Sunday, June 13, 2010

SIKAP SAYA SEBAGAI JURULATIH

Semasa mengemas almari buku, saya terjumpa buku catatan lama saya tentang silat. Dalam buku itu terkandung juga nota tentang SC untuk ingatan saya dari masa ke masa. Ketika itu saya sedang rancak menyebarkan SC dalam kalangan masyarakat. Dalam catatan tersebut tercatat kefahaman tentang SC sama ada hasil daripada pendengaran atau pengalaman atau bacaan daripada artikal-artikal yang pernah diterbitkan.

Di samping itu banyak catatan tentang ilmu gah orang-orang Melayu satu ketika dulu. Catatan tersebut mengingatkan saya kisah di suatu masa yang lalu. Saya pernah mewakili negeri saya dalam kurus Wasit dan Juri di negeri Johor. Rasanya tahun l982/83. Dalam kurus tersebut, setiap negeri perlu menghantar seorang guru silat bagi menimba ilmu daripada Jurulatih silat olahraga yang didatangkan khas daripada Indonesia. Saya berpeluang mewakili negeri saya. Selain daripada itu Silat Gayung, Gayung Fatani, Lincah dan silat kita sendiri, turut menghantar wakil secara kumpulan.

Antara guru-guru silat yang mewakili negeri, sayalah yang termuda sekali. Saya ambil peluang merapatkan diri dengan mereka. Banyak sekali ilmu-ilmu gah (megah) yang saya peroleh. Saya catat dalam buku catatan tersebut. Sebutlah apa saja. Pasak Bumi, Ibu Gayung, tangkap jantan dan sebagainya, semuanya ada. Hebat juga guru-guru silat Melayu kita. Tapi saya tak pernah amal. Lain macam rasanya. Cuma ambil tahu. Saya buat catatan.

Untuk mendapatkan ilmu-ilmu berkenaan banyak kisah lucu. Apabila ‘tok guru’ tersebut inginkan sesuatu sebagai pengkerasnya maka terpaksalah saya berusaha mencarinya. Mujurlah ada sahabat saya di sana yang membantu. Yang lucunya ada guru silat yang ingin memberi ilmunya tapi bersusah payah membantu menyediakan pengkeras dan saya cuma perlu membayar harga pengkeras tersebut. Misalnya ketayap putih dan sepersalinan pakaian.

Ada juga antara guru tersebut yang terpaksa bertanya ‘orang sebelahnya’ beberapa kali meminta izin menurunkan ilmunya kepada saya. Kumat kumit mulutnya bercakap. Entah apa bahasanya, langsung saya tak faham. Bila diberi laluan maka barulah guru silat tersebut meneruskan perbualan dan menurunkan ilmunya. Pengalaman baru buat diri saya.

Semasa saya mula menjadi Jurulatih SC, buku catatan adalah penting. Kadang kala saya mudah lupa. Dengan adanya buku catatan tersebut mudahlah saya membuat rujukan. Saya yakin tidak sia-sia kita menulis atas apa yang dibaca atau didengar. Catatan itu juga boleh dijadikan sebagai punca kuasa atau rujukan sah untuk membincangkan sesuatu yang berkaitan dengan silat pada masa-masa hadapan.
Catatan adalah penting. Bak kata nasihat orang-orang tua, setakat dengar sahaja maka kita mudah lupa. Kalau kita lihat maka kita mudah ingat tapi lama-lama lupa juga. Kalau kita buat maka kita mudah faham. Juga, lama-lama kita turut lupa. Seperti kata seorang ahli falsafah, Kung Fu Tze dalam catatan saya, beliau menekankan empat ciri utama pada setiap penuntut iaitu banyak mendengar, banyak melihat, banyak bertanya dan banyak mengenali. Namun begitu saya percaya kalau perkara yang kita baca, dengar, lihat dan buat itu ditulis sebagai catatan maka kita tidak mudah lupa. Rujukan ada. Bila nak terlupa tapi jangan sampai terlupa, maka bolehlah cepat-cepat membuat rujukan semula. Maknanya kita jangan mudah membuat kesimpulan melalui mulut yang hanya ada satu sahaja. Sentiasalah membuat rujukan daripada sumber yang sah.

Dalam tulisan ini saya tuliskan semula catatan yang saya buat tentang SC untuk ingatan atau pegangan dan rujukan saya sendiri satu ketika lalu ketika menjadi Jurulatih SC. Mungkin berguna dan boleh menjadi panduan pada Jurulatih yang ada.

1.Mempercayai Silat Cekak sepenuh hati.
Saya ingatkan diri saya supaya sentiasa membuat ketetapan bahawa umumnya SC mempunyai dua kelebihan. Pertamanya ialah SC adalah benar-benar asli dan tidak bercampur aduk dengan sebarang unsur seni mempertahankan diri dari luar negeri. Maknanya, gerak sukan yang sangat popular dalam seni-seni bela diri tersebut sememangnya tiada dalam SC. Keduanya saya menyakinkan diri saya bahawa SC adalah sejenis silat yang benar-benar bertanggungjawab pada si pengamalnya.

Untuk mencapai hasrat di atas, saya yakinkan diri bahawa SC adalah satu-satunya silat yang terbaik dan benar. Kadang kala sikap sedemikian mungkin akan merendah-rendahkan pandangan kita pada silat-silat Melayu yang lain. Demi menjaga ikrar saya yang melarang diri daripada mencaci silat Melayu yang lain maka saya perlu sentiasa mempunyai pandangan yang bersifat toleransi iaitu semua silat itu baik bagi pengamal-pengamalnya. Kalau seseorang itu memilih silat A dan mengamalkannya maka itulah silat yang sebaik-baik bagi diri orang tersebut. Oleh sebab saya telah memilih SC sebagai amalan untuk gerak silat maka itulah silat yang sebaik-baiknya buat diri saya. Silat-silat Melayu yang lain perlulah dihormati dan disanjung dalam lingkungan penghormatan yang patut diberi.

Ikrar yang melarang kita mencaci silat-silat Melayu asli yang lain amatlah saya pelihara dan saya sentiasa berhati-hati ketika berbicara tentang silat Melayu tersebut. Ustaz pernah memberi komen pada saya tentang perkara itu. Hal yang demikian menjadikan saya sentiasa berpegang teguh pada prinsip itu. Umumnya, sebelum manusia Melayu menemui SC, mereka telah pun diperkenalkan dengan gerak bela diri melalui silat-silat Melayu yang lain. Malah secara khususnya, diri saya sendiri sebelum menemui SC telah mempelajari silat-silat Melayu yang lain. Gerak seni sela diri orang-orang Melayu saya ketahui melalui silat lain. Maka elok sangatlah kita menghormati peranan silat-silat Melayu yang lain dalam memupuk minat masyarakat Melayu untuk mempelajari seni bela diri orang-orang Melayu, hingga akhirnya memungkinkan mereka menemui SC.

Catatan saya juga mengingatkan saya supaya menitiberatkan istilah asli. Menghormati silat Melayu yang asli adalah merujuk pada silat-silat Melayu yang ada salasilahnya. Kalau main cedok-cedok maka mana ada asal usulnya. Salasilah guru berkait rapat dengan guru yang sebelumnya. Pastinya salasilah tersebut berkisar dalam dunia persilatan dan bukannya pentas persatuan. Jadi, kalau main pecat-pecat berdasarkan kehendak persatuan dan bukannya persilatan, mana aci. Hanya mainan ‘aci cop’.

Tercatat lagi tulisan saya betapa saya mengingatkan diri saya supaya mempercayai dan meyakini bahawa SC adalah silat terakhir atau silat akhir zaman. Tidak ada lagi kelahiran silat Melayu yang lain sesudah lahirnya SC. Kalau lahirpun tawar rasanya. Keyakinan ini wujud bertolak pada kebenaran yang ada pada SC. Hanya SC-lah sahaja yang membawa kebenaran pada pengertian gerak. Gerak SC adalah berkaitan dengan gerak dua tangan dan gerak dua kaki. Sistem yang ada adalah lengkap. Selalu dilambangkan surat dengan posmen. Itulah ingatan buat diri saya dari dulu hingga sekarang. Cuma saya bernasib baik kerana pada zaman dulu, penggunaan komputer sangat terhad. Maka program internet atau e-mail adalah tersangat kurang berbanding dengan sekarang. Itu sebab agaknya sekarang ini konsep posmen dan surat kurang diketengahkan. Dalam proses menghantar surat sudah tidak perlu posmen lagi. E-mail ada. Laman web ada. Oleh itu pentingnya penekanan sekat posmen maka tersekatlah surat telah tidak raleven lagi. ‘Tongkat boleh ditepis. Sesak-sesak dah tak kisah dah’.

Pergerakan dua tangan dan dua kaki itu adalah lengkap dan bersistem. Gerak seni wujud secara keseluruhan dalam pergerakan tangan dan kaki tanpa ada gerak sukan. Membicara konsep ini adalah berkaitan dengan ayat ‘penggunaan kekuatan bantuan atau kekuatan yang ada pada diri. Menggunakan gerakan yang dibuat-buat atau gerakan semula jadi. Menumpang kekuatan atau menggunakan kekuatan’. Dan macam-macam konsep yang boleh timbul apabila membicarakan bandingan antara seni dan sukan.

Walau bagaimanapun di hati kecil tetap berkeyakinan bahawa silat yang baik dan terbaik hanyalah SC. Itulah pegangan untuk menguatkan hujah di hati bahawa SC adalah merupakan silat akhir zaman.

Sambung lagi.