Sunday, June 20, 2010

SIKAP SAYA SEBAGAI JURULATIH

2.Mengamal Falsafah, Konsep dan Prinsip SC Sebagai Budaya Seharian.

Istilah mengamal berkait rapat dengan istilah kata nama, ‘Pengamal SC’. Pengamalan yang dilakukan adalah merupakan refleksi daripada nilai-nilai kepercayaan yang dipegang dalam SC. Kata orang, ada ilmu tapi tak amalkan maka jadilah orang itu seorang pensyarah yang hebat tapi cakapnya tak serupa bikin. Orang yang menyakini akan SC, tingkah lakunya dalam silat adalah terpancar daripada pengamalan SC dalam budaya kehidupan persilatannya seharian. Pastinya orang-orang ini mempunyai pendirian yang sukar diganggu gugat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepercayaan dan kefahaman. Malah hubungan rapat sesama ahli silat atau ahli persatuan dalam konteks persilatan akan dibataskan pada prinsip atau nilai-nilai yang wujud dalam SC.

Saya selalu ingatkan diri saya supaya sentiasa mempunyai satu pegangan dalam amalan falsafah, konsep dan prinsip SC. Tentunya pegangan tersebut berdasarkan tafsiran saya sendiri hasil asakan ilmu oleh guru utama dan juga berdasarkan pengalaman dan pengalamian saya sendiri. Lain orang mungkin lain tafsirannya. Elok juga berkongsi pandangan dalam suasana yang harmonis.

Saya teringat pesanan tok guru supaya belajar sesuatu sambil berfikir. Belajar tanpa berfikir dikatakan sebagai kerja sia-sia. Berfikir sahaja tanpa belajar lagi teruk sia-sianya. Semasa saya menuntut dulupun saya sentiasa mengajak diri saya supaya berfikir sebelum menerima sesuatu. Maksudnya, saya tidak mudah terima tanpa ada logiknya menurut kemampuan saya sama ada dari segi fizikal atau pemikiran. Kalau sudah terima maka akan saya pegang dan amalkan. Oleh itu, apabila saya menjadi Jurulatih pastinya saya tidak rela para penuntut SC di bawah asuhan saya menerima segala apa yang disampaikan tanpa ada usaha untuk berfikir. Misalnya, kalau lemah penguasaan diri dalam gerak silat, cuba cari punca kelemahannya. Jangan merintih dan membiarkan Jurulatih menyelesaikan kelemahan diri kita sepenuhnya.

Hal yang demikian, perkataan ‘kenapa, apa sebab’ selalu menjadi soalan biasa semasa menurunkan pelajaran. Saya perlukan jawapan daripada penuntut sebagai usaha menggalakkan mereka berfikir. Kalau buah kidung misalnya, tanyakan soalan. Kenapa perlu ditetak pada lengan dan bukannya pada bahagian-bahagian lain. Apa sebab tidak ditampar bahagian tersebut. Layan saja jawapan mereka. Misalnya, “Saya tampar kerana takut tangan rakan cedera, atau saya tetak kerana SC mementingkan pukulan atau saya tetak kerana ingin melemahkan musuh” atau atau yang lain. Semua jawapan tersebut adalah betul pada tahap pemikiran mereka. Terima saja segala bentuk jawapan mereka sebelum diterangkan tujuan sesuatu perbuatan tersebut. Malah, persoalan penuntut juga perlu sentiasa dilayan menurut batas yang ada. Persoalan yang ditimbulkan itu juga melambangkan bahawa mereka telah berfikir. Oleh itu mendalami sesuatu pelajaran dalam SC dengan sejelas-jelasnya sebelum mengamalkan pelajaran itu adalah amat perlu. Baharulah datang kepuasan dan keikhlasan. Hati tidak akan berkata-kata dengan khayalan yang sia-sia. Hal yang demikian kerana perbuatan yang kita lakukan adalah hasil pemikiran kita bagi membolehkan hati kita menerimanya.

Hubungan sesama kawan tidak dijadikan ukuran untuk membuat ketetapan di hati tentang sebarang ajaran dalam SC. Saya selalu ingatkan diri saya bahawa kalau selama ini perkenalan sesama ahli adalah kerana adanya SC, maka semestinyalah SC itu diberi keutamaan. Jika kerana silat juga hubungan tersebut terputus maka hubungan tersebut telah kembali kepada sedia kala. Oleh itu, hubungan boleh dibataskan jika melanggar falsafah, konsep dan prinsip SC.

Batas-batas falsafah, konsep dan prinsip dalam SC adalah meliputi soal pelantikan guru, mandat, isi pelajaran, adat dan adab yang ada dalam SC. ‘Roh’ persilatan perlu mengatasi ‘roh’ persatuan. Mana pernah dalam sejarah, tok-tok guru silat telah dipecat. Sebabnya murid itu datang dan pergi. Tapi dek kerana persatuan, ramai murid yang datang tapi ramai murid yang tak nak pergi-pergi walaupun ada perasaan tak puas di hati.

Pengamalan SC meliputi amalan gerak silat dan falsafah, konsep dan prinsip SC itu sendiri. Konsep yang tersirat di sebalik konsep tersurat pada saya perlu berdasarkan tafsiran sendiri. Tafsirlah berdasarkan kemampuan dengan sepatutnya. Secara langsung hal yang demikian akan mendesak kita supaya berfikir. Jika tidak faham, rujuklah pada guru utama atau Jurulatih-Jurulatih yang hebat. Bila diri kita faham pada sesuatu itu, amalkan saja. Tak perlu bermegah atau diceritakan pada orang lain. Takut-takut muncul kata-kata cakap tak serupa bikin.

Untuk mengamal gerak SC, pastikan diri kita tidak mencampuradukkan dengan gerak-gerak silat Melayu yang lain. Lebih-lebih lagi gerak bela diri yang datang dari luar negara. ‘Patut haramkan perbuatan campur aduk antara gerak-gerak silat Melayu yang lain dengan gerak SC untuk amalan pada diri jika kita benar-benar ingin menjadi pengamal SC yang sejati’.

Prinsip-prinsip asas dalam SC seperti berdiri lurus, menepis, mara, seri, menunggu dan menyerang perlu disebatikan pada diri. Jangan ada langsung istilah ‘ter’ seperti tersasul, terlupa atau ter-ter yang lain apabila kita gagal dalam melakukan gerak-gerak berkenaan. Peraturan yang dibuat oleh guru perlu diberi keutamaan. Berdasarkan catatan, hal yang demikian meliputi peraturan berpakaian sama ada rasmi atau tidak rasmi. Begitu juga dengan ikrar ijazah yang dilafazkan. Ikrar tersebut adalah merupakan asas persilatan. Tentunya berbeza dengan ikrar tahunan yang dilafazkan atas pentas persatuan. Sifat dan sikap guru yang bersungguh-sungguh dalam penyebaran SC, perlu dijadikan contoh teladan. Kita perlu lakukan sesuatu perkara yang diamanahkan pada diri kita dengan bersungguh-sungguh beserta dengan perancangan yang rapi. Amalkan prinsip ‘benar’ dalam gerak dan dalam bicara SC. Jangan sorok-sorok atau ubah-ubah pergerakan yang ada.

Sejauh mana kita dapat mengukur bahawa diri kita telah mengamal Falsafah, Konsep dan Prinsip SC sebagai budaya seharian. Diri sendiri sahaja yang boleh menjawabnya dalam hati. Menyuarakannya pada orang lain dikhuatiri akan timbul ciri-ciri penipuan pada diri sendiri.

Dalam catatan saya, tercatat ukuran ‘sejauh mana’ dalam dua aspek. Pertamanya apabila disebut saja Silat Cekak, diri sendiri berasa sangat sensitif. Umpama ahli silat Melayu lain yang pantang mendengar pukulan gendang silat. Perkara baik akan disambut dengan baik. Manakala perkara buruk yang cuba diketengahkan, akan dibela dengan kemampuan yang ada. Jangan lupa. Silat dan Guru Silat adalah bersepadu.

Keduanya terwujud perasaan yang amat dekat dengan Silat Cekak. Jauh di mata tapi tetap dekat di hati. Apapun, faktor yang amat penting dalam konsep pengamalan SC ialah mengilmui Silat Cekak itu dengan sepenuh hati. Catatan saya turut menekankan sifat jujur dalam pembelajaran.

Berdasarkan catatan saya juga, saya tegaskan pada diri saya. Untuk mengilmui Silat Cekak, maka dua perkara penting perlu saya kuasai. Pertamanya saya perlu benar-benar kenal dan mengamalkan SC agar pengetahuan yang saya ada tidak sia-sia pada diri dan pada mereka yang menuntut dengan saya. Penguasaan yang jitu dengan SC akan memudahkan penerimaan orang lain tentang falsafah, konsep dan prinsip yang ada dalam SC. Secara langsung saya tidak akan mengelirukan mereka.

Keduanya saya harus berfikiran luas atau global dengan data-data atau bukti-bukti yang lengkap atas apa saja yang diperkatakan. Perbincangan yang berdasarkan perasaan akan diakhiri dengan pertengkaran. Kita tidak mahu pertengkaran mencari fakta berlaku berdasarkan data-data yang tidak lengkap. Gunakan dua mata dan dua telinga. Jangan mudah mengeluarkan kata-kata atau membuat kesimpulan dari mulut yang satu. Pernah saya sentuh tentang tafsiran orang buta dengan gajah yang dirabanya.

Sambung.