Berlaku juga satu perkembangan yang menarik perhatian saya tentang pertunjukan SC. Golongan artis mula dilibatkan. Jemputan pada artis memulakan pertunjukan SC mula biasa. Saya dengar sahaja. Malas nak ambil kira. Bukannya di tempat saya. Jemputan tersebut kononnya untuk menarik minat penonton menyaksikan persembahan SC. Nama artis pun saya lupa tapi wajahnya saya ingat. Cun juga. Sejauh mana kesan persembahan mereka bagi menarik minat penonton, tidak ada jawapan pada saya.
Persembahan SC juga telah mula tidak lagi terikat di atas padang yang ada. Pasaraya besar mula menjadi fokus utama. Tapi perkembangan ini menarik minat saya. Konsep pertunjukan di Pasaraya mula menular di cawangan saya. Saya amat menyokongnya. Persiapannya tidak banyak. Mudah mendapat sponser. Sekurang-kurang-nya tempat pertunjukan adalah percuma. Masing-masing ada kepentingan bersama. Pada pengurusan pasaraya pertunjukan kami tentunya dapat menarik perhatian pengunjung manakala pada kami, persiapan yang diperlukan amat mudah dan senang diselenggara. Ahli-ahli yang membuat pertunjukan pun berasa selesa. Tempat di pasaraya adalah juga tempat kunjungan biasa mereka. Tambahan pula yang ada pasangan. Mudah bertukar-tukar bicara dan segalanya.
Ketika zaman tersebut juga, konsep baru gerak-gerak dalam SC mula tercipta. Konsep baru itu bagi menarik perhatian penonton. Gerak Hanafi, Gerak gemilang dan mungkin banyak lagi gerak-gerak yang tercipta tapi berada di luar pengetahuan saya. Saya dengar sahaja. Tak teringin untuk mempusakainya. Kami masih meneruskan tradisi gerak lama. Apa yang diberi pada penuntut maka itulah yang telah diterima semasa menuntut. Tidak ada tokok tambah atau pengurangan pelajaran di mana-mana.
Persembahan yang diiringi dengan muzik mula semakin berleluasa. Saya tak dapat lari daripadanya. Perkembangan itu juga sudah menjadi tuntutan daripada generasi baru penuntut saya. Kadang kala hati berkata-kata. Bukankah konsep SC tidak ada gendang dan tarinya. Adakah gendang tak boleh tapi muzik tak apa. Saya perahkan tenaga untuk memikirkan persoalan yang muncul dalam jiwa saya. Akhirnya saya terpaksa kata, tak apa. Akal cuba menghalalkan tujuan. Konsep muzik berbeza dengan konsep gendang. Penggunaan gendang, khas untuk mengerakkan tari silat. Manakala muzik moden khas untuk meriahkan suasana di samping menaikkan semangat penonton. Agaknya. Akal juga berfikir bagi menghalalkan cara. Kalau gendang, gerak silat perlu mengikut bunyinya. Gerak silat terikat pada irama gendang tersebut. Berlainan pulak dengan muzik yang mengiringi SC. Bunyinya semata-mata untuk menarik perhatian. Lagi kuat gegaran bunyinya, jantung pendengar akan membara. Perhatian mereka akan berfokas pada gerak SC. Gerak SC tidak tertakluk pada irama muziknya. Cuma sebagai latar bunyi bagi memeriahkan suasana. Otak mula menerima. Saya ikutkan sahaja. Logiknya ada. Akal kata terima sahaja.
Di akhir-akhir zaman Ustaz juga, faham persatuan mula ketara. Cawangan-cawangan mula dibuka merata negeri. Pusat-pusat latihan terutamanya di pusat pengajian tinggi begitu berleluasa sekali. Semua ini menuntut satu pengurusan persatuan yang baik dan mantap. Idea-idea baru perlu wujud dari masa ke masa bagi mempastikan perjalanan persatuan berjalan lancar. Ahli-ahli yang semakin ramai perlu diikat dengan aktiviti persatuan. Mulalah pemimpin-pemimpin persatuan memikirkan perancangan program. Program persatuan bagi memenuhi tuntutan ahli yang berpersatuan.
Semasa saya di pusat lagi, kami sering berbincang tentang aktiviti-aktiviti yang patut diadakan dalam kalangan ahli-ahli yang telah tamat. Masih ada lagi yang berminat datang ke kelas setelah tamat silat. Sesetengahnya belum dilantik sebagai Jurulatih. Apabila mereka hadir ke kelas, ada yang celupar mulut mengajar atau menegur pergerakan penuntut yang sedia ada tanpa mandat sebagai Jurulatih. Mereka menjadi ‘pengacau’ kelas-kelas latihan silat. Kelas-kelas kemahiran yang sepatutnya diwujudkan untuk mereka sudah tidak ada ruang masa. Walau bagaimanapun minat mereka turun ke cawangan atau ke pusat-pusat latihan adalah amat ketara. Ramai pulak bilangannya. Fokas mereka ke ibu pejabat persatuan tidak berfokas dan tak tentu hala.
Kalau tak salah saya, bagi memenuhi kerancakan berpersatuan, beberapa program telah dirancang. Gerak Cekak telah dibuat dalam bentuk irama. Lahirlah pergerakan-pergerakan baru bagi memeriahkan suasana. Saya tidak dapat mengulas banyak. Sebabnya, saya tidak terlibat langsung dengan program tersebut. Setakat dengar cerita.
Perjuangan kami di Cawangan adalah jelas. Kami perlu mencari seberapa ramai bakal penuntut. Apabila mereka menjadi ahli silat, adalah menjadi tanggungjawab kami bagi mempastikan mereka tersebut benar-benar menguasai segala pelajaran yang ada dalam SC. Oleh itu, masa adalah sangat terhad untuk kami melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dirancang oleh pihak pusat. Pihak persatuan pusat pulak tu.
Ketika itu juga, para cerdik pandai dalam persatuan telah juga mewujudkan wawasan persatuan untuk jangka masa tertentu. Saya juga tidak boleh mengulas panjang dalam program-program gerak irama atau wawasan SC kerana cawangan saya tidak pernah mengambil berat akan aktiviti-aktiviti tersebut. Seperti yang dinyatakan, pada kami matlamat di cawangan adalah jelas iaitu mempastikan penuntut yang tamat silat dari cawangan saya akan benar-benar menguasai gerak-gerak fizikal SC berserta dengan kefahaman SC yang mantap. Mungkin kerana sikap inilah maka bukan main sakit hatinya mereka. Dendam kesumat terhadap saya terus membara.
Masa semakin berlalu. Nampak sangat pemberatan pada pencapaian penuntut dalam SC semakin longgar. Pernah timbul perbincangan dalam kalangan pendokong lama SC mengenai mutu penguasaan silat yang dikatakan semakin kurang. Akan tetapi perbincangan tersebut setakat berbincang sahaja. Tiada ada kata putus. Nampaknya pendapat tersebut lebih berdasarkan perasaan. Tidak ada satu kajian khusus untuk membuktikan kenyataan bahawa kebolehan penuntut dalam bidang persilatan semakin merosot.
Walau bagaimanapun, akhir-akhirnya nampak sangat kecenderongan untuk memantapkan persatuan dengan alasan kemantapan persatuan akan menjadikan SC semakin hebat. Tapi ramai yang lupa. Makna persatuan adalah kuasa. Fahaman ini semakin hebat di zaman PA. Perasaan hormat pada mereka yang hebat dalam persilatan SC mula kurang. Hormat silat mula diganti dengan hormat kuasa. Sesama rakan boleh bermasam muka dan akhirnya boleh berdendam ketika berebut jawatan dalam persatuan. Tidak hairanlah timbul peristiwa perebutan kuasa di Cawangan Wilayah antara orang-orang hebat dalam bidang persilatan. Perebutan kuasa sesama mereka amat memeranjatkan pelbagai pehak. Sekarang ini mereka bersekongkol dalam Akademik silat bagi mencapai tujuan yang satu.
Tapi kami di Cawangan tenang sahaja. Biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Cawangan saya tetap tenang. Setiap mesyuarat agung akan cepat sangat berakhirnya. Perebutan kuasa langsung tak ada. Yang susahnya ialah mendapatkan kesediaan ahli bagi menjawat jawatan dalam persatuan. Kami berfokas. Fokas pada silat.
Dalam zaman selepas Ustaz juga , dunia glamour mula memainkan peranan. Kita berbangga dengan pengiktirafan pengurusan persatuan kita. Bagi menghebatkan persatuan, rekod-rekod tertentu cuba dicipta bagi menunjukkan kehebatan persatuan SC. Tujuan bersilat semakin longgar pada pandangan saya. Tujuan menaikkan nama persatuan mula mengambil alih minat kepemimpinan kita dari masa ke masa. Saya ikuti perkembangannya. Ada yang terkilan dan menusuk jiwa dan ada juga baiknya. Perubahan tidak lagi boleh disekat.
Sambung lagi.