran menengah pada awal penglibatan saya dalam SC. Strategi yang digunakan mereka amat berkesan untuk mempengaruhi keputusan Guru Utama yang berjanji akan pembelajaran berkenaan pada saya. Mujurlah kata-kata perangsang Guru Utama telah menarik semula penglibatan saya dalam SC. Itu juga ada hikmahnya. Betapa hanya guru, ibu dan bapa sahajalah merupakan manusia ikhlas yang wujud di dunia ini. Saya jadikan pegangan utama dalam melaksanakan sebarang tugas yang dimanahkan pada saya. Prinsip ini akan saya bincangkan pada tajuk yang lain pula.

Anugerah pingat-pingat yang ada dalam SC menampakkan ketidakadilan dalam pelaksanaannya. Itulah tafsiran saya. Peristiwa anugerah pingat di peringkat awal perkembangan SC, telah memberi sumbangan juga pada kenangan pahit buat diri saya sendiri. Walau bagaimanapun, peristiwa pahit itu tidak kekal lama. Akhirnya, dapat juga anugerah yang lainnya. Hebat juga. Di samping anugerah pingat, ada pula iringan pemberian yang boleh dijadikan cenderamata yang berkekalan di hati dan di badan.

Sebagai ahli SC yang ingin berbakti dengan persilatan dan persatuan, mereka akan terus berusaha memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk. Sumbangan itu sama ada bentuk masa, tenaga atau wang ringgit. Sumbangan kita menuntut komitmen yang hebat. Kadang kala kita gagal menunaikan tanggungjawab itu. Di sinilah prinsip benar dan berterus terang perlu digunakan. Kalau seseorang itu perlu disingkirkan maka nyatakan secara terus terang. Apa yang ada di hati maka lahirkan melalui percakapan. Itulah sifat benar yang ada dalam percakapan. Tapi prinsip ini jarang sekali digunakan dalam pengurusan SC.

Kegagalan menggunakan prinsip benar dan berterus terang telah menyebabkan diri saya disingkirkan dari LPT secara yang tidak hormat. ”Diluah mati mak dan ditelan mati bapak.” Saya tidak berminat untuk membincangkan peristiwa tersebut dengan panjang lebar. Ramai yang bersimpati dan ramai juga yang memadan muka.

Peristiwa pemecatan saya dari LPT secara ’tiba-tiba’ amat mengecewakan saya. Caranya tidak terhormat. Merendahkan peribadi saya sebagai pejuang SC yang tidak ada apa-apa makna pada mereka. Ketika itu, semua perasaan ada pada saya. Malu, geram, marah, kecewa dan sebutlah apa saja, semuanya ada.

Setelah kehilangan jawatan, nampak sangat diri saya tidak dipedulikan sesiapa. Saya jadi tak tentu hala arah dan tujuan. Nak ke mana lagi. Orang yang dulunya rapat, mula menjauhkan diri dari saya. Ketika itu SCH telah berada dipuncak kegemilangan. Apalah ertinya diri saya yang semakin lama. Itulah agaknya kata hati saya.

Lantas saya mencari Guru Utama untuk bersalam bagi menyatakan ayat, ”Saya balik dulu.” Setelah bersalam, saya mengundur diri. Ahli-ahli cawangan saya tidak mengetahuinya. Terus saya menuju ke kereta seorang diri. Tidak ada sesiapa pun yang peduli. Macam orang salah yang terketepi. Menerima hukuman hakiki daripada manusia yang ada strategi. Begitulah nasib pada orang yang diibaratkan umpama tebu. ”Habis manis, sepah dibuang.” Nasib baik saya tidak menganggap diri saya umpama tebu. Saya adalah saya. ”Bukan kamu yang tak suka tapi saya yang membenci.”

Terkenang saya pada satu fakta peristiwa yang tidak boleh saya lupa. Ketika saya keseorangan balik menuju ke kereta, tiba-tiba bahu saya disentuh seseorang. Rupa-rupanya ketika saya mengundurkan diri, beliau bergegas mendapatkan saya. Itulah sahabat saya Am... namanya. Beliau cuba menenangkan perasaan saya. Saya rasa beliau mempunyai sifat empati berdasarkan kata-katanya yang masih saya ingat. ”Bersabarlah. Aku pun lagi teruk kena singkir masa Pak Ak.”

Kata-kata beliau mengesahkan anggapan saya. Ada strategi yang berkesan untuk menyingkirkan saya secara memalukan diri. Tapi siapa ya. Walau bagaimanapun, kenangan saya bersama sahabat saya tersebut tidak mungkin saya lupa. Banyak maknanya pada saya. Saya tetap menghormatinya sebagai ahli SC yang mendapat didikan dari Ustaz Hanafi, walaupun telah menyeberang di sebalik sana.

Dalam usia yang semakin lama, sering juga terdengar sahabat-sahabat lama dalam SC yang ’pergi’ buat selama-lamanya. Kematian rakan-rakan seperjuangan memberi impak sedih pada diri saya. Kesedihan itu adalah berupa kenangan pahit pada diri saya. Ketika berjuang rancak dalam SC, nampak hebat penglibatan mereka. Wajah-wajah dan penglibatan mereka dulunya bersama-sama saya, tetap di kenang sepanjang masa. Bukan mudah untuk dilupakan begitu saja.

Tapi, ramai juga sahabat lama yang pergi tanpa berita, atau menukar haluan utama. Ramai yang masih ada di dunia ini. Teringin juga hendak bersua muka. Namun begitu ada penghalangnya. Kalau berlainan pegangan maka tentu susah untuk berbicara. Isi percakapan akan menjadi tawar dan tak tentu hala.

Kalau tak tentu pegangannya, mungkin ada perasaan atau prasangka ketika berbual dengan mereka. Maklumlah. Telah lama tidak bersua muka. Hala mana yang mereka pergi. Nak bertanya tentu tidak sesuai lagi. Hal yang demikian tentunya membawa hubungan yang tidak selesa.

Dalam tajuk kenangan pahit ini, saya tidak begitu minat untuk mengungkit segala peristiwa. Ramai yang akan tersentuh dan berasa kecewa. Sekurang-kurangnya ialah kecewa dengan penulisan saya. Cukuplah sekadar melayan perasaan kecewa yang ada pada saya dulunya. Sekarang ini saya kurang peduli. Boleh terima seadanya. Tambahan pula, saya pegang pada kata-kata, ”Betapa sesuatu yang pahit itu ada hikmah di sebaliknya.” Sekian sahaja penulisan saya.