Monday, November 2, 2009

Sambungan...KONSEP ISTILAH

Dalam SC, bukan setakat istilah yang amat dititikberatkan tapi juga pengunaan ayat dan frasa kata perlu berhati-hati. Saya terbaca satu artikal yang ditulis oleh ahli tua-tua. Beliau menekankan betapa penting kita menjiwai ilmu perjuangan yang ditinggalkan oleh Ustaz. Pasti ketara perbezaan makna antara frasa kata ‘menjiwai ilmu perjuangan’ dengan ‘menjiwai perjuangan’. Perjuangan Ustaz adalah jelas berdasarkan tanggungjawab menurut hiraki, manakala ilmu perjuangan Ustaz boleh ditafsir dalam pelbagai segi. Patutlah banyak yang berlaku, ‘tujuan menghalalkan cara.’

Dalam proses menurunkan ilmu, kita perlu berhati-hati mengeluarkan ayat. Malah menyuruh orang menumbuk kita pun, kita perlu berwaspada. Konsep menyuruh boleh dianggap bersudi. Kalau kita menyuruh pasangan atau ‘murid’ kita menumbuk diri kita, maknanya kita merelakan diri ditumbuk dalam konsep sudi ditumbuk. Itu sebabnya saya selalu mengingatkan Jurulatih saya. Apabila kita bersudi dan rela ditumbuk melalui arahan mulut menyuruh ahli yang belajar supaya menumbuk, jika penumbuk itu mengena pada diri kita, jangan sesekali memarahi ahli tersebut dengan kata-kata penumbuk tak betul atau disuruh tumbuk betul-betul. Padahal, hakikatnya, kita mempersudi diri ditumbuk dengan arahan suruh tumbuk. Jika terlajak, eloklah dimaafkan saja. Jiwa kita tenang dan tidak timbul ego berasakan diri tercabar.

Siiring dengan itu juga, lahirlah konsep percaya boleh, yakin jangan. Kita diseru supaya berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara dalam konteks SC. Konsep berhati-hati itu boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Kita akui bahawa kita kekurangan istilah untuk melahirkan arahan atau pendapat. Tapi yang pentingnya ialah kita tahu dan kita faham akan apa yang kita ucap atau apa yang kita lakukan dengan penuh tanggungjawab dan penuh ikhlas. Mulut yang hanya satu sahaja anugerah Tuhan, tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya. Setelah dilihat banyak kali dan mendengar juga banyak kali maka baharulah mulut mengeluarkan kata.

Tapi pengunaan mulut juga ada adat dan adabnya dalam konteks bersama dengan silat Melayu. Kita dilarang keras mencaci silat-silat Melayu asli yang lainnya. Walau pun dikatakan caci tak boleh tapi mencuba tak apa, disiplin mulut tetap ada. Jangan mengeluarkan kenyataan yang sia-sia. Sekurang-kurangnya dengan cara tidak mencaci silat Melayu yang lain maka silat-silat lain juga pada adatnya tidak akan mencaci silat kita.

Berdasarkan prinsip berhati-hati tersebut, kita mempunyai disiplin tersendiri untuk mengawal tubuh badan kita. Sesuatu yang Ustaz sangat sarankan ialah jaga perut kita. Dari perut akan menjadikan punca segalanya. Perut ada kaitan dengan mulut. Perut yang sangat ‘berisi’ membawa banyak maksudnya. Kebanyakan penyakit juga ada kaitan dengan perut. Penyakit hati juga ada kaitan dengan perut. Nafsu yang tidak terkawal juga berkait rapat dengan perut. Stamina kita bersilat pun ada kaitannya dengan perut. Oleh itu Ustaz selalu menegaskan betapa perut perlu dijaga. Seboleh-bolehnya buncit perut tidak melebihi paras buah dada kita. Jangan pulak ditertawakan dengan orang yang mengandung. Kalaulah perut kita terlebih dari paras dada, jangan sampai melindungi kita daripada melihat anu kita atau melihat jari kaki kita tanpa kita menundukkan badan. Jika lebih buncitnya maka eloklah dibuat sesuatu tindakan serta merta. Jangan menjadi umpama wanita mengandung sekian bulan. Sentiasa maju ke depan.

Ustaz juga pernah menegaskan tentang cara berjalan penuntut kita. Ketika berjalan adakah tangan selari dengan badan atau tangan tersebut masuk ke dalam di bahagian depan atau masuk ke dalam di bahagian belakang. Maka cara berjalanpun sangat diambil berat oleh guru kita dalam kalangan ahli silatnya. Semua pelakuan tangan tersebut membawa banyak makna. Penuntut perlu berhati-hati dan mengambil kira kerana pelakuan tangan juga akan melambangkan keperibadian kita. Mungkin ini juga adalah satu petua.

Mungkin dengan konsep-konsep istilah yang pelbagai tersebut menyusahkan kita untuk bercakap atau berbicara. Pada saya, yang penting ialah kita faham apa yang kita ucapkan. Bukan sengaja kita keluarkan satu-satu perkataan atau susunan ayat tetapi bersandarkan dengan alasan. Dalam istilah dulu-dulu, dikatakan cakap berlapik. “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Kita boleh nampak betapa kayanya pengertian konsep dan istilah dalam adab persilatan kita. Bukan setakat pelakuan tapi juga istilah-istilah yang hendak digunakan perlu mengikuti landasan adat dan adab kita.

Kita kerap disarankan agar menguasai pelbagai sifat dalam konteks SC. Misalnya sifat berani. Istilah berani dalam SC mempunyai pengertiannya yang tersendiri. Keberanian yang kita pupuk dalam SC amat berbeza dengan konsep menceroboh atau ganas. Sifat berani yang dipupuk membolehkan ahli silat terhindar daripada sifat penakut atau bacul. Secara langsung, penuntut SC sepatutnya sentiasa berupaya mengawal diri, tidak panas baran dan sentiasa dalam keadaan tenang terutamanya tatkala menghadapi musuh.

Begitu juga dengan konsep ‘kerana Allah’. Kita mempunyai tanggapan yang tertentu dalam fahaman SC seperti yang dinyatakan oleh Ustaz. Kerana Allah adalah merujuk pada keizinan yang Allah berikan pada kita. Kita boleh bersilat adalah kerana Allah izinkan. Kita peroleh ilmu pengetahuan dalam silat juga kerana Allah izinkan. Semuanya kerana Allah. Secara langsung, ego kita terbela dan terpupuk daripada perasan tak tentu hala. Hal ini demikian akan menjadikan kita menjadi sebagai seorang yang sentiasa bersyukur atas nikmat dan rahmat yang Allah berikan. Itulah kefahaman yang saya terima dan saya sampaikan kepada ‘murid’ saya. Sukar mengulas panjang berdasarkan tulisan. Kefahaman adalah bermakna apa yang saya faham.

Kita juga selalu disogokkan dengan istilah Keyakinan. Sebagai ahli SC, kita perlu ada sifat keyakinan pada diri. Dalam konteks ini juga faham keyakinan mempunyai pengertian yang tersendiri dalam ajaran kita. Keyakinan tersebut perlu disandarkan pada fahaman positif. Jika lemah bersilat, perlu yakin diri akan dapat mengusai pelajarannya lambat laun melalui usaha yang berterusan. Jika tidak berfaham demikian, keyakinan akan memudaratkan diri jika bersifat pasif. Misalnya dalam pergerakan silat. Kalau ahli silat itu berkeyakinan bahawa dirinya tetap lemah dan tidak boleh membuat buah dengan tepat dan padat secara berterusan maka ahli tersebut akan terus berada dalam suasana hilang kepercayaan pada diri sendiri. Sifat keyakinan negatif itu telah memunuh motivasi diri. Hal ini demikian kerana penuntut itu berfaham pasif dan konsep keyakinan diguna pakai dalam fahaman pasif tersebut. Di sinilah peranan Jurulatih sebagai pembimbing akan memainkan peranan penting. Walau bagaimanapun, terlampau yakin pada silat tanpa merujuk pada kebolehan diri akan juga mendatangkan kemudaratan pada pengamal silat tersebut. Begitu juga dengan penuntut yang terlampau yakin pada kebolehan dirinya. Sikapnya akan menjadikan dirinya memandang rendah orang lain dan begitu mudah menolak pendapat yang lain selain daripada apa yang dia ada.

Itu sebabnya dalam SC, konsep berpijak di bumi nyata adalah merupakan satu ajaran yang dipupuk dalam kalangan ahli SC sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Malah bidang persilatan kita juga adalah berpijak pada bumi yang nyata. Pergerakannya tidak dibuat-buat dan bukanlah berada dalam dunia khayalan. Tidak ada tarian dan gerak langkah yang boleh direka tatkala membuat persembahan. Ketika memulakan latihan, tiada konsep dunia khayalan yang cuba disogokkan. Kita tidak ada upucara membuka atau menutup gelanggang. Tidak perlu sebarang kebenaran pihak ghaib yang tertentu, melainkan kebenaran daripada pihak penguasa sebagai syarat membuka kelas atau cawangan silat.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan penggunaan istilah atau konsep sesuatu fahaman dalam SC. Jangan mudah berkata-kata atau mengeluarkan pendapat tanpa berfikir dalam konteks SC.

Sekian dulu setakat ini.