Saturday, April 18, 2009

PERBANDINGAN

DULU DAN SEKARANG

Orang memang suka membanding. Setiap bandingan akan disimpulkan mana satu yang baik. Baiknya sangat bergantung pada orang yang membanding. Kalau orang dulu-dulu membandingkan SC dengan yang ada sekarang, pasti akan mengatakan bahawa suasana SC dulunya adalah lebih baik. Begitulah sebaliknya. Mereka yang bergiat aktif sekarang apabila membuat bandingan maka akan tetap menyimpulkan bahawa SC yang ada sekarang jauh lebih baik daripada dulunya.

Bandingan adalah merupakan salah satu faktor yang penting untuk mengukur kualiti. Untuk menentukan kualiti SC sama ada baik atau tidak, kita tidak dapat elak daripada membuat bandingan. Cuma bandingan ini perlu berfokas. Apakah aspek bandingan yang kita lihat. Dalam tulisan ini, saya akan cuba membuat sikit-sikit bandingan, berkongsi pengalaman dan perasaan. Lari sikit daripada tajuk yang agak berat. Pastinya bandingan saya adalah berdasarkan bias atau kecenderongan saya hasil pandangan saya sendiri buat renungan kita bersama.

Dari segi pengurusan persatuan, nampak sangat perubahan dan boleh dibuat perbandingan. Dulu lebih dikenali sebagai Jawatankuasa Pusat atau JK Cawangan. Kini ahli-ahli lebih mengenali istilah-istilah MMK, MMN, MMT dan banyak lagi. Sebutan pun semakin hebat. Sama hebat dengan tahap negara. Itu sebabnya bila berpecah, kadang kala pepecahan tersebut sebijik macam politik negara kita. Politik silatpun ada.

Saya pernah menjawat jawatan AJK Pusat. Bukan senang mengzahirkan diri dalam jawatankuasa tersebut. Apatah lagi bila wujud usaha memungut derma. Setiap ahli perlu menderma. Kerja masih tak mantap. Duit tak berapa ada. Risau pasti ada. Tapi sekarang JKnya semakin hebat. Kaya-kaya belaka. Baik pusat mahupun cawangan. Masa saya di cawangan dulu, untuk buat pertunjukan kena berhutang juga pada yang ada. Maklumlah duit tak cukup dan persatuan pun belum ada. Baru kerja. Tapi kini, status kebanyakan AJK amat berbeza. Kedudukan mereka dalam sektor awam atau koperat boleh dikatakan tinggi. Duitpun banyak. Tapi ada yang tak cukup-cukup. Lagi umur lanjut maka lagi panjang akalnya. Akal panjang digunakan sepenuhnya. Unsur niaga mula disalurkan. Banyak tujuan yang menghalalkan cara. Syarikat niaga mula dirangka.

Kini, mereka yang menjawat jawatan di peringkat pusat atau negeri, ramai yang berpelajaran tinggi. Yang tak tinggi pun, dek kerana bergaul dengan mereka yang berpelajaran tinggi, telah melonjakkan tahap pemikirannya. Mertabat diri mula diberatkan. Untuk itu pengaruh diri perlu disebarkan. Tapi itu semua kena ikut hakiki. Kalau bijak bersilat, silatlah pentasnya. Kalau bijak berniaga, maka niagalah pentasnya. Kalau hebat berbicara, gusi dan lidahlah pentasnya. Kalau di peringkat pusat pada awal keahliannya, mana ada yang hebat-hebat. Ada pelajaran tapi tak tinggi. Ramai bertaraf orang kampung sahaja. Yang bertahap universiti masih budak-budak lagi. Jawatan tinggi dalam sektor awam atau koperat, jauh sekali. Ada yang menjadi petani dan bekerja sendiri. Yang budak universiti masih menjawat jawatan rendah. Masih tak banyak karenah. Pertentangan pendapat masih ada tapi tidak terserlah. Bebudak yang berpelajaran tinggi banyak akalnya. Maka seringlah wujud perbalahan antara individu N, A dan K, ketika itu dengan yang lainnya. Tapi pertentangan pendapat itu lebih berbentuk professional dalam konteks pengurusan persatuan. Bertengkar lebih tapi tak pernah bermasam muka. Selepas bertengkar masih boleh minum bersama. Ikatan sesama ahli pusat sangat akrab. Hormat menghormati tetap menjadi amalan bersama. Tak ada kepentingan diri. Tampak ikhlas menjalankan tanggungjawab yang diberi. Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum semula. Bandinglah dengan apa yang ada sekarang. Agaknya jauh pangang dari api. Berkerat rotan berpatah arang. Kalau tersenyum, sumbeng pinggan lagi menawan.

“Ketaatan” pada guru tidak boleh dipersoalkan lagi. Tapi siapa yang taat ketika itu ya!. Pastinya generasi baru asuhan dan didikan Ustaz Hanafi. Mereka yang sezaman belajar dengan Ustaz, yang berselisih pendapat, ada yang menjauhkan diri. Murid tua Ustaz Hanafi juga mula menunjukkan belang memoncolkan diri dek kerana kepentingan diri. Di Utara, muncul murid yang menyanggah Ustaz. Ada yang buka silat sendiri dan ada yang bertemu dengan guru tua membuat konsfirasi. Mendakwa Ustaz, jauh sekali. Tersepit juga Ustaz ketika itu. Pastinya ada murid yang lain berdiri teguh menyokong dan pastinya ada murid yang menikam duri atau melarikan diri. Ketika berada di Kuala Lumpur, murid tua juga membuat ragam. Mungkin kita masih ingat perkataan empat puluh satu kali. Fitnah tersebut berjaya dilalui. Sekali lagi kejayaan menyingkir Ustaz jauh sekali hingga diri mereka terbuang membawa hati. Generasi baru didikan Ustaz pula yang muncul untuk membangunkan SC. Mereka berjaya membawa SC ke mercu kejayaan.

Sejarah kembali berulang di zaman Pak Ak. Malas nak bincang berkaitan zamannya. Pun sejarah berulang di zaman En Mat. Ada murid tua, ada generasi tua dan ada juga berlaku peristiwa. Cuma yang berbeza, jarang sangat murid tua yang membawa diri. Buka silat baru jauh sekali. Kenapa mereka tidak menjauhkan diri. Pastinya SC ketika ini berada dalam satu persada yang tinggi. Lebih kurang semacam tiga segi emas. Hebat tundunnya. Mungkin inilah perbezaan antara generasi dulu dengan generasi sekarang. Sekarang ini generasi yang engkar, untuk meninggalkan silat kalau tak setuju amat jauh sekali. Biar silat hancur bersama diri. Baru puas hati.

Manusia yang ada dalam zaman Ustaz Hanafi mempunyai deria rasa yang tinggi. Mengikut hukum ‘sense’ atau deria perasaan, kalau kita tidak suka maka sememangnya patut kita mengundur atau menjauhkan diri. Malah dalam sejarah penubuhan Cekak Hanafi, hukum ini masih terpakai. Kita pakat-pakat meninggalkan Pak Ak dengan persatuannya. Akan tetapi kenapakah hukum ini gugur masa zaman En Mat. Bukan setakat patutnya mereka mengundur diri, malah guru yang ada pula disingkiri dan didakwa melalui laporan polis. Kenapakah ini boleh terjadi.

Saya rasa apabila akademik silat semakin mantap, para penuntutnya bolehlah membuat kajian. Kajian tersebut dapat dijadikan salah satu ukuran untuk mendapatkan sijil atau diploma atau ijazah silat. Temu ramahlah pada mereka yang masih mempertahankan kedudukan dalam SC. Kalau berdasarkan tulisan saya yang terdahulu, salah satu sebabnya ialah mereka menganggap bahawa diri merekalah pewaris mutlak Silat Cekak Ustaz Hanafi. Bukannya En Mat. Sebabnya kayu ukur pewaris bagi mereka adalah berdasarkan pelajari, memahami dan menghayati. Ini juga boleh dikaji sebagai satu lagi kajian tindakan. Lihat dan kajilah bagaimana mereka yang masih mempertahankan kedudukan persatuan dengan menyingkir guru yang asal hidup dalam suasana penghayatan SC. Kajilah amalan mereka. Kajilah penghayatan mereka. Bukan senang bergelar pewaris Cekak. Tentu ada keistimewaan pada diri mereka. Sekurang-kurangnya pewaris KK yang hakiki. Kajilah bagaimana ilmu itu dihayati. Berapa kali dalam sehari.

Selain perubahan ketara dalam bidang pengurusan banyak perkara lagi yang turut berubah. Saya difahamkan bahawa buah-buahpun telah banyak yang berubah. Tapi saya amat bersyukur dengan anugerah buah yang ada pada saya. Keberkesanannya amat terbukti. Melalui buah-buah yang ada, senjata buat serangan dapat dan mudah digunakan. Keberkesananya amat terbukti. Rasanya saya tak nak ubah akan buah yang ada. Mantap sekali. Tuhan dah bagi akan buah yang ada. Syukurlah sahaja. Peliharanya baik-baik.

Apa yang saya bincangkan di atas adalah berdasarkan bandingan dari aspek pengurusan. Aspek-aspek lain akan disentuh apabila datangnya keinginan untuk menulis. Sungguh berbeza sekali antara dulu dan sekarang. Cara mengajar juga amat berbeza. Malah kaedah untuk pergi mengajar juga amat berbeza. Kenderaan kereta amat terhad. Beli motor, duit tak ada. Ada yang terpaksa naik bas, teksi atau berjalan kaki. Malangnya ramai antara mereka ini terkeluar daripada landasan sebagai pewaris SC. Aspek pelajari dan memahami hebat sekali tapi aspek menghayati sudah kurang. Umur semakin lanjut. Untuk menghayati amat kurang dinikmati. Cuma bergantung harap pada nikmat yang hakiki. Tapi itupun haya sesekali. Tak dapatlah gelaran pewaris hakiki.