Thursday, March 13, 2008

ADA MASA LAGI

Ada antara sahabat saya yang menyatakan kepada saya betapa Guru Persatuan yang dianggap tidak sah telah berjaya mendapat pengaruh yang hebat di kalangan masyarakat untuk menyebarkan SC. Perkembangan mereka semakin meluas dari masa ke masa. Tak tahu palak apa yang terlintas di hatinya. Suka atau duka atau kesal atau sebarang bentuk rasa hati yang lain.

Saya teringat mainan kata-kata di satu masa dahulu. ”Pat-pat siku lipat. Siapa cepat, dia yang dapat.” Dalam konteks sekarang, asli dan tiruan tidak penting. Banyak jenama hebat yang terhad sebaran dan jualannya berbanding dengan jenama tiruan. Malah mutu hasilannya menyerupai barangan asli. Yang penting ialah strategi jualan. Apa yang diusahakan maka itulah hasilnya.Kalau mereka merancang dengan strategi yang baik maka pergerakan mereka akan menjadi bertambah mantap dan berkesan untuk menyebarkan silat ini. Masyarakat mempunyai hak untuk mempelajari atau memilih siapa pengajar atau gurunya. Dunia sekarang adalah dunia duitan, penjimatan dan barangan. Soal hak, asli atau mutu adalah soal yang kedua. Hanya jauhari mengenal maknikam.

Satu segi apabila anak-anak muda kita memasuki dunia persilatan; tak kira jenis silat apa, maka itu merupakan satu langkah yang baik. Daripada mereka cenderong kepada ilmu pertahanan diri dari luar, lebih baik memasuki apa jenis silat Melayu sekalipun. Asli atau tidak mana ada makmal untuk membuktikannya. Cuma yang kita sebok-sebok berbahas tentang guru dalam SC adalah kerana hak guru masih ada dalam SC yang telah diangkat jawatannya sebagai presiden pada satu masa dulu. Kecualilah En Mat keluar daripada persatuan yang ada dan menubuhkan persatuan yang baru. Maka putuslah hubungan persilatannya dengan persatuan silat yang ada dan terputus juga dengan silat yang dikuasai oleh persatuan yang ada. Hak persilatan En Mat akan dilahirkan dalam bentuk yang baru. Sama dengan kelahiran Cekak Hanafi dalam pengenalan yang baru tapi pertalian hak masih berarus.

Kalau En Mat meninggalkan persatuan , apa kita peduli pada persatuan yang ada sekarang untuk ambil sesiapapun sebagai guru. Kitapun tak perlu komen. Kalau mereka nak ubah mata pelajaran SC pun, apa kita peduli kerana hubungan salasilahnya dengan Cekak yang asal telah putus. Lebih-lebih lagi di zaman Guru Wawasan nanti. Samalah keadaannya dengan Silat yang ditinggalkan oleh En Mat dahulu iaitu SC Malaysia. Siapa nak ganti guru yang ada sekarang dalam CM, apa kita peduli. Hubungannya dalam salasilah SC telah terputus dalam konteks hak. Saya yang sebok-sebok menulis pun atas dasar masih ada lagi hubungan En Mat dalam persatuan yang sedia ada.

Itu sebab sebelum kita berpisah, saya cuba sedaya upaya untuk mengemukakan pendapat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya dalam SC dengan kepercayaan yang kukuh tanpa ada perasaan berat sebelah dalam konteks prinsip SC. Tak ada apa yang saya kejar. Tak ada satu jawatanpun yang saya sandang atau cuba sandang. Tapi itu tafsiran saya. Kalau ada yang bersetuju ikutlah. Tapi kalau masih tak bersetuju, apa untung dan apa rugi pada saya. Cuma sedih melihat perkembangan SC yang semakin kucar-kacir dan sedih melihat generasi SC yang ”tertipu”. Kadang kala selama ini, kita berasa geram pada En Mat, bukan kerana perbuatan En Mat tapi kita geram kerana tindak tanduknya yang degil dan biadap pada orang-orang lama dan orang-orang bangka. Kerana perasaan geram tersebutlah maka kita rela bermusuhan terus dengannya sebagai satu bentuk pengajaran kepada En Mat. Kerana perasaan geram juga maka kita rela prinsip SC yang unit dan disanjung tinggi di satu masa dahulu, dirobak-robek begitu sahaja.

Kalau En Mat meninggalkan persatuan SC yang ada maka pada pendapat saya, SC yang ditinggalkannya itu bukan sebenarnya SC seperti yang diharapkan oleh Allahyarham Ustaz. Oleh itu jikalau dilantik sebarang guru baru pun bagi persatuan SC yang ditinggalkannya, apa kita peduli. Kalau diubah mata pelajarannya pun apa kita peduli. Kalau diubah adat dan adab dalam SC pun apa kita peduli. Bukannya ada pertalian dan perkaitan dengan pengajaran silat Cekak dari zaman Ustaz lagi. Oleh itu tidaklah perlu lagi bagi siapapun untuk membuat sebarang komen tentang mereka. Tapi nak buat macam mana. Kepimpinan En Mat sebagai guru utama masih lagi diterima oleh sebahagian besar ahli persatuan. Cuma yang tak menerimanya mungkin kerana pelbagai macam alasan. Kalau tak tahu dan tak faham, kira ok lah juga. Tapi yang tahu dan faham tapi menolak kefahamannya sendiri yang selama ini dimiliki, dikuasai dan diamali, sangat mendukacitakan. Bagaimana kefahaman SC boleh berubah-ubah. Entah! Sampai sekarang saya pulak yang tak ’faham-fahaman’ kenapa mereka sanggup berbuat demikian.

Sebelum berpecah, saya mengambil kesempatan di sini untuk menerangkan sesuatu yang sebenarnya tentang SC berdasarkan pandangan saya sendiri yang dulunya diterima pakai oleh semua pihak.. Buatlah renungan betul-betul kerana apa yang saya tulis bukanlah sesuatu yang baru tapi perkara lama yang tidak dibantah. Fahaman dan pengetahuan saya yang ada sekarang inipun diajar oleh orang-orang yang terdahulu. Saya tak rebut apa-apa jawatan dalam SC yang ada. Tapi saya berebut hak untuk menyatakan sesuatu yang selama ini memiliki fahaman yang sama. Saya tidak memandang En Mat salah ke atau benar ke. Penyiasat kes dahulu pun ialah orang kita sendiri. Kecenderongan menyebelahi mana-mana pihak tentu ada. Biarlah dan tunggulah keputusan hakim nanti untuk menentukan En Mat salah atau benar. Oleh itu kesalahan beliau tersebut sepatutnya tidak dijadikan perdu perbahasan untuk menyatakan En Mat tak betul. Bahaslah dari segi prinsip dan kefahaman SC sejak zaman Ustaz lagi.

Tapi kadang kala saya pun terfikir. Generasi sekarang tahu apa tentang Ustaz Hanafi dan fahamannya. Mana pernah mereka berjumpa. Kadang kala rasa sia-sia saya menulis. Mereka bukannya faham. Generasi lama bagaimana pula. Tapi yang lama tetap lama. Benda karat sukar digalap. Bukan senang untuk berubah semula. Tapi tak kan lah dalam begitu banyak yang membaca tak ada langsung yang memendam rasa dan berubah di jiwa.