Wednesday, December 23, 2009

ANUGERAH KHAS GURU UTAMA

Diberitakan pada minggu yang lalu telah diadakan majlis perjumpaan Jurulatih dan Jamuan Makan Malam. Saya tidak berkesempatan meyertainya. Pertamanya tidak dijemput walaupun diceritakan oleh yang empunya cerita bahawa surat telah dihantar dan kebetulan pula saya berada di luar negara. Apapun tidak ada sebarang isu. Perkara yang penting majlis tersebut telah berjalan dengan lancarnya.

Dalam majlis tersebut diberitakan satu anugerah tertinggi dalam SC telah dianugerahi kepada sahabat lama saya iaitu En Abu Hamid Naaman. Saya tidak pasti tentang anugerah yang ke berapa kali. Yang pastinya sebelum ini ada tokoh-tokoh hebat dalam SC yang telah memperoleh anugerah tersebut. Oleh sebab anugerah itu adalah anugerah Guru Utama, pastinya beliau telah mengetahui dan mendalami betapa pentingnya anugerah tersebut diberi pada mereka yang berkenaan.

Dalam tulisan kali ini saya ingin menukil kembali kenangan saya bersama penerima anugerah yang lalu iaitu En Abu Hamid Naaman. Penceritaan ringkas saya mengenainya adalah berdasarkan pengalaman saya bersama dengannya.

Saya mula mengenalinya kerana berada dalam kolej kediaman yang sama semasa menuntut di Universiti Malaya. Kami bergiat cergas dalam kegiatan pelajar. Kalau tak salah saya, semasa saya menjawat jawatan Setiausaha Majlis Penuntut, beliau adalah Ketua Biro sosial.

Penglibatan kami dengan silat di kampus bermula dengan Silat Gayung dan kami menyertainya bersama. Cuma yang berbeza, saya telah lama berkecimpung dengan silat itu di tempat asal saya. Silat berkenaan juga mengalami perubahan dalam gerak silatnya. Oleh sebab gerak-gerak buahnya tidak sesuai dengan pelajaran silat tersebut yang saya pelajari dan yang saya amalkan, maka saya telah membuka kelas sendiri di asrama saya. Kami berlatih atas pelajaran yang ada dan bandingannya dengan pelajaran silat tersebut yang saya pelajari. En Abu Hamid adalah salah seorang daripada peserta dalam kelas silat berkenaan.

Kelas SC mula bertapak di kampus kami apabila kami berjumpa dengan Ustaz sendiri di pejabat SC. Kami bertiga ke sana. Apabila syarat belajar kami setujui maka ketiga-tiga kami termasuk En Abu Hamid telah merancang. Terpaksalah kami syer duit untuk menganjur satu pertunjukan di kolej kediaman kami. Aktiviti pertunjukan mudah dijalankan sebabnya kami juga adalah ahli Majlis Penuntut di kolej berkenaan. Ustaz sendiri membuat penerangan. Ramai tokoh SC yang hadir dalam majlis penerangan tersebut. Saya sempat berkenalan dengan mereka. Diri tersangat bangga. Mereka juga berasa bangga. Maklumlah, itulah pertama kalinya SC bertapak dan membuat penerangan di pusat pengajian. En Amruddin dan En Nasir juga menuntut di universiti yang sama dan berada di tahun ketiga manakala kami di tahun kedua ketika itu. Pada masa itu juga mula munculnya perkenalan dengan sahabat saya En Shafie.

Hasil usaha kami sendiri, maka SC berjaya bertapak di kampus kami. Saya menjadi presiden pertamanya. Latihan diadakan pada petang Sabtu dan petang Ahad. Oleh sebab jangka masa pengajian sangat terhad maka kelas kami tamat dalam masa tiga bulan sahaja. Apa lagi. Sekali latihan, berlonggok buah yang ‘diturunkan’. Oleh sebab itu saya mengambil anisiatif sendiri menganjurkan kelas ‘tution’ SC di asrama saya dan saya sendiri pimpin bermula dari pukul sepuluh malam hingga larut malam. Ramai yang hadir termasuk sahabat saya En Abu Hamid.

Setelah tamat pengajian silat dan pengajian di universiti, kami balik ke tempat masing-masing. Kebetulan beliau bertugas di tempat saya sebagai pegawai bank. Minat kami terhadap SC amat mendalam. Kami menganjurkan pertunjukan mencari ahli. Walaupun gagal membuka kelas dengan segera selepas pertujukan tersebut, beliau telah mengambil anisiatif untuk mencari ahli. Pekerjaannya sebagai pegawai bank memudahkan ahli-ahli yang ingin mempelajari SC dikumpulkannya. Campur dengan bakal-bakal ahli yang dapat dicari oleh sahabat kami seorang lagi maka membolehkan kami membuka kelas SC pertama dengan bilangan ahlinya lebih daripada dua puluh satu orang.

Untuk membuka kelas SC di tempat kami bukannya mudah. Silat yang menjadi saingan kita pada masa itu sangat mencemburui usaha-usaha kami tersebut. Disebar surat tohmahan tentang pembawaan Ustaz yang membawa ajaran salah. Ketika mereka inginkan penyelesaian dengan kami, En Abu Hamid merupakan orang utama yang sanggup berdepan dengan mereka mengatur pertemuan. Apabila mereka tidak berpuas hati dengan pertemuan yang diadakan dan inginkan penyelesaian secara ahli silat, maka En Abu Hamid juga dengan beraninya mengatur tempat dan masa pertemuan. Begitulah berani dan yakinnya beliau pada SC. Walaupun badan dan ketinggiannya amat berbeza dengan saya tapi saya kagum dengan kelebihan yang ada padanya. Orang kecil tapi cc nya amat besar.

Apabila beliau bertukar ke Pulau Pinang, minatnya untuk meneruskan perjuangan SC telah dilanjutkan. Atas anisiatifnya maka SC berjaya diasaskan di negeri tersebut. Beliaulah merupakan peneraju utama. Tak banyak yang saya tahu tentang aktiviti beliau dalam SC secara terperinci di negeri tersebut. Namun begitu, hubungannya dengan saya tetap ada. Beliau masih merujuk saya tentang buah-buah SC yang kurang dikuasainya. Adatnya beliau tidak perlu berbuat demikian. Akan tetapi sifat ikhlasnya pada SC tidak menjadikannya berperwatakan sedemikian. Kebolehan dan keupayaannya menyampaikan pelajaran silat amat dikagumi dan dihargai. Benih yang disemainya di negeri tersebut telah melahirkan ‘anak muridnya’ yang berwibawa.

Satu lagi kelebihannya dalam SC ialah anisiatifnya mengaktifkan persatuan dan mencari dana untuk memajukan persatuan. Kami turut dijemput untuk menyertai program yang dijalankannya, termasuk juga pertunjukan silat. Hal itu telah memberi idea untuk kami menggerakkan persatuan di cawangan kami.

Hubungannya dengan Ustaz dan Mak Teh adalah tersangat rapat. Saya difahamkan, setiap kali hari raya, beliau tetap akan berkunjung ke rumah mereka. Apatah lagi kami sering diingatkan oleh Ustaz tentang konsep hormat yang bukan terhad pada Ustaz seorang sahaja, malah meliputi keluarganya. Hal itu demikian menjadikannya tersangat hormat dan sentiasa menghormati keluarga Ustaz. Pendirian tetapnya itu terus berkekalan dan tidak mungkin berubah.

Itu sebabnya pada anggapan saya, ketika PA berpecah dengan kita, pendiriannya pada keluarga Ustaz tetap utuh dan tidak mudah berubah. Pada hal, hubungannya dengan PA juga adalah tersangat rapat. Dalam pepecahan kali kedua, pendiriannya juga tetap utuh dan tidak mudah berubah. Hormatnya pada keluarga Ustaz tetap tidak berganjak walau apa bentuk rayuan dan penerangan kebenaran yang dibuat oleh pihak sebelah sana. Setiap manusia ada kelemahannya. Kadang kala melalui kelemahan tersebut, Tuhan akan menurunkan ujiannya. Ketika ujian menimpa kita, pastinya kita memerlukan sokongan dan kesetiaan daripada para sahabat. Mereka akan memainkan peranan sebagai motivator yang terunggul. Dalam konteks ini, sepanjang pengenalan saya dengan beliau, En Abu Hamid berupaya untuk berbuat demikian.

Usahanya mengembangkan SC masih berterusan walaupun usia semakin lanjut. Tidak banyak yang saya tahu tentang penglibatannya dalam SC semasa beliau berada di negeri Johor. Yang saya tahu, beliau tetap aktif dan sentiasa menyumbang tenaga demi meneruskan perjuangan SC.

Syabas En Abu Hamid. Saya tumpang gembira. Apabila saya mendapat berita tentang anugerah tersebut, lantas saya membayang akan peranannya selama ini dalam SC. Hal ini demikian telah mendorong saya menulis serba sedikit pengalaman saya bersama dengannya. Saya yakin bahawa pendiriannya tetap tidak akan berubah untuk terus menyokong akan mandat dan warisan yang ditinggalkan oleh Ustaz. Pesanan Ustaz tetap akan dipegangnya walau apa pun yang berlaku. Sebabnya beliau tidak ada kepentingan peribadi dalam SC. Perjuangannya ikhlas dan suci.

Sekian.