Sunday, November 22, 2009

....sambungan BERDENDAM JUGA (6).

Ramai para pendokong SC yang sama-sama bergiat cergas sejak zaman Ustaz lagi, menyokong penuh usaha-usaha yang dilakukan oleh En Mat. Mereka bediri teguh di belakang guru utama. Sokongan padu ini juga diikuti oleh kumpulan-kumpulan yang satu kepala dengan mereka. Berkumpullah mereka dalam perjuangan CH dengan semangat yang begitu membara. Menyaingi CM semacam telah menjadi agenda utama juga. Cuma yang berbeza antara kumpulan sokongan tersebut, adalah dari segi asal ‘gurunya’ dan dari segi latar masa penglibatan. Ada yang sama-sama terlibat bersama Ustaz tapi berlainan peringkat masa dan ada yang ‘bergurukan’ PA dan tak pernah bersua muka dengan Ustaz sendiri. Oleh itu, fahaman dan sikap mereka pastinya berbeza. Maka hala tuju mereka dalam SC juga pastinya berbeza. Hal ini demikian telah banyak mempengaruhi perkembangan SC seterusnya. Faktor ini juga boleh dibuat kajian untuk membuktikan sama ada benar atau tidak, faktor tersebut telah memberi sumbangan yang besar dalam pepecahan seterusnya.

Pada peringkat awal perkembangan CH, tidak nampak perbezaan pendapat yang ketara. Lama-lama, timbul juga perasaan curiga. Wujud lagi para kumpulan yang berbeza. Kedua-dua pihak masih berbicara dengan saya. Nampak sangat hala tuju mereka yang makin berbeza. Apatah lagi wujud pula generasi baru yang hanya bergurukan guru yang ada. Menerima SC dalam keadaan yang seada. Mereka tidak dapat membanding atau membeza. Apa yang ada maka itulah SC namanya pada fahaman mereka. Pengorbanan ahli-ahli lama apa yang mereka tahu. Umpama si bapa sekarang yang bermegah dengan sepuluh sen untuk berbelanja ketika berada di bangku sekolah di suatu ketika dahulu. Sepinggan mee dan segelas air sirap dengan nilai sen tersebut. Tapi ketika bercakap pada generasi sekarang maka akan dijuihkan bibir mereka pada kita. Berbelanja hebat di zaman dahulu tanpa berpijak di bumi yang nyata sekarang.

Ramai juga pejuang hebat dalam zaman Ustaz yang telah menurun prestasi kerjanya. Hanya berharap pada nama. Umpama sang belang yang bergigi palsu. Hanya berharap pada ngaumannya saja. Bila menggigit, bukan sakit yang ada tapi geli geleman dibuatnya.

Kumunculan generasi baru termasuk yang seleweng taat setianya dengan PA telah mengubah banyak keadaan dan situasi dalam CH. Nampaknya bila CH melayari bahteranya, karenah yang wujud dalam zaman PA telah mula menjelma semula. Fokas pada silat tak berapa ada. Peluang-peluang berniaga begitu ketara. Program-program persatuan semakin rancak direka. Kalau negara ada wawasannya maka kita juga ada wawasannya. Semuanya berasaskan aktiviti persatuan bagi merancakkan pengurusan.
Perkembangan silat adalah mengikut arus. Kebajikan ahli-ahli dalam silat tak tentu hala. Bila dibangkitkan maka pelbagai cap akan diberikan. Saya tidak lupa akan ayat-ayat. Antara lain cap yang ada, “Nak tunjuk lagak sebagai raja, Nak lagak besar kepala, Nak free semuanya, Nak ....” Macam-macam cap ada. Macam puak Siam yang ada cap pelbagai jenama. Yang jelasnya ketika itu pelbagai pihak nak tunjuk kuasa. Fahaman persatuan namanya. Mula bertapak dan bermaharajalela.

Dalam proses tunjuk kuasa, keaslian silat mula dinoda. Saya tak mahu komen banyak. Kerap kali saya sentuh dalam tulisan saya yang lalu. Saya sangat berhati-hati dalam soal ini. Saya cuba pastikan pembawaan saya dalam SC tidak berubah sama ada gerak fizikalnya mahupun kefahaman yang saya terima daripada Ustaz Hanafi. “Ada ulu, ada parang. Sebagaimana dulu maka begitu juga sekarang.”

Ramai yang mendesak dan berharap agar saya mengikut kemahuan mereka. Jiwa saya tak boleh sedemikian rupa. Saya masuk SC bukannya kerana suka-suka. Ada sebab saya berjuang dan meneruskan perjuangan dalam SC. Ada yang memahami perasaan saya dan menghormati prinsip saya. Tidak kurang juga yang buta kayu. Bercakap dan membuat kesimpulan berdasarkan nafsu.

Banyak perkembangan yang berlaku dalam CH. Lama-lama saya kurang ambil kisah. Penglibatan saya dalam persatuan mula dikurangkan. Banyak kali saya tebarkan jala. Kerap kali juga tidak mengena. Telah sah akan petunjuk yang ada. Penguasa yang ada tidak memahami sikap dan perjuangan saya. Susah payah saya, mana pernah mereka lihatnya. Akhirnya cawangan saya diserahkan pada orang lain. Buatlah kerja persatuan asalkan saya berperanan dalam bidang persilatan. Apa yang saya perhatikan dan menurut cerita yang empunya cerita, pengunduran saya dari persatuan ada pelbagai riaksinya. Ramai yang tersengeh dan bertepuk tangan. Puas hati kerana akhirnya kecundang juga. Tidak kurang pula yang berasa sangsi dan berwaspada. Takut SC di tempat saya akan hilang bisanya. Bisa kerana selama ini berperanan sebagai pengimbang dan batu ukuran akan setiap pendapat dan tindak tanduk yang ada. Namun begitu dalam mesyuarat MMT, peranan saya didesak sebagai penasihat utama di cawangan saya. Pengganti saya terima sahaja. Harap mulut dan hati sekata.

Tahun berganti tahun. Akhirnya sekali lagi kita berpecah. Ramai yang mengetahui puncanya. Berlaku penyingkiran guru dan pelantikan guru yang baru. Saya tidak mahu melanjutkan bicara. Setakat tujuh siri penulisan saya kira telah cukup. Kalau tidak, kena menulis bersiri empat belas atau dua puluh satu atau empat puluh siri. Angka-angka tersebut dikatakan angka keramat pada kita. Agaknya.
Akibat pepecahan sesama kita dalam CH, maka sekali lagi saya terheret dalam kancah pepecahan antara dua guru dalam SC. Nasib baik rambut saya tetap hitam dan tidak luruh atas dan bawah. Bezanya sekarang ini saya berada pada waktu ‘’Maghrib’. Berbeza dengan waktu ‘Zohor’ dalam pepecahan yang terdahulu. Kurang bertenaga nak meronta-ronta. Salah atau benar pasti akan terikat dengan tafsiran akal yang ada. Seperti biasa, saya tetap memegang adat dan adab untuk berpihak sebelah mana. Dalam soal guru, jangan dirujuk pada peraturan persatuan. Rujuklah pada adat dan adabnya iaitu Mandat. Kedua-dua pihak mengetahuinya.

Pepecahan sesama ahli silat semakin berleluasa melalui peruntukan peraturan persatuan yang sedia ada. Apa yang berlaku dalam zaman pepecahan PA telah berulang semula. Sebijik macam yang lama. Kutuk- mengutuk melalui surat, SMS dan internet sudah menjadi perkara biasa. Cawangan-cawangan yang tidak sehaluan dengan pusat telah dibubarkan. Ahli-ahli yang tidak sehaluan telah mengalami proses pemecatan. Itulah nasib yang pernah mereka terima. Itulah dendam namanya. Kalau dulu mereka dipecat maka sekarang mereka memecat. Dendam yang ada telah dijadikan tekanan untuk menentukan tingkah laku selanjutnya. Penguasa persatuan telah banyak mengorbankan masa ke sana sini bagi menerangkan kepada pihak-pihak tertentu terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menyekat aktiviti En Mat yang dianggap tidak sah.

Kadang kala saya berfikir sendirian. Tidakkah pepecahan dalam CH dapat dielakkan daripada berlaku. Banyak aspek telah dibicarakan dalam tulisan yang terdahulu.

Kalaulah penguasa persatuan kita memegang peraturan atau perlembagaan persatuan maka sengketa yang ada sepatutnya dibereskan melalui peruntukan pelembagaan yang ada. Penglibatan ahli persatuan patut ada. Satu mesyuarat agung luar biasa boleh diadakan segera. Semua cawangan perlu dijemput bersama untuk bermesyuarat. Biar ahli yang menentukan kedudukan guru. Buatlah undian melalui peruntukan yang ada.

Tapi lain jadinya. Soal mandat dijadikan perbahasan pula untuk menidakkan lantikan guru yang ada. Hinggalah beberapa cawangan digantung atau dibubarkan, baharulah mesyuarat agung diadakan. Kalaulah mesyuarat agung yang menentukan kedudukan guru atas nama undang-undang persatuan, pasti CH dapat diselamatkan. Yang menghairankan saya prinsip apa yang mereka gunakan. Kalau adat dan adab ditolak dan peraturan persatuan juga ditolak maka peraturan apa yang mereka pakai. Itulah politik silat namanya. Ilmu perjuangan yang ditinggalkan oleh Ustaz menurut tafsiran mereka. Bukan perjuangan tapi ilmu perjuangannya. Walau bagaimanapun, perkataan ‘kalau’ jangan sesekali digunakan. Merintih dalam khayalan. Tiada sudahnya. Sambung lagi.