Tuesday, October 27, 2009

....sambungan KEPERCAYAAN MELAMPAU(2).

Lupakan dulu perbincangan mengenai angka-angka tersebut. Pemakaiannya ada kaitan dengan kajian agama. Perlu mengaji pada yang berminat. Tambah pengetahuan. Tapi seperti yang dikata, sebelum terbentuk sesuatu nilai, sikap yang ada adalah hasil perulangan perbuatan yang kita lakukan. Memadai dengan tempoh empat puluh hari bagi membentuk nilai pada diri. Kalaulah amalan tersebut dilakukan berturut-turut selama empat puluh hari, maka berdasarkan kajian Ustaz, nilai kesungguhan pasti akan lekat pada diri kita. Itulah isu sebenarnya. Tapi ada pulak si mamat umum yang berlainan bicara. Macam-macam tafsiran diberi mereka. Memberi pengertian sesedap hati. Umpama resepi makanan sesedap rasa.

Tanpa kesungguhan, mana mungkin setiap amalan boleh menjadi. Bersungguh-sungguhlah melakukan arahan guru jika ingin menambahkan ilmu daripadanya. Kalau diri sendiri sentiasa diawasi dan azam melakukan perbuatan tersebut mengikat diri, maka tiadalah istilah batal akan timbul pada pengamal silat yang bersikap sungguh hati. Tiadalah perbicaraan tentang logik atau tidaknya istilah batal. Sebabnya ialah tiada berkenaan pada diri. Kita lakukan perbuatan mandi dengan sepenuh hati. Seperti arahan yang diberi.

Begitu juga dengan kelebihan kain putih. Kain putih tetap sejenis kain. Warnanya putih. Kalau nak dicorak pun kena guna warna yang lain. Usaha sendiri. Asal usul kain putih kita adalah pelbagai. Ada dari kedai India, ada dari kedai Cina dan ada dari kedai Bangla. Dulu ada dari kedai Mamak Maidin. Ada yang dikitar semula. Orang kita jarang pakai kain putih. Jangan wujud kepercayaan melampau. Para penuntut perlu berhati-hati. Jangan jadikan tangkal sakti. Takut hilang kepercayaan pada kebolehan diri sendiri.

Wujudkan kepercayaan pada kenyataan yang ada. Memotong timun perlu alatnya. Memotong pokok juga memerlukan alatnya. Pergi ke tempat yang lain juga ada alatnya. Kalau tak nampak membaca, ada alatnya. Maka tanamkan keyakinan. Menghadapi sesuatu yang di luar kebiasaan hidup kita, perlu juga alatnya. Kain putih boleh dijadikan satu alat pada alam yang kita tak nampak. Berkat mandi selamat bersamanya, boleh dijadikan alat untuk hidup sejahtera. Sekurang-kurangnya mandi bersamanya maka tak nampaklah anu kita. Tidaklah ‘hidup’ tak tentu hala. Teruk bini kita. Berkat itu datangnya dari Tuhan yang maha Esa. Kalau tidak, apa maknanya. Syirik yang dapat kalau buat kerja tanpa pegangan dan tanpa ilmunya.

Janganlah sesekali menjadikan kain putih itu sebagai tangkal azimat. Ustaz sangat membencinya. Pernah terjadi pada satu peristiwa ketika Ustaz memberi pesan kepada saya. Kelebihan kain putih adalah tajuk bicara. Tersebut tentang pergantungan pada sesuatu yang tak tentu hala. Saya menjadi resah ketika Ustaz berbicara. Akhirnya saya membuat pengakuan benar. Saya memiliki dua jenis tangkal buat pakaian di badan. Dikatakan banyak faedahnya. Malu nak bercerita. Saya menyerahkan tangkal-tangkal tersebut kepada Ustaz apabila diminta. Ustaz membukanya diringi dengan senyum sinisnya. Dikatakan oleh yang tuan asal tangkal berkenaan, betapa dibuka akan membawa petaka. Reaksi Ustaz kepada saya, tangkal-tangkal tersebut ada cara buangnya. Satu kelebihan petua buat saya. Tak salah saya, akan dihanyutkan ke muara. Tapi di mana. Saya tak ambil kisah selepas saya menyerahkan tangkal-tangkal tersebut kepada Ustaz.

Namun, terdetik di hati. Pemakaian tangkal-tangkal tersebut bukannya pelakuan baru buat diri saya. Ketika mandi silat, dah ada tangkalnya. Tapi saya bersyukur tak jadi apa-apa ketika Ustaz sendiri memandi silat terhadap saya. Selalu dikatakan bahawa jika ada benda yang salah, ketika mandi tentu akan beralah. Sesetengahnya jadi tak tentu arah. Ada yang jatuh pengsan kerana berlaga ilmu. Rupa-rupanya masih kuat diri aku agaknya. Tak jadi apa-apapun. Ketika itu fahaman belum mantap. Kalau bukan kerana syarahan Ustaz tentang syirik yang tak nampak, tentu bertangkal lagi aku agaknya.

Ketika mandi, kita menggunakan limau purut. Limau purut banyak khasiatnya. Limau itu berbeza dengan limau nipis. Baunya harum kekal lama. Bau asal badan boleh hilang sementara. Ketika mengosok keliling perut, kita juga berdoa. Kembali ke fitrah asal kita. Pulang pulih sedia kala seperti keluar daripada perut ibuku. Ketika keluar dari perut ibu kita, kita adalah manusia yang bersih daripada segala sifat buruk. Ketika itu kita tak tahu berbohong, berspa, menipu, membelit, memfitnah dan pelbagai sifat buruk lagi. Kiasnya boleh merujuk daripada drama Indonesia. Dengan harapan kembali ke fitrah asal, maka secara langsung kita membaharui azam kita. Kembali ke pangkal jalan. Dengan berkat guru kita yang membaca sesuatu doa pada limau yang pinta dikerat pada guru kita, maka usaha kita Insyaallah berjaya. Itulah harapan kita.

Pada yang faham, alangkah seronoknya kita melakukan setiap perkara berdasarkan kefahaman yang ada. Bukannya tiru perbuatan secara tak tentu hala. Tapi kalau ilmu tidak ada, perbuatan melampau akan mengakhirinya. Mulalah bercerita. Bersabit mandi, badannya dikatakan sehat serta merta. Anunya dikatakan hebat tidak terkata. Setakat dua biji kelapa tiada bicara. Ilmu silatnya semakin mantap dan banyak lagi perbicaraannya di luar daripada kebiasaan. Semuanya mungkin hasil dari dunia fantasi yang terbit pada perasaannya. Dijaja-jajanya pula. Kepercayaan melampaulah itu namanya.

Melampau juga ada dikaitkan dengan mimpi. Ada juga kalangan kita yang suka bermain dengan mimpi. Hinggakan sebelum pelantikan PA, pendokong yang ada, diberi tempoh empat puluh hari kalau-kalau ada yang bermimpi. Memilih guru dalam mimpi. Saya pun tak faham-faham makna mimpi yang mereka kehendaki. Tapi saya juga bermimpi. Yang datang bukannya wajah bakal pengganti. Tapi wanita seksi. Basah juga tilam yang ditiduri. Puas hati. Berdoa lagi inginkan mimpi. Saya ceritakan kepada penuntut saya. Ramai yang termimpi-mimpi kerana inginkan mimpi.

Manusia suka bermegah dengan mimpi. Mimpi dikatakan boleh mengangkat makam diri. Itulah cakap dari orang yang suka bermain dengan mimpi. Tapi Ustaz mengingatkan saya. Jika bermimpi, simpan dalam hati. Yang baik perlu disyukuri. Yang tidak baik ludah ke kiri. Apabila mendengar syarahan di masjid, fahaman tersebut rupanya tak lari. Pada mereka yang tidur atas kain putih, kalau bermimpi maka jangan mudah menjaja mimpi. Berceritalah pada yang hak menerimanya sahaja. Itulah pesanan Ustaz kepada saya. Maka saya jadikan buat ingatan penuntut yang ada yang mahu menerima.

Ustaz pernah bersyarah berkenaan konsep syirik yang tak nampak. Fahamannya sungguh seni. Saya kena faham dengan memberikan tumpuan. Dikatakan kepada saya. Bersandarkan ubat panadol semata-mata hingga boleh menyebabkan hilang penyakit yang ada, maka syirik juga jadinya. Kekuasaan Tuhan diketepikan. Dibacanya ayat-ayat yang ada. Saya mendengar sahaja. Panjang lagi ceritanya. Faham sungguh hati saya tapi sukar nak bicaranya dalam tulisan yang ada.

Saya aplikasikan fahaman yang ada pada penuntut yang belajar dengan saya. Jangan bercakap sesuka hati tanpa berserta dengan pemikiran sendiri. Kita selalu membesarkan sesuatu yang ada. Selalu dihubung kait dengan perkara-perkara yang tak tentu maksudnya. Bila ada kejadian, dikait-kaitkan dengan petanda. Termasuk dengan mimpi seolah-olah memberi isyarat pada kita. Lupa tentang ketentuan Ilahi. Ada yang tergamak merendah-rendah peribadi sesama penuntut. Bila berlaku kejadian atau musibah pada kita atau keluarga yang diturunkan oleh Tuhan maka dikait-kaitkan diri kita dengan sesuatu bala kerana melanggar pantang atau konsep derhaka kononnya. Lupa tentang kekuasaan Tuhan atas kehendak-Nya. Pandai-pandai sendiri membuat tafsiran. Mereka pulak yang boleh mentafsirnya atas sebab yang direka-reka. Menjadikan diri sebagai hakim dunia. Pada hal sijil pun tak ada. Saja-saja sakitkan hati. Itulah syirik namanya berdasarkan ajaran yang diterima. Walaupun tidak nampak di depan mata.

Kefahaman saya yang berpijak di bumi nyata, sentiasa saya semai dalam kalangan penuntut yang mendapat bimbingan daripada saya. Jangan pecah-pecahkan kepala. Semua terima. Tapi kemungkinan besar orang luar ada yang tidak bersetuju dengan kefahaman saya. Tapi nak buat macam mana. Teruskan dengan kefahaman mereka yang ada. Itulah pegangan yang tak tentu hala, pada tafsiran saya. Rugi bangat jika berpegang pada tafsiran yang selalunya tidak berpijak di bumi nyata. Pada yang asyik berkhayal sepanjang masa, pastinya mereka umpama dedalu yang hebat atas pautan pokok yang ada. Kita takut kehabisan masa yang banyak dalam silat, bila dah tua baru sedar, kesal - tapi habuk pun tarak.

Sekian setakat ini.