Thursday, November 26, 2009

PERBUATAN BERULANG

Selesai sembahyang sunat Aidil Adha, makan lemang. Cuba ingat-ingatkan isi kutbah yang dibaca oleh imam. Mudah lupa. Tapi masih teringat kisah Nabi Ibrahim, Naib Ismail dan Nabi Ishak. Masakan tak boleh ingat. Berpuluh tahun tetap mendengar nama-nama tersebut. Tok imam tak jemu-jemu mengulang-ngulang peristiwa yang telah berlaku pada mereka. Kita pun tak jemu-jemu mendengar.

Tiba-tiba datang lintasan di pagi raya. Mereka tersebut adalah seketurunan. Nabi Ismail dan Nabi Ishak adalah anak Nabi Ibrahim. Kedua-duanya meneruskan perjuangan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Nampaknya, kaitan keturunan bukanlah perkara baru dalam sejarah ketemadunan manusia. Termasuk juga sejarah dalam penerusan perjuangan.

Tak berani bersembang panjang. Soal keturunan amat sensitif dalam persilatan kita. Ada yang berfaham songsang. Keturunan dibenci, masyarakat ditatang. Malas nak mengulas panjang. Nampak sangat sifat bodoh sombong yang menafikan kenyataan. Kata rakan-rakan, itulah kefahaman jalang yang baru muncul dalam fahaman persilatan kita. Ada pulak pengikutnya. Berpautkan pada kesedapan yang ada padanya. Agaknya pengikut fahaman yang baru muncul tersebut.

Walaupun isi kutbah berulang-ulang cakap setiap tahun, pengertian dan pengajarannya amat releven sepanjang masa. Raya Qurban juga mendukung empat perwatakan utama. Nabi Ibrahim AS dengan keikhlasannya, Nabi Ismail dengan kepatuhannya, Siti Hajar dengan sifat tawakalnya dan iblis dengan hasutannya. Aplikasikan dengan perwatakan yang ada dalam SC. Banyak tafsirannya. Masakan kita boleh bersatu atau berpecah tanpa ada perwatakan tersebut. Muhasabahlah diri kita. Di manakah kedudukan perwatakan kita.

‘Mintak simpang malaikat empat puluh empat’ . Janganlah kita bersifat iblis yang suka menghasut. Di samping itu, iblis dilambangkan dengan sifat -sifat dengki, berpura-pura, adu-domba, ular air, tidak berterus terang dan banyak lagi yang selalu dijadikan persoalan dan perwatakan dalam kebanyakan filem atau drama terbitan kita.

Oleh itu dalam pergaluan kita, berhati-hatilah dengan golongan ini. Begitu juga pergaulan dalam kalangan ahli SC. Kita perlu berhati-hati dan mengenali kumpulan ini supaya tidak menjadi alat memuaskan kehendak manusia yang bersifat iblis. Jika kita tidak berhati-hati, lama-kelamaan kita pula akan menjadi penghalang utama dalam hubungan sesama ahli yang lain persatuan dalam persilatan SC yang masih mengagung-agungkan sepancor guru iaitu Ustaz Hanafi.

Ketika bertemu sahabat yang datang bertandang, dikatakan bahawa dalam penulisan saya juga ada peristiwa yang berulang. Saya tersenyum dan mangatakan bahawa imam yang membaca kutbah sebentar tadi, suka juga mengulang-ngulang cerita yang sama saban tahun. Masing-masing tersenyum. Tajuk beralih. Beralih pada biskut yang dimakan. Banyak nama yang diberi pada biskut. Ada biskut pan dan ada biskut tat. Banyak lagi nama-nama biskut yang ada dalam buku resipi. Lihat pada bahan-bahannya. Semuanya berulang-ulang. Tepung, gula, telur dan mentega mesti diulang-ulang penggunaannya. Tanpa diulang penggunaan bahan tersebut, biskut tak akan menjadi.

Dalam televisyen pun ada drama yang berulang. Cerita P. Ramlee pun turut diulang. Kita tahu akan kesudahannya. Tapi tetap duduk menonton sampai habis. Yang lucu, diketawakan lagi. Yang sedih akan dikeluarkan air mata. Pada hal dah tahu akan kesudahan ceritanya.

Nampak sangat perkara yang berulang ada nilai estetikanya. Susah nak lupa. Tak jemu mendengarnya. Ada yang mengatakan bahawa sesuatu yang berulang itu akan bertahap klasik atau bertahap metos. Apapun istilahnya, pengulangan yang berlaku adalah perlu tetapi tidak menjemukan.

Banyak perbuatan mengulang-ngulang dalam konteks persilatan kita. Dalam gerak SC, perkara berulang dapat dilihat dalam pelajarannya dan dalam latihannya. Banyak manfaatnya.

Kaedah dalam SC selalu diulang pemakaiannya. Ulangan ini penting bagi mempelbagaikan buah-buah yang bersesuaian dengan kaedah tersebut. Banyak buah yang dapat dihasilkan dengan menggunakan satu Kaedah, sama ada Kaedah A atau B atau C atau D. Dalam kaedah Potong pun, kaedah ‘spring’ dapat digunakan secara berulang untuk mengatasi pelbagai jenis gerak lawan. Malah untuk menyerikan buah-buah pukulan sekalipun, kaedah yang sama selalu diulang-ulang bagi memenuhi falsafah sesama ahli tak ada yang menang atau tak ada yang kalah dalam pergaduhan.

Dalam gerak yang berulang ini, saya selalu memikirkan kepintaran Ustaz dalam menyusun atau meletakkan kedudukan kaedah-kaedah tersebut. Pengulangan perbuatan dalam gerak SC tidak dibuat secara berstuktur atau secara berterusan. Misalnya Kaedah A. Buah-buah yang menggunakan kaedah A terletak di merata-rata kedudukan buah. Tidak disusun secara berturutan daripada buah pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Begitu juga dengan penggunaan Kedah B, C dan D. Penyusunan secara ‘celum-celam’ itu memaksa kita berfikir. Secara langsung gerak kita dalam SC adalah berdasarkan kefahaman. Apabila kefahaman ini bersebati dengan jiwa dan diri kita, pergerakan kita akan menjadi hebat sekali.

Saya sangat berharap agar pendokong SC yang ada sekarang atau yang akan datang, jangan sekali-kali mengubah sistem yang sedia ada dan telah terpupuk sejak zaman Ustaz lagi. Jangan diajar anak murid kita mengumpul buah-buah berdasarkan kaedah-kaedah yang ada secara kumpulan. Fikiran mereka akan beku kerana terdorong dengan sifat hafalan. Sinarai kedudukan buah yang ada adalah mantap dan telah dibuat pelarasan sejak zaman Ustaz lagi.

Semasa kita berlatih, sifat mengulang gerak dalam mengambil buah adalah perlu. Sebagai Jurulatih, perbuatan mengulang gerak ini perlu diberatkan. Kalau Jurulatih menumbuk penuntut untuk mengambil kaedah, perbuatan menumbuk perlu diulang-ulang sehingga berasa puas yang penuntut tersebut telah berjaya mengambil kaedah dengan tepat dan cepat. Kalau sesama mereka bergilir menumbuk, Jurulatih perlu bilang berkali-kali arahan menumbuk hinggalah gerak mereka tepat dan kemas.

Dalam kelas latihan silat saya, bagi setiap pelajaran baru, pelajaran yang terdahulu akan diulang semuanya. Kalau saya mengajar buah jatuh, semua kaedah asas yang belum ‘dijatuhkan’, akan diulang perbuatannya. Begitu juga jika kelas berkenaan sedang belajar buah potong. Semua buah jatuh akan diulang geraknya. Perbuatan mengulang ini amat penting bagi meningkatkan daya ingatan pada setiap penuntut silat. Secara langsung usaha-usaha untuk mensebatikan gerak pada diri setiap pentuntut itu akan lebih berjaya dilakukan.

Agak terkilan apabila saya mendengar berita tentang usaha-usaha mengubah corak latihan. Buah-buah asas akan dikumpulkan dalam bilangan tertentu untuk dijatuhkan. Setelah itu akan ditinggalkan latihannya bagi mempelajari buah yang baru dalam kumpulan buah yang lain. Saya tidak ada komen mengenainya. Saya berharap mereka tahu apa yang dilakukan. Kesannya bukan sekarang. Kita boleh lihat beberapa tahun yang akan datang. Kesan pada kefahaman dan kesebatian pergerakan dalam diri seseorang.

Kepada pengamal SC, perbuatan mengulang pergerakan dalam SC perlu diamalkan kerana geraknya pasti akan mendatangkan manfaat. Didiklah kebolehan dan ketangkasan dalam kalangan ahli SC dengan cara mengulang perbuatan gerak dalam setiap latihan silat. Penyusunan buah-buah yang ada dalam SC janganlah diubah-ubah. Saya yakin bahawa Ustaz telah mengkajinya dan tahu akan sebab musababnya. Janganlah kita pula pandai-pandai mengubah pergerakan yang telah ditetapkan dalam keadaan ingin meneruskan pusaka Hanafi. Jangan menjadi hipokrat hakiki. Kalau diubah juga, malulah sikit untuk mendakwa mempusakai amalan yang telah dipraktikkan oleh Ustaz Hanafi. Pusaka Hanafi.

Sekian setakat ini.