Monday, April 13, 2009

MASIH MENGENANG

UJIAN DALAM SILAT

Golongan yang sentiasa setia dengan SC merasai bahawa bukan mudah untuk terus berkekalan dalam perjuangan SC tanpa menghadapi sebarang ujian. Walaupun sikap ini kadangkala boleh mendekatkan diri dengan syirik yang tak nampak tapi tanggapan tentang adanya ujian tersebut semacam tidak boleh dielakkan. Ujian ini meliputi atas perkara yang menimpa diri sendiri. Malah ada yang menghubungkan tentang kewujudan ujian tersebut pada usaha setiap kali hendak membuka kelas. Ujian yang menimpa semacam menjadi tred dan berlaku berkali-kali dalam pelbagai bentuk dan kejadian. Namun, sebagai orang yang ada pegangan, banyak perkara yang boleh kita lakukan tanpa merintih atau mengambil tindakan yang boleh merugikan perjuangan. Doa adalah senjata utama kita. Setiap yang berlaku perlu dihubungkan dengan hikmah di sebaliknya. Sebenarnya, kesabaran dan keyakinanlah yang telah menguji kita ketika berada dalam saf perjuangan SC. Dari situ kita akan dapat mengukur nilai diri kita sama ada senilai puluhan atau ratusan ringgit atau senilai nasi sepinggan atau senilai gusi dan lidah yang cepat sangat berubah.

Begitu juga dengan perjalanan persatuan kita yang mendukung perjuangan SC. Ujian yang menimpa ke atas Guru adalah semacam sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Guru juga akan diuji. Dalam hal ini, janganlah kita merintih atau mengambil tindakan merampus dengan membiarkan Guru kita menghadapinya secara berseorangan. Ketika senang kita bersama dan ketika susah kita meninggalkannya. Malang sekali apabila wujudnya manusia yang sebegini dalam perjuangan kita. Jadikanlah sesuatu yang menimpa diri atau guru sebagai peringatan kepada kita. Ujian yang berlaku akan membolehkan kita mengukur pengertian sahabat, musuh dan lawan. Juga dapat diukur tentang sifat kepuraan, kesetiaan dan kepentingan. Banyak perkara yang boleh kita pelajari bersabit dengan ujian yang menimpa diri, Guru dan persatuan kita.

Kepada mereka yang masih kesal dengan apa yang berlaku tetap akan berterusan mempertikai dan mengenang kembali perbalahan dalam SC walaupun diri sendiri mahu mengatakan itu sebagai satu ujian pada perjuangan. Diri menjadi tak tentu hala dan terus merampus mempersoalkan kebolehan, keesahan dan kebolehpercayaan En Mat memimpin SC. Ahli yang hebat berjuang siang malam tanpa tidur dan makan terus mempersoalkan perlukah perjuangan Ustaz Hanafi dalam SC diteruskan lagi. Siapakah yang mempusakai perjuangan Ustaz Hanafi dan siapakah yang mewarisi perjuangan Ustaz Hanafi. Bermainlah mereka dengan istilah pusakai dan warisi. Ada yang beristiqamah untuk mendapatkan kepastian. Maka turunlah ….. dari langit menyatakan kebenaran. Hebat sekali pejuang dan pengikut setia SC yang telah berkecimpung sejak dari tarikh lahir lagi. Begitulah agaknya apabila wujud manusia yang kurang cerdik yang ingin membincangkan SC. Merekalah kononnya pejuang tulen yang sentiasa berada dalam perjuangan SC sejak abad yang lalu.

Atas kesedaran dan kesetiaan mereka yang begitu mantat sekali maka istilah-istilah hebat dimain dan ditafsirkan mengikut kehendak dan mainan bibir dan mulut. Ditafsirlah bahawa konsep ‘kenang jasa’ dirujuk pada mereka yang bersama-sama berjuang dengan Ustaz untuk menegakkan perjuangan SC. Selain daripada mereka tersebut, konsep itu tidak cuba dikupas atau diluaskan perbincangannya. Pelakuan difitnah dengan pelbagai tuduhan, hanya dikhususkan sebagai ujian yang menimpa pada anak-anak murid Ustaz yang setia dengan Ustaz. Pastinya dirujuk pada kumpulan Pak-Pak yang sering saya sebutkan. Mereka disifatkan teraniaya. Komen pada mereka dianggap fitnah manakala komen kepada mereka yang menyebelahi En Mat dianggap patut dan munasabah.

Mereka yakin bahawa para pendukung setia Guru Persatuan yang dikendalikan oleh Pak-Pak beserta Pak 2L telah mengutarakan pletfom perjuangan yang lebih komprehensif. Perancangan strategik hingga 2015 telah memfokaskan kepada pembinaan insan yang berbudaya. Semestinyalah keyakinan ini berasaskan wujudnya Syarikat Silat Cekak Ustaz Hanafi Sdn. Bhd. Apapun, pastinya semua boleh dirancang. Hanya Jauhari yang mengenal permata dan manikam. Perkara ini mudah dicapai. Manusia yang mahir tentang batu permata tersebut amat kurang. Mereka yang ada, sukar membezakan antara batu aked dengan batu gunung di bumi kita. Setakat batu maniam tak jadi masalah. Maka mudahlah puak tersebut dibentuk dan mengikut fokas melalui Syarikat yang telah diwujudkan itu.

Tambahan pula penubuhan syarikat tersebut difikirkan satu keperluan di kalangan puak-puak persatuan ketika ini berasaskan pendapat yang menidakkan pelantikan En Mat sebagai pewaris SC yang sah berdasarkan mandat. Pada tanggapan mereka, SC yang diterajui oleh Guru Persatuan adalah berpaksikan pergerakan, bukan berpaksikan individu kerana menurut mereka dalam Silat Cekak ada perjuangan bangsa dan agama. Menurut mereka lagi Allahyarham Ustaz Hanafi tidak menganggap SC sebagai milik dan hak mutlak dirinya sendiri. “Ia milik masyarakat. Ia milik anak bangsa.”

Begitulah hebatnya kepakaran dan tafsiran mereka yang sekian lama sentiasa berada dengan Ustaz. Maka tidak hairanlah wujud kesungguhan mereka untuk menggerakkan akademik silat di bawah kepimpinan Pak-Pak yang bergerak melalui syarikat. Strategic Planning. Bermainlah mereka dengan istilah perjuangan bangsa dan agama. Lupa akan kebolehan diri untuk menguasai silat itu sendiri.

Ada juga pejuang hebat yang semacam buta kayu dan cuba menegaskan betapa SC di zaman Ustaz, “Allahyarham tidak melibatkan adik beradiknya dalam perjuangan dan pergerakan SC kerana beliau sedar bahawa pergerakan SC bukan milik eksklusif keluarganya”. Begitulah kehebatan pejuang dan jurucakap Ustaz ketika ini. Tulisan nakal ini cuba pula menunjukkan betapa En Mat menggunakan kaum keluarga untuk meraih sokongan. Agaknya itulah perbicangan yang secara jujur, ilmiah dan hati terbuka yang dapat mereka lakukan.

Di bawah pengaruh Akademik Silat dan faham baru yang sedang menular sekarang, rasanya, para penuntut dipandu ke arah penguasaan silat secara fizikal sahaja. Fahaman silat entah ke mana agaknya. Kalau ini berterusan kita kuatir konsep silat kita akan menjadi sama seperti bela diri yang dibawa dari negara luar. Saya tetap berkeyakinan bahawa fahaman dan pergerakan fizikal perlu bersepadu dan diajar secara seiiring. Cuma yang perlu diingatkan pada tukang ajar ialah kena turun padang iaitu mengajar silat sambil memasukkan fahaman. Kalau tidak, fahaman akan mudah dilupakan tanpa kita menyentuh fizikal mereka. Yang lucunya, mereka yang dikira faham dengan fahaman SC yang ditanam dari masa ke masa, berkesudahan dengan langsung tak faham-faham. Mungkin salah satu sebabnya ialah fizikal mereka tidak disentuh lagi.

Oleh itu, pelbagai tafsiran tentang perjuangan SC dibincangkan secara berleluasa. Orang yang tak pernah berjumpa dengan Ustaz pun, juga dapat mengungkap apa yang dikatakan oleh Ustaz. Seolah-olah mereka hidup sezaman dengannya.

Menurut yang empunya cerita, sememangnya masyarakat kita dikatakan juga sebagai masyarakat yang sukakan hiburan. Itu sebabnya ada yang menjadikan soal pemecatan sebagai salah satu dunia hiburannya. Seronok untuk melihat apa yang akan terjadi. Ramai yang tertawa terbahak-bahak. Seronoknya bukan kepalang. Samalah juga dengan Pak Pandir yang bersorak riang tanpa menyedari akan kampungnya yang tergadai.

Seperti yang tegaskan dahulu, jadikanlah hal-hal yang berlaku atau ujian yang berlaku dalam persatuan sebagai kiasan, bidalan, dugaan, penilaian, ukuran dan banyak lagi. Yang pastinya bukannya hiburan.



Sekian