Saturday, December 5, 2009

KEKALKAN JATI DIRI

Dalam penulisan yang lalu saya telah tegaskan betapa pentingnya buah-buah yang telah tersusun sejak zaman Ustaz lagi dikekalkan sama ada bilangannya atau susunan pembelajarannya. Ada sebab mengapa pembelajaran dan penyusunan buah-buah SC tersebut perlu dikekalkan dalam keadaan sebegitu. Berdasarkan kefahaman saya, Ustaz menyusun buah-buah sedemikian kerana ada perkaitannya dengan pembentukan sifat, peribadi dan pelakuan penuntut selama berada dalam pembelajaran SC. Kenyataan ini pernah saya tegaskan dalam kalangan Jurulatih saya.

Oleh itu, pembaharuan penyusunan dan pengkelasan buah berdasarkan formula-formula terbaharu mungkin akan menyebabkan timbulnya sifat hafalan dalam kalangan penuntut. Keadaaan ini amat membahayakan penguasaan penuntut dalam SC untuk jangka panjang. Kebolehan mereka seolah-olah ditentukan oleh kita dengan alasan untuk memudahkan mereka menerima pelajaran yang kita sampaikan. Nampaknya, itu hanyalah alasan untuk membenarkan perbuatan.

Pada hal, kecekapan yang kita miliki sekarang adalah berdasarkan sistem yang telah diasaskan oleh Ustaz tempoh hari. Kalau dulunya, kita perlu menyesuaikan diri dengan pelajaran yang ada dalam SC, tapi sekarang ini nampaknya pelajaran SC cuba disesuaikan dengan kehendak penuntut. Buah yang susah, ‘dibuangkan’ dan pelajaran yang susah disenangkan. Semuanya untuk memenuhi kehendak penuntut. Kita terlalu menjaga hati atau memanjakan mereka. Bukankah itu akan rugi juga akhirnya.

Penyusunan buah-buah SC secara penstrukturan semula, menggalakkan sifat kepura-puraan dalam gerak semula jadi para penuntut silat yang telah diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Semestinya Ustaz telah membuat kajian. Saya tidak ada kajian. Akan tetapi, fakta saya adalah berdasarkan perasaan. Asas perasaan ini bersumberkan pengalaman bersilat dan daya pemikiran atas penerimaan silat sepanjang penglibatan saya dalam bidang persilatan SC.

Saya selalu menegaskan pada jurulatih yang membantu di kelas silat saya. Betapa manusia kita dalam persilatan banyak sangat bersifat kepura-puraan. Malah pergerakan kebanyakan silat Melayu juga bersifat demikian. Ada silat yang sangat hebat pergerakannya. Rupa-rupanya kehebatan persilatan tersebut kerana mainan silatnya telah disusun erat. Persembahan mereka dikagumi masyarakat silat. Terserlah sifat kependekarannya. Tapi penonton lupa bahawa kehandalan mereka akibat wujud kesepakatan antara pasangan pesilat tersebut. Pakat mereka itu nampak sangat apabila mereka terlupa akan apa yang telah disusunkan. Apa lagi, bersilatlah mereka tanpa ada panduan. Tidak hairanlah mereka terpaksa buat-buat lupa diri agar cepat-cepat dilerai dan ditamatkan persembahan mereka tersebut.

Begitu juga dalam persilatan olahraga. Hanya undang-undang dan peraturan dalam Silat Olahraga yang membezakan kita dengan kaedah atau cara persembahan pertandingan seni bela diri yang lain. Hilang seni dan kaedah silat ketika pesilat bertanding. Baju hitam yang dipakai sahaja yang menunjukkan mereka persilat. Mana perginya pukulan dan tangkapan yang hebat dalam kalangan persilatan Melayu. Yang ada hanyalah gerak tangan dan gerak kaki yang hampir menyerupai seni bela diri yang lain.

Keadaan ini amat berbeza besar dalam pembelajaran SC. Saya selalu tegaskan betapa SC berpijak di bumi nyata. Walaupun persembahan kita ada yang berpakat tapi pemuafakatan tersebut berbentuk giliran persembahan dan tidak menjejaskan pergerakan semula jadi kita. Buah-buah yang digunakan dalam pertunjukan adalah sama dengan apa yang kita latihkan. Dalam masa penglibtan kita dalam Silat Olahraga, banyak silat lain yang takut dengan penyertaan kita. Apa yang dilatih maka itu yang kita amalkan dalam pergerakan. “Cakap serupa bikin”. Itu sebabnya saya sangat dan terus pertahankan buah-buah yang dilatih supaya sama dengan pertunjukan atau pertandingan silat sesama kita seperti dalam pertandingan Waja Diri Cekak Hanafi.

Walau bagaimanapun tersangat sedih apabila saya saksikan pertunjukan kita kebelakangan ini. Hal ini terutamanya dalam serangan beramai-ramai. Hanya dengan ‘sentuhan’ tangan, maka musuh dengan mudah dikecundangkan. Begitu juga dalam pertandingan silat sesama kita. Drama pergaduhan ditandingkan lebih bercorak khayalan dan disusun berdasarkan gerak hafalan. Sedap mata memandang tapi susah pada jiwa untuk menerima gerak yang dicanangkan.

Semasa perkembangan awal SC terutamanya di Lorong Haji Shirat, ‘tuntutan’ dan ‘harapan’ pada SC tidak begitu mencabar dan tidak begitu rencam. Persatuan dan silat telah bergerak seiring dan sejalan; bersepadu dan tiada kepentingan. Cuma, kita menghadapi manusia-manusia yang berwatak ‘jahat’ dalam silat pesaing kita. Mereka menyebarkan tohmahan tentang SC terutamanya pada Ustaz. Usaha-usaha mereka diakhiri dengan kegagalan.

Maka tidak hairanlah pada awal perkembangan kita, Ustaz kerap kali membincangkan sifat-sifat dan perwatakan manusia. Hal ini demikian bagi memupuk ilmu dalam kalangan muridnya agar dapat mengenali kawan dan lawan. Ustaz menegaskan bahawa jika kita ingin berkecimpung dalam dunia persilatan terutamanya SC maka kita perlulah kenali kawan dan lawan.’Macam mana nak bersilat jika kawan dan lawan tidak dikenali.’ Demikianlah kata asakan Ustaz kepada anak muridnya tempoh hari.

Itulah sebabnya juga kalau para pembaca sedar dalam tulisan terdahulu, saya juga selalu mengupas tentang sifat-sifat manusia yang ada dalam SC. Hal ini demikian supaya kita sedar akan manusia yang berada di sekeliling kita. Harapannya ialah supaya kita tidak mudah terkecewa. Akan jadi sia-sia pengorbanan masa dan tenaga kita jika akhirnya kita tersingkir. Semua pengorbanan kita, dengan begitu mudah sekali dilupakan dalam sejarah perjuangan SC. Mengenali sifat manusia yang ada, akan menjadikan kita berwaspada dan memijakkan diri kita dalam alam yang nyata. Tidaklah nanti berkorban dalam keadaan tak tentu hala. Akhirnya akan menjadi kecewa.

Ustaz pernah menegaskan kepada saya betapa angka empat puluh juga dapat dijadikan ukuran untuk mengumpul ahli-ahli yang sehati sejiwa. Allahyarham pernah berpesan kepada saya, “ Kalau dapat empat puluh orang yang sehati sejiwa dalam satu-satu kelas latihan nanti maka kelas itu bolehlah ditutup.”

Pesanan tersebut diberi ketika beliau mengiringi saya dalam perjalanan balik terus ke kampung setelah selesai pengajian di kuala Lumpur. Sebelum ini pesanan tersebut ada dibincangkan dalam syarahan umumnya pada ahli-ahli yang ada di Lorong Haji Shirat. Pesanan itu juga saya war-warkan kepada ahli-ahli SC seperjuangan dengan saya di cawangan saya sendiri.

Saya sangat mengerti mengapa Ustaz mengeluarkan kata-kata sedemikian. Rupa-rupanya bukan senang untuk mengumpul ahli yang sehati dan sejiwa sama ada di cawangan saya atau cawangan-cawangan lain untuk meneruskan perjuangan SC. Usahkan empat puluh, sepuluhpun boleh dikatakan tak munasabah. Tapi tidak mustahil. Bak kata motivasi Ustaz, “Yang tak boleh hanya jadi nabi sahaja.” Walau bagaimanapun kata-kata sehati sejiwa itu saya jadikan azimat dan cabaran untuk kami mencapainya.

Sejak saya memimpin cawangan saya, Saya cuba jadikan hala tuju kami adalah satu dan pandangan kami juga adalah satu. Syukur. Kami tidak pernah berpecah. Masih terpenuh cabaran dan pesanan Ustaz tempoh hari. Walaupun ada usaha-usaha ‘memecahkan’ pepaduan kami dalam zaman PA, tapi usaha-usaha itu gagal juga akhirnya. Dalam zaman En Mat, usaha-usaha memecahkan perpaduan kami masih dilakukan. Walaupun akhirnya saya mengundur diri, tapi saya rasa ikatan hubungan sesama kami masih ada. Agaknya. Cuma yang berbeza sikit hanyalah dalam konteks ikrar. Ikrar saya berada di jiwa, ikrar yang ada berada di mulut dan di tangan. Ikrar saya susah dikesan tapi ikrar yang ada dapat dipertontonkan. Dalam internet pulak tu. Semua dunia tahu. Engin kereta yang berbunyi akan menjadi senyap apabila sampai ke destinasinya. Selagi berbunyi maka selagi itulah adanya kepentingan.

Sekian setakat ini. .