Sunday, November 1, 2009

KONSEP ISTILAH dan RANGKAI KATA

Kita perlu sedar dan berhati-hati serta sentiasa berwaspada apabila menggunakan pelbagai istilah dalam SC. Kebanyakan istilah silat akan membawa pelbagai makna dan tanggapan daripada orang lain. Tafsiran orang lain tersebut sangat bergantung pada tahap pemikirannya. Adakah tahap pemikirannya ‘big mind’ atau ‘small mind’. Ada yang berbadan besar tapi otak kecil dan ada yang berbadan kecil tapi otak besar. Berbadan besar dengan otak yang besar dan berbadan kecil dengan otak yang kecil, sudah dikira biasa. Orang yang berfikiran sempit, sukar diajak berunding. Pemikirannya kaku dan beku. Mereka ini sukar untuk menerima perubahan. Tajuk percakapan lebih banyak mengkritik individu daripada membicarakan idea yang cuba diketengahkan. Kalaulah kita memiliki golongan yang sebegini sebagai pemimpin kita terutamanya sebagai Jurulatih SC, meranalah anak buahnya. Tapi ada yang kata, yang merana hanya anak buahnya sahaja. Anak yang tidak berbuah tidak berasa apa-apa. Sifat dan layanan mereka akan berbeza antara layanan dengan anak tiada buah dengan anak buah. Keadaan ini pastinya dapat dirujuk pada fahaman aliran TA. Ada penyedapnya.

Kadang kala saya pernah mendengar falsafah Ustaz ketika merujuk pada gaya kepimpinan yang ada. Kereta yang berkuasa kecil atau berkuasa besar akan lebih memberi makna secara bergantung erat dengan pemandunya. Pemandu yang ‘berkuasa’ besar akan tetap melajukan apa jenis kereta yang dipandunya. Manakala pemandu yang ‘berkuasa’ kecil akan tetap memperlahankan kelajuan keretanya walaupun kereta tersebut berkuasa untuk dilajukan. Dalam konteks ini, ‘kekuatan’ pemimpin itu akan berkait erat dengan daya pemikirannya. Daya pemikirannya akan mempengaruhi corak kepemimpinannya. Corak kepimpinan ini akan memberi hala tuju pada mereka yang dipimpinnya di mana-mana saja.

Hal ini demikian menjadikan kita dalam satu-satu ketika tertentu berada dalam keadaan serba salah untuk bercakap. Siapakah pendengar kita. Saya juga sentiasa berhati-hati ketika berbicara dengan ahli silat sama ada pada kepimpinannya atau mereka yang masih menuntut. Lain orang maka akan lain tafsirannya. Semuanya bergantung pada daya pemikiran, gaya kepimpinan dan nilai yang dimilikinya.

Mungkin dalam tulisan ini kita boleh berkongsi pendapat tentang beberapa konsep istilah dan ayat seperti mana yang pernah diingatkan oleh Ustaz Hanafi kepada diri saya. Semuanya adalah berdasarkan kefahaman saya seperti mana tunjuk ajar yang diberi kepada ahli-ahli SC di cawangan pimpinan saya.

Menggunakan istilah kefahaman juga kadang kala amat menggerunkan buat diri saya. Pengertian istilah tersebut amat besar dan membawa banyak makna. Semuanya bergantung pada tanggapan orang lain terhadap kita. Kalau tanggapan orang lain pada kita adalah negatif maka istilah kefahaman yang kita bawa akan merujuk pada satu gerakan atau aliran pemikiran yang khusus. Akan dikait-kaitkan kefahaman kita tersebut dengan aliran-aliran yang tertentu atas tahap pemikirannya. Maka sudah semestinya aliran yang dia tahu. Berbagai tafsiran akan dicap pada diri kita. Macamlah mereka tahu sangat umpama pemilik khashaf. Jangan ketawa ye.

Dalam konteks penulisan ini, apabila saya menggunakan istilah kefahaman yang ada pada saya dan saya pupuk kefahaman tersebut dalam kalangan penuntut yang belajar dengan saya maka bermakna bahawa istilah tersebut merujuk pada pengertian bahasa yang biasa. Kefahaman bermakna apa yang saya faham daripada pengajaran yang ada dalam SC. Kefahaman itu adalah hasil tafsiran berdasarkan ilmu yang sedia ada pada diri. Kita tidak menafikan pemikiran kita sama sekali. Apa yang difahami akan diterangkan kepada orang lain yang belajar dengan saya. Istilah kefahaman mungkin besar bezanya dengan istilah berfaham. Orang yang berfaham biasanya dirujuk pada sandaran aliran atau kefahaman orang lain. Selalunya fikiran sendiri ketepi. Dari sinilah akan mudah lahirnya fahaman yang taksub diri pada aliran-aliran tertentu sama ada tarikat-tarikat rombongan atau fahaman yang dikaitkan dengan Wahabi, Wahidi, Wahubi, Syiah, Rojaki, Nizari, Jambori, Syedeki, pasembori dan pelbagai aliran pemikiran lagi. Maka selalulah lihat pada nilai diri yang ada. Meniru akan menjadikan diri umpama pelakon. Pelakon bangsawan pulak tu. Fahaman tersebut, ada yang jadi santapan rohani dan tak kurang pula yang menjadi santapan jasmani.

Saya selalu tegaskan, pada tahap awal perkembangan SC, perjalanan silat kita banyak berlandaskan adat dan adab. Berbudi dan berbahasa adalah merupakan salah satu ciri dalam konsep adat dan adab. Malah penggunaan istilah-istilah pun masih merujuk pada adat dan adab yang ada dalam SC seperti mana yang dipraktikkan orang-orang yang terdahulu. Begitulah kayanya adat dan adab dalam SC satu ketika dahulu agaknya.

Saya juga sangat berhati-hati apabila menggunakan istilah penuntut dan menuntut. Banyak maknanya. Bergantung juga pada pandangan orang lain terhadap kita. Kalau kita dianggap gila kuasa maka pastinya kita akan dikaitkan dengan khayalan diri kita bercita sebagai guru silat.

Konsep dan istilah menuntut dirasakan lain maknanya dengan istilah belajar. Daripada segi bahasa, proses orang yang mempelajari sesuatu daripada orang lain maka istilahnya dia adalah menuntut. Maka orang itu dikenali juga sebagai pelajar atau penuntut. Pada orang yang dituntut, penuntut itu dianggap menuntut daripadanya. Namun begitu, dalam konteks adab kita, menuntut ada kaitan dengan hak dan hak ini lahir daripada satu ikatan khas hasil perjanjian yang dibuat antara pemberi ilmu dan penerima ilmu. Perjanjian tersebut dilahirkan melalui kata-kata yang dilafaz dalam ijazah silat . Istilah menuntut hanya sesuai dan tepat digunakan jika ahli silat itu mengambil ilmu tersebut daripada gurunya. Sebaliknya jika ilmu yang didapati itu adalah daripada Jurulatih, dari segi adabnya ahli silat tersebut adalah belajar dan bukannya menuntut. Dalam aspek tanggungjawab, tidak ada kontrak khusus pada Jurulatih tersebut mempastikan ahli silat itu menguasai pelajaran SC.

Tanggungjawab menyampaikan ilmu adalah terletak pada guru melalui perjanjian yang dilafazkan. Jurulatih hanya merupakan wakil guru. Namun begitu Jurulatih masih diamanahkan untuk bertanggungjawab mempastikan ahli yang belajar itu berjaya menguasai SC. Pada zaman dulu, apabila Jurulatih hendak pergi mengajar ke satu-satu kelas, mereka akan bersalam dengan Ustaz terlebih dahulu sebagai tanda meminta izin. Itulah juga menunjukkan pemberian punca kuasa daripada guru untuk menurunkan ilmu. Pertambahan kelas mungkin menyusahkan tabiat tersebut.

Sepanjang masa saya bersama dengan Ustaz, saya tidak pernah melihat atau mendengar suara Ustaz memarahi Jurulatih yang gagal atau ponteng untuk ‘mengajar’ silat pada mana-mana ahli di pusat latihan atau cawangan pada satu-satu ketika tertentu. Pada tafsiran saya ketika itu, saya menganggap yang Ustaz faham akan tanggungjawab hakikinya untuk menyuntik ilmu SC dalam kalangan muridnya. Jurulatih yang terlantik adalah merupakan wakilnya sahaja. Tidak ada perjanjian bertulis antara guru dengan wakil guru melainkan perjanjian yang diasaskan daripada perasaan tanggungjawab. Mungkin keadaan ini berbeza dengan suasana sekarang. Apabila ada temu duga, pasti akan ada perjanjian bertulis atau perjanjian berlisan. Agakan sahaja.

Dari segi bahasa juga, apabila ahli silat itu belajar dengan kita maka jadilah mereka itu murid dan kita gurunya. Konsep ini juga perlu berhati-hati penggunaan dan kefahamannya dalam adab persilatan kita. Dalam SC, guru hanya satu. Oleh itu mereka yang belajar dengan kita tidak boleh dianggap sebagai murid. Murid adalah hak guru yang satu walaupun daripada makna bahasa, tak ada istimewanya konsep guru dan konsep murid dalam situasi yang pelbagai ketika proses penerimaan ilmu. Jadi apakah istilah yang patut digunakan dalam adab silat kita. Tak ada perbincangan mengenainya. Kerap kali saya gunakan istilah, “Dia pernah belajar dengan saya.” Tapi kadang kala terkeluar cakap, “itu murid saya’ atau ‘itu penuntut saya’. Risikonya besar. Kalau timbul tanggapan buruk pada diri saya maka sahlah saya akan dicap sebagai gila kuasa atau berlagak nak jadi guru.

Dalam proses kita menyampaikan ilmu SC, konsep mengajar juga perlu difahami penggunaannya. Pernah saya tegaskan, ikatan mereka yang menimba ilmu SC melalui kita adalah berdasarkan konsep pandu. Konsep belajar adalah pada mereka yang tidak tahu. Tapi, konsep SC adalah berdasarkan gerak semula jadi yang sememangnya ada pada setiap penuntut. Maka menjadi tugas kita memandu mereka memahami dan menggunakan pergerakan semula jadi yang ada itu secara lebih terangcang melalui sistem-sistem yang ada dalam SC. Konsep ‘memandu’ akan menjadikan Jurulatih tersebut mengamalkan konsep motivasi, komunikasi berkesan dan pelbagai pendekatan dalam proses penurunan ilmu. Sebaliknya konsep ‘mengajar’ akan menjadikan Jurulatih tersebut lebih mirip ke arah sifat ego, bengis, merampus dan pelbagai lagi sifat nagatif apabila ‘murid’nya itu lambat atau slow menerima ilmu daripadanya.

Dalam proses penurunan ilmu SC, kita menggunakan istilah berlatih daripada istilah bermain. Silat kita ada keistimewaanya. Pengertian Cekak membawa makna kita tidak boleh main-main. Mungkin hal ini berbeza dengan persilatan Melayu yang lain. Silat mereka diiringi oleh gendang dan banyak yang berbentuk tarian. Maka istilah bermain silat amat sepadan dengan pergerakan mereka. Konsep bermain dan berlatih jauh berbeza dalam adat dan adab SC bersilat. Pengertian Cekak sendiri melambangkan betapa perlunya kita bertanggungjawab dan mengambil berat pada pelajarannya. Kesedaran itu hanya boleh tertunai melalui latihan yang mantap dari masa ke masa. Dan bukannya boleh main-main ketika bersilat.

Tempat berlatih juga ada istilahnya. Kawasan latihan kita berkonsepkan kelas dan bukannya gelanggang. Istilah gelanggang hanya sesuai untuk bertarung atau bergaduh. Kelas adalah tempat proses ilmu diturunkan antara ahli silat dan Jurulatih yang dilantik oleh guru. Ikatan dalam kelas menekankan aspek keikhlasan antara orang yang belajar dengan orang yang menurunkan ilmu. Kedua pihak mempunyai tanggungjawab dan peranan yang tersendiri. Masing-masing perlu memainkan peranan yang ada bagi mempastikan proses penurunan ilmu akan berjalan dengan penuh berkesan.

Begitu juga antara istilah ahli silat dengan ahli persatuan. Ahli silat adalah merujuk pada penguasaan dalam SC. Kalau tidak menamatkan pelajaran, orang itu tidak boleh diiktiraf sebagai ahli silat. Kemahiran bersilat memainkan peranan utama bagi menentukan keahliannya dalam silat. Keadaan ini agak berbeza dengan ahli persatuan. Dengan cara mengisi borang dan membayar yuran pendaftaran, orang itu dikira sebagai ahli persatuan. Ukuran tamat silat tidak menjadi prinsip utama. Daftar dan mengisi borang maka sahlah sebagai ahli persatuan, walaupun bersilat tak tentu hala. Dia mempunyai hak dalam mesyuarat agung sebagai ahli yang hadir atau mungkin berkeupayaan membuat undian.

Kita sambung lagi.