Friday, January 11, 2008

UBAH LAGI

Masa begitu pantas berlalu. Siang berganti malam, malam berganti siang. Perubahan tetap akan berlaku. Diri kita pun berubah. Dulu rambut hitam berkilat, tiba-tiba berganti putih atas dan bawah. Kalau dulu kepala yang botak hanya satu, tiba-tiba berubah menjadi dua. Dulu, pagi-pagi naik bukit rendah, sekarang naik bukit tinggi. Dulu makan bersuap sekarang makan di kedai mamak. Dulu berjalan berpegang tangan, sekarang berjalan tinggal ke belakang. Ada kawan menambah, dulu tidur mengadap muka, sekarang tidur berlaga punggung. Dulu pakai minyak wangi, sekarang pakai minyak angin. Dulu keras menunggu, sekarang menunggu keras. Kadang-kadang tunggu tapi tak keras-keras.

Begitulah keadaannya akan perubahan yang tetap berlaku sama ada kita menerima hakikatnya atau tidak. Berubah tetap berubah. Tapi biarlah perubahan itu berlaku secara semula jadi. Janganlah kita memaksa akan perubahan tersebut semata-mata kerana inginkan perubahan. Kalau Tuhan telah anugerahkan anu yang mencodak pada kita, terimalah hakikatnya. Jangan ditukar pada anu yang melepap atau diuli-uli lagi dengan minyak lintah bagi menguatkan regangan. Kalau betik kita menghulur tajam, jangan diratakannya atau dikecilkannya menjadi jambu madu. Begitulah sebaliknya. Kalau betik dah tak ada, jangan disuburkan hingga menjadi limau madu atau umpama bukit piatu. Terimalah hakikat yang sedia ada.

Perubahan yang berlaku secara paksaan, di luar daripada kebiasaan yang sepatutnya, akan memudaratkan pada diri kita sendiri. Biasanya orang akan memandang hina kepada diri kita. Golongan yang membuat perubahan secara paksaan inilah merupakan golongan yang tidak bersyukur, ”yang meletakkan otak dicelah kangkang.” Kata Tok Guruku. Asas perubahan tidak jelas. Segala-galanya lebih melayan hawa nafsu. Tambahan pula jika mereka ini mempunyai pemikiran yang sempit, sesempit ruang yang melekat pada mereka.

Tuntutan perubahan akibat peralihan masa menyebabkan SC pun turut berubah. Ada yang berubah kerana tuntutan masa dan ada yang berubah kerana dipaksa. Itulah akibatnya apabila SC tidak diletakkan di bawah mereka yang empunya hak. Kalau hak tidak ada, apa mereka peduli tentang adat dan adab kebiasaan yang ada dalam SC. Yang penting peraturan persatuan membolehkan mereka membuat perubahan. Guru Persatuan apa buat. Beliau semestinya mempunyai nilai yang sensitif hanya pada persatuan sahaja. Apa dia peduli dengan silat. Haknya pada silat bukannya mutlak. Maklumlah, pelantikannya adalah hasil sumbangan baik daripada puak Pak-Pak yang melantiknya. ”Patah tumbuh, hilang digantikan.” Jangan harap nak tunjuk kuasanya dalam silat. Apatah lagi bagi melantik pengganti. Pada anaknya jauh sekali. Mulut Guru Wawasan sentiasa menganga. Kalau Guru Persatuan cakap banyak, alamat kena ngaplah dek Guru Wawasan. Perubahannn ma!. Akibatnya Guru Persatuan tidak mungkin akan dapat mengawal para pengawalnya. Kerana budi, tergadai maruah SC. Tergadai pada mereka yang baru menjengok diri dalam pergerakan SC. Seboleh-bolehnya mereka akan menghakis habis segala kesan peninggalan Ustaz Hanafi. Apa mereka peduli. Sekurang-kurangnya mereka sudah ada Syarikat Ustaz Hanafi.

Ahli-ahli telah dipaksa dengan pelbagai perubahan termasuk perubahan konsep ”Mandat Guru”. Selepas itu kita telah dipaksa dengan beberapa perubahan dalam adat SC. Kini kita juga telah dipaksa dengan perubahan sistem pengajarannya. Perubahan-perubahan secara paksaan ini akan membawa lebih banyak kemudaratan pada mereka yang sedar dan berfikiran terbuka. Kesannya bukan sekarang tetapi pada masa depan. Lihatlah setelah lima tahun akan datang. Ketika itu adatnya ada antara Pak-Pak glamour tersebut yang akan meninggalkan kita kerana faktor usia. Guru Persatuanpun tak tentu ada. Yang pastinya ketika itu mereka akan dikutuk oleh anak cucu penuntut baru SC yang berasa diri mereka tertipu dan ditipukan. Tertipu dengan fahaman silat dan pergerakan silat itu sendiri. Bukan senang untuk membetulkan keadaan ketika itu. Maka merintihlah mereka dengan memulakan ayat, ”Pada satu masa duluuuuuuu..............................”, sambil mengenangkan peristiwa pemecatan Guru yang sah pada pandangan Persatuan tapi tak sah pada pandangan Persilatan. Betapa harapkan pagar, pagar makan padi. Betapa pemimpin-pemimpin SC ketika itu (sekalang ma), membuang masa kerana asyik berbalah. Betapa mereka yang tidak berbalah asyik berikrar menunjukkan ikatan setia yang mengikat dan mengongkong kebebasan mereka berfikir. Kerana ikrar taatkan Guru Persatuan dan Persatuan, mereka rela menafikan perbalahan menegakkan yang hak walaupun perbalahan itu perlu untuk masa depan dunia persilatan SC. Masa depan bagi mengekalkan keunikkan SC selama ini.

Perubahan akan membawa kesan jangka masa panjang dan jangka masa pendek. Dalam masa yang terdekat, mereka yang menerima akan semua perubahan dalam SC ketika ini akan dapat mengikuti dan mengamalkan perubahan yang ada. Golongan ini tidak mendatangkan banyak masalah. Kalau dikatakan En Mat pun tidak menerima apa-apa mandat untuk menjalankan SC pada peringkat awalnya dulu, mereka begitu mudah bersetuju. Kalau golongan Pak Li dan Pak Lan mengarahkan buah pertama ditukar kedudukannya kepada buah Lintau, mereka terima. Kalau diarah tukar kaedah A dalam buah pertama kepada kaedah B, mereka tetap menerimanya. Nak bantah apa lagi. Ikrar telah diberi. Kenalah mereka mengikut janji. Kalau tidak, mereka akan dikatakan sebagai mungkir janji. Orang yang mungkir janji akan dikatakan munafik pulak. Guru persatuan buat apa. Hai ya! Perdana belum beli ma!

Mereka yang menentang perubahan-perubahan tersebut akan memberontak sama ada dalam hati atau diluahkan dalam perbuatan. Pemberontakan ini boleh dilihat sama ada dalam bentuk pertuturan atau tindakan. Dalam bentuk pertuturan, mereka akan terus meluahkan perasaan tak puas hati pada mereka yang dapat mendengar dan berfikiran terbuka. Dalam bentuk tindakan, dalam kelas silat golongan ini akan tetap mengajar pergerakan asal yang belum berubah. Walaupun mulut mereka mengiakan perubahan yang dituntut tapi jauh di sudut hati, mereka tetap menentang perubahan yang ingin dilakukan. Hiduplah mereka dalam dunia mereka sendiri.

Tidak kurang juga akibat perubahan tersebut muncul golongan yang begitu kecewa. Mereka sangat sedih dan hampa kerana perjuangan SC yang sebelum ini begitu jelas tapi sudah jadi tak tentu hala. Tambahan pula golongan yang membuat perubahan tersebut tidak mempunyai asal usul yang nyata. Kebolehan mereka pada awal penglibatan dalam SC pun tidak menampakkan ketokohan dalam silat. Kebolehan bersilatpun boleh dipersoalkan. Namun, akibat jawatan tertinggi mereka dalam Persatuan yang disandang, membolehkan mereka membuat perubahan dalam silat sesuka hati.

Peraturan persatuan perlu dilawan berdasarkan peraturan persatuan yang ada. Oleh sebab mereka gagal berbuat demikian, pasti mereka akan mendiamkan diri hingga memencilkan diri. Mereka tidak mahu bersengkongkol dalam arus perubahan SC yang ketara dari masa ke masa. Mereka tidak rela diri mereka dikutuk oleh generasi baru dalam SC yang menganggap golongan terdahulu bertanggungjawab menyebabkan SC menjadi haru-biru dan terkeluar daripada landasan perjuangan sebenarnya. Perjuangan apa ya! Syarikat Ustaz Hanafi sudah ada ma.

Setahun yang lalu telah berakhir tanpa ada mesyuarat agung. Hakikatnya, strategi mereka mengena dan mereka merayakannya dalam satu majlis makan malam pada bulan lepas. Ramai ahli yang mudah diperguna hingga bersengkongkol dengan mereka meraikan kejayaan itu bersama. Keraian akibat kejayaan menidakkan mesyuarat agung, agaknya. Pandai sungguh strategi yang digunakan oleh MMK bagi melengah-lengahkan mesyuarat agung. Kita perlu berhati-hati supaya maruah diri tidak mudah dibeli dek nasi sepinggan atau dek tempat duduk di hotel. Mereka ada tujuan tertentu. Jangan diri mudah dipergunakan. Tapi masyarakat kita mudah lupa. Maknanya ahli kitapun cepat lupa sebab sebangsa. Lama-lama persengketaan yang berlaku akan mudah dilupakan oleh ahli-ahli SC. Kalau difikir-fikirkan apakah yang mereka cari dalam SC hingga sanggup terus menerus menguasai persatuan dan menghina En Mat. Adakah mereka benar-benar ingin memelihara perjuangan SC seperti mana yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Tapi Mak Teh dikecam hebat hingga sanggup menafikan harapan Ustaz sendiri. Atau adakah SC akan dijadikan medan untuk mereka mengaut keuntungan diri seperti penubuhan Syarikat Ustaz Hanafi. Mintak-mintak janganlah wujud ahli-ahli yang tertipu berselindungkan alasan mereka kerana nafsu seks guru.

Pengaruh En Mat semakin lama semakin kurang. Ketika benar-benar En Mat kurang pengaruhnya, dapat dirasakan ketika itulah mesyuarat agung akan diadakan oleh mereka. Maka pada ketika itulah En Mat akan terus dilupakan di kalangan ahli dalam persatuan yang terlepas di tangan mereka.

Oleh itu, ketika En Mat masih mempunyai pengaruh dan ramai cawangan yang masih setia dengannya, lebih baiklah keluar daripada persatuan yang ada dan tubuhkan persatuan yang baru. Nama persatuan tidak penting. Yang pentingnya adat dan adab dalam SC terus terpelihara. Masih ramai lagi penyokong-penyokong En Mat yang sedia ada tidak mudah melarikan diri. Mereka tetap meneruskan sokongan. Tinggalkan persatuan yang sedia ada pada mereka yang inginkan kuasa. Biarlah mereka merobak-rabikkan adat dan adab SC mengikut acuan mereka sendiri. Gasaklah. Pekara yang penting masih wujud persatuan yang menyelaras silat yang mempunyai asal usulnya. Asal usul yang bersandarkan pada mandat.