Friday, September 4, 2009

MENGEKALKAN MINAT

Seperti ditegaskan bahawa ilmu yang kita miliki perlu dibajai dan disuburi supaya ilmu tersebut terus segar dan mantap. Untuk membajai dan menyuburinya maka kita jangan lupa punca akan ilmu itu diperoleh. Jika puncanya terhalang maka perlulah kita berhubung dengan mereka yang sepunca yang mempunyai pertalian erat dalam kesinambungan ilmu tersebut. Jika ilmu yang ada pada kita diperoleh daripada guru yang terdahulu, kesinambungannya pada guru yang ada terletak pada mandat yang diterimanya. Mandat itu perlu dirujuk pada konsep adat dan adab; dan bukannya merujuk pada peraturan atau undang-undang persatuan. Silat adalah lahir dalam kalangan masyarakat Melayu yang kaya dengan adat dan adabnya.

Dalam konteks SC, peranan Penyelia Kelas atau Jurulatih juga amat besar kerana mereka juga adalah wakil guru. Kedudukan mereka itu adalah merupakan punca kuasa bagi memenuhi sifat kebolehpercayaan dan kesahan bagi menyemarakkan ilmu yang ada dalam kalangan ahli SC.

Ketika masih menuntut lagi, para Jurulatih yang ada sering menerangkan kelebihan-kelebihan yang ada pada SC. Sifat ini berkekalan hingga sekarang. Hal ini sedemikian kerana penerangan itu merupakan salah satu langkah untuk memberi motivasi bagi mengekalkan bilangan penuntut SC sepanjang masa.

Mungkin strategi yang ada untuk mengekalkan ahli antara masa lalu dengan masa sekarang agak berbeza. Pada zaman dahulu, dikatakan bahawa minat masyarakat terhadap silat amat membara. Publisiti akhbar mengenai silat adalah begitu meluas. Banyak silat baru yang muncul dan kemunculan silat-silat itu diberi publisiti. Saya nampak perbezaan pada zaman sekarang yang terlalu banyak isu. Isu-isu yang timbul ini adalah termasuk isu-isu negara yang turut memberi kesan atas liputan kegiatan silat. Tambahan pula ketika SC baru mula bertapak pada awal tujuh puluhan, minat untuk mempelajarinya begitu mendalam. Keyakinan pada mereka yang belajar SC adalah begitu tinggi sekali. Itu sebabnya kadang kala kita tidak begitu susah hati apabila penuntut yang belajar menjauhkan diri atau belajar sekerat jalan.

Kini generasi baru mula muncul menggantikan generasi lama yang telah merangka perjuangan SC. Generasi baru ini lebih ramai yang berpelajaran dan mempunyai sistem kemodenan dalam kehidupan. Mereka sangat minat akan kegiatan berpersatuan kerana mungkin ada kelebihannya. Minat dalam persatuan ini mungkin sama agaknya dengan keadaan politik negara ketika ini. Pada zaman dulu, orang yang berada dalam parti-parti politik kebanyakannya mementingkan perjuangan. Mereka sanggup bergolok-bergadai bagi menyertai perjuangan yang ada. Perjuangan itu pula diasaskan pada satu keyakinan yang kukuh. Ada yang menolak jawatan yang diberi atas alasan ingin meneruskan perjuangan. Berbeza dengan keadaan sekarang. Masing-masing melobi merebutkan jawatan hingga timbul politik wang. Kerana jawatan, mereka boleh bermusuh dan menindas sesama rakan. Penyakit ini mula berjangkit dalam SC pada mereka yang kurang daya ketahanan. Ketika ini jawatan sangat diutamakan. Kita boleh berpisah dan bermusuh kerana jawatan. Hilang semangat setiakawan. Ikrar akrab sesama ahli silat mudah sangat dilupakan. Keakraban sesama ahli hanya berkaitan dengan adat dan adab. Dalam konteks persatuan yang mementingkan peraturan, permusuhan adalah merupakan salah satu prinsip pergaulan. Keadaan in semestinya berbeza dengan suasana zaman dalu.

Pendekatan yang berhemat pada penuntut generasi baru ini amat diperlukan. Pada pandangan saya, generasi ini kurang mengerti makna penderitaan ketika SC ingin diasaskan. Pengetahuan di masa yang lalu mereka peroleh melalui penceritaan dan bukannya melalui proses pengalamian. Mereka menerima SC seadanya dalam suasana semuanya telah terasas. Umpama pokok yang berbuah. Mereka senang menikmati hasilnya. Maka berebut-rebutlah akan buah yang ada. Tapi bak kata bidalan kita, “Pahit maung biasanya diakhiri dengan senyum manis. Manis meletin biasanya akan diakhiri dengan tangis.”

Kesetiaan generasi baru dalam SC perlu diikat. Mungkin kaedah-kaedah yang sedia ada bagi mengikat ahli masih berterusan. Ada yang cuba mengikat para penuntut dengan cara menerangkan kelebihan-kelebihan yang ada pada buah-buah dalam SC. Kerana terlalu bersemangat, ramai mendahului masa menunjukkan isi pelajaran. Ketika belajar buah asas maka mereka akan menunjukkan buah jatuhnya. Kadang kala ramai Jurulatih yang ditegur apabila tertunjuk buah potong pada hal penuntutnya belum ijazah lagi.

Pada Jurulatih yang agak lama dan pandai bercakap, mereka menerangkan konsep dan falsafah yang ada dalam SC kepada para penuntutnya. Mereka percaya menguasai gerak fizikal tanpa memahami konsep dan falsafahnya adalah kurang lengkap. Mereka membuat penerangan dari masa ke masa. Sejauh mana keberkesanan penyampaiannya adalah bergantung pada penguasaan ilmu tersebut pada dirinya. Kadang kala terlepas cakap. Semakin penuntut jadi serabut. Tidak kurang juga para Jurulatih yang membuat unsur-unsur suspen. Penerangan-penerangannya memberikan gambaran yang hebat tentang SC tapi menangguhkan jawapan. Beberapa persoalan diberi kepada penuntut yang tergantung-gantung tanpa ada jawapan segera. Saya telah membincangkan sifat tersebut dalam penulisan yang terdahulu.

Motivasi dalam kalangan penuntut adalah supaya penuntut tersebut terus menunjukkan kesetiaan dalam SC. Satu lagi cara adalah dengan menceritakan kelebihan-kelebihan yang ada pada guru atau pada orang-orang kanan yang terdahulu. Hal ini demikian sebagai rangsangan kepada penuntut supaya belajar dengan bersungguh-sungguh bagi menjadikan diri mereka sebagaimana penuntut-penuntut yang terdahulu. Kadang kala sekaki menjadi berkaki-kaki kehebatannya. Menceritakan sesuatu kepada yang kurang tahu lebih senang penceritaannya kepada yang tahu.

Tidak kurang juga yang memberi motivasi dengan cara menceritakan kelebihan-kelebihan yang ada pada SC itu sendiri. Kelebihan ini meliputi dari segi gerak fizikalnya dan kelebihan-kelebihan ‘dalaman’. Kelebihan fizikal tidak susah diterangkan. Namun, fahaman dalaman yang ada dalam SC juga dikupas untuk menarik minat ahli. Misalnya diceritakan kelebihan kain putih. Pernah saya dengar cerita yang dituturkan oleh orang yang empunya cerita tentang seorang penuntut yang kehabisan minyak kereta. Dengan menggunakan kain putih yang dikibas-kibas pada kereta tersebut maka kereta itu boleh terus berjalan tanpa ada minyak. Begitu juga dengan cerita tentang kereta yang terperangkap dalam lubang. Dengan kibasan kain putih maka kereta itu dapat dikeluarkan. Saya tidak ingin mengulas sejauh mana kebenarannya. Fikir-fikirlah sendiri. Kalau nak percaya maka percayalah sendiri-sendiri. Kalau nak senyum pun maka senyumlah sendiri-sendiri. Kita tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi.

Tapi apapun yang diceritakan oleh para jurulatih, pada kebenarannya, para penuntut mempunyai pesepsinya sendiri. Terpulang pulak pada jenis penuntut yang ada. Mereka boleh membuat kesimpulan sendiri. Mereka yang agak bersifat kritis, tidak mudah menerima segala penjelasan yang kita beri. Kadangkala mereka akan persoalkan antara realiti dan fantasi. Persoalan yang ditimbulkan adalah merupakan soalan daripada sunabari mereka sendiri. Tapi ramai yang silap anggap. Mereka dikatakan berfaham kiri. Akhirnya mereka akan menjauhkan diri.

Walau apapun cara para Jurulatih membuat penerangan, pengikat para penuntut dalam setiap kelas adalah erat kaitannya dengan sistem pembalajaran yang kita bentuk dan komitmen diri kita sendiri yang kita tunjukkan serta hubungan sesama ahli. Komitmen yang diberi akan meyebabkan kelas-kelas SC akan terus bersemarak dari hari ke hari, asalkan dikesampingkan kepentingan diri.

Sekian setakat ini.