Friday, August 24, 2007

MANTAN VS MANDAT - MANTAP VS MANTAT

Guru Persatuan telah mula menjalankan tugas persatuan untuk majlis ijazah persatuan. Bakal guru yang dikenali sebagai Guru Wawasan, kerap kelihatan bersama. Tapi semacam ada sikit kejanggalan. Satu segi mereka menafikan soal mandat tapi satu segi yang lain mereka meneruskan prinsip mandat. Proses ijazah itu adalah berbentuk mandat. Dengan ijazah, Guru memberi mandat kepada penuntut untuk belajar dan penuntut menerima mandat untuk belajar. Mandat ada kaitannya dengan kuasa. Dengan maksud lain, daripada mandat tersebut maka lahirlah istilah Punca Kuasa. Penuntut boleh mempelajari SC berdasarkan punca kuasa yang diberi oleh Guru Persatuan. Bagaimana dengan punca kuasa Guru Persatuan dalam konteks silat.

Guru Persatuan tersebut mendapat kuasa daripada siapa untuk ijazah. Apa punca kuasanya untuk membuat pengijazahan. Penuntut baru ”ambil” silat daripadanya tetapi beliau ”ambil” silat daripada siapa? Setakat yang diketahui, punca kuasanya dalam silat tidak ada. Guru yang ada iaitu En Mat tidak pernah memberi mandat atau kuasa kepadanya untuk mengerakkan SC. Keadaan ini berbeza dengan En Mat yang terpaksa memanjat pagar semata-mata untuk mendapatkan mandat yang berbentuk punca kuasa daripada Pak Ak bagi mengerakkan SC. Di sini terbukti betapa pentingnya mandat yang merupakan punca kuasa untuk mengerakkan silat. Untuk mengerakkan persatuan, tanggungjawab ini tidak diperlukan. Oleh sebab lantikannya dilakukan oleh pihak persatuan maka peranannya semestinya berdasarkan peraturan persatuan. Sahlah peranan beliau hanya sebagai Pendaftar Persatuan yang diberi gelaran Guru Persatuan. Oleh itu, tindak tanduknya sebagai Guru Persatuan perlulah menurut peraturan persatuan dan tidak terikat dengan peraturan silat yang penuh dengan adat dan adabnya.

Peranan Guru Persatuan adalah semata-mata mengesahkan keahlian penuntut dalam SC. Sebenarnya untuk tujuan pengesahan, tidak ada keperluan bagi mengadakan majlis ijazah. Ijazah yang melambangkan mandat tidak perlu diambil kira. Sepatutnya beliau menghapuskan sahaja majlis tersebut. Kepada penuntut yang ingin belajar, mereka cuma perlu isi borang pendaftaran, buat bayaran dan seterusnya belajar. Ini bersesuaian dengan peraturan persatuan yang sedia ada. Kalau ada majlis ijazah maka kita mesti terikat dengan adat. Ikatan ini boleh dikira buang masa sahaja. Wang Pengkeras boleh diganti dengan Wang Pendaftaran.

Yang pelik tapi cerdiknya puak persatuan tersebut, adat yang tidak mendatangkan ”untung” dikatakan telah ditiadakan. Misalnya adat ayam petunjuk. Adat ini amat menyusahkan Guru Persatuan. Untuk menerangkan konsepnya sudah tentu memerlukan ilmu pengetahuan . Guru Persatuan terpaksa membuang masa untuk memotong daging ayam dan akan terus ditanya bertalu-talu oleh penuntut yang akan tamat tentang perkara tersirat. Bukankah ini akan menyusahkan Guru Persatuan. Adat tersebut tidak mendatangkan keuntungan kepada Guru Persatuan terutamanya daripada segi wang ringgit.

Perbuatan memansuhkan acara adat petunjuk tersebut amat bertepatan dengan pergerakan persatuan. Sesuailah peranannya sebagai Guru Persatuan yang tidak perlu terikat dengan adat dan adab persilatan. Walau bagaimanapun, hanya majlis ijazah sahaja tidak boleh dihapuskan memandangkan majlis tersebut ada kaitan dengan pendapatan.

Keadaan yang berlaku sungguh mendukacitakan. Para pendokong yang dulunya hebat mempertahankan budaya dalam SC telah sanggup menongkah arus semata-mata ingin membalas dendam dan menurut hawa nafsu. Para pengikutnya yang kurang berfikir dan terikat dengan hubungan dan memiliki jiwa yang lemah telah terpaksa tunduk atas apa yang berlaku dalam SC. Mereka telah bersekongkol untuk membenamkan Guru Silat. Pada hal, di hati kecil mereka pasti bahawa bukan keadaan itu yang mereka inginkan.

Dalam zaman Allahyarham Ustaz dahulu, pengertian atau konsep ”isi dan kulit” atau ”senjata” dan ”sarung” telah diutarakan kepada ahli. Berdasarkan tafsiran dalam konteks Silat Cekak ketika itu, isi atau senjata ada padanya manakala seteru silatnya hanya memiliki sarung atau kulit. Semasa Ustaz membawa silat ini, beliau memiliki senjata dan sarung sekali. Istilah tersebut timbul semula dalam zaman Guru berikutnya apabila berlaku pepecahan. Masing-masing mendakwa memiliki senjata manakala di pihak lawannya hanya memiliki sarung. Istilah tersebut semakin popular apabila timbul pepecahan berikutnya. Dikatakan En Mat masih memiliki senjata manakala pada Guru Persatuan hanya ada sarungnya. Begitulah sebaliknya pada tafsiran puak-puak Guru Persatuan.

Berbagai tafsiran dilakukan pada istilah senjata atau isi dan sarung atau kulit. Kadang kala begitu susah untuk kita memahaminya. Pada saya, untuk memudahkan kefahaman tersebut, cuba kita bayangkan sarung sebagai kain dan senjata sebagai anu kita. Ketika kita menguasai segalanya, kita ada anu dan kita ada kain. Kedua-duanya adalah hak kita dan anu yang terlekat pada anggota kita merupakan sesuatu yang dianugerahkan hasil usaha keras kedua ibu bapa kita. Bila kita buang kain tersebut, anu itu masih ada pada kita kerana anu itu hak kita. Bila kita pakai kain lain maka anu kita telah dapat sarungnya kembali. Bagaimana pula dengan kain yang kita tinggalkan. Kalau isteri kita memakainya maka dapatlah sarung berkenaan pada anu yang berlainan bentuk. Tetapi jangan lupa bahawa bersabit kedua ibu bapa kitalah maka kita memperoleh anu tersebut. Sama ada anu kita berbentuk wali jantan atau wali betina, bergantung pada posisi kedua ibu bapa kita semasa ”menjadikan” kita.

Kalau ambil contoh lain, dapat kita umpamakan keris sebagai senjata dan tempat simpanan keris tersebut sebagai sarungnya. Nak cabut atau simpan keris tersebut bergantung pada haknya iaitu si pemilik keris. Kalau dia cabut keris tersebut maka tinggallah sarungnya. Pemilik keris boleh gunakan sarung lain kerana dia pemiliknya. Sebaliknya, kalau orang jumpa sarung keris yang kosong tersebut dan disarungkan keris lain, maka sarung tersebut telah berjumpa dengan senjata kerisnya tapi keris lain.

Kalau kita fahamkan isi dan kulit dengan buah rambutan, mungkin lebih jelas. Makan buah rambutan, isinya kita telan dan kulitnya kita buang. Isi yang dimakan akan membawa banyak khasiat. Kulit yang kita buang, tidak mendatangkan faedah terutamanya kulit rambutan yang banyak bulu. Tetapi kedua-keduanya iaitu isi dan kulit mempunyai kaitan dengan istilah rambutan. Satu, namanya isi rambutan dan satu lagi namanya kulit rambutan.

Kalau kita faham dengan contoh yang mudah tersebut maka dapatlah kita kaitkan dengan konsep sarung dan senjata dalam SC. Janganlah kita bicarakan siapa yang hebat. Siapa yang berusaha maka dialah yang dapat. Cuma usaha tersebut adakah sesuatu yang benar atau sebaliknya. Kalau kita usahakan penanaman kacang misalnya, cukup dengan baja dan siraman air, pasti akan membuahkan hasil yang lumayan. Cuma persoalannya tanah yang diusahakan tersebut adakah milik kita yang sah atau sebaliknya. Hasil yang didapati tetap lumayan. Tuhan itu amat pemurah kerana Tuhan akan memberi atas apa yang kita usahakan.

Itu sebabnya kita mesti menentukan pemilik sah SC. Di sinilah konsep mandat memainkan peranan penting. Pemilik sah akan menentukan mana satu yang ada senjata dan mana satu memiliki sarungnya. Faktor-faktor tersebut akan memberi keberkatan dalam ilmu yang kita pelajari.

Jangan pulak kita cuba bangkitkan soal penuntut yang hebat silatnya tanpa perlu diajar oleh mereka yang ada mandat. Kalau kita berpegang pada pendapat tersebut hilanglah pegangan kita pada asal usul dan hak penguasaan silat. Akibatnya pada satu masa nanti akan ramailah orang yang mencari makan dalam SC. Bukan susah untuk menambahkan pendapatan melalui SC. Orang-orang bukan keturunan kita semangnya berminat dengan ilmu kita. Mereka juga tidak lokek untuk mengorbankan wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan ilmu yang berharga. Ketika itu tak payahlah sibuk-sibuk membincangkan soal Guru yang hak, soal mandat, soal adat dan adab atau sebarang bentuk persoalan lagi.Sebarkan SC di seluruh dunia tanpa memerlukan rujukan pada siapa yang diajar. Nak buat apa rujuk-rujuk kalau empunya SC pun tidak perlu dirujuk.

Ketika itu kita akan mengigit jari sambil berbual dengan menggunakan kata pendahuluan, ”duluuuuu.” Menurut kata akan binasa. Mengikut kata hati, akan mati. Sebelum semuanya terlambat, cepat-cepat kita betulkan keadaan. Janganlah kita menjadi pengkianat dalam perjuangan SC. Sekali pecah nampak benar parahnya. Dua kali pecah lagi parah. Tiga kali pecah maka deraianlah jawabnya.

Pada saya, kegiatan dalam SC merupakan sebahagian daripada aktiviti hidup kita. Gunakan ruang dan peluang yang ada dalam SC untuk membentuk jiwa dan keperibadian diri kita yang unggul dalam applikasi menghadapi tugas sebenar dalam sektor kerajaan atau sektor swasta. Latih diri supaya mempunyai fikiran yang tenang, rasional tanpa tunduk pada seseorang yang boleh mengongkong prinsip dan pegangan kita. Tenangkan diri dan bebaskan pemikiran kita. Capaikan erti kemerdekaan dalam kehidupan kita. Kalau susah dipraktikkan di pejabat atau di tempat kerja, jangan disusahkan dalam kelas SC. Tapi kalau dalam SC pun susah, memang susahlah nasib kita.