Tuesday, December 22, 2009

SILAT CEKAK SEBAGAI ALAT

Banyak perkara yang boleh kita bincangkan mengenai SC. Kalau fikiran kita positif maka perbincangan kita akan menjadi positif. Kalau sebaliknya, jika fikiran kita negatif terhadap SC maka perbincangan kita akan mencorakkan sifat nagatif tersebut.

Perkataan alat membawa maksud sebagai sesuatu yang dapat digunakan bagi melengkapkan kehendak diri kita sama ada dari segi jasmani atau rohaninya. Apabila ditambah dengan penambahan dan menjadi perkataan ‘memperalatkan’ maka perkataan tersebut akan membawa banyak makna. Semuanya bergantung pada pemikiran positif atau pemikiran nagatif yang ada pada diri kita. Semuanya juga sangat bergantung pada kepentingan diri semasa berada dalam SC.

Sebagai seni bela diri, SC adalah merupakan alat yang penting bagi menghadapi musuh sama ada yang kita nampak atau yang kita tidak nampak. Pelajaran yang ada dalam SC sendiri telah menampakkan kesepaduan antara luar dan dalam bagi menjaga tubuh badan bagi menghadapi perbuatan khianat manusia atau benda-benda ghaib. Jadikan diri kita sebagai ahli SC yang sempurna. Bukan ahli dalam konteks persatuan tapi ahli yang membawa erti mahir atau pandai silat. Oleh sebab itulah kita selalu disaran untuk menguasai kesemua isi pelajaran yang ada dalam SC. Isi pelajaran ini meliputi pelajaran fizikalnya dan hal-hal yang berkaitan dengan amalan mandi dan petua-petua yang diberi dari masa ke masa.

Bagi mendapatkan keberkatan dan penguasaan SC dengan sempurna maka letakkan diri dalam suasana keikhlasan, kesungguhan dan pengamalian yang sepenuhnya. Jangan ragu-ragu sedikitpun dengan ilmu yang ada dalam SC. Ikhlas menerima, bersungguh belajar dan mengamal atau aplikasikannya dalam kehidupan harian akan menjadikan kita sebagai ahli SC yang mantap. SC dapat dijadikan alat yang terpenting untuk kita benar-benar menjaga diri kita sendiri.

SC adalah merupakan silat yang berkualiti. Dalam pemerhatian saya, hal yang demikian telah menjadikan Ustaz amat mementingkan kualiti dalam SC. Kualiti ini dapat dipupuk melalui sistem pembelajarannya. Sistem yang terbentuk oleh Ustaz telah teruji untuk digunakan. Jangan pula kita memandai-mandai mengubahnya dalam konteks jika kita ingin meneruskan pusaka Hanafi. Sistem yang dibentuk oleh Ustaz adalah merupakan satu tahap proses yang boleh menghasilkan kualiti ahli dalam silat. Proses ini umpama irama dalam lagu. Rosak irama maka pincanglah lagunya.

Pentingnya kualiti dalam silat kita, telah menyebabkan kita jarang sekali mendabit dada untuk bermegah dengan bilangan ahlinya. Setakat ahli SC berdasarkan ahli persatuan maka amat kurang maknanya. Tidak tamat silatpun ahli tersebut boleh dianggap ahli SC. Hakikatnya tarafnya adalah ahli persatuan dan bukannya ahli dalam SC.

Seingat saya, semasa era Ustaz, kita tersangat susah untuk mengetahui bilangan ahli kita. Ketika itu hati tersangat ingin mengetahui tentang bilangan ahli silat kita kerana silat-silat Melayu yang lain sentiasa mendabit dada dengan pengisytiharan ratusan ribu ahlinya. Ketika saya bertanya, Ustaz tersenyum sahaja tanpa memberi angka yang saya kehendaki. Rupa-rupanya konsep ahli dalam SC tidak sama dengan konsep ahli yang dilaung-laungkan oleh silat lain. Dalam SC, kita tersangat kaya dengan falsafah, konsep dan prinsip. Sama ada pada perkataan, gerak atau perbuatannya. Saya pernah membicarakan tajuk ini dalam penulisan yang terdahulu.

Dalam kehidupan seharian, kalau ke manapun kita pergi, banyak alat yang kita gunakan bagi menjaga kebajikan diri kita sendiri. Kalau perjalanan dekat, kenderaan kereta atau motor adalah merupakan alat yang penting sebagai pengangkutan utama. Kalau perjalanan jauh, kapal terbang akan dijadikan alat pengangkutan utama. Walau bagaimanapun untuk keselamatan diri atau teman rapat diri sendiri, SC adalah merupakan alat yang terpenting untuk perjalanan dekat atau perjalanan jauh. Sama ada alat tersebut memberi makna atau kurang memberi makna maka banyaklah bergantung pada tafsiran dan apklikasi diri.

Setelah sampai ke tempat yang dituju, jika badan berasa penat, SC dapat dijadikan sebagai alat untuk memulihkan badan. Jangan lupa mandi silat yang hanya bermodalkan cebok atau gayung. Tak payah pergi ke SPA atau mencari mat urut atau minah urut atau suzy urut. Bersenamlah dengan pelajaran empat anasir dan bukannya ilmu kk.

SC juga dapat dijadikan alat untuk membina satu landasan yang amat sempurna bagi mengenali gerak-gerak yang ada dalam silat Melayu. Setelah kita difahamkan dengan konsep gerak asli dan konsep-konsep yang ada dalam silat Melayu melalui pelajaran dalam SC, maka jika kita berminat mempelajari gerak dalam apa jenis persilatan Melayu, tidak akan menjadikan diri kita bercelaru. Pelajaran-pelajaran seterusnya dalam alam persilatan silat Melayu dapat dijadikan sebagai nilai tambah untuk pengetahuan kita tentang gerak silat. Hal yang sedemikian ini akan menjadikan kita benar-benar memahami gerak kita sendiri dan pastinya akan menjadikan kita tahu akan apa yang kita lakukan dalam setiap gerak dalam SC.

SC juga dapat dijadikan alat untuk membina asas bagi penguasaan ilmu agama. Konsep tauhid, hakikat dan pelbagai macam istilah agama lagi yang disemai dalam kalangan ahli SC dapat dijadikan landasan bagi mendalami ilmu agama seterusnya pada sesiapa ahli agama sekalipun. Mustahil bagi guru kita atau Jurulatih yang ahli dalam bidang agama dalam SC berupaya untuk mendidik sepenuhnya anak muridnya dalam bidang agama. Tumpuan mereka pastinya pada silat.

Walau bagaimanapun, pada adatnya, mereka telah berupaya membina landasan atau asas yang sempurna dalam bidang agama. Untuk penguasaan seterusnya maka ahli-ahli SC carilah sendiri. Bergurulah pada mereka yang mempunyai fahaman yang sesuai dengan asakan yang dibina. Landasan yang terbina dalam SC tersebut akan menjurus pada amali dalam kehidupan harian. Kita bukannya asyik membicarakan istilah atau hanya asyik berteori. SC adalah silat amali. Maka apa jenis pelajaran yang diguna atau dicari adalah berbentuk amali. Sesuailah dengan konsep cakap serupa bikin. Berpijak di bumi nyata. Bukannya terus berada dalam dunia khayalan.

Sebagai seorang Jurulatih SC yang bertanggungjawab, SC juga dapat dijadikan alat untuk pembinaan dalaman diri pada murid yang belajar dengan kita. Sifat-sifat bertanggungjawab, keberanian dan pelbagai jenis sifat yang lain akan dapat dipupuk dalam masa kita menyampaikan pelajaran SC. Dalam penulisan saya yang lalu, saya telah mengatakan tentang kepentingan pembinaan sifat-sifat tersebut dalam kalangan ahli SC bagi membentuk sifat jati diri. Pemberatan inilah saya kira tersangat penting hingga ustaz ‘mencabar’ untuk mencari empat puluh orang yang sehati dan sejiwa dalam kelas silat kita.

Perkara-perkara yang saya bincangkan di atas adalah merujuk pada pemikiran kita yang positif terhadap SC. Apabila pemikiran kita bercorak nagatif kita juga akan nampak perkara-perkara yang nagatif terhadap konsep SC sebagai alat.

Ramai juga yang menggunakan SC sebagai medan untuk berniaga. Tidak hairanlah wujudnya perniagaan CNI, tilam berkenot dan pelbagai bentuk jenis perniagaan. Tidak kurang juga yang menjadikan SC sebagai alat untuk kepentingan diri yang lain. Konsepnya tetap sama. Untung diri adalah matlamat utama. Cuma berkemungkinan besar hanya bentuknya yang agak berlainan. Satu lagi konsep alat ialah SC juga sebagai satu alat yang sesuai untuk kepentingan pergerakan persatuan. Mereka sanggup ‘menendang’ adat dan adab yang ada dalam SC semata-mata untuk kepentingan persatuan dan kepentingan diri. Banyak sangat saya sentuh soal ini.

Cukup setakat ini apabila kita bincangkan SC sebagai alat. Penulisan ini juga sebagai alat untuk membuka pemikiran kita juga. Hanya pada yang tahu.