Monday, October 19, 2009

SIFAT BOHONG DAN TEMBERANG

Berbalik pada drama Indon. Kerana tiada sifat berterus terang, cerita drama tersebut boleh dipanjang-panjangkan. Campur dengan sifat menabur fitnah maka terjadilah drama yang berterusan dan menyakitkan.

Bohong dan temberang ada perkaitan dengan sifat tidak berterus terang. Hal yang sepatutnya dikeluar atau dinyatakan, telah disembunyikan dengan pelbagai alasan. Pastinya kerana sesuatu kepentingan. Ramai penulis yang terdahulu membincangkan tajuk ini dan tersangat mudah membuat tafsiran. Pada saya, tentunya perbincangan tersebut banyak yang berdasarkan tafsiran sendiri tanpa merujuk pada satu asas yang kukuh maksud bohong dan temberang berdasarkan rujukan daripada ajaran SC. Dalam tulisan kali ini cuba kita bertukar perbincangan dari sudut pandangan dan pengertian saya selama berada dalam SC. Saya akan membincangkan pengertian bohong berdasarkan kefahaman yang diterima daripada Ustaz. Pendapat ini bukan pendapat baru. Berpuluh tahun saya sebarkan makna konsep bohong tersebut dalam kalangan ahli yang mempelajari SC dengan saya. Kali ini saya jadikan bahan tulisan untuk tatapan bersama.

Berdasarkan kefahaman, saya menyimpulkan bahawa sifat bohong atau temberang perlu merujuk pada mulut dan hati. Kedua-dua deria tersebut perlu selari. Apa yang diucapkan perlu selaras dengan apa yang ada dalam hati. Maknanya kita perlu berterus terang. Kenyataan di dalam, dikeluarkan. Itulah cakap benar secara hakiki. Hanya diri sendiri boleh jawab sama ada pembohong atau temberang. Sifat berterus terang amat orang benci. Kebanyakannya dicap sebagai golongan penentang dan golongan kiri.

Dalam SC, kita selalu berterus terang. Kita yakin pada isi pelajarannya. Atas keyakinan tersebut kita menegaskan betapa SC adalah sejenis silat yang boleh bertanggungjawab pada pemiliknya. Oleh sebab itu, kita yakin bahawa SC boleh mengatasi gerak-gerak silat yang ada berdasarkan kaedah-kaedahnya yang mantap. Apatah lagi ketika Cekak menyerang. Elak kena, tiada dielak lagi kena.

Sifat berterus terang tersebut adalah berdasarkan kebenaran. Bukan berbohong atau temberang. Tak percaya, boleh cuba. Tapi silat lain membencinya. Dituduhnya kita cakap besar, tak sedar diri dan pelbagai tuduhan untuk menyakitkan hati. Tambahan pula gelagat SC telah terkeluar daripada kebiasaan silat yang ada. Tiada gendang dan tiada tarinya ketika bersilat. Dalam konteks silat Melayu, fahaman tersebut adalah fahaman kiri kerana menyanggah kebiasaan yang ada. Tapi kita terus menegakkan kebenaran. Bukan cakap besar tapi cakap benar.

Biasanya sifat pembohong dan tidak berterus terang diakibatkan oleh kepentingan diri. Kepentingan ini ada kaitannya dengan jawatan yang disandang atau kerana menjaga hati kawan atau lawan. Pernah di satu ketika, nama-nama buah dalam SC cuba dibilang dengan menggunakan nombor. Hilang sekejap gelaran keputusan-keputusan buah yang ada. Nampak sangat pembohongan yang kita lakukan semata-mata menjaga hati guru-guru silat yang lain. Akhirnya kita kembali pada ketetapan kebenaran. Nama buah sebenar perlu dinyatakan. Biarlah apa silat lain nak kata. Atas kebenaran, kita perlu menyatakan kebenarannya. Maka berterusanlah SC menerima kecaman. Dikatakan kita keras kepala. Memang ya pun kita keras kepala. Itulah sifat jantan namanya.

Tapi Ustaz telah meletakkan pegangan sebagai asas pada kita supaya berterus terang. Saya sangat berminat dengan ajaran yang Ustaz berikan. Pada orang lain mungkin lain penerimaannya. Ustaz pernah berkata,

”Kita dilahirkan sorang-sorang ke dunia. Bersabit kedua ibu bapa kita dilahirkan. Bersabit guru maka kita kenal akan dunia ini. Jagalah betul-betul kedua ibu bapa dan guru kita. Mereka inilah golongan yang tiada perasaan hasad dan dengki.”

Satu lagi kata-kata Ustaz. Ketika dilahirkan kita tidak membawa apa-apapun. Malah penutup anu kita pun tiada. Maka dalam dunia, walau susah macam manapun hatta tanpa ada pakaian sekalipun maka kita akan berbalik pada fitrah kejadian kita. Oleh itu tidaklah perlu kita berasa susah hati kalau kita menghadapi sebarang masalah. Yang patut kita susah hati ialah apabila alat sama jadi dengan kejadian kita telah tidak berfungsi. Ada bahagian depan tapi tak boleh mengeluarkan air. Ada bahagian belakang telah tidak berperanan mengeluarkan kumbuhan. Sampai ke tahap itu baharulah kita patut susah hati.

Ustaz berkata lagi. Salah satu kaedah menunjukkan kesyukuran kita kepada Tuhan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Misalnya, ada baju, pakai. Jangan disimpan dalam almari. Maknanya kita mesti tahu menghargai atas apa yang kita miliki. Umpama pemakaian jam bagi menunjukkan waktu. Maka peliharakan waktu. Tapi waktu apa. Semestinya waktu yang wajib. Waktu yang wajib ialah waktu sembahyang. Gunakan jam sebagai usaha untuk memelihara sembahyang. Kehebatan mengerjakan sembahyang akan memberi kesan pada penguasaan bidang persilatan. Tapi cakap ini perlu berhati-hati. Takut dikatakan sembahyang kerana silat. Kerana takut terpaksalah kita temberang. Pada hal, konsep tersebut adalah kebenaran. Kata-kata Ustaz tersebut saya jadikan pegangan sejati dari dulu hingga sekarang.

Kata-kata Ustaz juga boleh dijadikan rangsangan untuk kita berterus terang. Tapi orang yang berterus terang akan menghadapi pelbagai rintangan dan tohmahan. Cacian adalah santapan telinga. Orang yang mencaci, tak sedar akan diri yang berperanan sebagai penabur fitnah.

Dalam SC ramai kalangan pemimpin yang menjadi pembohong dan temberang kerana takut berterus terang. Hiduplah mereka dalam kiasan. Itu sebabnya juga Ustaz pernah menjawab persoalan dengan kiasan. Ada satu contoh peristiwa ketika Ustaz sedang membasuh kereta. Seorang ahli menegur Ustaz untuk memulakan bicara dengan memuji kereta Ustaz yang dikatakan kurang menggunakan minyak. Lantas Ustaz menjawab dengan kata-kata, ”Apa nak dikira. Cokodok pun lagi kuat makan minyak.”

Itulah sifat kebanyakan ahli yang tidak tahu berterus terang bagi memulakan percakapan. Menegur tanpa menggunakan fikiran. Semata-mata menjaga hati. Maka lahirkan percakapan yang tidak lahir dari hati. Hanya untuk habuan mulut bagi memulakan perbualan. Memulakan perbualanpun dengan sifat temberang.

Sebelum kita berpecah, golongan temberang amat ramai sekali. Tembelang mereka pecah apabila persatuan kita berpecah. Ketika itu baru diketahui banyak perkara yang mereka tidak setuju, tapi dipendam dalam hati. Tidak berani berterus terang kerana kedudukan dan pelbagai kepentingan diri. Kenapa sebelum berpecah tidak dinyatakan secara terus terang. Itulah golongan pembohong dan temberang namanya. ”Kata dulang kayu serpih. Kata orang mereka lagi lebih.”

Saya masih teringat kata-kata nasihat yang diucap oleh Guru Wawasan. Antara lain nasihatnya, ”Kita ni jangan ada sikitpun perasaan curiga atau kata-kata yang menyinggung guru kita. Kita perlu menghormati guru dengan sepenuh hati.......” Hebat sekali kata-katanya. Bila berpecah, pulamak!. Dia pulak menjadi kepala pencaci. Lengkap dengan maki. Bukan setakat sikit, tapi berkodi-kodi. Hebat sekali pertualang yang empunya diri. Itulah sifat pembohong dan temberang hakiki. Kata-kata mulut bukannya lahir dari hati. Orang lain cuba dinasihati. Mencari untung murahan di siang hari.

Perkara-perkara yang saya bincangkan di atas berkait rapat dengan tafsiran berdasarkan kefahaman saya dalam SC. Belum lagi kita bercakap tentang pembohongan dan ketemberangan dalam gerak-gerak SC.

Ajaran-ajaran Ustaz menggalakkan kita bebas berfikir dan berfikir di luar kotak pemikiran yang ada. Kita selalu disarankan supaya sentiasa menegakkan kebenaran. Tapi kebenaran tersebut bukannya atas kepentingan. Kalau atas kepentingan, kita selalunya mencari-cari kebenaran yang sesuai untuk diketengahkan. Maka jadilah sifat kita cakap tak serupa bikin. Satu segi kita menuduh orang pembohong tapi dari segi yang lain sememangnya kita sentiasa bergelumang dengan pembohongan. Tapi nak buat macam mana. Kita selalu lupa diri. Itu sebab kita selalu digalakkan muhasabah diri. Jangan setakat istiqamah sahaja.

Dalam silatpun kadang kala kita selalu menjadi pembohong dan temberang. Kerana sesuatu kepentingan maka hilang kebenaran. Satu contoh yang amat ketara adalah kaedah tampar dalam pukulan SC. Kaedah tersebut ada dalam SC. Tapi ramai yang berkepentingan. Sekurang-kurangnya menjaga hati. Takut penuntut lari. Kerana kepentingan itulah kaedah-kaedah tersebut disembunyi.

Teknik tampar dalam buah pertama ada tempatnya. Bukan pada pukulan utama. Tapi kita menampar lengan setelah jatuhan dibuat. Buah Paras, Buah Lintau, Kilas depan dan buah Pasung Kemanga berkait rapat dengan kaedah tampar. Tapi tidak dilakukan dengan sempurna. Konsep tampar amat jauh bezanya dengan konsep tepuk dan tetak. Tempat menamparpun pelbagai dan caranya pun pelbagai. Saya tahu apabila ada rujukan pada saya. Perbincangan buah-buah tersebut adalah antara contoh-contohnya sahaja. Saya tidak menyentuh buah-buah lain secara mendalam. Mungkin di lain masa. Apa yang hendak dibuktikan ialah pembohongan mudah berlaku di mana-mana. Alasannya adalah pelbagai. Akal selalu beserta. Peranan akal digunakan untuk membenarkan cara. Walau apa pun alasannya, tidak meletakkan gerak pada tempat yang sepatutnya, itulah temberang juga namanya.

Kadang kala kita tidak menyedarinya. Kita selalu mengehadkan pembohongan pada kata-kata sahaja. Pelakuan, pemikiran dan pergaulan juga boleh menampakkan pembohongan dan temberangnya. Itu sebabnya dengan Ustaz susah sikit untuk bermuka-muka. Apa yang ada di hati selalunya terpancar di muka. Ustaz mengetahuinya dan boleh membaca. Itu adalah antara kebolehan yang Ustaz ada. Boleh dikatakan semua tekaan Ustaz benar belaka. Maka sukarlah anak muridnya membuat bohong dan temberang di depannya. Bukankah itu kebenarannya dalam ajaran dan kefahaman SC.

Tapi ada watak kalangan ahli kita yang menjadikan bohong dan temberang sebagai nilai peribadinya. Tak boleh dipisahkan dengan diri. Pelakuan bohong dan temberang yang dilakukannya semata-mata untuk menarik perhatian ahli yang lainnya. Semua orang mengetahuinya. Oleh sebab perbuatan itu adalah nilainya, maka suasana tertawa diwujudkan khas untuk memberi kepuasan pada dirinya. Badut SC sepanjang masa.

Sekian dan terima kasih.