Tuesday, June 26, 2007

ITU SEMUA SERBA SALAH

Masa berbual-bual dengan rakan-rakan, ada yang berbincang tentang tulisan-tulisan yang ada dalam siaran internet ini. Banyak komen yang dikeluarkan sama ada dalam bentuk positif atau sebaliknya. Pada saya semuanya betul atas sifat dan sikap penulis. Ada yang menulis kerana ingin meluahkan kekecewaan atau sebaliknya atas penglibatannya selama ini dalam SC. Pengorbanannya dalam SC telah berakhir apabila timbul kekecohan pada persatuan yang selama ini mantap dan dihormati oleh pihak lawan dan kawan. Persatuan yang mantap telah jadi mantat akibat mempercayai orang yang selama ini berperanan sebagai punesihat.

Masing-masing mendakwa tulisannya betul. Mungkin semuanya betul tapi dalam banyak tulisan yang disiarkan, pasti ada yang tidak sesuai dengan fahaman dan nilai pada diri kita sendiri. Walau bagaimanapun, anggaplah segala bentuk tulisan tersebut sebagai menambah pengetahuan kita atau sebagai ’batu kati’ atau dacing untuk menguji fahaman dan pegangan kita selama ini, hasil asuhan daripada Jurulatih atau Guru kita sendiri.

Kata Tok Guru, satu masa dulu, fahaman dan tafsiran seseorang pada sesuatu, ibarat orang buta memegang gajah. Mereka yang memegang ekor, ekor itulah disifatkan sebagai gajah. Yang memegang belalai, belalai itulah gajah walaupun ada mirip dengan anu-nya. Kalau memegang telinga, telinga itulah sifat seekor gajah. Sifat yang lain adalah diluar daripada kemampuannya berfikir. Sebabnya ialah faktor buta. Ini mungkin berbeza dengan mereka yang celik. Orang yang celik akan dapat melihat secara tepat dan dapat membuat kesimpulan akan sifat keseluruhan seekor Gajah. Terpulanglah kepada pembaca untuk memilih sama ada tulisan orang celik atau tulisan orang buta. Mana nak tahu tulisan orang celik dan tulisan orang buta . Renungkan diri sendiri. Ketika membaca rasa celik, pasti si penulis tersebut orang yang celik. Kalau membaca rasa mengantuk, maka si penulis tersebut pastinya buta. Celik atau buta ada kaitan dengan diri pembaca.

Orang yang menulis ada faktanya. Fakta ini berdasarkan fahamannya sendiri. Fahaman tersebut pastinya ada kaitan dengan nilainya ketika berada dalam SC. Fakta yang ditulis, juga ada nilainya. Nilai ini ada kaitan dengan nilai si penulis itu sendiri. Nilai yang terbentuk adalah hasil sikap dan pelakuan si penulis yang berulang-ulang ketika penulis tersebut berada dalam SC. Kalau nilainya mencari kesempatan dan peluang terutamanya untuk menjadi pengganti Guru, maka tulisannya pun ada nilai-nilai ke arah tersebut. Kalau nilainya sememangnya bencikan akan seseorang, maka pastinya tulisan beliau mempunyai nilai memfitnah atau melepaskan geram atau sebarang bentuk perasaan tidak puas hati yang selama ini terbuku di dada.

Ada yang menganggap semua tulisan yang ada sebagai cerita, sama ada cerita mereka atau mereka cerita. Bentuk cerita, biasanya tidak bersandarkan fakta. Semua yang ditulis adalah rekaan sahaja. Oleh itu, tulisannya sahaja yang dianggap betul. Tulisan orang lain hanya merupakan dongengan sahaja. Bagi memerangani tulisan-tulisan tersebut maka berperananlah dia sebagai pembenteras atau sebagai pemancung atau sebagai pembancuh. Tulisan berbentuk itu juga ada nilainya. Nilai tersebut juga ada kaitan dengan nilai yang ada pada diri si penulis.

Teringat saya akan sebuah cerita tentang seorang raja mencari kekasih. Raja tersebut membawa beras yang bercampur dengan pelbagai bahan. Gadis yang berjaya mengasingkan bahan-bahan tersebut, akan dijadikan isteri. Pergilah raja itu ke ceruk rantau dan pelusuk negeri. Akhirnya beliau memperisterikan seorang gadis seperti yang dikehendakinya. Gadis itu telah berjaya memisahkan beras dengan bahan-bahan yang lain.

Dalam konteks moden ini, cerita tersebut masih lagi boleh dipakai tapi dalam bentuk yang disesuaikan dengan zaman kini. Kita boleh bawa teh, sudu dan cawan. Cari gadis yang boleh membancuh teh tersebut dengan baik. Kalau dapat, jadikan isteri. Semestinya kahwin dulu sebelum dirunas. Kalau gadis tersebut membancuh teh menggunakan sudu, ketepikannya sabagai isteri. Tapi kalau kita dapat gadis yang pandai membancuh teh tanpa menggerakkan sudu, hanya menggerakkan cawan sahaja, itulah gadis yang hebat. Pasti kita tidak akan mencari orang lain sebagai isteri.

Maknanya, dalam cerita, ada faktanya dan orang yang suka membancuhpun kena tengok nilainya. Ada yang benilai tanduk, buluh dan labu. Pasti kita akan sukakan tanduk. Mungkin itu sebabnya hulu ladingpun diperbuat daripada tanduk. Kenapa tanduk. Pengamal ilmu KK pasti ada jawapannya.

Masyarakat kita dari dulu hingga sekarang tidak pernah sepi dengan fitnah atau hasad dengki. Buku-buku sejarah perkembangan bangsa kita, banyak membicarakannya. Sekali dia marah, unsur fitnah akan berlarutan mestipun orang yang difitnah telah mati. Tidak hairanlah betapa hebat fitnah yang berlangsung ketika ini. Guru yang telah hilang jawatanpun terus difitnah.

Ekoran sifat fitnah ini akan diikuti dengan tindakan, ancaman dan ketakutan. Dalam SC ketika ini, ’geng mana’ amat dipentingkan. Akibatnya, perkara-perkara di atas telah dijadikan agenda utama. Pada pihak penguasa, mereka ingin tahu cawangan atau individu tertentu geng mana. Kalau masih menyokong mantan Guru, tindakan akan diambil untuk membubarkan cawangan atau meyingkirkan individu tersebut. Penyingkiran merupakan senjata tajam yang akan digunakan oleh mereka. Maka hiduplah cawangan atau individu yang telah dikenal pasti tersebut dalam suasana ketakutan. Yang tidak tahan dengan ancaman, akan cepat-cepat berikrar. Suasana tenang yang selama ini wujud dalam SC, telah punah sama sekali. Sebaliknya kalau menyebelahi geng penguasa, kerana terikat dengan peraturan atau perlembagaan persatuan, hilanglah statusnya dalam pandangan pengikut mantan Guru.

Ahli-ahli menjadi serba salah. Mengikut Guru yang ada, mana mandat dan salasilahnya. Walaupun dikatakan mandat sudah tidak penting, itu kata mereka. Mandat dan salasilah merupakan adat dan adab dalam dunia persilatan Melayu. Walau bagaimanapun, kalau mengikut mantan Guru, pihak MMK akan bersifat buaya yang membuka mulut untuk membaham mangsanya. Maka hiduplah ahli-ahli SC terutamanya barisan kepimpinan di cawangan, dalam ketakutan. Apabila wujud sifat mencari-cari geng, maka pastinya fitnah akan bermaharaja lela. Dalam MMK, kita tidak pasti individu mana yang berkuasa. Masing-masing ada belangnya. Ini termasuklah bakal Guru era Wawasan 2020.

Ada yang menganggap pemilihan geng bukan masalah. Tentukan pendirian untuk memilih pihak mana. Tapi senang sahaja untuk kita mengarah atau berbicara. Walau bagaimanapun, kita tertunggu-tunggu akan kesudahannya. Di manakah kesudahannya. Mesyuarat agong kah atau keputusan kes yang dibawa ke mahkamah . Nampaknya kes mantan Guru yang diadu kepada polis semakin tenggelam. Sehingga kini tiada keputusannya. Keputusan Jawatankuasa Kehakiman belum tentu ada kesahan dan boleh dipercayai. Ramai ahli yang menolaknya. Akan tetapi keputusan mahkamah mungkin ada faedahnya.