Sunday, December 13, 2009

KONSEP MENANG

KONSEP MENANG

Menjadi sifat manusia dalam setiap saingan, kita inginkan kemenangan. Untuk menang, pelbagai usaha akan digunakan. Dalam konteks persatuan, bersaing bermakna berebut jawatan. Jawatan adalah bermakna kuasa. Kemenangan berebut kuasa maka ditafsirkan menang. Apabila mendapat kuasa, perlu ada strategi untuk memelihara kuasa dan seterusnya mengekalkan kuasa tersebut. Dalam proses bersaing untuk mendapatkan kuasa, maka pelbagai tektik dan strategi akan digunakan. Paling senang ialah penggunaan wang ringgit atau lain-lain mata wang.

Dalam SC, berdasarkan kefahaman saya, konsep menang membawa makna yang luas. Menang ada kaitan dengan perkataan selamat. Orang yang menang dalam bidang persilatan SC adalah orang yang sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Sistem pelajaran SC yang disusun begitu rupa memperlihatkan konsep menang sememangnya wujud dalam pembelajaran kita. Pelajaran Buah Jatuh memperlihatkan kehebatan SC menunggu serangan musuh. Buah-buah yang sedia ada adalah mencukupi tanpa perlu ditokok tambah. Tapi sekarang nampaknya ada yang dinyahkan. Walau bagaimanapun, kehebatan Buah Jatuh dapat diatasi dengan pelajaran berikutnya iaitu Buah Potong. Lahirlah falsafah yang pakai akhirnya tak pakai. Itulah kebenaran yang ada dalam pembelajaran Buah Potong. Namun begitu ketenangan tetap wujud pada pengamal SC apabila wujudnya pelajaran ‘Seri’. Adatnya, melalui pelajaran yang juga dikenali sebagai enam tolak enam tersebut, jiwa kita berada dalam keadaan tenang dan diri kita berada dalam keadaan selamat. Lahirlah konsep sesama ahli tidak boleh bergaduh. Jika bergaduh sekali pun, adatnya tidak akan ada sesiapa pun yang menang. Adatnya juga, pengamal SC sentiasa berada dalam keadaan selamat. Tidak timbul perasaan syak wasangka atau curiga mencurigai atas kelebihan atau kekuatan sesama ahli silat. Kalau bergaduh sekalipun, semuanya selamat. Sebabnya ialah kita ada pelajaran ‘Seri’.

Saya menggunakan istilah ‘adatnya’ sebab itulah hakikat pelajaran SC yang ada. Namun begitu mungkin juga ada yang mencarik adat. Itu semua bergantunglah atas ketentuan Ilahi. Barang yang lama terbiar, akhirnya akan berkulat juga. Begitu juga dengan pelajaran SC. Jika tidak diamalkan pasti akan turut berkulat. Kalau tak berkulatpun, lagi lama jika terbiar akan turut menjadi basi.

Setelah kita tamat, kekuatan ahli diasak melalui ‘fahaman dalaman’. Bukan mudah bagi kita untuk mengatasi dan menghadapi musuh-musuh yang tidak nyata. Kalau secara fizikal kebolehan kita sukar diatasi, maka para musuh kita pasti akan menggunakan pendekatan yang tidak nyata. Sekali lagi ahli-ahli SC akan diasuh dengan perasaan tenang. Kita mempunyai amalan mandi. Ramai yang tahu akan faedahnya yang berasaskan prinsip selamat. Kita yakin dan percaya, melalui amalan mandi ini akan meletakkan kita akan sentiasa berada dalam keadaan selamat. Kita inginkan keselamatan diri. Maka amalan mandi akan memenuhi impian dan harapan kita tersebut. Jangan lupa kain basah.

Ustaz pernah mengatakan kepada saya tentang maksud keputusan silat. Keputusan silat ialah gaduh. Keputusan bermaksud kesimpulan atas gerak kita atau penentu pada gerak kita sama ada boleh pakai atau tak boleh pakai. Kadang kala keputusan silat juga dapat ditafsirkan sebagai konsep kebenaran tentang gerak silat yang kita ada. Kalau kita ingin tahu sejauh mana kehebatan kita dalam persilatan, maka boleh dilihat ketika bergaduh. Adakah ilmu SC yang kita miliki akan dapat digunakan untuk bertanggungjawab atas diri kita sendiri. Bagaimana pula jika kita tidak pernah gaduh-gaduh. Cubalah kita bersilat tanpa ada sebarang pakatan. Kalau kita diserang atau kita menyerang, sentiasa beroleh kemenangan maka itulah kesimpulan gerak gaduh yang ada pada diri kita. Kalau berjaya maka bermakna menjadilah gerak kita dalam SC.

Walaupun keputusan silat ialah gaduh maka kita tidak semestinya mesti bergaduh. Ramai yang mempelajari SC hinga akhir hayatnya tidak pernah menikmati gaduh. Kebenaran tentang gerak silat kita akan kita ketahui sendiri. Jika kita sendiri boleh mengukur sejauh mana penguasaan kita dalam gerak yang ada maka kita sendiri boleh mengukur keputusan gerak yang ada pada diri kita.

Pergaduhan akan menerbitkan sifat dendam. Orang yang berdendam akan meneruskan usaha untuk melepaskan dendamnya. Ustaz pernah bercerita dengan saya tentang tabiat seorang yang dipukul kerana sesuatu sebab. Beliau tidak berpuas hati dan terus menerus berdendam. Setiap hari ditunggunya di persimpangan jalan. Apabila lalu musuhnya yang memukulnya, akan terus dilawannya balik. Kalah atau menang tidak dijadikan ukuran. Perbuatan tersebut dilakukan setiap hari untuk melepaskan perasaan dendamnya. Akhirnya manusia yang memulakan pergaduhan tersebut walaupun sentiasa menang tapi berada dalam keadaan yang tidak selamat dan tidak tenang. Beliau mengalah sebagai tanda menyerah kalah. Menyerah kalah bukan kerana kalah berlawan tapi menyerah kalah kerana jiwa tidak tenteram.

Oleh itu peranan ‘selamat’ amat besar maknanya dalam persilatan SC. Jika kita sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa selamat maka itulah kemenangan hakiki yang kita perolehi.

Sekian setakat ini.