Thursday, January 3, 2008

Silibus Pelajaran 2008

Antara perkara terkini sempena dengan kedatangan tahun baru 2008 ialah pengumuman mengenai perlaksanaan silibus pelajaran SC yang terbaru. Saya tidak pasti apakah sebab musabab yang telah digunapakai dan diambilkira hingga membawa kepada cetusan idea melaksanakan satu lagi perubahan dalam kontek persilatan SC. Bukanlah saya menolak apa yang bakal dilaksanakan (mungkin ada yang telahpun memulakannya). Cuma saya kira di atas perbincangan ini, elok rasanya beberapa perkara perlu diambil berat ataupun difikirkan terutamanya oleh generasi yang bakal melaksanakan apa yang telah diperkenalkan.

SC hebat kerana beberapa faktor. Mahu tak mahu kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa Ustaz Hanafi adalah antara kehebatan tersebut. Tapi apa pula kebaikan yang boleh kita manfaatkan dari kehebatan tersebut? Kalau setakat teruja dengan kehebatan Ustaz tanpa ada sebarang kesungguhan untuk membangkitkan kemahiran diri, saya kira kita hanya membuang masa. Rugi yang tiada tolok banding. SC juga hebat kerana para tenaga pengajarnya. Boleh terima? Mungkin. Bermula dari generasi pertama seawal tahun 1965 hinggalah sekarang, SC berkembang kerana adanya tenaga pengajar yang amat setia dan bersungguh-sungguh menyampaikan segala isikandung persilatan dengan cara yang baik lagi terbaik. Hasilnya, lihat sahaja perkembangan yang ada. Jangan dikaitkan dengan apa yang berlaku pada persatuan dan perguruan. Itu tak pulang modal. Generasi demi generasi tenaga pengajar yang mulanya didik oleh Ustaz, telah menurunkan segala kemahiran dan kefahaman persilatan yang diperolehi kepada generasi pelajar yang baru. Cuma bukan semua yang berkebolehan. Ada juga yang berke”takboleh”an. Faktor-faktor kehebatan yang lain seperti orang-orang bangka, Guru-guru Persatuan, Persilatan dan Wawasan saya rasa tak perlu dibicarakan di sini. Itu banyak time lagi boleh cerita.

Menyentuh soal tenaga pengajar, mereka inilah kumpulan yang paling berupaya membawa perubahan kepada apa juga senario yang diinginkan dalam persilatan. Mereka adalah wakil Guru. Mereka dibekalkan mandat untuk mengajar dan menerangkan kefahaman yag ada dalam persilatan. Jangan terlalu dicemburui kebolehan mereka. Mana yang baik dan komited, didiklah mereka dengan baik supaya hasrat untuk mengembangkan silat kepada generasi terkini ada wasilahnya. Mana yang kurang, perbaiki dan pertingkatkan kebolehan tersebut. Pastinya dengan pendekatan ilmu motivasi yang ada pada Guru-guru Persatuan, Persilatan dan Wawasan mereka ini boleh dibentuk. Tapi bagi yang telah digolongkan sebagai ”buat mengabihkan beras” carilah jalan terbaik untuk kick them out dari dua kelompok yang awal. Jangan dibiarkan kerana kerosakan yang bakal ditanggung mungkin payah untuk diperbaiki. Mungkin kerana golongan ketiga inilah, timbulnya rasa kekesalan dan tertipu dikalangan sebahagian ahli sepanjang penglibatan mereka dalam SC. Belajar dengan orang yang mengaku tahu. Apa mau bikin. Nasib le labu.

Selama hampir 42 tahun silibus pelajaran SC tidak pernah disentuh secara radikal. Atas nama pembaharuan sempena tahun baru, mungkin kekebalan tersebut dipinda. Adakah perubahan yang dilaksanakan hanya satu jalan untuk membezakan mazhab SC yang ada atau perubahan tersebut adalah inovasi yang berlandaskan keikhlasan dalam perkembangan SC? Saya tak tahu. Jawapannya bukan boleh dilihat sekarang. Kita semua kena tunggu skrip cerita ni hingga habis. Adakah perubahan ini baik? Ada dua wajah. Pertamanya ialah baik. Baik jika perubahan ini didahulukan dengan perubahan kepada kebolehan dan kefahaman tenaga pengajar. Tenaga pengajar perlu terlebih dahulu mempertingkatkan kemampuan mereka dalam konteks persilatan. Ini merangkumi kebolehan untuk bersilat. Diikuti dengan kefahaman terhadap selok belok persilatan termasuklah ilmu seni bela diri Melayu yang turut berkaitan dengan SC. Dalam masa yang sama mereka mesti memahami dan mampu untuk menerangkan setiap penjuru gerak dan kefahaman SC dengan baik kepada penuntut. Ingat. Penuntut lebih melihat dari mendengar. Ceritalah barang seribu keajaiban SC. Yang pasti, penuntut akan buat apa yang mereka lihat dari persembahan tenaga pengajar. Pelajar jemu atau boring bukanlah disabitkan dengan silibus pelajaran. SC dah diajar lebih dari 42 tahun. Jika boring menjadi isu utama, pastinya saya dan Pak-Pak yang ada dah lama tinggalkan SC ni. Alhamdulillah yang menjadi kekuatan diri untuk terus kekal sehingga sekarang ialah kerana adanya tenaga pengajar yang bukan sahaja praktikal bahkan turut tahu cara dan kaedah menafikan kewujudan boring sepanjang tempoh belajar. Inilah bagi saya beberapa perkara pokok yang wajib didahulukan sebelum melaksanakan perubahan dalam silibus pelajaran. Sebarang tindakan yang kurang dari perkara yang telah disebutkan, bagi saya, akan mengundang kepada wajah yang kedua.

Wajah yang kedua ialah bahaya. Bahaya di sini ialah perubahan tersebut akan membentuk satu generasi dalam tempoh 2 atau 3 tahun akan datangyang tidak faham punca dan asal usul pergerakan persilatan. Objektif mengajar lebih untuk memastikan penuntut tamat pelajaran dengan segera dan tidak boring. Ini berlawanan dengan teras didikan awal SC yang ingin membentuk kefahaman dan keyakinan yang berteraskan kemampuan diri. Dalam tempoh tersebut, antara teras penyampaian yang mungkin diketepikan ialah pengulangan. Tanpa pengulangan, kebiasaan gagal dibentuk. Kefahaman terhadap sebab dan musabab gerak tidak akan wujud. Hasilnya nanti ialah lahirnya penuntut yang kaku. Kaku gerak dan kaku minda. Tidak boleh menerima kelainan yang diluar dari apa yang diterima dalam kelas kerana tiada pendedahan yang membicarakan punca dan asal usul. Trust me. We will be facing a disasterous situation. Generasi inilah nanti (kalau panjang umur SC ni) yang akan mengemudi SC ke era yang lebih mencabar. Pastinya atas kekurangan ini, pihak yang berkepentingan akan mengatur strategi untuk menguasai mereka atas nama perjuangan. Apa yang generasi baru ini faham nanti ialah kefahaman yang tiada asas tetapi mempunyai nilai komersial yang tinggi. Dalam bahasa lain senang dijual dan senang pulak kena jual. Ini jam kalu, Guru Wawasan boleh senyum maa.

Sistem pelajaran sedia ada telah lama terbukti baik. Tengok generasi yang ada sekarang. Saya tiada statistik untuk dijadikan sandaran. Cukuplah dengan bertanya kepada diri masing-masing. Jawapan ada kat situ. Maka untuk memastikan perkara yang sama turut berlaku pada sistem yang baru, ada baiknya jika perubahan dilakukan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada pembaikan kepada kebolehan tenaga pengajar. Ini bukan kerja semalaman bro. Perlu ambil masa terutama untuk menukar kebiasaan dalam penyampaian, membuang kefahaman negatif yang ada serta menurunkan ego diri untuk kembali mempelajari apa yang dimaksudkan dengan kaedah, buah jatuh, buah potong, kaedah enam tolak enam, buah serang, pelajaran peringkat umum dan akhir sekali kemahiran. Jangan gopoh. Ini bukan cerita darurat. Masih boleh bernafas steady lagi. Bila nak belajar? Belajarlah ketika mengajar. Jangan takut kalau ditegur. Biar nampak diperlecehkan asalkan kebolehan dipertingkatkan. Tahanlah sikit telinga dengan cili pedas kata-kata. Biasalah. Nak jadi pandai memang kena macam tu. Tapi kalau hari-hari makan pedaspun tercirit gak.

Apakah ukuran kejayaan bagi sistem baru ini jika ianya diaudit? Berapa lama pula masa yang perlu diberikan bagi memastikan keberkesanannya adalah seperti yang dirancang? Apakah sistem ini boleh diperbaiki lagi jika hasil penilaian nanti tidak menunjukkan peningkatan? Adakah maksud diperbaiki lebih menjurus kepada kembali semula kepada sistem asal yang diperkenalkan oleh Ustaz Hanafi? Semua ini perlu difikirkan semasaknya. Saya pasti dasar perubahan ini dilakukan ialah kerana sistem yang dikatakan baru ini mungkin pernah dilaksanakan. Persoalannya ialah adakah perlaksanaan tersebut berkekalan atau sekadar cuba-cuba atau hanya untuk menyesuaikan dengan kehendak ketika berlakunya perkara tersebut? Apapun sebabnya, saya pasti MMK atau LPT dan Guru Persilatan tahu apa yang mereka mahukan. Asalkan matlamatnya tidak ada yang kena jual, saya kira itu dah cukup baik untuk tempoh sekarang. Esok lusa kita tengok apa yang berlaku. Melakukan perubahan pada skala ini bukan kecik anak punya cerita. Nampak aje mudah. Semudah Chua Soi Lek membuat pengumuman. Tapi bagi yang benar-benar memahami kefahaman dan gerak persilatan, implikasinya amat besar bro. Tak tahu lah apa yang Hj Mat rasa bila dia tengok usaha tangan bapanya dipinda atas nama pembaharuan. Pastinya Hj Mat ada peluru baru untuk kasi tembak sama ini orang.