Wednesday, November 25, 2009

SIRI AKHIR....sambungan BERDENDAM JUGA (7).

Pepecahan ini belum sampai ke penyudahnya. Maka SC ketika ini dilayari oleh tiga orang guru yang berlainan. PA, JM dan En Mat. Dalam CH, kalau berdasarkan disiplin lama, keputusan mahkamah perlu ada untuk menentukan guru mana yang benar-benar layak. Layak di sini berdasarkan tafsiran undang-undang atau peraturan-peraturan persatuan yang ada. Seperti biasa, soal adat dan adab semakin diketepikan. Namun begitu, oleh sebab mandat tetap dipersoalkan maka timbullah teori baru. Dikatakan bahawa dulunya En Mat sebagai guru SC tidak ada mandatnya. Mandat yang ada adalah terbuka. SC bukannya harta pusaka. Hak Ustaz Hanafi dinafikan, sebaliknya SC telah menjadi hak masyarakat. Biarlah masyarakat yang menentukannya. Masyarakat negara kita adalah pelbagai bangsa. Bila dikatakan hak masyarakat, adatnya adalah hak masyarakat yang pelbagai bangsa. Oleh sebab kumpulan hindraf sebok berjuangkan politik bangsanya maka mandat masyarakat melantik guru, diserahkan kepada penguasa persatuan yang ada. Maka dilantiklah Guru Persatuan bagi memenuhi hajat mereka. Di samping dua guru tersebut, PA masih meneruskan tugasnya sebagai guru dalam CM.

Apapun yang berlaku, kesemua ‘guru’ yang ada dalam sejarah perjuangan SC mempunyai pengertian dan keistimewaan buat saya. Banyak kenangan bersama mereka. Hubungan kami juga boleh dikata tersangat istimewa. Walau bagaimanapun kerana pepecahan persatuan, banyak masalah yang timbul dari segi hubungan.

Hubungan saya dengan Ustaz, saya sifatkan amat istimewa. Ketika saya masih di Kuala Lumpur, hubungan kami amat rapat. Terbayang kisah-kisah lama sewaktu berjalan dengan Ustaz. Hampir setiap petang kami berjalan bersama di Jalan Chow Kit. Apabila singgah di gerai minuman Pak Hussain, banyak syarahan yang diberinya. Kalau singgah ke kedai baju, dapatlah saya baju T baru. Setelah saya berpindah ke cawangan, Ustaz masih kerap berkunjung ke cawangan saya. Tapi tiada hebahan mengenainya.

Tidak akan saya lupa kunjungan terakhir Ustaz ke cawangan saya. Sebaik saja saya mengambilnya di lapangan terbang, dalam perjalanan ke ‘rumah persatuan’, diarahnya saya singgah ke pasar malam. Kami berdua sahaja. Bila saya tanya maksudnya, Ustaz mengatakan bahawa dia ingin membeli pisang untuk membuat majlis doa kesyukuran. Oleh sebab pembelian tersebut atas niatnya, saya tidak mengeluarkan wang untuk membayar harga pisang. Ustaz menegaskan pembeliannya dengan alasan atas niatnya. Ketika kami minum bersama di sebuah kedai, baharulah harga minum tersebut saya bayar. Puas. Kalau dulunya hanya Ustaz sahaja yang asyik membayar, tapi kali ini giliran saya pula yang belanja Ustaz.

Pada malamnya Ustaz mengadakan doa selamat sebelum ijazah terakhir di cawangan saya. Tapi saya tak bertanya langsung akan tujuannya. Tak terlintas apa-apa. Pada malam itulah Ustaz juga menunaikan segala petua yang ‘terhutang’ dengan saya. Sesetengahnya saya pun dah lupa akan permintaan saya sebelumnya. Banyak lagi keistimewaan yang ada dalam konteks hubungan kami. Akan saya bicara dari masa ke masa. Tentang petua, akan saya cerita. Mana-mana yang saya terima tanpa ikrar empat biji mata, pasti saya nyata. Kalau banyak biji mata, bukan ikrar namanya. Angkat tangan saja suka-suka. Boleh disama kumpulan pop yeh yeh di masa lalu. Tukang gelek pastilah ketuanya.

Hubungan saya dengan PA lain pula konteksnya. Bukan setakat hubungan antara ‘guru’ dengan ‘murid’ tapi lebih dari itu. Hubungan kami juga adalah sebagai hubungan sahabat yang erat. Kami pernah berlatih bersama dalam kelas silat untuk membetul dan menantapkan buah-buah SC yang ada. Beliau juga pernah melahirkan perasaan tak puas hatinya terhadap beberapa ahli dalam kalangan muridnya yang dianggap melebihi batas tindakan sepatutnya. Pernah dijanjinya anugerah dan kedudukan istimewa pada saya jika saya terus bersamanya. Tapi nak buat macam mana. Tak menjadi semuanya.

Apapun, kedua-dua mereka teramat istimewa buat saya. Ada kelebihannya. Cuma bak kata pepatah Melayu,”Lebih satu kurang satu.” Walau bagaimanapun saya juga diberi keistimewaan oleh mereka. Sekurang-kurangnya ketika mengadakan sebarang majlis ijazah di cawangan saya. Tarikh dan masa, saya tentukan sendiri secara berhubung terus dengan mereka. Tidak ada pengantara. Jadi, tak adalah orang tengah yang besar kepala.

Keistimewaan hebat yang saya terima, dapat dibuat contoh daripada kalangan mereka berdua.

Ustaz pernah menunda ijazah cawangan negeri lain kerana memenuhi permintaan ijazah di cawangan saya. Berbulu biji mata pada orang sebelah sana. Nak buat macam mana. Kehendaknya.

Bersama PA, ada satu peristiwa tentang ijazah yang saya tak boleh lupa. Dalam satu majlis ijazah di tempat saya, ketika jam menunjukkan waktu sembilan malam, PA masih belum tiba. Saya terus menalefonnya. Beliau tersentak kerana lupa. Maka dikatakan pada saya, ”Tunggu. Saya datang la ni.” Tunggulah kami. Tengah malam barulah bermula majlis ijazah seperti yang dirancang di tempat saya. Itulah hebatnya PA yang sentiasa menunaikan janji dan memegang janji ijazah yang diberi terhadap saya. Ketika itu.

Kedua-dua mereka sangat memahami pengorbanan yang telah saya sumbangkan dalam perjuangan SC. Cucuk-mencucuk tak termakan pada mereka. Agaknya kalau termakanpun, marah mereka buat sementara. Buktinya, saya tak pernah dimarahi secara langsung, melainkan yang saya dengar-dengar adalah sikit-sikit melalui pengantara. Tapi, bila berhadapan dengan mereka, rentak bual dan air muka, tetap macam biasa. Terfikir di hati. Mesti ada yang dengki. Namun begitu, saya masih boleh telefon mereka bila-bila masa. Pasti telefon diangkat mereka. Dilayan mesra. Langsung tiada perasaan fobia untuk menalefon mereka.

Hubungan dengan En Mat lain bentuknya. Perbezaan umur amat ketara. Ketika beliau ke rumah cawangan saya buat pertama kalinya, umur beliau baru mencecah dua belas atau tiga belas tahun. Panggilannya terhadap sayapun dimulakan dengan perkataan ’abang’. Ketika itu.

Dengan En jo juga ada hubungan istimewanya. Beliau adalah patner saya ketika pelarasan buah dilakukan bersama di bawah pengawasan Ustaz. Sering kali menjadi pasangan untuk buat pertunjukan. Kekasaran dan kecepatannya bersilat amat sangat saya gemari.

Kadang kala timbul persoalan di hati. Sampai bila pepecahan guru akan berlaku. Apapun, CM belum mengalaminya. Saya yakin, mereka juga pasti akan alaminya walaupun secara umum, tidak nampak pepecahan mereka. Mesyuarat agung telah digunakan mereka untuk menentukan bakal pengganti. Suara ahli persatuan telah dijadikan sumber utama. Bijak juga tindakan mereka. Akan tetapi, dua campur dua tetap empat jadinya. Akan jadi akhirnya Silat Cekak bergurukan empat orang. Mana yang benar. Pastinya hingga orang luar membuat keketapannya. Sekali lagi hakim berperanan, bukannya ahli silat yang membuat ketentuan.

Negeri-negeri Melayu yang dijajah oleh Inggeris adalah berpunca pada perebutan tahta negeri. Kedua pihak yang bergaduh telah merujuk pada Inggeris. Akhirnya pihak Inggeris yang berkuasa. Habis dirobeknya adat-adat dan adab-adab kita. Padanlah dengan muka kita. Biar punah asalkan puas. Biar kedua-dua pihak terlepas genggaman. Biar orang lain yang dapat, asalkan kesemua kita tak akan dapat apa-apa.

Itulah peristiwa-peristiwa penyudahnya pada kata-kata dalam ayat pertama pantun Ustaz.

“Lahirnya Cekak kerana kesedaran,”

Dalam tulisan ini, saya telah menyingkap peristiwa yang ada berdasarkan pengalaman saya dalam tujuh siri penulisan. Tentunya saya yang memainkan peranan sebagai watak utama. Banyak peristiwa yang tidak dikupas dengan sempurna. Belum tiba masanya.
Pepecahan SC akan terus berlaku untuk berpuluh-puluh malah beratus-ratus tahun yang akan datang selagi manusia Melayu masih ada. CM pun akan berpecah apabila PA akan tiada. Sekali berpecah maka sekali lagi timbul guru baru dan persatuan baru. Hingga ke angka dua puluh satu agaknya. Tapi saya rasa semuanya akan terkenang nama Ustaz Hanafi. Maka tak salah saya menghitamputihkan peristiwa dalam zaman Ustaz Hanafi. Kalau tak setuju tulislah mengikut tafsiran sendiri. Dengan watak utamanya ialah diri sendiri. Lagi banyak yang ditulis, tak akan timbul apa-apa kerugian. Berkongsi pengalaman.

Sekian imbasan umum DENDAM YANG TERUS MEMBARA DI HATI dalam sejarah persilatan SC sejak awal penglibatan saya. Akhirnya akan menjadi abu yang abadi. Hidup Cekak! Hidup Cekak!. Itulah wirid kebanyakan hipokrit hakiki. Lain di mulut, lain di hati. Dia yang hidup, silat yang mati. Tapi sedap lagi wirid haji. Sekian setakat ini.

Tajuk lain pulak sedang menanti.