Saturday, September 1, 2007

PENDAPATAN VS PENDAPAT

Sengaja saya menulis di ruangan ini agar kita dapat berkongsi pendapat dan pandangan. Benar atau salah pandangan kita bukan ukuran utama. Masing-masing ada pendapat. Perkara yang penting ialah sifat keterbukaan minda untuk mendengar pendapat yang lain. Mungkin pendapat itu bertentangan dengan pendapat kita. Pertentangan ini bermakna pendapat tersebut tidak sesuai dengan sikap atau nilai diri kita dan tidak semestinya pendapat itu salah.

Janganlah sesekali kita memaksa orang lain menerima pendapat kita. Berilah fakta atau data terlebih dahulu bagi membolehkan mereka menyimpulkan pendapat. Walaupun kadang kala kita berasa sedih atas keputusan bertentangan yang mereka buat setelah diberi fakta dan data, kita perlu menerima hakikat keputusan mereka tersebut. Bukannya semua ahli berfikiran seperti kita. Terdapat pelbagai jenis ukuran pemikiran di kalangan ahli dan murid silat. Katagori pemikiran tersebut bergantung pada pelajaran, pengalaman, pegangan dan kepentingan yang ada pada diri seseorang. Memaksa orang lain menerima pendapat kita, bermakna kita mungkin menjadikan orang tersebut bersikap hipokrit atau tidak jujur pada diri mereka sendiri. Tengoklah sekarang ini betapa ramainya ahli dan murid silat yang sangat sayangkan silat dan persatuan hingga menjadikan mereka berada dalam ketakutan. Takut tersingkir, takut hilang kawan, takut dipulau dan beraneka takut lagi. Hiduplah mereka dalam suasana ”terpenjara” dalam SC. Sesuatu yang dilarang dalam ajaran SC . Cuma pada mantan Guru, mereka tidak takut kerana mereka tahu guru tersebut telah ”pok kai liau”.

Kalau kita mengerti akan asas pendapat kita maka tidaklah mudah bagi kita menghukum. Misalnya ada pendapat yang mengatakan bahawa majlis ijazah yang dilakukan oleh En Mat adalah haram dan hasil pendapatannya juga adalah haram. Amat mudah golongan ini mengeluarkan pendapat dan diikuti dengan hukum agama. Majlis Mufti yang mengeluarkan hukum pun terpaksa berhati-hati dan memakan masa yang panjang, itupun setelah wujud pedebatan. Kalau sebegitu mudah kita menghukum orang maka dengan begitu mudah pula kita akan dihukum. Dalam kes ini, kalau seseorang itu memegang mazhab Persatuan dan bergurukan Guru Persatuan mungkin ada asas pada pendapat tersebut. Mungkin, istilah haram elok diganti dengan istilah ”melanggar peraturan-peraturan persatuan’. Kalau kita menggunakan hukum, pada mereka yang bermazhab adat dan adab dan bergurukan Guru Silat, akan tetap mengatakan bahawa perbuatan En Mat itu adalah wajib dilakukan atas tanggungjawab yang diamanahkan dan mandat yang diberi kepada beliau untuk mengembangkan SC. Berdosalah En Mat kalau beliau mendiamkan diri dan membiarkan SC dipelajari daripada orang yang tidak mempunyai hak dalam konteks adat dan adab SC.

Bersandar atau menggunakan hukum sebagai alat, tiada siapa yang larang. Tetapi, sebelum apapun hukuman berlandaskan agama yang ingin kita keluarkan, asasnya, periksa diri dulu. Sekurang-kurangnya nilailah diri kita ini; adakah kita jenis tunggu subuh atau subuh tunggu kita. Menurut kata tok Guru lama, tengoklah muka kita pada cermin, ’dalam-dalam’. Lama-lama muka kita dalam cermin tersebut akan menyatakan sesuatu yang boleh menentukan kita layak menghukum atau tidak. Sangat molek jika perbuatan menengok cermin dilakukan selepas tengah malam. Selepas sembahyang tahjud agaknya.

Ada juga di kalangan ahli yang menggunakan istilah ”bohong” dalam hujah mereka. En Mat dikatakan telah berbohong dan selalu membuat perbohongan. Walau bagaimanapun, hujah yang dikemukakan oleh mereka semacam bercanggah dengan hujah mereka yang terdahulu. Guru Wawasan selalu menggunakan istilah ini. Kalau kita mengatakan bahawa seseorang itu suka berbohong maka ini membawa makna diri kita tidak berbohong. Dalam konteks ini, nampak benar percanggahan hujah-hujah mereka dan percanggahan ini telah menimbulkan banyak persoalan dan kekeliruan. Jangan nanti dianggap orang sebagai cari makan.

Bercakap benar adalah lawan kepada perbuatan berbohong. Dalam ajaran SC seperti yang saya terima, hati dan mulut mesti selari. Kalau hati berfikiran lain, sebaliknya mulut mengeluarkan sesuatu yang bercanggah dengan hati, maka orang itu tetap berbohong. Dari sinilah lahirnya golongan Mat Jilat dan Mat Pot seperti yang saya bincangkan terdahulu. Puak-puak yang rapat dengan En Mat satu masa dulu, selalu mempertahankan En Mat dan sering mengeluarkan kenyataan secara lisan untuk menyokong En Mat atas sebarang isu yang timbul. Paling dahsyat, berikrar pulak tu. Salah satu contohnya ialah isu gelaran kepada Guru. Bila mereka menjadi seteru En Mat, kenyataan mereka telah bercanggah. Mereka mengatakan bahawa sebenarnya mereka tidak bersetuju dengan gelaran yang digunakan oleh En Mat. Wal hal sebelum ini mereka bermati-matian mempertahankan kebenaran penggunaan gelaran itu. Mereka telah mengeluarkan pekeliling bagi menegaskan sokongan mereka pada tindakan En Mat tersebut. Jadi selama ini mereka telah berbohong pada ahli dan kepada murid silat. Ini bermakna bahawa mereka juga adalah golongan pembohong dalam SC. Oleh sebab salah satu hobi mereka ialah berbohong maka istilah bohong selalu bermain di bibir mereka. Semua orang disangkakan suka berbohong seperti apa yang mereka lakukan. Itu sebab mereka tidak mempercayai orang lain dan sesama ahli hingga memaksa mereka supaya berikrar. Puak samdul pun terpaksalah berikrar bagi memenuhi hajat si tukang bohong walaupun sebenarnya diri mereka diperalatkan oleh orang yang tidak mempercayai diri mereka sendiri.

Akibat suka berbohong pada diri sendiri dan semestinya pada orang lain, jadilah mereka manusia yang tidak jujur. Inilah satu pengajaran yang besar yang kita boleh peroleh dalam SC. Janganlah kita bertemankan orang yang tidak bersifat jujur. Diri sendiri akan jahanam dek berkawan dengan golongan ini. Mereka suka berpura-pura dan selalu memberi fakta yang tipu semata-mata ingin menjaga hati atau hubungan baik. Matlamat utama perjuangan akan dikesampingkan demi kepentingan diri yang menjadi fokus utama peribadi. Amat malang sekali pada En Mat apabila dikelilingi oleh ramai manusia jenis ini. En Mat gagal mengesan sikap mereka sejak awal lagi. Hinggakan beliau sanggup menyerah jawatan utama persatuan kepada mereka. Setiap perjumpaan, nada pujian dan harapan tetap dihamburkan terhadap mereka. ”Pucuk dicipta ulam mendatang”. Erti terima kasih dan amanah, mana ada pada perbendaharaan kata mereka. Dengan itu mudahlah mereka mencucuk En Mat dari belakang. Kesakitan juga akhirnya yang diterima. Mungkin golongan ini memakai baju dan seluar ”jin” hingga laduninya tidak dapat menembusi hati dan dada mereka. Akibat fakta yang salah yang diberikan kepada En Mat, tidak hairanlah En Mat begitu senang sekali menyerahkan amanah jawatan Presidennya kepada orang lain. ”Menyuap makanan pada harimau, habis ’dingapnya’ dengan orang-orangnya sekali”. Mungkin itulah akibatnya bila mempercayai orang yang tidak jujur dan suka berbohong.

Saya kira perbuatan menyerahkan amanah tugas Presiden tersebut kepada individu tertentu, menjadikan puak-puak tertentu dalam jawatankuasa pusat membuat keputusan kumpulan tanpa merujuk Presiden. Akhirnya mereka menguasai Persatuan dan menyingkir Presiden Persatuan. Mungkin satu segi yang lain, keadaan tersebut berlaku kerana kepercayaan penuh En Mat pada orang-orang ”kanannya”. Beliau tidak sedar bahawa golongan ini mempunyai agendanya yang tersembunyi. Masakan mereka yang dilantik oleh Presiden, sanggup menikam Presiden yang melantiknya. Itulah yang selalu dikatakan betapa pentingnya orang-orang yang jujur dan amanah berada di sekeliling kita.

Dalam perbualan dan pergaulan secara tidak rasmi dengan mantan-mantan Guru Silat dalam dalam SC, terutama yang pertama dulu, banyak kata hikmat dan kata pesanan mereka yang terus menerus saya jadikan panduan buat diri sendiri. Antaranya seperti yang berikut.

”Bertengkarlah atau bergaduhlah(pendapat) terlebih dahulu kerana kita akan peroleh kebaikan dan persefahaman pada waktu kemudian.” Apa yang terdetik atau apa saja yang boleh menimbulkan kekeliruan, kemukakan persoalan. Dapatkan penjelasan. Keraguan yang ada jangan disimpan dalam hati. Jangan takut pada Guru umpamanya kerana apa yang kita lakukan adalah untuk Guru. Keadaan ini lebih baik daripada mereka yang menyimpan dalam hati dan terpaksa berpura kelakuan di hadapan Guru. Bila ada peluang maka baharulah perasaan tersebut dihambur keluar. Mereka inilah golongan yang berbaik dahulu tapi bermusuh kemudian.

”Terimalah atau sekurang-kurangnya dengarlah pendapat atau pandangan orang lain terlebih dahulu walaupun pandangan atau pendapat tersebut umpama jadam yang sangat pahit.” Sesuatu yang pahit pada kebiasaannya akan membawa perasaan lega dan kebaikan yang sejati kemudiannya. Orang yang mengalami kepahitan hidup, pasti akan puas menikmati kesenangan. Ubat yang mengubati penyakitpun asalnya sangat pahit. Cuba rasa tongkat ali atau kacip fatimah. Kalau pahit tersebut ditelan, bukankah akhirnya dua biji kelapa senang-senang diangkat. Yang satu jenis lagi akan menyebabkan laki tak lari. Kalau makan yang manis-manis pasti akan berakhir dengan kencing manis. Anu pun tak kuat. Hilang salah satu nikmat hidup.

Kedua-dua kata pesanan tersebut tetap saya pakai walau di mana berada dan walaupun orang lain tak pakainya. ”Tak pakai saya pakai kalau orang lain pakai tetap saya pakai. Dengan cara itu kita akan menjadikan diri kita bebas dan tidak hidup berpura-pura serta asyik berikrar sepanjang masa. Ada banyak lagi kata-kata pesanan daripada Guru-Guru kita. Ramai yang faham tapi tak ramai yang mengerti untuk aplikasikannya. Atau memang tuli.