Monday, June 8, 2009

DILUPA JANGAN

Dalam satu majlis, saya berpeluang berjumpa dengan kawan-kawan lama yang bergiat dalam Silat Cekak sejak zaman Ustaz Hanafi. Pertemuan yang amat menyentuh hati. Ada yang baru berjumpa sejak sekian lama dan bertahun-tahun. Ada yang lebih daripada sepuluh tahun. Sedih dan gembira bercampur baur. Teringat kisah-kisah lama. Amat berbeza sekali pertemuan dulu dengan sekarang. Tapi yang pastinya raut muka telah berubah. Ada yang beruban. Gigi semakin jarang. Berat badan semakin bertambah. Bahagian depan semakin mengembang. Sekali duduk, amat payah untuk berdiri. Bila makan, nampak sangat susahnya untuk mengonyah. Peranan gigi semakin kurang. Pastinya sukar membuang hampas setiap hari.

Bila bercakap tentang silat, kami bercakap seratus peratus tentang silat. Soal pepecahan persatuan tidak membawa makna dalam tajuk percakapan. Kebanyakan mereka tersebut telah lama meninggalkan kegiatan SC. Pada anggapan mereka, SC masih lagi berada di bawah satu payung iaitu Silat Cekak Malaysia yang diasas oleh Ustaz Hanafi. Perubahan yang berlaku dalam persatuan SC jarang diambil kira. Mungkin ada sebilangan mereka yang terlibat dengan pepecahan persatuan hingga terbentuk Silat Cekak Ustaz Hanafi. Tapi dalam pepecahan persatuan yang baru berlaku, adalah begitu asing pada mereka. Oleh itu dalam pertemuan tersebut, untuk membincangkan soal pepecahan persatuan adalah dianggap membuang masa dalam waktu pertemuan yang sangat terhad.

Cuma apabila timbul dalam perbualan nama-nama yang dulunya gah di mata dan telinga ahli, maka terpancul juga akan pepecahan baru yang berlaku dalam persatuan. Muka mereka berkerut apabila mendengar kata-kata ’berpecah’ tersebut. Cepat-cepat saya alihkan perhatian mereka pada tajuk yang lain. Tidak ada gunanya bercakap tentang pepecahan pada mereka yang hatinya terpaut penuh pada SC. Pada mereka, segala-galanya yang berkaitan dengan SC, mesti ideal. Sebabnya, SC adalah silat yang hebat dan tiada tolok bandingnya dalam dunia persilatan Melayu. Agaknya dapat kita umpamakan si anak yang tentu berasa sedih apabila membicarakan penceraian ibu dan bapanya.

Satu ketika dahulu, sumbangan kawan-kawan lama tersebut dalam SC amat besar sekali. Tapi istilah sumbangan besar masih sukar untuk diukur. Dalam persatuan kita, ramai yang menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit bagi menjamin perkembangan SC terus berkembang pesat. Tapi bentuk sumbangan adalah pelbagai. Kita mungkin nampak akan sumbangan mereka yang hanya berada di peringkat pusat dan memegang tampuk pengurusan. Peranan mereka tersebut adalah memberi idea atau membentuk dasar sebagai hala tuju pergerakan persatuan dalam konteks untuk memperkembangkan Silat Cekak. Mereka mudah dikenali dan mudah dianugerah dengan pelbagai pingat dan pelbagai anugerah yang ada dalam SC. Ada kalanya, ’lembu punya susu sapi dapat nama.’

Tapi kadang kala kita mungkin lupa akan mereka yang melibatkan diri di peringkat bawahan atau cawangan yang sentiasa memberi sumbangan yang tidak kurang besarnya. Walaupun sumbangan mereka berada di peringkat bawahan, tapi masih besar ertinya dalam perjuangan SC. Mereka sanggup berkorban apa segi sekali pun untuk memberi sumbangan yang pelbagai bagi menjamin kepesatan perkembangan SC. Pastinya sumbangan tersebut ikhlas tanpa mengharapkan pulangan. Hilang masa muda dek minat akan SC.

Saya rasa pihak-pihak yang memegang tampuk pengurusan cawangan perlu memberi penghargaan kepada mereka. Mustahil apa yang ada sekarang terbentuk dengan sendirinya tanpa pengorbanan mereka di masa yang lalu. Ada ulu ada parang. Kalau tak ada dulu,mana mungkin ada sekarang.

Mustahil juga di tahap pusat dapat memberi penghargaan kepada mereka melainkan di tahap cawangan yang paling arif atas sumbangan yang mereka korbankan. Eloklah dibuat satu perjumpaan bagi mengumpul mereka dan berilah penghargaan. Penghargaan tersebut adalah pelbagai dan tidak semestinya bush jacket yang boleh menghiris jantung dan hati.

Tapi, saya berasa ragu-ragu akan perkembangan yang berlaku sekarang. Adakah pentadbir sekarang boleh berbuat demikian dalam menghargai jasa yang telah dicurahkan. Hal ini demikian kerana saya rasakan ramai ahli yang tidak faham akan falsafah kita bersilat. Kerana pepecahan persatuan, sesama ahli silat boleh bergaduh. Pada hal, sumpah setia dalam silat tak sama dengan sumpah ikrar dalam persatuan. Dalam silat, sumpah kita ada sandarannya. Kalau dah guna nama Allah, kita tahu akan akibat mengingkarinya. Sekurang-kurangnya kita dapat rasakan melalui pengalaman bersilat, keberkatan kita dalam silat akan terganggu. Sebaliknya sumpah ikrar dalam persatuan adalah penuh dengan dunia kepura-puraan. Kalaulah falsafah bersilat diambil berat, sesama ahli silat akan terus berada dalam suasana hormat-menghormati dan saling menghargai. Persatuan yang berpecah. Ahli silat tetap satu dan berpadu. Kalau konsep dan falsafah ini masih diterima pakai, hasrat menghargai mereka yang telah berjuang dalam dunia persilatan SC nampak cerah. Jika sebaliknya maka awan biru menjadi gelap dek mendung yang meliputi awan. Ambil kiralah faktor-faktor tersebut sebelum kita beristiqamah.

Ketika malamnya, saya teringat akan sebahagian daripada peristiwa lama atas pengorbanan mereka selama ini bagi membangunkan SC di peringkat cawangan. Tergambar muka bekas-bekas Bendahari dan Setiausaha cawangan. Sengaja saya tidak mahu menggunakan istilah mantan. Itu istilah baru. Ada yang merujuk dengan ayat ’mundar mandir tanpa jawatan’. Tapi walaupun mereka telah berpencen daripada tugas perkhidmatan awam tapi tugas-tugas hakiki sebagai datuk dan suami masih berjalan lancar. Perhatian mereka pada SC tetap membara. Cuma diragukan jalan mana yang diambil. Kaki dah tak larat. Tersilap pilih jalan maka akan jauhlah perjalanan. Kalau tak pilih jalan yang bertar maka kaki akan ditikam duri dan kaca di jalan yang penuh becak atau tidak ketahuan. Kalau mengidap kecing manis, parah jawabnya. Jangan sampai terpotong kaki.

Tergambar kenangan Bendahari cawangan yang sentiasa mendahulukan SC. Kadang kala anak sendiri dibiarkan keseorangan di rumah, semata-mata menunaikan kewajipan mengajar silat. Tergambar pula muka Setiausaha yang sentiasa usaha dan setia. Kami bersatu hati dan bersatu pendapat dalam setiap keputusan mengenai silat. Walaupun ada sikit-sikit percanggahan pendapat tapi percanggahan tersebut tidak menampakkan perbezaan yang ketara hingga boleh membawa persengkataan yang berpanjangan dan bermasam muka. Kami sentiasa bersyukur akan kemantapan pentadbiran cawangan. Tidak ada sesiapapun yang berani menganggu gugat keutuhan persatuan yang dijadikan alat untuk mengembangkan SC. Cucuk-menyucuk, pengaruh-mempengaruhi, ugut-mengugut atau bodek-membodek, semuanya tak laku di kalangan kami. Kami tahu akan hala tuju yang dibentuk oleh Guru Utama ketika itu. Tarian kami bersandarkan muzik yang dimainkan. Tapi, muzik yang sumbing, pasti tidak ada tarinya. Mungkin kerana itulah cawangan kami dipandang tinggi atau mungkin dipandang rendah oleh rakan cawangan yang lain. Itu semua tidak ada hal. Yang pentingnya kesetiaan pada guru tidak ada hadnya. Perjuangan dalam SC ada hala tujunya. Kami tahu apa yang kami lakukan. Sifat sombong jauh sekali. Tapi umpama merpati yang dirasakan mudah didekati. Rupa-rupanya susah sekali.

Masih juga saya teringat akan seorang ahli lama yang ditugaskan membeli ayam di pasar untuk majlis penamat silat. Ayam-ayam tersebut dimasukkan dalam raga dan diletak di bahagian tempat duduk belakang kereta. Kalau diletakkan di bahagian bonet kereta, nanti ayam tidak bernafas dan akan mati. Nak jadi cerita, ayam-ayam yang berjumlah hampir tiga puluh ekor telah terlepas daripada ikatannya. Apa lagi, memandulah beliau bertemankan ayam-ayam jantan yang bergerak bebas dalam kereta yang terpaksa ditutup rapat tingkapnya. Dengan bau ayam dan bau tahi ayam candunya, sungguh menusuk batang hidung. Rakan-rakan hanya boleh ketawa menunjukkan simpati. Manangkap ayam-ayam tersebut juga menjadi satu cerita yang tidak mudah untuk dilupakan.

Ketika itu dalam setiap majlis penamat silat, ahli-ahli yang akan tamat mesti menyediakan seekor ayam setiap orang iaitu ayam jantan baka kampung yang sedang mula hendak berkokok. Tak tahulah apa muslihat sebenar di sebaliknya. Pada kami ketika itu, ayam tersebut yang mesti ayam jantan dan sedang mula hendak berkokok dianggap lambang kemegahan dan kejaguhan lelaki yang sedang galak. Orang galak adalah orang yang sentiasa bersemangat anunya. Itulah salah satu sifat ’jantan’. Kalau dah penumbukpun namanya penumbuk jantan maka sifat kita juga memerlukan seratus peratus jantan.

Dengan menyediakan ayam tersebut adalah disimbolkan dengan harapan ahli yang bakal tamat juga akan sentiasa bersemangat ketika mempelajari SC. Itulah harapan besar yang ditanam sebagai sebahagian daripada motivasi di kalangan penuntut untuk menambat keyakinan diri. Daripada ayam-ayam tersebut, Ustaz akan memilih satu atau dua ekor untuk dijadikan ayam penunjuk. Itu semua bergantung pada isyarat penyembelihannya. Mereka yang ayamnya dijadikan ayam penunjuk pastinya akan senyum puas. Sekurang-kurangnya puas kerana pandai memilih baka.

Mungkin kita merasakan perubahan yang ketara di masa ini. Namun ayam penunjuk tetap dikekalkan. Ayam, tetap ayam. Apapun, adat tersebut perlu dikekalkan. Inilah satu keseronokan di kalangan ahli ketika hendak tamat. Patutlah kita ingati dan rakamkan dalam kenangan sejarah sebelum akademi silat menelannya sama sekali di pihak mereka yang menyebelahinya. Hilang adat dan adabnya nanti.

Tiba-tiba teringat pulak akan ahli-ahli baru ketika ini. Semangat mereka sungguh berkobar tapi mempunyai tafsiran sendiri. Buatlah apa yang patut. Mana nak sama antara kunjungan ahli-ahli lama dengan kunjungan ahli-ahli yang baru. Kerap kali kunjungan ahli baru ke rumah kita umpama kekurangan gula. Tafsiran pelakuan amat mudah sekali dan kerap kali mengusik hati. Terdengar azan, cepat-cepat bertindak demi masa. Sembahyang jangan dilewat-lewatkan. Rumah Allah perlu disegera. Tapi ramai yang tak jumpa-jumpa. Mudah lagi rupanya rumah-rumah yang senang parking kereta. Seringgit sejam pun tak mengapa. Boleh juga mencuci mata. Daripada perit akan nasib gegendang telinga, elok lagi mencuci mata. Matalah segala-galanya. Dari mata turun ke hati. Bagus juga falsafah ini. Lebih baik daripada munusia yang mengamal prinsip dari telingan turun ke hati. Tahi mata senang dicuci. Tahi telinga memerlukan pengorek khas.

Cuma terasa di hati. Bilakah hari-hari yang sebegitu akan berulang kembali. Senang saja. Buat majlis kerap kali. Kalau sudah habis fikirkan majlis, buat saja majlis khatan diri. Boleh juga dimantatkan ilmu KK yang diberi.

Sekian setakat ini.