Wednesday, June 17, 2009

SERINGLAH BERBINCANG

Pernah dinyatakan bahawa salah satu punca kejatuhan seseorang ketua atau pemimpin itu, ada kaitannya dengan orang kanan yang berada di sampingnya. Peranan orang kanan ini amat besar kerana merekalah orang yang tahu benar akan semua tindak-tanduk pemimpin atau ketua tersebut. Biasanya orang kanan akan bertindak sebagai penasihat utama dan mengatur segala program yang bakal dijalankan oleh pemimpin tersebut. Mereka sentiasa mengetahui kehendak seseorang ketua atau pemimpin ekoran sentiasa bersama.

Saya beranggapan bahawa salah satu punca kemerodoman En Mat daripada jawatan persatuan adalah kerana orang-orang kanannya. Pada saya, mereka gagal menjalankan tugas dalam keadaan apa pun alasan yang mereka beri. Siapakah orang-orang kanan tersebut. Saya tidak berminat untuk membincangkannya dalam artikal ini. Pada saya, mereka tidak bertindak dengan sepatutnya seperti yang diharapkan. Akhirnya jadilah mereka duri dalam daging hingga ’menelan’ ketua mereka sendiri yang sangat menyangjung akan peranan orang-orang kanan tersebut. Pada mereka yang sedang menjadi orang kanan guru, mereka perlu lebih bertanggungjawab.

Memahami kehendak pemimpin atau ketua (dalam konteks ini ialah guru silat) tentunya akan memakan masa. Oleh sebab sentiasa bersama dari pagi mungkin hingga ke malam, faktor ini tidak mendatangkan masalah. Oleh itu semua pemimpin memerlukan orang kanannya yang bersikap jujur. Kejujuran akan menyebabkan pemimpin akan lebih selesa dan berasa yakin dalam apa keadaan sekali pun. Kadang kala orang-orang kanan ini diamanahkan untuk meneruskan kerja-kerja yang diberi oleh ketua atau pemimpin apabila pemimpin itu menghadapi masalah atau terpaksa melakukan kerja-kerja lain yang lebih penting. Maka jadilah orang-orang kanan ini kerap kali bertindak sebagai jurucakap kepada ketuanya. Cakap mereka akan menjadi cakap ketua. Oleh itu semestinya mereka mesti terdiri dari orang yang sangat boleh dipercayai dan memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi.

Atas konsep ini orang-orang kanan perlu berhati-hati dan tidak menyalahgunakan kuasa, kepercayaan dan keyakinan yang diamanahkan oleh ketua mereka. Keupayaan mereka akan mengupayakan kebolehan pemimpin. Ketenangan yang ditunjukkan mereka akan dapat mengawal keadaan atau situasi sulit yang dihadapi oleh seseorang ketua tersebut. Sepatutnya orang-orang kanan ini berkeupayaan untuk mencerap dan menilai setiap situasi dan tindak tanduk ahli-ahli yang boleh mengancam atau menyemarakkan persatuan. Dalam konteks ini, kemahiran membuat keputusan perlu ada dalam kalangan orang-orang kanan ini. Di samping itu mereka perlu sentiasa bersedia menjalankan tugas. Arahan daripada ketua atau pemimpin mereka, perlu dipastikan menjadi kenyataan. Merekalah yang akan menyusun strategi bagi mencapai hasrat tersebut. Secara langsung mereka akan membawa ’beban’ atas tugas yang diamanahkan oleh ketuanya kerana sesuatu misi yang ingin dicapai.

Itu sebabnya dalam mana-mana organisasi kumpulan ’think tank’ adalah sangat mustahak. Mereka akan bertindak sebagai kumpulan perancang yang akan menentukan hala tuju sesebuah organisasi itu sama ada akan tercapai atau sebaliknya. Seorang ketua mustahil dapat berfikir dalam semua aspek tanpa ada penasihatnya. Oleh itu nilai yang tinggi perlu ada pada orang-orang kanan kerana nilai yang dipunyai oleh seseorang individu akan mencorakkan gaya kepimpinannya dan corak kepimpinan itu akan mencerminkan sifat kepimpinan yang diamalkan.

Orang kanan perlu sentiasa menghadapi cabaran bagi merealisasikan kehendak pemimpin atau ketuanya. Cabaran yang dihadapinya adalah sesuatu yang menguji kemampuan dirinya. Jika berlaku sesuatu yang melibatkan diri ketua atau pemimpin, orang kananlah yang sepatutnya mempertahankannya. Maka orang kananlah yang akan menjadi orang yang berada di barisan hadapan untuk menerima kutukan atau pujian daripada ahli atau pengikut sesebuah organisasin itu. Oleh sebab itu seseorang ketua perlu menjaga kebajikan mereka. Kalau tidak berbuat demikian maka orang-orang kanan ini akan kecewa dan akhirnya boleh ke tahap menjatuhkan ketua atau pemimpinnya.

Zaman Ustaz sendiri, Allahyarham ada kumpulan pemikirnya. Namun begitu Ustaz juga merujuk pihak-pihak lain yang difikirkan perlu untuk mendapatkan pendapat atau pandangan.

Saya mempunyai pengalaman sebagai tempat rujukan untuk Ustaz mendapatkan pendapat. Tidak pulak saya besar diri tapi berasa bangga kerana dapat berkongsi pendapat. Terdapat tiga isu besar yang pernah dibincangkan oleh Allahyarham dengan saya.

Pertamanya masa kemasukan kaum wanita dalam SC. Perkara ini telah saya ulas dalam tulisan sebelum ini. Akhirnya saya akur akan kehendak Ustaz. Persatuan SC adalah di bawah terajunya. Pastinya kita perlu tunduk dan cuba merealisasikan akan misi dan visi ketua kita. Walau bagaimanapun pada pegangan saya, janganlah kita ikut sesuatu itu sama ada pendapat atau sebagainya tanpa ada satu kefahaman yang mantap dalam diri kita. Berbahaslah, berbincanglah, bertengkarlah dan buatlah apa saja hingga kita benar-benar memahami apa yang ingin dicapai oleh kepimpinan kita. Namun segala pelakuan kita tersebut biarlah dalam suasana yang beradab sopan. Setelah ada ketetapan hati, jangan mudah diubah.

Keduanya perbincangan mengenai pistol. Ustaz pernah berkeinginan untuk memiliki pistol. Sejauh mana keseriousannya, saya tidak pasti. Yang pastinya Ustaz pernah berbincang bertanyakan pendapat jika beliau sendiri memiliki pistol. Saya tidak pasti sama ada pertanyaan tersebut berupa satu provokasi atau sebagainya. Tambahan pula ketika itu timbul berita di dada akhbar tentang seorang guru silat yang terkenal telah kehilangan pistol dalam jagaannya. Rasanya ketika dia sedang tidur. Berita ini menghangatkan perbincangan dan perbualan dalam kalangan pengamal silat Melayu dalam negara ini.

Saya sangat tidak bersetuju jika Ustaz memiliki pistol atas alasan besar. Tanggapan ideal saya terhadap seorang guru silat menjadikan saya menolak usaha-usahanya untuk memiliki pistol. Mana mungkin seorang guru silat memerlukan pistol. Tambahan pula, berita kehilangan pistol yang keluar dalam akhbar tersebut lebih memalukan seorang guru silat. Apakah penerimaan Ustaz tentang pendapat saya. Yang pastinya sepanjang yang saya ingat, Ustaz tidak pernah memiliki pistol.

Pada satu ketika juga terpampang di dada akhabar, seorang guru silat yang terkenal telah menunjukkan kebolehannya dalam ilmu cendai. Guru silat tersebut boleh memecahkan bata dengan menggunakan kain sahaja. Kalau kain boleh memecahkan bata maka apatah lagi manusia agaknya. Ustaz telah dipelawa untuk memiliki ilmu tersebut dan disuruh datang ke tempat atau rumah guru silat berkenaan pada bila-bila masa. Ustaz pernah singgah ke tempat saya dan kami pernah berbincang. Sekali lagi saya menentang keras akan hasrat tersebut.

Saya berpendapat ketika itu, hubungan sesama guru yang berlainan silat, susah untuk mendapatkan keikhlasan. Tambahan pula sebelum ini terdapatnya saingan SC terhadap persilatannya. Silatnya terkenal di satu masa hingga hampir-hampir diisytiharkan silat mutlak buat negara Malaysia. Kelahiran Cekak telah mengancam sedikit sebanyak kewibawaan silat tersebut. Saya khuatir jika Ustaz mengambil ilmu tersebut, berita itu akan dicanang yang membawa maksud Ustaz pernah menjadi anak muridnya. Maka akan tercabarlah kewibawaan Ustaz sebagai pemimpin SC. Saya yakin logik saya diterima oleh Ustaz. Sepanjang ingatan saya, Ustaz tidak mengambil ilmu tersebut daripada guru silat yang berkenaan.

Itulah antara lain tentang tindakan Ustaz mendapatkan pendapat ahli dalam kalangan muridnya sendiri. Saya hanya menceritakan pengalaman saya memberi pendapat kepada Allahyarham. Mungkin ramai lagi yang mempunyai pengalaman berbincang dengan Ustaz dalam sesuatu perkara.